Dah selesai solat ka sayang!!! Itulah ungkapan kita kepada anak-anak atau orang yang kita sayangi untuk memperingatkan tentang kewajipan bersolat. Solat itu adalah kewajipan dan penawar bagi jiwa insani yang patuh kepada perintah Allah swt.
Solat termaktub dalam rukun islam yang lima dan satu pengiktirafan bagi mereka yang betul-betul beriman dengan rukun iman. Orang yang mengabaikan solat seolah-olah dia telah " menderhaka" terhadap Allah dan Rasulnya. Nabi bersabda:"Solat adalah tiang agama, maka barangsiapa yang menegakkannya bererti ia telah menegakkan agama, dan barangsiapa meninggalkan solat bererti ia telah merosakkan agama".
Apapun kita nak buat, utamakan solat dahulu, barulah segala urusan kita berjalan dengan lancar dan diberkati oleh Allah swt. Ingatlah, bahawa segala amal perbuatan kita, cakap kita, kerjaya kita, rezeki dan nasib kita semuanya ditentukan oleh Allah swt. Utamakanlah Allah dalam hidup kita dan jadikan Al-Quran teman setia anda dalam mencari panduan hidup yang diredhoinya.
Solat, Quran, Zikir dan menghadiri majlis-majlis ilmu islam adalah satu bentuk pengisian rohani untuk membina rasa kasih sayang dengan Allah yang mencipta kita selama ini. Dengan solat jiwa kita menjadi tenang, hidup tidak keluh kesah dan terumbang ambing. Orang yang bersolat dengan ikhlas, khusyuk dan berusaha membina akhlak mulia, hidupnya bahagia walaupun dia miskin dan wajahnya kelihatan berseri dengan cahaya iman.
Kalau kita tidak makan beberapa hari kita akan kelaparan, menjadi kurus dan sakit. Itu cuma kesan dari segi fizikal tubuh badan sahaja. Bayangkan jika kita tidak solat beberapa lama, roh kita akan kelaparan dan menderita, kurus dan sakit sepanjang masa. Hati menjadi tidak damai, gundah gulana, masalah diri dan keluarga bertimpa-timpa. Kita jadi jahil, sesat dalam kehidupan, sombong dan tidak ada rasa cinta dengan islam.
Sabda Nabi: " Barangsiapa memelihara solat, maka ia akan mendapat cahaya, petunjuk keselamatan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang tidak memelihara solat maka ia tidak akan mandapat cahaya petunjuk dan keselamatan. Dan pada hari kiamat ia akan bersama-sama dengan Qarun, Firaun dan Ubai b. Khalaf( munafik di zaman Nabi ).
Sebaik-baik solat ialah ialah bersolat jemaah di masjid, Musolla dan surau, kerana ganjaran dan hikmahnya begitu besar sekali. Jadi marilah kita makmurkan rumah Allah setiap waktu 5 kali sehari di samping kita dapat merapatkan tali silaturrahim sesama umat.
HMT
No comments:
Post a Comment