Teman-teman

Monday, December 29, 2008

Allah Selamatkan Palestin

Hari ini seluruh umat islam menyambut tahun baru islam. Banyak sms yang aku terima mengajak aku agar berhijrah dan memulakan kehidupan baru. Ya.. aku pun merasai begitu. Aku perlu lakukan sesuatu untuk meneruskan kehidupan bersama 2 orang anakku. Hati aku masih lagi sayu memikirkan pemergian isteriku tapi hati ini bertambah sayu bila membaca berita beratus - ratus kematian dan kecederaan yang berlaku di Gaza akibat serangan dari regim laknat israel. Aku melupai sebentar kesedihan aku. Aku bayangkan betapa deritanya rakyat Palestin yang diuji dengan bermacam-macam dugaan. Mereka semua alhamdulillah dapat meneruskan kehidupan normal mereka.

Aku mengimbas kembali program aku dan isteri terlibat didalam ceramah Palestin anjuran surau kami. Slaid demi slaid dipaparkan agar masyarakat ditempat aku sedar akan perkembangan Palestin terkini. Ceramah diakhiri dengan mengutip tabung kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Ramai juga yang menderma alhamdulillah. Aku dan isteri amat terkesan dengan seorang ibu tua. Selesai ceramah dan mengemaskan surau, kami berdua pulang lalu dihampiri oleh seorang makcik. Katanya dia tak ada wang untuk diberikan kepada tabung Palestin. Beliau menghulurkan seutas rantai katanya rantai itu kepunyaan anaknya. Kataku tidakkah anaknya akan menangis bila menyedari rantainya tiada. Kata makcik itu pula dia yang akan menangis bila melihat dan mendengar akan penderitaan umat islam Palestin tetapi tidak melakukan sesuatu. Kata makcik itu lagi Allah akan berikannya rezeki lain kali.

Keesokkan hari pula sewaktu kami berdua hendak kepasar, seorang ibu muda mendapatkan kami dalam keadaan sebak. Katanya jika suaminya mengizinkan dia untuk berjihad di Palestin beliau akan berangkat segera kesana. Tergamam kami berpandangan sesama sendiri. Subhanallah engkau telah mentarbiah aku dengan semangat seorang wanita sedangkan dihati aku tidak terdetik untuk kesana membantu Palestin. Aku begitu kagum dengan semangat wanita ini. Pakaiannya sederhana sahaja walaupun menutup aurat tapi jiwanya mengalahkan lelaki.

Seminggu kemudian seorang kawan memberitahu aku mengenai seorang kontraktor sewaktu mendengar ceramah Palestin, sebagai pengerusi majlis aku merayu agar mereka yang allah berikan rezeki lebih sedikit bantulah umat islam. Kata kontraktor itu, arab sama arab pun tak bersatu buat apa kita rakyat Malaysia nak tolong. Inilah sebahagian budaya rakyat Malaysia yang terlalu cintakan dunia.

Sebagai umat islam marilah kita titipkan doa kepada Allah agar umat islam diseluruh dunia yang ditindas , Allah berikan kemenangan. Aku doakan semoga roh isteriku aman disana dan Allah berikan kemenangan kepada umat islam dan allah hancurkan kufur. Amin ya rabbal a lamin.

Saturday, December 27, 2008

Seminggu sudah berlalu

Pejam celik pejam celik seminggu telah berlalu isteri tercinta telah meninggalkan kami semua. Dalam kerinduan aku bermunajat kepada Allah agar dipertemukan aku dengan isteri didalam mimpi. Namun sehingga kini setelah seminggu, Allah tidak mengizinkan aku bermimpikan arwah. Begitu jiga dengan kedua-dua anakku. Bila aku bertanya pernahkah mereka mimpikan emak. Jawapan mereka seperti aku juga.

Memang hidup tanpa isteri begitu menyiksakan. Setiap aktiviti yang dilalui bersama bukan senang untuk dipadamkan. Kadang-kadang bila pulang kerumah masih terasa isteri sedang memasak. Bila memetik komputer terasa isteri berada disebelah sambil menjahit baju. Aklhirnya aku sendiri yang akan keluar dari rumah. Ramai yang menasihat agar aku melupakan peristiwa lama dan membina hidup baru. Aku hanya mendiamkan diri.

