Hari ini genap 3 hari puasa Ramadhan. Masing-masing dengan cara tersendiri merebut keistimewaan bulan ini. Golongan tua sudah pastinya berbondong-bondong kemasjid dan surau namun masih ada lagi golongan tua yang bersembang kosong dibangku-bangku tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang ke masjid dan surau. Semoga Allah memberi mereka hidayah dan menjadikan mereka golongan yang untung di penghujung usia.
Golongan remaja pula kebanyakkannya suka melepak dan bermain mercun. Bayangkan sebelum 1 Ramadhan sudah berbunyi dentuman mercun. Penjual masih belum peka akan bahayanya mercun. Mereka hanya tahu keuntungan saja. Pernah terjadi disebuah surau dimana imam telah tercampur bacaannya akibat terkejut dentuman mercun dihadapannya. Jemaah yang tidak sabar terus mengejar mereka yang bermain mercun. Malangnya anak mereka sendiri yang ditangkap. Betapa malunya siayah.
Aku ketika berumur 20an selepas solat tarawih sebanyak 8 rakaat, kami berpakat untuk mencari tempat pertapaan hantu penanggal yang dikatakan berasal dari orang yang menuntut ilmu hitam. Tempat sudah dikenal pasti iaitu diatas bukit yang selalu kelihatan benda itu terbang. Berbekalkan lampu suluh dan ayat quran bersaiz kecil, kami seramai 10 orang menongkah bukit mencari tempat tersebut. Kesemua kami sungguh berani sebab kami tahu dibulan Ramadhan iblis semua telah dirantai. Kuliah yang kami dengar kami gunakan untuk menyedapkan hati kami.
Sambil berjalan kami menyanyi lagu raya. Seronok betul sebab lagi 20 hari lagi nak raya. Sebelum ini kalau berjalan sudah pasti semuanya senyap. Mata usah dikatalah. Masing-masing asyik memerhati kalau ada apa-apa yang dilihat. Hampir jam 11 malam kami berada ditengah-tengah bukit. Kelibat tempat persembunyian masih belum kelihatan. Rakan-rakan yang lain mula merungut, " Diman macam mana ni. Tak ada pun tempat tengelong ( penanggal ) ". Akhirnya kami mengambil keputusan berpatah balik.
Sedang kami menuruni anak bukit sambil menyanyi, kami telah disergah oleh suatu suara garau, " Hoi, hangpa buat apa tengah malam ni ". Terkejut kami semua. Apa yang ada semuanya sentot. Apalagi seorang rakanku menjerit, " Hantuuuu..". Bila terdengar perkataan itu bertempiaran kami lari tanpa tahu arahnya, Nasib aku agak malang sebab aku bertembung dengan rakanku sendiri. kami terjatuh berguling hingga kebawah bukit. Sakit usah dikatakan. Rakanku menangis kesakitan. Katanya bahunya patah. Aku pula dapat rasakan yang gigi aku telah patah sebatang. Terasa masin sekali darah.
Tiba-tiba aku melihat ada orang telah menghampiri kami. Padaku inilah dia hantu penanggal. Aku mencari Al-Quran kecil untuk kutunjukkan kepada hantu. Kata orang bila hantu melihat quran dia akan cabut. Namun quran sudah terjatuh. Berpeluh aku menanti kedatangan hantu penaggal. Cahaya lampu suluh diarahkan ke arah aku. " Hang buat apa disini Diman ". Suara garau tadi menegurku. Hairan juga, hantu penanggal tahu nama aku. Apabila hantu itu menghampiri kami barulah aku tahu bahawa suara garau itu ialah Pakcik Yusuf. Dia ditugaskan menjaga kebun.
Kami berdua dipimpin ke pondoknya. Sempat juga kami minum kopi panas. Pak Yusuf menceritakan bahawa memang ada hantu penanggal dikawasan ini tetapi pada bulan Ramadhan tidak kelihatan. Dia menyuluh sebuah pondok yang hampir runtuh yang dikatakan tempat pertapaan mereka yang mempelajari ilmu hitam. Pak Yusuf juga menceritakan bahawa banyak perkara pelik berlaku semasa dia bertugas disini. Anjing berkepala dua. Perempuan tua. Yang paling menarik minat aku ialah bila Pak Yusuf berkata dia berjumpa dengan Panglima Hitam.
Aku ternganga mendengar ceritanya. Bagiku Pak Yusuf bukan orang sebarangan. Tugasnya jauh dari kawasan perkampungan. Seorang diri diatas bukit. Ceritanya panglima hitam orangnya tegap. Pertuturannya teratur dan gerak langkahnya menampakkan kependekarannya. Pak Yusuf menasihatkan kami agar pulang saja kerumah. Setelah melihat tulang bahu rakanku yang patah dia membaca sesuatu lalu mengangkat tangan rakanku. Terdengar seperti tulang patah. Akhirnya tulang bahu rakanku pulih.
Kami pulang kerumah. Aku keletihan dan terjaga hampir jam 10 pagi. Sahur aku terlepas. Subuh aku juga lingkup. Ayah memarahi aku sebab meninggalkan fardhu subuh. Akhirnya aku mengambil wuduk lalu sembahyang kadha. Aku pergi berjumpa Pak Yusuf untuk mendengar cerita tentang semalam. Pak Yusuf menyangkal bahawa dia berada di atas bukit. Isterinya juga berkata demikian. Semalaman Pak Yusuf berada dirumah. Aku berjumpa dengan rakanku yang lain. Hebuh juga tentang cerita Pak Yusuf. Jadi siapa sebenarnya Pak Yusuf. Selepas kejadian itu kami takut untuk mendaki bukit itu lagi. Bukit itu masih tersergam indah sehingga kini. Ia masih menyimpan misteri Pak Yusuf yang bersuara garau. Percaya atau tidak...Percayalah.
3 comments:
saya pun dok ternganga dgn cite nih
percaya..saya percaya..makhluk halus dab benda2 ghaib mcm ni mmg wujud...mungkin juga yg en. diman tu jumpa jin islam...
ayaq kopi yang pak yusuf jamu kat paknjang tu apalah gamaknya...eee minyak itam apa hehe.
Post a Comment