Teman-teman

Friday, May 18, 2012

Sesungguhnya Hidayah Itu Milikmu Ya Allah

Aku melihat jam di dinding sudah pukul 12 tengahari. Badan masih lagi letih setelah bekerja selama 16 jam. Malam ini aku akan bertugas lagi selama 16 jam. Andaikata aku terlelap kembali bermakna silap haribulan aku pasti terlepas solat Jumaat. Aku bergegas bangun lalu membersihkan diri. jam 12.30 petang aku mengorak langkah ke masjid. Aku menunaikan solat Qabliyah dan selepas itu barulah aku membaca tafsir Al-Quran serta maknanya. Selesai membaca tafsir aku berwirid sebentar.

Dalam aku tengah berwirid itu aku terlihat seorang pemuda. Sudah dimamah usia. Rambutnya sudah beruban. Begitu tertib dia menunaikan solatnya. Rokoknya, sujudnya dan di akhiri dengan doanya. Begitu tertib sekali. Aku kenal akan pemuda tersebut. Tiba-tiba aku menjadi sebak. Airmata mengalir tanpa di pinta. Aku terkenang kembali zaman remajaku. Alhamdulillah Allah telah meniup hidayah kepadaku begitu awal berbanding rakan-rakan yang lain. Aku masih lagi bercampur dengan mereka kerana darah mudaku masih mengalir. Bila tiba waktu solat cepat-cepat aku ke masjid yang berdekatan. Alhamdulillah aku telah meninggalkan lepak di kaki lima sambil memetik gitar. Aku sudah buang bermain muzik dan manaiki pentas bersama band.

Satu yang masih ada padaku ialah sifat panas baranku. Pantang aku dicabar dan pasti tangan atau kaki yang akan hinggap. Aku seperti hilang ingatan bila marah. Darah silat yang mengalir membuatkan aku seperti seorang yang riak dengan ilmu yang sedikit. Suatu hari aku kehilangan basikal racing kesayanganku. Body basikal aku jumpa di dalam belukar. Ia hasil dari basikal yang dicuri. Diambilnya benda yang lain lalu dibuang bodynya. Aku ambil lalu aku kumpul duit sedikit demi sedikit dengan membeli barang dan akhirnya jadilah ia sebuah basikal racing yang amat cantik. Tak sampai seminggu aku guna dan bila aku keluar dari rumah basikalku sudah hilang. Puas aku mencari namun tidak berjumpa.

" Dapat orang yang curi aku akan tabuh cukup-cukup ". Bisik hati kecilku tanpa aku menyedari bahawa basikal yang aku miliki itu juga hasil dari barang yang dicuri. Kebetulan pula dalam kampungku ada sekumpulan pemuda yang menjadikan kampong kami markas untuk mereka menghisap dadah. Sudah beberapa kali aku mengajak mereka bertumbuk kalau berani. Aku fahami hadis iaitu mencegah kemungkaran dengan tangan dan selemah-lemah iman ialah dengan hati. Aku sudah menyimpan niat dihati bahawa suatu hari aku akan belasah mereka cukup akibat dendam kehilangan basikalku.

Aku berjumpa dengan rakan-rakan yang lain lalu berpakat untuk operasi belasah. Malamnya selepas maghrib kami sudah berada di markas mereka. Datang seorang pemuda mundar mandir memasuki markas. Kami menyerbu lalu menyeret keluar pemuda tersebut. Aku bagaikan singa terus menumpuk muka pemuda tersebut.
" Aduh Ya Allah sakitnya ". Jerit pemuda itu menahan kesakitan akibat tumbukan aku. Terus kakiku hinggap di perut pemuda tersebut. Terkeluar muntah lalu terkena bajuku. Masamnya muntah itu. Kakiku hinggap di kepalanya pula. Aku sudah hilang kawalan. Tersembam pemuda itu dan jatuh terduduk.
" lain kali ingat..jangan mai lagi kampong kami. Ini bukan tempat penagih dadah yang jijik ". Sambil aku memegang kolar bajunya. Pemuda itu sudah tidak berdaya lagi.