Aku bukanlah jenis kaki yang suka merayau tak tentu hala. Jika tiada program aku selalu berada dirumah bersama isteri. Kini kemana lagi harus aku tuju kalau tidak dirumahku sendiri. Blog inilah tempat aku meluahkan segala isi hati.Kadang-kadang aku merasakan betapa indahnya andaikata peristiwa yang berlaku ini hanya sebuah mimpi. Namun aku perlu sedar yang aku berpijak dibumi yang nyata. Cuma aku tidak berani berhadapan dengan orang yang ingin tahu sebab musabab kematian isteriku. Sedikit demi sedikit kami membiasakan diri. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami semua insyallah.

Tuesday, December 23, 2008

Aktivitiku bermula

Hari ini aku telah memulakan tugas harianku. Bangun dari tidur dok fikir apa nak buat hari ini. Ahh kini aku tiada lagi pembantu peribadiku. Sunyi sepi dapur tidak berbunyi. Periuk belanga yang isteriku basuh sebelum sakit masih lagi disitu. Nak masak apa hari ini untuk aku membawa bekalan ketempat kerja petang ini. Teringat pesanan mak angkat kami kalau ada apa-apa masalah talipon. Aku pun angkat gagang talipon dan terus dial nombor mak angkat. Aku terus bertanya bagaimana nak buat kari ikan. Apalagi meraung mak angkat mendengar aku nak masak kari. Sebak juga aku tapi aku kawal perasaanku. Kata mak angkat tak payah masak la. Kalau nak makan datanglah kerumah. Akhir sekali aku ambil keputusan tak makan apa tengahari. Biskut kering masih banyak lagi.

Dalam hati berkata petang ini nak buat nasi goreng. Seperti biasa aku tidur dulu. Bila bangun terus kedapur nak buat nasi goreng. Ya Allah aku tak letak nasi. Aku terus mandi dan pakai uniform terus turun kebawah. Apabila nak bertolak aku selalu automatik akan mendongak keatas sebab selalunya isteriku akan melambai tangan. Katanya abang kerja jauh, Siti berdoa moga abang dilindungi Allah. Sejuk aku ketempat kerja.

Kini tiada lagi lambaian dari seorang isteri. Aku lesu ketempat kerja dalam kelaparan. Aku singgah membeli goreng pisang untuk aku makan semasa diatas motor. Sebak juga hati. Nak buat macam mana. Aku kena belajar dari A hingga ke Z. Baju tak usah kata. Anak perempuan berada di Sungai Petani. Kalau dia tahu keadaan aku tentu dia risau. Apa tidaknya uniform sudah 3 hari tidak bertukar sebab aku tidak pandai gosok sendiri. Sewaktu isteriku bergurau dengan anak-anak dia berkata. " Ayah first class dalam basuh baju kemudian kutip baju dan akhirnya letak diatas katil". Kata isteriku lagi. " Abang kena belajar serika baju, kalau Siti mati sapa nak buat semua ini". Aku hanya tersenyum depan anak-anak yang ketawa berdekah-dekah bila emak mereka perli aku. Ya Allah bahagianya aku waktu itu.

Kini anak-anak sudah besar-besar. Masing-masing membawa diri. Aku yang keseorangan dirumah. Aku bila kepekan berjumpa saja orang mereka akan menahan aku dan bertanya isteri sakit apa sehingga meninggal. Ni yang aku malas nak layan. Ia akan membuat hati aku bertambah hiba. Sambil mengucap terima kasih aku berkata dah janji Allah. Satu lagi yang memeningkan kepala aku ialah tahlil. Bila nak buat tahlil aku pasti kena ada sehinggakan kadang-kadang tiap-tiap hari ada saja tahlil untuk arwah. Aku amat letih sekali tetapi demi menjaga hati orang yang menyayangi isteriku ku langkahi juga.

Kepada adikku Masteja dan suaminya Zaabar. Abang ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menjaga Kak Aishah semasa di Kelantan. Sesungguhnya memori Kelantan tidak dapat abang lupakan. Itulah saat genting Kak Aishah bertarung dengan kesakitan siang dan malam. Semoga Allah memberikan kebahgiaan rumah tangga dan kesihatan yang baik kepada Mas sekeluarga.

