Teman-teman

Tuesday, December 25, 2012

Apo Kono Eh Jang

Pagi-pagi lagi sebelum aku ketempat kerja, aku menerima panggilan talipon dari seorang rakan sekampong.
" Assalamualaikum Budiman. Aku nak bagitau yang kawan kita ....... baru meninggal dunia ".
" Inna lillahiwainna Ilai Hirojiun. Sakit apa ". Balas aku kembali.
" Serangan jantung. Hang tolong bagitau kawan-kawan yang lain ". Katanya. Aku terdiam memikirkan kawan sekampongku yang sewaktu remaja kami dipenuhi dengan aktiviti mengejar hantu penanggal diatas bukit. Kini Allah telah menjemputnya. Ini bermakna aku pun bila-bila masa saja akan di jemput oleh Allah. Aku memberitahu kawan-kawanku seorang demi seorang. Terkejut juga mereka mendengar berita ini. Mereka juga seperti aku berjanji akan forward maklumat ini kepada yang lain. Kadang-kadang kematian ini akan merapatkan kembali hubungan yang sekian lama terpisah. Dengar kata mayat akan disimpan selepas solat asar jadi sempatlah aku pulang dari kerja dan terus solat terakhir buat seorang teman seperjuangan.

Dalam perjalanan ketempat kerja sekali lagi talipon berbunyi. Aku melihat rakan yang sama menalipon. Aku tidak mahu menjawab ketika drive. Nanti tak pasal-pasal timbul macam-macam masalah nanti. Sampai ditempat kerja terus aku call rakan tadi.
" Salam. Ada apa cerita. Confirm ka mayat simpan selepas asar ". Cepat-cepat aku bertanya.
" Ni aku nak bagitau yang kawan kita tu tak mati lagi tapi masih ada di hospital. Hang tolong bagitau balik dekat kawan-kawan yang lain ". Kata rakanku. Aku sudah mula pening. Aku menyemak kembali panggilan di log repot lalu aku hantar sms. Berikut mesej yang aku hantar kepada kawan-kawan.
" Salam. Aku baru dapat maklumat dari ..... mengatakan yang ..... belum meninggal lagi. Maaf banyak-banyak ". Ringkas saja sms aku.

Talipon masuk bertubi-tubi dari kawan-kawan yang menerima sms dari aku. Masing-masing meluahkan rasa pening sebab telah memberitahu rakan-rakan yang lain. Ada yang tinggal di KL, Johor dan Seremban. Semuanya kata hendak pulang untuk ziarah terakhir. Akrabnya persahabatan ini. Dari kecil sehingga dewasa kami bersama. Bila ada kawan-kawan yang berkahwin, kami akan konvoi beramai-ramai dengan motosikal. Indah sungguh ketika itu. Yang paling seronok ialah ketika konvoi beramai-ramai bila kawan kami berkahwin dengan anak saudara penyanyi L. Ramlee. Kebetulan pula aku merupakan peminat L Ramlee. Maka aku dapat berjumpa dengannya di Kuala Muda. Dengan motosikal GP100 dan Yamaha RX-S ketika itu kami berkonvoi mengikut kereta pengantin. Aku membonceng kawan yang dikatakan telah meninggal dunia.

Selepas asar aku menerima panggilan talipon. Juga dari rakanku.
" Salam Budiman. kali ini confirm kawan kita ...... telah meninggal dunia. Aku ada disana tadi. Hang bagitau kembali pada kawan-kawan yang lain ". Aku menerima berita ini dalam keadaan ragu-ragu. Takut berlaku macam awal tadi. Namun bila mengingatkan kembali kata-kata kawanku yang berada disana aku gagahi juga menaip berita kematian lalu kuhantar kepada rakan-rakan yang lain. Jam 11 malam mayat tiba dirumah. Setelah pihak keluarga berbincang dengan pihak kariah, mayat akan disimpan pada 10 pagi. Aku membuka penutup muka rakanku lalu aku sedekahkan Al Fatihah kepadanya. Mengalir airmataku memandang dia merupakan kawan baikku ketika kecil sehingga remaja dan seterusnya berkahwin. Barulah kami membawa haluan masing.

Aku masih ingat semasa aku berada di alam remaja. Ayah banyak menasihati aku agar solat jemaah di masjid
" Budiman...Nanti ikut ayah solat jenazah di masjid. Esok bila dah kawin solat jenazah pun tak tau ". Kata ayah padaku. Aku hanya mengikut saja. Kadang-kadang aku di gelar ustaz oleh rakan-rakan bila kerap ke masjid. Kadang-kadang ayah suruh aku azan. Seronok sungguh aku azan. Ramai juga yang memuji akan kesedapan suara alunan azan aku. Ini membuatkan aku sedikit perasan ketika itu. Ayah pula tersenyum bila anaknya dipuji. Ya la ayah mana yang tidak gembira bila anaknya dipuji oleh masyarakat. Suatu hari aku mengajak rakan aku yang meninggal itu makan mee rebus special. Ketika itu mee rebus baru RM2. Kalau campur dengan telor baru RM2.30. Kalau dengan minuman sekali RM3 pun sudah memadai.
" Aku tak ada duit la Budiman. Hang belanja boleh la ". Kata rakanku.
" Aku pun cukup-cukup ada RM3. Macam ni. Petang ni ada solat jenazah. Jom ikut aku. Nanti dapat RM3. Duit tu kita makan mee la ". Aku memberi cadangan dan cadangan aku diterima pakai.

