Teman-teman

Monday, March 30, 2009

Tarian Breakdance VS Silat

Pada Sabtu malam yang lepas di TV3 ditayangkan sebuah drama yang mengisahkan tentang bagaimana seorang bapa hendak menyiasat penglibatan anaknya lalu terpaksa dia sendiri melibatkan dirinya dengan budak rempit. Aku tersenyum sendirian bila melihat akan cerita ini. bukan apa sebab jalan cerita macam yang aku pernah lalui. ketawa juga anakku. katanya sebiji macam stail ayah.

Ceritanya begini. Persatuan Bolasepak akan mengadakan majlis makan malam sempena menyambut kemerdekaan dan aku telah diberi tanggungjawab untuk membuat persembahan yang melibatkan budak-budak remaja. Kata mereka elok juga aku sebagai Setiausaha surau dapat juga membimbing remaja. Pening juga aku memikirkan bagaimana aku nak tackle budak-budak ni yang kebanyakannya ialah dari kalangan anak terbiar dan penagih ganja. Setiap kali selepas solat aku berdoa agar Allah permudahkan segala urusanku.

Entah kenapa pada malam itu aku dapat merasakan bahawa masanya telah tiba untuk mendekati mereka. Selesai solat isyak aku menghampiri mereka. " Assalamualaikum bang ". Salah seorang dari mereka memberi salam. Cantik mereka telah mendahului aku. " Waalaikumus salam. Boleh abang duduk ". Aku bersalaman dengan mereka. Nampak mereka dapat menerima kedatangan aku. Salah seorang dari mereka sedang memetik gitar. Aku terus meminta agar yang memetik gitar terus memetikkan gitar sambil aku menyanyi. Apa lagi bertempik sorak mereka bila aku menyanyi. Rasa seronok pula. Terasa macam nostalgia lama berulang kembali.

Selesai nyanyian aku bertanya mereka siapa berminat untuk membuat persembahan sempena. semua berminat. Cantik lagi. Aku terus berkata, " Abang bau wangi. Hangpa kena ganja ka. Abang bukan nak marah hangpa. Cuma nak tau betoi ka hangpa kena ganja ". Ketua mereka yang dikenali sebagai Mat Bond terus barkata, " Betoi bang kami kena ganja. Bagaimana abang tau bau ganja ". Terdiam semua bila siketua dah buat pengakuan. "Abang dulu masa baya hangpa pernah tenyeh ganja. Jadi hari-hari bau ganja dan dah mangli. Tapi abang tak hisap sebab ia merosakkan kita ". Terpegun mereka mendengar cerita aku. Dan bermula malam itu 100% mereka dapat menerima aku.

Setelah ditetapkan masa latihan, mereka datang lebih awal dari aku. Orang lain hanya memerhati aku mengapa aku berkawan dengan budak-budak ganja. Ahh biarkan mereka dengan andaian negatif terhadap budak-budak ini. Malam itu aku telah mencipta lagu dikir barat. Baru nak mula latihan dah minta take 5 untuk rehat. Bila time rehat mereka mula menari tarian shuffle yang suka berguling atas lantai. Mereka cabar pula aku buat macam tu. Apalagi aku bangun terus buka bunga silat dan buat sedikit macam tarian tu. kemudian aku melompat dari atas kepala mereka. Terkejut beruk mereka semua tak percaya aku boleh buat macam tu. Nasib baik aku belajar silat. Jadi ada lah sedikit teknik.

Latihan dapat diteruskan. Selesai latihan, aku pulang kerumah. Isteri aku terkejut bila melihat aku berjalan senget sebelah. Setelah mendengar cerita aku kami semua tak dapat lagi menahan ketawa. Sungguh indah malam itu. walaupun aku sakit satu badan tetapi aku rasa seronok dan puas bila anak isteri memberi sokongan yang padu. Ilmu mengurut yang ada pada isteri digunakan untuk memulihkan aku kembali. Terasa segar badan keesokkan hari. Esoknya dia pula tak boleh bangun akibat bisa badan aku dah transfer kebadannya. Terpaksa pula aku membawa berjumpa emak saudara untuk mengurutnya pula.

Setelah latihan dilakukan sebanyak 5 kali. Nampak mantop. Tiba masa untuk membuat persembahan. Salah seorang dari mereka menghampiriku. ' Bang perut saya rasa senak la ".
" Ala biasa la. Dulu masa abang nak buat persembahan pun rasa macam tu ". pujuk aku.Nampak relax sikit. Datang pula vokalis utama, " Bang malam ni saya tak jadi menyanyi. Ni saya bawa pengganti ". Terkejut aku last minit mereka jadi begini. Aku berkata tak pa janji kita buat.
Bila pengerusi majlis menyebut nama kumpulan maka terdengar tepukan gemuruh dari penonton. Siap dibawah mentor mereka saudara Ariff Budiman. Hangpa semua nak tau masa tu hidung aku punya kembang. Astaghrirullah hal azim.