Saturday, December 20, 2008

Berakhirnya sebuah kehidupan

16 Disember 2008 - 1200 malam. Isteriku masih lagi kesakitan. Hanya terdengar luahan " Ya Allah bang sakitnya. Tolong baca dan hembuskan dibadan Siti". Aku terus membaca ayat-ayat suci Al Quran dan kuhembuskan kebadannya. Ada ketenangan dapat yang dirasai oleh isteriku. Kadang-kadang terdengar suara perlahan, " Ya Allah aku redho dengan ujian ini". Aku hanya mampu menangis memeluknya. Tidak sanggup aku melihat isteri kesayanganku sakit. Aku berkata," Siti hari ini kita akan balik ke Penang. Kita akan berubat". Dia hanya mengangukkan kepala tanpa bersuara.

Jam 5 pagi kami bangun untuk pulang ke Penang. Aku melihat perubahan pada isteriku. Dia amat keletihan dan kadang-kadang hilang ingatan. Aku memapahnya masuk kedalam tandas. Sementara menunggu isteriku, aku berkemas apa yang perlu. Hatiku terasa kenapa isteriku belum keluar dari tandas lagi. Aku terus kesana. Aku mendengar isteriku menangis sambil memanggil namaku. Apalagi panik aku. Ya Allah pintu terkunci. Aku menyuruh dia membuka pintu tapi katanya dia tak boleh bangun. Nasib baik adik ipar ada kunci pendua. Aku meluru masuk kedalam. Hati aku begitu sayu melihat keadaannya yang tidak bermaya. Aku menangis semahunya. Aku terus memapahnya keluar.

8.30 pagi - Firefly meluncur laju meninggalkan bumi Kelantan. Isteriku sepanjang perjalanan hanya mampu tidur sahaja. Sekali-sekali aku menjeling kearahnya. Sayu hati melihat orang yang aku sayangi berkeadaan begini. Orang inilah ketika aku sakit dia menjaga aku dengan penuh ikhlas. Jam 9.30 pagi kelihatan bumi Pulau Pinang. Aku mengejutkan isteriku. Dia terjaga tanpa berkata apa-apa. Setelah semua penumpang turun barulah kami berdua dizinkan turun. Kaki isteriku terketar-ketar untuk menuruni anak tangga kapal terbang. Ini menyebabkan kru MAS kelam kabut membantu. Seorang pemuda meminta izin aku untuk mencempung isteriku. Aku mengizinkannya dan terus dicempungnya dan diletakkan didalam van dan dibawa ketempat balai ketibaan.

Sampainya kami dirumah apalagi keluarga isteriku meraung melihat perubahan dirinya. Apa tidaknya semasa pergi isteriku tersenyum dan bila pulang sudah tidak mengenali sesiapa lagi. Aku hanya mampu mengalir air mata. Sudah puas aku bermain air mata. Setelah meletakkan barang-barang, aku terus membawa isteriku untuk berubat. Kata tok bomoh yang merawat isteriku masih terdapat kesan-kesan isteriku di serang dengan bertubi-tubi. Katanya dia sudah membuangnya. Aku membawa pulang isteriku kembali. Sampainya dirumah isteriku sudah mula meracau dan kadang-kadang tangisan sakit. risau dan sedih melihat keadaan isteriku yang bertambah parah. Aku membawa kembali isteriku kesana. Kata tok bomoh apa yang Allah berikan kepadanya telah pun dia gunakan. Badan isteriku sudah clear dari santau dan gangguan lain. Katanya mungkin kesan dari apa yang terjadi menyebabkan kecederaan dalaman dan menyuruh aku membawanya ke hospital.

