Teman-teman

Tuesday, March 12, 2013

Menolong Projek Isteri

Sudah beberapa kali isteriku menyuarakan yang dia ingin menanam semula pokok pandan dan pokok kari yang sudah kelihatan layu dan lesu. Masalah utamanya ialah mendapatkan tanah bakar. Aku hanya mendiamkan diri saja apa yang disuarakan olehnya sebab aku tahu akulah orangnya yang perlu membuat kesemua kerja-kerja itu. Bila aku diam terus niat untuk projeknya tergendala. Kelmarin awal-awal pagi lagi aku beritahu isteriku yang sebelah petangnya aku mengajaknya kerumah ibu mertuaku untuk mengambil tanah bakar.


Nampak wajahnya girang memandangkan aku akan menolongnya. Pkl 6 petang kami kerumah ibu mertua yang tinggal berdekatan dengan rumah baruku. Tertawa ibu mertuaku bila diberitahu yang aku hendak mengambil tanah bakar. Terus aku mengambil cangkul dan mengajak isteriku ke belakang rumah. Nasib baiklah tanah bakarnya masih lembut. Begitu senang aku mengcangkul dan isteriku memasukkan kedalan beg plastik.



Selesai memasukkan tanah kedalam beg plastik maka aku mengajaknya mengambil daun pandan yang begitu banyak di belakang rumah kakak iparku. Cukuplah 3 pokok pandan. Insyaallah kalau hidup segar dan rajin siram maka akan membesarlah ia.


Kami kebelakang ibu mertuaku sekali lagi untuk mengambil anak pokok kari. Memang banyak. Kata ibu mertuaku kalau nak mengambil anaknya mesti menggunakan cangkul dan mengambil dengan akar-akarnya sekali. Kalau boleh akarnya jangan putus untuk memudahkan ia tumbuh dengan segar. Nampak berpuas hati benar isteriku dengan projeknya. Aku mengajaknya pulang untuk menanam pokok yang diambil.


Terus daun pandan dimasukkan kedalam foam dan dimasukkan tanah bakar didalamnya. Isteriku berdoa semoga pokoknya tumbuh dengan segar. Aku mengaminkan sambil tersenyum melihat gelagat isteriku. Aku tahu dia begitu suka sekali.


Aku mengubah pokok kari yang lama lalu memasukkan tanah bakar yang baru. Selepas itu isteriku menyiram kedua-dua pokok dengan harapan ia akan tumbuh dengan segar.
" Terima kasih bang sebab tolong Nah ". Kata isteriku yang nampak begitu seronok sekali. Aku dapat merasai akan keseronokannya.


Moga-moga pokoknya akan hidup dengan segar dan ia akan menjadikan kenangan buat kami berdua sebab inilah kali pertama aku membantunya menanam pokok. Aku juga berjanji yang aku akan membuat rak untuk meletakkan pila pasu bunga di atas rak tersebut. Moga Allah memberiku kekuatan untuk melakukannya. Sudah lama tak bertukang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...