Kami pulang semula ketempat kami. Aku begitu berpuashati dengan mencegah kemungkaran. Dalam hati aku berkata Allah meredhoi perbuatan kami. Datang pemuda tersebut lalu duduk diatas tangga tanpa dia menyedari yang kami berada di dalam rumah.
" Ya Allah begitu zalimnya manusia terhadap aku. Aku ingin berubah tapi aku tak terdaya Ya Allah ". Rakan-rakan aku yang lain ketawa geli hati. Aku terdiam mendengar rintihan pemuda tersebut. Datang keinsafan pada diriku. Apakah ini corak dakwahku. Suka menghukum tanpa ada cara-caranya. Pemuda itu terus hilang. Semenjak hari itu aku tidak bertemunya lagi.
.
Hari ini aku melihatnya begitu tertib dia beribadah. Terus aku berdoa kepada Allah
" Ya Allah berdosanya aku ini terhadap pemuda tersebut. Engkau yang memberi hidayah Ya Allah. Ya Allah mungkin pemuda itu menjadi lebih baik dari aku. Imanku kini begitu lemah Ya Allah. Ampunkanlah dosaku ". Terisak-isak aku menahan airmataku. Selepas selesai solat jumaat aku terus mendapatkan pemuda tersebut. Aku melihat begitu asyik dia berdoa. Begitu sabar sekali dia meminta kepada Allah. Selesai dia berdoa aku menghampirinya. Aku duduk sebelahnya.

" Assalamualaikum bang ". Sambil kami berjabat salam. Tersenyum dia menerima salam dari aku. Sudah dimamah usia pemuda ini. Dia lebih tua dari aku. Pangkat abang padaku.
" Abang kenal saya tak ". Aku bertanya dan aku melihat ada kejernihan di kelopak matanya.
" Kenal kenal ". Sambil mengangguk kepala. Tatkala itu airmata aku sudah laju mengalir.
" Bang saya minta maaf pada abang. kaki inilah yang menendang kepala dan perut abang. Tangan inilah yang menumbuk muka abang ". Aku terus memeluknya. Terdengar isakan darinya. Mungkin juga dia terasa sayu tatkala mengenang kembali saat dia di belasah oleh kami. Begitu hinanya dia pada kami saat itu lebiih-lebih aku yang menyimpan dendam disebabkan kehilangan basikal racingku.

" Bang saya minta maaf banyak pada abang. Saya sombong ketika itu ". Kami masih lagi berpelukan.
" Tak apa..tak apa adik tak bersalah ". Lembut sungguh bahasanya
" kerana tendangan adiklah yang membuat abang bertekad yang abang tak mahu lagi memegang najis dadah. Abang rasa begitu hina sekali pada mata masyarakat ". Kata-katanya membuatkan aku terus sebak. Sebenarnya akulah manusia yang hina. Aku menggunakan kekuatan fizikalku dengan cara yang salah. Aku belajar tentang peribadi rasulullah iaitu telah ada pada Rasulullah saw uswatun hasanah ( Suri tauladan yang baik ). Aku tidak mengikut akhlak nabi ketika itu. Aku berdakwah secara egresif.

Kami bangun sambil berjabat tangan. Bersih muka pemuda itu walaupun sudah berusia. Mungkin Amalnya lebih hebat dari aku. Aku diuji dengan sedikit ujian sudah lemah imanku. Mungkin dia lebih hebat ujiannya. Di hina, di pukul dan telah di pulau oleh masyarakat. Menjadi bahan ketawa masyarakat tatkala berada di alam khayal. Kini dia bangun kembali dan alhamdulillah Allah telah meniup hidayah kepadanya.Aku melihat dia terus berjalan dengan perlahan dan terus hilang dari pandangan mata. Ya Allah janganlah engkau mengambil kembali hidayah setelah engkau memberinya kepadaku. Pemuda itu telah memberi kepadaku keinsafan. Berdakwah haruslah bijak menggunakan kebijaksanaan dan bukan dengan kekerasan. Hasilnya orang akan lari dari kita dan kitalah yang akan di poertanggung jawabkan di depan Allah kelak. Pemuda itu mengajar aku dakwah yang sebenar. Semoga Allah merahmatinya dan menerima amal-amalnya.

2 comments:

Thirah said...

Adeh!penulisanmu..tahniah..sama2 menginsafi dan manusia tak sempurna.. tak lari dari kesilapan..

Ariff Budiman said...

athirah...Kenapa terkejut. Teruk ka

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...