Aku bergegas membawa isteriku ke hospital Pantai Mutiara. Kedengaran azan Maghrib berkumandang. Selesai aku mengerjakan solat maghrib, nurse telah menolak isteriku masuk kedalam ICU. Setelah segala kelengkapan dipasang aku dibenarkan masuk. Menangis aku terisak-isak melihat orang yang selama ini menjaga ketika aku sakit berkeadaan begini. Badannya dipenuhi dengan wayar. Dia nampaknya penat. Sempat juga dia mencium tanganku sambil menunjuk isyarat agar aku berdoa. Tak terkata apa-apa. Aku hanya mampu mengangguk dan aku terus memeluknya sambil menangis. Aku amat merinduinya. " Kenapa orang sanggup buat begini kepada kita Siti ". Sambil memeluk aku meratapi namun isteriku tetap mengusap kepalaku tandanya suruh bersabar diatas ketentuan Allah. Aku melihat airmata mengalir dipipinya.

Aku menyuruh anak lelakiku masuk. Sebentar kemudian dia keluar sambil menangis. Katanya emak suruh berdoa. Bagaimana aku harus memberitahu anak gadisku yang sedang mengambil peperiksaan semnya. Bingung memikirkannya. Berita isteriku sakit telah tersebar luas. Kelihatan ramai orang datang untuk menziarahinya. Doktor memarahi nurse dan mengarahkan agar tidak membenarkan sesiapa melawat. Takut jangkitan kuman kata doktor.

17 December 2008 - Aku mendapat berita dari Doktor mengatakan bahawa buah pinggang isteriku rosak. Hati rosak. Limpa rosak. Sebelah paru-paru tidak berfungsi. Ya Allah mengapa manusia sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk ini. Doktor mengatakan bahawa peluang untuk hidup amat tipis. Bermulalah episod isteriku tidak lagi sedarkan diri. Dia berada didalam keadaan koma. Mendengar perkataan doktor membuatkan aku hampir terjatuh sebab aku tahu bahawa bila-bila masa saja isteriku akan meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku takut menghadapi saat itu. Ya Allah. Ya Rahman. Ya Rahhim. Kau berikanlah ruang sedikit masa lagi untuk aku bersama isteri tercinta. Aku begitu merinduinya. Sudah lama aku tidak melihat akan senyuman isteriku.

18 December 2008 - 5.50 pagi. Aku menerima panggilan dari hospital mengatakan bahawa isteriku amat tenat. Apalagi bergegas aku memandu kereta bersama anak lelakiku. Sambil menangis aku berdoa kepada Allah agar Allah ringankan beban keatas isteriku. Aku meminta abangku menalipon anak gadisku. Aku sendiri tidak sanggup memberitahunya. Doktor memberitahu keadaan isteriku amat kritikal. Ya Allah aku tak sanggup berpisah dengannya. Anakku sampai setelah selesai peperiksaan. Menangis ia sebab terlalu sayangkan ibunya. Namun ibunya sudah tidak mampu lagi bersuara atau membuka mata. Dirangkul ibunya.
" Emak kakak minta maaf dekat mak. Kakak lewat sampai. Ayah...siapa yang buat emak sampai macam ni. Mak tak pernah bergaduh pun ". Aku hanya mampu menangis ketika itu. " Sudahlah kakak. Inilah masanya kita sedekahkan ayat suci al-quran pada emak. Ini yang emak perlukan dari kita ". Aku menenangkan anak gadisku padahal aku amat tersiksa sekali ketika itu.

6.00 petang - Kami dibenarkan untuk membaca yasin di depannya. Aku mengambil peluang ini untuk mengucapkan kalimah syahadah. Kaum keluarga dibenarkan untuk bersama. Didepannya aku berdoa, " Berat hati abang untuk berpisah dengan Siti. Kalau itu merupakan ketentuan Allah untuk kita Siti, pergilah dengan tenang. Jangan risau tempat Siti adalah di syurga. Abang redho dan abang ampunkan segala dosa Siti. Terima kasih kerana menjaga abang dan anak-anak. Kita akan bertemu di akhirat kelak. Kita akan menuntut keadilan di sana ". Aku tidak dapat lagi mengawal perasaan yang selama ini aku pendam sehingga ditenteramkan oleh kaum keluarga.

