Teman-teman

Friday, December 04, 2009

SEMENTARA KU MASIH BERNAFAS (3)

Salam. Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat, 27 Nov 2009. Aku menyampaikan khutbah Aidiladha di Masjid Jelutong. Selepas itu anak-anak buahku bertanya sama ada aku akan melaksanakan solat Jumaat ataupun tidak. Aku berkata kepada mereka bahawa, pertama sekali, pendirian kita dalam apa-apa perkara pun perlu merujuk kepada dalil dan syariat. Dalil tentang solat Jumaat adalah berdasarkan al-Quran dalam surah Jumuah ayat 9, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah jual beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Justeru, mazhab Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan bahawa kewajipan melaksanakan solat Jumaat tidak terangkat dengan perlaksanaan solat hari raya. Hal ini disebabkan perintah tentangnya adalah berdasarkan al-Quran dan perintah daripada al-Quran mengatasi segala-galanya. Namun mazhab Syafi'i dan Hambali mempunyai pandangan yang berbeza mengambil kira beberapa riwayat hadis berkaitan dengannya. Antaranya, nabi bersabda, “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya. Sesiapa (bersolat hari raya) dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”. (Riwayat Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tauhid) 10/272 dll) Hadisnya sahih.

Dalam riwayat yang lain, dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah menyaksikan Muawiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari Eid dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?" Dia menjawab: "Ya." Muawiyah bertanya: "Lalu apa yang baginda kerjakan?" Dia menjawab: "Baginda mengerjakan solat Eid, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: "Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat." (Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab as-Solah, hadis no: 904).

Justeru, mazhab Hambali menetapkan mereka yang telah melaksanakan solat Eid tidak wajib melaksanakan solat Jumaat. Bagi mazhab Syafi'i, pengecualian bersolat Jumaat hanya diberikan kepada mereka yang telah melaksanakan solat Eid dan datang dari daerah pedalaman. Antara hadis yang diutarakan ialah yang bermaksud, "Pada hari ini kita menyambut dua sambutan hari raya (Eid dan Jumaat). Maka sesiapa yang tidak mahu melaksanakan solat Jumaat maka silakanlah tetapi kami tetap akan melaksanakannya." Hadis ini pada dasarnya bertaraf Mursal (sanad terputus) tetapi selepas dikaji riwayatnya dari pelbagai sanad Imam Ibn Hajar mengatakan hadis ini boleh diterima sebagai hujah. Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan Saidina Uthman bin Affan yang mengizinkan umat Islam dari perkampungan 'Aliyah (sebuah kampung berdekatan Madinah) untuk tidak melaksanakan solat Jumaat.

"Jadi Dr Danial sendiri bersolat Jumaat ataupun tidak?" anak-anak buahku bertanya.
"Saya akan bersolat Jumaat disebabkan, pertama, isu ini adalah isu khilafiah atau ranting dan bukan perkara pokok. Kedua, dalam kes-kes ranting seperti ini saya memilih pendapat yang lebih menguntungkan Islam serta dakwah, dapat bersama-sama dengan masyarakat, dan pada ketika yang sama mampu mengurangkan kekeliruan." Begitulah jawapanku kepada mereka.

Inilah pendirianku selama ini. Inilah juga kaedah yang aku gunakan ketika menjadi Timbalan Pengerusi Qaryah Sungai Ara selama 6 tahun (1990-1996) dan Pengerusi Qaryah selama 4 tahun (1996-2000). Aku tidak menghalang pembacaan Yasin malam Jumaat, tidak menghalang Tahlil selepas kematian, bersolat Tarawih-Witir 20-3, dan yang seumpamanya. Malah seringkali aku menghadiri majlis-majlis ini. Pada ketika yang sama aku wujudkan program ilmu untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam berlapikkan nas dan dalil...

Usul 20 tulisan Imam Hasan al-Banna (berlatarbelakangkan al-Quran dan Sunah), banyak mempengaruhiku dalam hal ini. Dalam Usul Ke-6 beliau berkata, "Kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilafiah.." Dalam Usul ke-8 beliau berkata, “Perselisihan fikah dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan dan permusuhan. Setiap orang yang berijtihad akan mendapat pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada salahnya berbincang secara ilmiah berhubung perkara yang diperselisihkan asalkan ia dilakukan dalam suasana kasih sayang demi mencari kebenaran tanpa pertengkaran dan taasub.”

Kemudian dalam Usul Ke-12, ketika membicarakan tentang bidaah, beliau berkata, "Bidaah yang dilakukan dengan menambah atau mengurangkan, atau terikat dengan cara-cara tertentu dalam melakukan ibadat yang mutlak adalah termasuk dalam MASALAH KHILAFIAH. Setiap orang mempunyai pendapat yang tertentu. Tidak menjadi kesalahan mencari hakikat melalui bukti dan dalil."
Memang ada perbezaan antara pendakwah yang memahami usul-usul ini dengan yang tidak memahaminya..

Dari
Dr Danial bin Zainal Abidin ( DD )

__._,_.___

2 comments:

Insan Marhaen said...

Betul ke begitu? Aku baru tau...

maiyah said...

perkongsian yg menafaat buat sy :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...