" Aku tak tau solat jenazah la ". Kata rakanku dengan ikhlas.
" Ala..hang jangan risau. Hang ikut sudah. Senang 2 saja ". Kata aku confident sebab aku sudah tahu. Selepas solat asar aku melihat rakanku dengan baju telok belanganya melangkah masuk kedalam masjid. Selepas selesai solat asar maka jemaah pun beramai-ramai berdiri untuk solat jenazah pula. Aku mengajak rakanku duduk sebelah aku.
" Tak apa...aku tau dah solat jenazah ". Kata rakanku. Aku hanya menganggukkan kepala saja. Tok imam mengangkat takbiratul ihram. Maka makmum yang lain pun mengikut. Masing-masing membaca ayat-ayat al-quran. Selepas itu imam pun berkata " Allahu akbar ".

Tiba-tiba rakanku terus rokok. Apalagi aku terus tidak dapat menahan ketawa dan terus ketawa dengan kuat. Aku cuba menahan ketawa sambil terus melakukan solat. Rakan aku sudah mula tak keruan dengan solat jenazahnya. Nak rokok dan sujud yang membuatkan aku tak dapat menahan ketawa. Selepas selesai berdoa tok imam terus memarahi aku sebab ketawa dengan kuat. Ayah mula meradang dengan aku. Dipanggilnya aku ke satu sudut. Kali ini mungkin aku kena penampar sulong dari ayahku.
" Ayah geram sungguh dengan Budiman. Ayah malu. Pasai apa yang Budiman gelak ". Ayah bertanya
" Diman tak tahan bila kawan Diman rokok ketika tok imam kata Allahu Akbar ". Ketawa juga ayahku mendengar ceritaku.
" Kalau kita ada ilmu, jangan ketawa pada mereka yang baru nak belajar. Janji dia mahu juga datang ke masjid ". Nasihat ayahku. Aku terus memanggil rakanku. Tersengih dia bila melihat aku.
" Kami nak makan mee ayah. Dia tak ada duit. Diman ajakla dia mai masjid. Dapat duit kami boleh makan mee ". Kataku. Ayah tertawa.
" Pandai juga no otak hangpa ". Puji ayah.

Akulah yang paling seronok sebab ayah cuma marah saja dan memang ayah tidak pernah memukul kami. Ayah gertak sahaja nak penampar tapi ayah tidak tergamak melakukannya. Bila tiba dipintu pagar, Tok Siah menyerahkan envelop kepada kami.
" Hang ka yang gelak kuat tadi ". Tanya Tok Siak sambil menghulurkan envelop kepadaku.
" Awat tak gelak pak haji. Kawan saya rokok tadi masa sembahyang jenazah ". Kataku selamba.
" Tak apa. Esok dia pandai la. Hang yang pandai ni kena ajaq dia la. Tok sah dok gelak saja dekat orang lain ". Kena sebiji dari Tok Siak. Kami keluar lalu membuka envelop. Fulamak...RM5. Maka terbayanglah mee rebus special yang berharga RM3.50. Udang besar keliling.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Memori silam masih kekal dalam ingatan walaupun orangnya sudah tiada. Esok lusa entah aku pula akan mengadap tuhan. Rakan-rakan yang lain pula akan mengingati memori silam kami. Aku doakan semoga ruh rakanku ditempatkan bersama para solihin. Semoga Allah terima amal-amalnya. Kenangan silam waktu bersamanya tidak akan aku lupakan. Pusaramu akan tetap aku ziarah dan sudah pasti akan di iringi oleh doa.



7 comments:

Bearcat said...

Innalillahiwainnailaihirajiun.
Kawan Paknjang yang mana yang meninggal.

Konpius sikit...Paknjang peminat L. Ramlee atau L. Ramlee peminat Paknjang? hehehe.

Hajjah Noraini @Nanie said...

Salam Ariff,

Innalillahiwainnailaihirajiun.
Alfatihah.

Ariff Budiman said...

Bearcat
Kawan masa di kampong. Dia berpindah ke Bertam.

Lagi satu...He he silap. Pakjang peminat dia bukan dia peminat pakjang. Kih kih. Dah betulkan. Thx

Ariff Budiman said...

Marina Monroe
Terima kasih akak

insan marhaen said...

Ha..Ha.. Tuan mengingatkan IM pada mak abah dan masjid serta tanah perkuburan di kampung ..hu..hu..

Kakcik Seroja said...

Innalillahhiwainnaialinirojiun...

Iman said...

Salam~
kelakar sungguh gelak-gelak bila baca dengan anak. Kenangan zaman remaja....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...