7.20 petang - Aku melihat tekanan pernafasan digital yang di pakai isteriku semakin menurun. 20,19,18.......4,3,2,1........Tatkala azan maghrib berkumandang isteriku telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. " Inna lillahi wainna ilai hirojiun ". Walaupun aku sudah bersedia menghadapinya namun aku tidak dapat menerima kenyataan yang isteriku telah pergi meninggalkan kami semua. Masih terngiang-ngiang janjiku padanya " Siti kita akan pergi umrah dan haji bersama ". Esak tangis dari kaum keluarga tidak dapat dihalang lagi. Mayat dibawa pulang ketempat kami. Setelah dilakukan pembersihan mayat isteriku kelihatan tersenyum dan itulah senyuman yang aku rindukan.Manis sungguh senyumannya. Masyaallah air mataku berlinangan. Dalam hati aku berkata, " Siti bahagialah hidupmu. Engkaulah telah mendapat Bihusnil Khatimah seperti yang di idamkan oleh semua orang". Berita kematian membuatkan begitu ramai sekali yang melawat.

19 December 2008 - Mayat isteriku telah dikapankan. Sebelum dibawa ke masjid kaum keluarga di izinkan mengucup untuk kali yang terakhir. Seorang demi seorang datang mengucup. Akhirnya tiba giliran aku sebelum jenazah isteriku di tutup kembali. Aku mengambil peluang ini untuk menatap wajahnya yang terakhir. Aku memeluk isteriku berulang-ulang kali. Begitu juga aku mengucupnya berulang kali. Kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai terdengar esak tangis mereka. Selepas solat jumaat dan jenazah isteriku dibawa ke perkuburan sambil dilindungi oleh awan. Ramai yang menyedarinya. Ada yang berkata tentu mayat ini seorang yang baik sehingga awan melindunginya. Selesai upacara pengkebumian semua orang pulang. Ramai yang datang untuk menenangkan aku supaya bersabar. Terimalah dugaan ini dengan tenang. Tapi Siti abang amat rindu padamu. Macam mana abang nak melalui hidup ini tanpa siti. Kemana saja abang pergi wajah siti mesti dapat dilihat. Walaupun aku nampak tenang namun didalam hati Allah saja yang tahu betapa sunyinya hidup ini tanpa isteri tersayang. Kau dapat bertemu dengan anak yang kau rindukan selama ini.

Ya Allah kau berikanlah aku dan anak-anak kekuatan untuk meneruskan hidup ini. Terpaksa aku mempelajari kehidupan baru ini setelah selama ini engkaulah yang membuat segalanya. Abang benar-benar merinduimu Siti Aishah. Siti Aishah. Namamu seindah akhlakmu. Aku kelihatan tenang namun di dalam hatiku siapa yang tahu, " Siti jangan tinggalkan abang Siti. Abang amat rindu padamu ". Ya Allah....Aku pulangkan Siti Aishah kepadaMU. Terima kasih kerana dia dapat bersama dengan aku walaupun hanya seketika cuma.

sekian ariman

Video yang di upload ini pembaca dapat melihat renungan terakhir isteriku sewaktu membawanya berubat di Kelantan. Aku merindui renungan ini. Renungan yang seolah-olah enggan berpisah denganku. Di gambar terakhir ialah ketika rakaman dibuat di atas kapal terbang Firefly sewaktu pergi ke Kelantan. Semoga cerita ini menjadi iktibar kepada semua dimana janganlah kita berdendam dan akhirnya bersekongkol dengan syaitan untuk menjahanamkan kehidupan orang lain. Padahnya akan di terima di akhirat kelak sebab kami sekeluarga tidak mudah mengampunkan kesalahan mereka. Biarlah orang berkata yang aku ini berhati keras kerana tidak mengampunkan dosa orang sedangkan Rasulullah sendiri telah mengampun dosa umatnya.Tetapi kenapa mereka memisahkan kebahgiaan keluarga kami. Itu saja





Gambar terakhir semasa menyambut hari ibu. Selang beberapa bulan begitu cepat isteriku telah berubah.

Monday, December 15, 2008

Balik ke Penang

Esok tanggal 16 Dec 2008, kami akan berangkat pulang ke Penang setelah menghabiskan waktu makan angjn sambil berubat. Setelah berada di Kelantan isteriku hanya terperap didalam bilik kerana badan begitu letih akibat kehilangan berat badan yang mendadak. Di Kelantan memang ramai bomoh hanya rezeki kita yang akan dapat yang betul-betul berkesan.