Maka naiklah kesemua mereka. Nak jadi cerita, boleh mereka bergurau sambil menendang rakan-rakan diatas pentas. Ketawa hadirin melihat gelagat mereka. Aku dah mula pening kepala. Kemudian vokalis gantian memegang mic. ' Bang lagu apa nak nyanyi ". Alamak baru nak tanya. Seorang rakan menendang punggung vokalis itu sambil memberitahu nama lagu. Kemudian dia terus menyanyi. Fulamak suara hampehhhhh....Aku kata bedal sudah. lain yang training lain yang jadi. ketawa hadirin bila melihat dan mendengar persembahan mereka.

Selesai persembahan pengerusi majlis memanggil aku naik ke pentas dan meminta para hadirin memberi tepukan sebagai tanda syabas dapat membimbing mereka sehingga boleh naik kepentas walaupun nampak kasar mereka. Terasa lapang sikit bila tak dikutuk. Selesai persembahan aku bertemu mereka dan mengucapkan syabas kerana berjaya membuat persembahan. Seronok tak terhingga mereka. Ada yang berkata nak naik lagi. Datang ketua mereka Mat Bond. " Bang kami nak belajar silat dengan abang boleh ka ".

Aku berkata insyaallah kita berjumpa esok waktu isyak di surau. Keesokkan harinya bila tiba waktu isyak ketua mereka menghampiriku. " Bang, kawan saya tak boleh sembahyang malam ni ". Aku bertanya mengapa. " Bang dia tak mandi hadas lagi ". " Hang macam mana tak mau sembahyang dulu ka ". "Saya pun tak mandi lagi hadas. Rasa-rasa esoklah saya mandi ". Aku berastaghfar didalam hati. Dalam sujud terakhir aku berdoa agar Allah memberi hidayah kepada mereka. Kalau tak semua jangan dilupakan semua.

Selepas seminggu berlalu datang Mat Bond. " Bang saya nak pindah ke Kedah. Rasanya nak hijrah. Kalau saya terus berada di Penang, saya akan terus bergelumang dengan ganja ". Apalagi aku terus memeluknya sambil tersebak dan mendoakan agar Mat Bond diberi hidayah. Sehingga kini aku tidak mendapat berita akan keadaan Mat Bond. Kawan-kawan mereka semuanya sudah berpecah dan masing-masing membawa haluan. Tidak kedengaran lagi mereka dengan ganja. Bila terserempak dengan aku kalau mereka menghisap rokok, mereka akan meletak tangan yang memegang rokok dibelakang. Sekuarang-kurangnya ada juga sikap menghormati orang yang lebih tua. Semoga mereka semua diberi hidayah.

Janganlah kita menjadi orang yang pandai mengutuk tetapi tidak ada rasa nak berbuat sesuatu. Remaja perlukan perhatian. kalau kita terus menghentam, mereka akan terus mencari alternatif lain. Dampingilah anak-anak remaja kita. Semasa tadika kita boleh memeluk dan mencium. kenapa bile mereka meningkat kealam dewasa kita membiarkan saja mereka. Mengapa kita tidak lagi berkawan dengan mereka. Mendengar luahan hati mereka. Pujilah anak-anak walaupun bagi kita apa yang mereka lakukan cuma sedikit tetapi bagi mereka ia satu pujian yang tinggi. Ni pengalaman sebagai bapa yang anak dah meningkat remaja. Kami masih lagi makan semeja walaupun ketiadaan surirumah.

Anak gadis dah balik balik ke kolej. Tinggal aku dengan anak lelaki. Tunggu apa pula keputusan permohonan dan aku telah bersedia untuk tinggal berseorangan.

3 comments:

Unknown said...

Pesan Imam Hanafi :

1.Hormat,sayang dan anggap kanak2 lebih mulia dari diri kita kerana mereka belum berdosa dan sesungguhnya mereka lebih suci dari kita

2.Hormat kepada orang yg lebih tua dari kita kerana sesungguhnya mereka lebih dahulu dari kita dalam melakukan ibadah dan beramal

3.Menyanjungi orang alim dan ulama kerana sesungguhnya ilmu mereka lebih tinggi dari kita,belajarlah dari mereka

4.Malu kepada orang jahil dan kafir kerana sesungguhnya mereka melakukan kesalahan dan maksiat tanpa mengetahui dosanya,sedangkan kita melakukan kesalahan walhal kita tahu akan azabnya

5.Jangan anggap orang yang berdosa lebih jahat dari kita kerana sesungguhnya hidayah milik Allah dan bila-bila masa sahaja Allah akan berikan hidayah kepadanya dan menarik hidayah kita.Mungkin suatu hari nanti dirinya akan lebih mulia disisi Allah daripada kita yg mencercarnya dulu(Nauzubillah)

Ju-Dzahir_Amanda said...

Terharu nye sy baca cite abg ni... memang betul lah, sebijik cam cite otai rempit tu.. Selalunya, kalau niat yang baik akan berhasil yang baik juga.. insyaallah..

scr said...

hehe.....gambate pakjang....chayok2....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...