Aku baru pulang dari kerja. Aku singgah sebentar di farmasi berdekatan untuk membeli panadol. Terasa badan nak demam. Sebelum ia melarat biar aku telan panadol siap-siap. Ketika aku hendak menghidupkan injin motosikal datang seorang wanita cina yang agak berumur.
" Tauke nak minta tolong boleh ka". Aku mengangguk kepala tanda boleh.
" Ini wa ada beli buah. Wa punya cucu mau makan itu mee rebus di kedai melayu. Wa tak ada luit lagi. Tauke lu angkat ini buah, lu kasi sama saya RM2 cukup. Boleh ka".
Aku membuka beg duit lalu ku beri RM2 dekat wanita cina itu tanpa mahu mengambil buah. Tapi wanita itu enggan, sebab katanya dia tidak mahu ambil duit tanpa pertukaran. Aku mengalah lalu aku ambil saja buah itu. Tiba-tiba dia datang kembali lalu meminta lagi RM1. Katanya tauke melayu kata mee sepinggan RM3. Aku beri saja duit pada wanita itu.
"Tauke manyak terima kasih. Moga tuhan ala kasi you baik". Aku menjawab insyaallah. Aku pulang dan menukar dengan kereta. Ketika menaiki kereta bersama anak, aku berhenti di lampu isyarat. Terlihat pasangan suami isteri sedang bergurau diatas motor. Aku dan anak hanya memerhati gelagat mereka. Masing-masing diam dengan fikiran yang berlainan.
Ya aku mencemburui mereka. Tapi cemburuku bukan untuk menghancurkan pasangan itu. Pernah aku dan isteri bergurau diatas motor. Kata isteriku, " Abang makin gemuk, Siti nak peluk pun tak boleh. Ni kena diet. Dr pesan suruh makan serupa orang miskin". Aku hanya tertawa saja dengan kata-kata isteriku. Selang beberapa minggu katanya dia sudah boleh memeluk pinggangku. Maknanya dah kurus.
Aku tersentak dengan lagu Ibu Mithali nyanyian kumpulan Rabbani. Mendayu sungguh lagu itu. Kejap-kejap anakku menyapu air matanya. Aku membiarkan saja. Silap hari bulan aku pula yang akan meleleh air mata. Aku teringat akan kata-kata blogger Jendela Hati suatu ketika dahulu," Jiman kalau kamu dengar lagu Ibu Mithali tentu kamu menangis". Aku terus berdoa dalam hati, " Ya Allah andaikata tadi aku telah melakukan kebaikan, aku sedekah kebaikan itu kepada ayahku, ayah mertuaku dan isteriku. Semoga kau terima amal-amal mereka Ya Allah". Dan aku juga menyapu air mataku bila mendengar akan lagu itu.
1 comment:
saya pulak x boleh dengar lagu 'ibu ' nyanyian kumpulan budak2 kecik Aeman tuh..mesti meleleh air mata...syahdu btul...
Post a Comment