Setelah aku sampai di Kelantan terus tidak buang masa ketempat bomoh. Aku tak berapa berkenan sebab tok bomoh tu mulut celupar sedikit walaupun agak ramai yang datang untuk berubat. Aku diperkenalkan pula dengan seorang tua. Cara dia berubat agak tele dengan tok bomoh yang mengatakan bahawa isteriku telah disantau varu setakat dada. Beliau terus memberi minum air jampi. Katanya ini hanya keracunan makanan.

Malamnya pabila masuk saja waktu Maghrib isteriku mulalah mengalami sakit dada, perut dan kepala. Semalaman kami tidak tidur. Aku menyuruh anakkku buat sembahyang hajat untuk ibunya. Itulah saja senjata orang mukmin iaitu doa. Aku mengambil kesempatan pada waktu yang hening memohon doa kepada Allah agar diringankan sedikit bebanan dugaan terhadap isteriku. Alhamdulillah selesai saja memberi salam isteriku telah nyenyak tidur.

15 December 2008 kami baru pulang dari berubat. Kata tok bomoh isteri disantau dari kaedah siam. Beliau terus menjampi agar benda itu pulang kembali ketempat asalnya. Setelah kami sampai dirumah isteriku hanya diam tidak bersuara. Hanya matanya liar memerhatikan sekeliling. Aku dapat merasai bahawa ia sedang bertembung debgab barang yang berada didalam badan. Kata tok bomoh orang buat kerja ini nak supaya isteriku hilang akal. Patutlah kadang-kadang dia bertanya kami berada dimana. Ya Allah lindungilah kami dari gangguan iblis dan syaitan serta hasad dengki manusia

Sekian ariman

Wednesday, December 10, 2008

INDAHNYA CIPTAAN TUHAN


Alhamdulillah aku berkesempatan untuk merehatkan minda setelah sekian lama memikirkan perkara yang menimpa kami sekeluarga. Sehingga ke hari ini masih lagi kami dengan masalah kami. Aku tidak mahu terlalu memikirkannya. Aku telah mengambil keputusan untuk ke Kelantan. Rupanya isteriku telah disantau. Bila aku tanya tok bomoh kenapa ada yang mengatakan ia bukan santau sebab dikuku tidak nampak warna biru. Kata tok bomoh tahap itu dah merbahaya. Kini walaupun ia belum pulih sepenuhnya aku bersyukur isteriku tidak lagi meratap sakit dada.


Semasa berada diatas awangan terasa begitu kerdilnya aku disisi tuhan. Bumi Allah terbentang luas.

Ya Allah engkau menjadikan bumi ini begitu indah sekali. Aku dapat merasainya ketika berada diatas dan melihat awan dibawah.




video

Monday, December 01, 2008

Dia masuk kembali - 2

30 November 2008. Pagi itu isteriku merasakan kakinya amat lenguh. Firasat aku mengatakan bahawa makhluk itu telah masuk kembali ke dalam badan isteriku sebab lubang sudah terbuka. Aku dan isteri hanya mampu membaca al mathurat. Alhamdulillah tiada petanda yang isteriku mengantuk atau kepalanya terhoyong hayang tatkala membaca al quran. Selalunya baru baca suku saja dah jatuh kelantai. Kali ini alhamdulillah al mathurat dapat dihabiskan. Cuma masalah batuk masih lagi menguasai isteriku.

Talipon berdering. Anak saudara kepada isteriku meminta izin kepada aku untuk membawa uztaznya untuk melihat samada masih ada lagi atau tidak makhluk ini. Aku mengizinkan asalkan tidak bertentangan dengan syariat. Gurunya merupakan seorang tarekat Shazaliah kalau tidak silap aku. Selepas asar mereka sampai. Aku melihat perubahan pada muka isteriku. Jantungnya berdebar dengan kencang sehinggakan anak gadisku berkata," Ayah, awat jantung mak bergerak kencang". Kataku itu petanda makhluk itu ada lagi dalam badan.

