Teman-teman

Friday, July 10, 2009

Berjalan Diatas Titian Siratul Mustaqim

Aku merupakan seorang remaja yang tidak nakal. Aku patuh kepada kedua-dua orang tuaku walaupun kadangkala pernah aku membuat mereka marah. Namun sebagai seorang ayah dan ibu mereka begitu sabar mendidik kerenah anak-anak. Ayah mendidik aku tentang solat. Dari tadika lagi aku telah diasuh dengan solat dan sekali sekal ayah membawa ke masjid. Bila aku meningkat dewasa solat tak pernah aku miss. Yang menjadi keberatanku ialah kuliah-kuliah agama. Memang aku tak suka mendengar. Aku lebih suka dengan memetik gitar dan menyanyi di tepi jalan bersama rakan-rakan.

Kalau ada yang mengajak aku kesurau atau masjid, dengan cepat aku menolak. Ayah menyedari akan perkara ini. Dimarahinya aku tetapi tidak meninggalkan bekas langsung. Aku masih ingat tatkala ayah gagal mengawal tingkahku dan aku semakin hanyut dengan dunia muzik. Yang hairan solat masih tetap aku lakukan. Ayah pada hari itu mengajak aku menonton wayang gambar yang bertajuk Ratapan Si Anak Tiri yang dibintangi oleh Aktor Rano Karno. Aku begitu tersentuh dengan cerita itu sehinggakan aku menangis teresak- esak didalam panggung wayang.

Ayah mengharapkan bila aku selesai menonton wayang gambar, sikap aku akan berubah. Sayang aku masih tetap dengan dunia muziku. Betapa malunya ayah. Masyarakat mula berbunyi, ayah seorang bilal anak menjadi pelesit dengan muzik. Tohmahan masyarakat tidak menggentarkan aku. Aku menjadi lebih berani dengan muzik. Viola, gitar dan belajar chord semua aku boleh buat. Satu saja yang aku tak boleh ialah mendengar kuliah agama. Ayah tak tahu macam mana nak buat hinggalah suatu waktu abangku pulang dari Mesir dan memulakan sesi kuliah dan ceramahnya.

Aku tidak hairan dengan perkara ini. Bagi aku abang aku dengan dunianya dan aku dengan dunia aku. Dari mulut ke mulut berbunyi dengan kuat, ayah bilal anak seorang lagi ustaz dan seorang lagi rockers tepi jalan. Semua kata-kata ini membuat perasaan aku bertambah benci dengan kuliah agama. Aku berhenti berjumpa dengan rakan-rakan ditepi jalan tetapi aku mainkan muzik dirumah dengan amat kuat sekali. Aku tidak menghiraukan abangku atau ayahku. Bagiku muzik tidak dapat aku pisahkan dari jiwa ini. Kini aku benci terhadap abang aku sendiri. Emak menangis melihat aku enggan mendengar kuliah agama. Akibat terpaksa apabila melihat airmata emak aku pergi juga mendengar kuliah. Jiwa aku sungguh menyampah mendengar kuliah agama. Bagi aku cepatlah habis kuliah dan aku akan pulang.

Suatu malam aku bermimpi ketika sedang memetik gitar bersama kawan-kawan. Sedang asyik memetik gitar kami melihat langit menjadi hitam. Bumi bergegar dengan kuat. Aku melihat bukit yang berada dihadapan kami beterbangan. Cahaya terang dari langit terus menghentam bumi. Kami berlari ketakutan dan akhirnya aku tewas apabila kayu terjatuh diatas aku. Sedar- sedar aku sedang berada disuatu tempat yang amat luas. Jauh dihadapan aku melihat gaung yang dalam. Terasa amat panas sekali. Sekejap terlihat api naik keatas. Aku memanggil akan emak, ayah dan abang. Namun tiada siapa yang menyahutnya.

Aku terdengar suara menyuruh aku berjalan. Tapi aku tidak dapat melihat jambatan dihadapan. Apabila meneliti dengan betul-betul dibawah terlihat seutas tali yang begitu halus. Sekali pandang memang tidak nampak. Aku berjalan dengan perlahan takut terjatuh didalam gaung yang penuh dengan api. Terasa amat panas sekali. Kenapa begitu jauh untuk aku sampai kesebelah sana. Tiba-tiba aku tergelincir dan jatuh kebawah. Aku menjerit takut dan akhirnya aku dapat mencapai ranting kayu. Aku terkapai- kapai mencari orang yang dapat menolongku. Aku menangis memanggil emak, ayah, abang. Diman akan mendengar kuliah dan tinggalkan muzik. Aku menangis teresak - esak sehinggalah aku dikejutkan oleh emak.

Emak terkejut melihat badan aku berpeluh seolah-olahnya baru selesai bersukan. Aku tidak menceritakan apa yang aku mimpikan. Aku terus mengambil air sembahyang untuk ke masjid dan kebetulan hari itu merupakan hari abang aku mengadakan kuliah tafsirnya. Aku duduk dihadapan sekali untuk mendengar kuliah. Rakan - rakan yang lain hanya memerhatikan aku. Pada mereka apa yang menyebabkan aku mendengar kuliah. Entah kenapa apabila aku mendengar kuliah aku dapat merasai betapa tenangnya fikiranku. Tatkala aku sujud aku dapat merasai aku begitu hampir dengan yang maha esa. Sujud yang akhir aku memohon ampun kepada Allah kerana memandang remeh kuliah agama.

Akhirnya aku sendiri tidak dapat pisahkan lagi dengan kuliah agama. Aku mengambil keputusan membakar kesemua piring hitam yang aku miliki. Kelihatan asap hitam begitu tebal. Rakan-rakan seperjuanganku merasakan bahawa aku telah menjadi mereng dengan membakar kesemua piring hitamku. Padaku biarkan pandangan mereka. Aku tahu apa yang aku lakukan dan aku takut andaikata mimpi yang aku alami benar-benar terjadi terhadap diriku. Sehingga hari ini aku masih tidak dapat melupakan peristiwa dan gambaran didalam mimpiku. Semoga Allah terus memberi hidayah kepadaku, anak-anakku dan kepada mereka yang membaca kisah ini.

5 comments:

a kl citizen said...

alhamdulillah... berkat doa ayah dan ibu lah tu

maiyah said...

sesungguhnya Allah memberi petunjuk pada hambanya dan membuka hati orang2 yang dikehendaki.. Alhamdulullah

insan marhaen said...

Sungai boleh kita ubah laluannya dengan tangan. Tetapi mengubah hati hanya Tuhan yang mampu...

muhdabdrazak said...

Hidayah Allah datang dalam berbagai bentuk. Alhamdulillah. Moral dalam kisah hidup saudara ialah kita sebagai ibubapa jangan putus asa moendoakan keatas anak2.

zai said...

Saya pun pernah bermimpi seakan dunia akan kiamat, manusia lari bertempiaran, lahar spt gunung merapi keluar membuak2 dari tanah yg merekah..saya juga berlari kesana kemari mencari tmpt perlindungan dan menangis dan merayu kepada Allah memohon keampunan dan kemudian tenggelam timbul dalam lautan yg maha luas tapi akhirnya terselamat apabila ada satu tangan yg menyambutnya dan terasa dibawa naik kapal melihat sekeliling dipenuhi api dan manusia2 yg merintih2 kena disiksa..bila terjaga baru tahu aku bermimpi rupanya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...