Teman-teman

Wednesday, June 11, 2008

SELAMAT HARI IBU DAN BAPA

“ Ibu, Ibu engkaulah ratu hatiku “. Itulah ungkapan yang diberikan dalam bait-bait lagu hasil gubahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Betapa agongnya seorang yang bergelar ibu. Rasulullah ketika ditanya sahabat siapa yang perlu ditaati selepas Allah dan rasulnya. Jawab baginda ialah ibu sebanyak 3 kali dan dituruti dengan ayah.

Ayah sewaktu mudanya semasa perang dunia kedua telah dibawa oleh askar Jepun ketempat pembinaan landasan keretapi maut. Ayah sempat melarikan diri dari tahanan dan pulang ke kampong. Kepulangan ayah membuatkan sanak saudara terkejut kerana menyangkakan yang ayah pasti mati disana. Namun perancangan Allah mengatasi segalnya. Ayah pulang tapi dalam keadaan lemah dan berbau busuk akibat kecederaan sewaktu dalam tahanan.. Ayah dipelihara oleh ibu angkat. Ibu angkat ayah kini berusia 100 tahun lebih dan masih lagi hidup namun tidak lagi mengingati apa-apa.

Ayah ditemukan dengan ibu dan melahirkan kami semua. Tugas ayah ialah menjadi kapten kapal. Ayah akan merantau di pelusuk negara. Sebulan sekali ayah akan kembali menjenguk anak-anak. Namun kemesraan tidak ada sebab kami lebih rapat dengan ibu. Ibu yang memegang amanah dari ayah untuk membesarkan anak-anak. Ayah pandai menyesuaikan dirinya dengan anak-anak ketika berjauhan. Kami akan menanti ayah pulang sebulan sekali sebab hari itulah kami akan menikmati segala hidangan yang enak di Padang Kota. Kata ayah kami nak makan apa saja pun boleh. Selepas solat Maghrib kami akan menaiki teksi ke Padang Kota. Aku berlari-lari. Terasa cukup gembira sekali.

Satu hari kami dikejutkan dengan berita ayah ditimpa musibah. Kebanyakan kelasi kapal mati akibat termakan kulat beracun. Namun ayah, Allah masih sayang lagi sebab mempunyai tanggungan anak yang ramai. Ayah lumpuh dan tidak dapat bergerak. Ibu terpaksa mengambil tugas ayah mendidik anak dan menjaga ayah. Bermacam-macam ikhtiar dibuat, namun ayah masih lagi tidak dapat berjalan Namun manusia merancang dan Allah juga merancang dan perancangan Allah mengatasi segalanya. Seorang sinsei cina sanggup mengubati ayah dengan kaedah rawatan akupuntur Alhamdulillah ayah dapat berjalan semula tetapi tidak seperti sediakala. Kaki ayah tidak kuat lagi.

Ayah terpaksa berhenti menjadi kelasi kapal dan membela ayam untuk meneruskan hidup kami. Seronok juga setiap pagi kami akan mengutip telor ayam. Hasil jualan telor ayam kami semua dibesarkan. Setelah kaki ayah kuat sedikit ayah ditawarkan pekerjaan sebagai guru di sekolah pelayaran di Marine’s Club di Padang Kota. Kehidupan kami alhamdulillah nampak sempurna dari biasa. Berkat kesabaran ibu dan ayah akhirnya alhamdulillah, abang telah ditawarkan melanjutkan pelajarannya di Mesir dalam bidang kedoktoran. Ayahlah yang paling gembira menghadapi saat-saat ini.

Pada tahun 2004 ayah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dihadapan anak-anak. Ibu terpaksa meneruskan hidup tanpa ayah. Tapi anak-anak ibu pun dah besar dan kami pula yang menjaga ibu. Baru-baru ini ibu telah dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas sebab terhidu gas semburan ubat nyamuk. Ibu tidak sedarkan diri selama sebulan. Kata doktor kami perlu bersiap sedia menghadapi kenyataan bahawa ibu dalam keadaan tenat sekarang. Bila-bila saja ibu akan tiada. Tapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Ibu kini sembuh seperti sediakala. Namun ibu susah untuk mengingati kembali kisah lama. Ibu menjadi pelupa. Yang melegakan kami semua ialah ibu tidak lupa akan suruhan Allah. Walaupun ibu terpaksa sembahyang sambil duduk. Kami anak-anak dan cucu-cucu ibu berdoa kepada Allah semoga Allah pelihara dan memberi keberkatan kepada ibu dan ayah. Berikut adalah lirik lagu yang di tulis oleh seorang rakan yang telah aku jadikan dalam lagu nasyid.

Ibu yang ku sayangi.

Doakan anakmu

Kini di rantauan jauh sekali

Mencari ilmu untuk bekalan

Mengharungi hidup penuh cabaran

Ibu yang ku sayangi, ku mohon restu mu

Agar meredhoi jalan hidupku

Tanpa restu mu Allah murkai

Tanpa izin mu Allah laknati

Ibu oh ibu jangan kau menangis

Anakmu pergi bukanlah lama

Untuk mengisi ilmu di dada

Jika diizinnya bersua jua

Oh tuhanku syukur nikmatmu

Ku mendapat ibu belainya agong

kasih sayangnya tiada ternilai

Seisi dunia bukan tandingnya

Ibu yang ku sayangi

Kau ibu mithali

Tabah menghadapi hidup berliku

Ayah pun telah lama

Menemui ilahi

Meninggalkan kita

Hidup sendiri

Ya Allah Rahmati ibu

Ya Allah Rahmati ayah

Tempatkan mereka

Dalam syurgamu

Bersama kekasih, kekasihmu Ya Allah

Sekian

ARIMAN

1 comment:

jude said...

hi ariff,

cuma singgah sebentar nak ucap selamat datang ke dunia blogger! wah!.. cukup bagus la cerita nostalgia hang ni....teruskan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...