Uztaz itu memulakan membaca ayat quran. Mukanya hanya tersenyum saja sambil memandang isteriku. Tiba-tiba isteriku jatuh pengsan. Sah memang betul tekaanku. Ustaz kata biarkan dia tidur sambil terus membaca sesuatu menunjukkan tangannya kearah isteriku. Tiba-tiba isteriku bangun kembali dan terbatuk dengan teruk sekali. Akhirnya terkeluar muntah yang selama ini membelenggu isteriku. Banyak sungguh. Ia seakan ketul-ketul daging yang hancur. Ustaz berkata," tudia dasyat sungguh depa hantar yangn kuat".

Sambil membaca dia berkata tak apa kita hantar balik kepada tuannya. Kata anak saudara isteri bagaimana kalau depa hantar balik. Kata ustaz yang ni kita kena bagi buah keras. Sambil membuat air panawar isteriku terus minum airnya. Nampak alhamdulillah sebab selama ini hanya batuk kuat saja dan kini muntah telah dikeluarkan. Ustaz bertanya aku jawatan apa yang kami pegang. Aku menjawab aku adalah setiausaha surau dan isteriku hanya ajk surau.

Sambil menggelengkan kepalanya ia berkata tak pa insyaallah dan dia buat air penawar untuk dibuat mandian. Malam itu langsung tidak kedengaran gangguan. Namun semalam kami dapat mendengar benda berjalan diatas bumbung sambil kedengaran anjing menyalak mendayu-dayu didepan rumah. Aku tidak henti-henti memainkan cd bacaan ayat-ayat suci al quran. Suatu perkara yang aku amat bersyukur kepada Allah ialah tatkala isteriku ditimpa musibah, Allah pula menganugerahkan kepadaku kesihatan yang baik. Kalau tidak selalunya akulah yang kerap sakit kaki dan isteriku akan memasak air panas untuk aku rendamkan kakiku kedalamnya. Itulah rutinnya.

Aku pasti semua yang berlaku keatas kami bukan sia-sia. Sebenarnya setiap apa yang Allah bagi akan ada kebaikannya kelak. Kebaikan yang aku dapati ialah ukhwah persahabatan dalam jemaah amat kuat. Dapat satu sms saja ramai yang datang untuk membantu kami. Sebenarnya inilah yang menguatkan semangat kami. Yang tak dapat datang akan menalipon memberi nasihat. Syukur kepada Allah. Pengajaran yang aku dapat ketika bersama dengan masyarakat ialah, jaga lidah, jaga perbuatan dan hurmatilah mereka walaupun mereka tidak sama kefahaman seperti kita.

Kini masyarakat masih lagi mencari aku. kata mereka, " Budiman, dulu surau buat pertandingan nasyid. kini depa nak buat pertandingan menari pula ". Memang betul bila aku pulang kerumah ramai juga yang datang mengadu akan hal ini. Kata mereka budak-budak nasyid banyak yang masuk sehingga terpaksa membuka tudung untuk menunjukkan sanggul. Gembira sungguh ibubapa mereka melihat anak menari diatas pentas. Yang paling aku sedih ialah mereka menjadikan surau lama untuk latihan menari. Surau yang sebelum ini dipenuhi dengan majlis ilmu agama.

Aku hanya dapat mengeluh didalam hati sahaja. Ya Allah kau berikanlah hidayah kepada mereka agar mereka ketahui perkara yang baik. Kau permudahkan kami ajk surau untuk terus memainkan peranan terhadap masyarakat. Kau kuatkan iman kami ketika ramai yang menyuruh kami meninggal surau. Aku cuma nak meminta pandangan dari mereka yang membaca cerita ini perlukah kami melepaskan jawatan kami dalam surau padahal kami sendiri tak boleh meninggalkan surau. Ikutkan hati ini, kami akan terus memikul tanggungjawab disurau walaupun diuji.

Ada yang berkata kepadaku," Budiman hangpa dapat apa bila pegang jawatan di surau. Hang tengok sendiri apa yang jadi dekat isteri hang". Aku berkata, " sebenarnya kami pagang jawatan ini sebab itu adalah amanah dari Allah dan sekurang-kurang bila berada didepan Allah kami boleh menjawab". Dalam hati aku berdoa kepada Allah dan aku amat yakini bahawa Allah tidak sekali akan membiarkan orang yang membesarkan agamanya dianiayai. Apa yang Allah berikan ini ada penawarnya kelak insyaallah.

Sekian ariman
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...