Teman-teman

Friday, December 18, 2009

Ada Sekeping Nota

Entah semalam aku tidak dapat melelapkan mataku. Ingatanku melayang tentang Siti Aishah. Sudah genap setahun pemergiannya. Hari ini 18 Dis merupakan hari tahun baru bagi umat islam dan ia juga merupakan tarikh pemergian isteriku. Aku menerima banyak mesej dari rakan-rakan mengucapkan salam Maal Hijrah dan doa agar ruh Siti Aishah di berkati Allah. Mereka juga mengucapkan semoga aku berbahagia bersama isteriku Rosnah.Terima kasih kepada kalian yang menghantar sms. Sebenarnya aku sendiri begitu terusik dengan sms ini. Entah kenapa aku merasakan bahawa Siti Aishah baru saja meninggalkan kami semua. Aku masih dapat mendengar ketawanya. Aku masih terbayang senyuman manisnya. Yang paling aku terasa bila terbayang bagaimana sakitnya dia tatkala menerima ujian Allah.

Aku membelek beg yang aku guna semasa pergi berubat di Kelantan. Beg itu masih tidak terusik yang mengandungi baju-baju Siti Aishah. Disebabkan aku akan menggunakannya untuk pergi melancung ke Langkawi, terpaksa aku mengemasnya kembali. Aku mengeluarkan segala apa yang diletakkan didalam beg. Sayu hati ini bila mengeluarkan tudungnya, telekungnya dan alatan lain. Dalam beg itu terselit anvelop. Aku masih ingat aku meminta Siti Aishah memasukkan anvelop itu bersama kedalam beg sebab akan aku gunakannya semasa di Kelantan. Anvelop itu digunakan untuk menulis nama dan alamat yang telah ditugaskan kepadaku mencari dana untuk surau.

Aku membuka kembali anvelop satu persatu. Terkejut aku bila ditengah-tengahnya ada sekeping nota yang membuat aku bercucuran airmata bila membacanya
" Salam abang tersayang. Siti minta maaf banyak-banyak kepada abang kalau abang ada tersinggung perasaan. Halalkan makan minum Siti bang. Terima kasih banyak-banyak kepada abang. Siti cinta abang. Salam sayang dari isterimu Siti Aishah ". Surat yang bertarikh 15 Disember 2008

Ya Allah aku membaca nota ini betul-betul genap setahun pemergiannya. Aku tidak mampu menahan airmata yang berguguran. Aku mengambil wuduk lalu aku solat dua rakaat. Di pagi yang sunyi sepi aku berdoa kepada Allah. Doa yang setiap waktu aku tidak pernah melupakannya
" Ya Allah engkau ampunkan kedua-dua dosa ibubapaku Ya Allah. Ya Allah kau berkatilah isteriku Siti Aishah. Kau tempatkannya bersama para solihin. Dia merupakan isteri yang baik. Sepanjang aku bersamanya selama 23 tahun, tidak pernah aku terguris hati Ya Allah. Kalau ada dosanya walaupun padaku tiada telah aku ampunkan segala dosanya. Ya Allah terlalu rindunya aku terhadap Siti Aishah. Ketemukanlah kami di akhirat Ya Allah. Ya Allah kau berkatilah juga isteriku kini Rosnah. Dia merupakan isteri yang baik yang telah engkau anugerahkan kepadaku selepas ketiadaan Siti Aishah. Kau eratkanlah hati-hati kami Ya Allah. Kau pancarkanlah kasih sayang kepada kami berdua Ya Allah ". Tersedu-sedu aku berdoa kepada Allah. Sayu sesayunya.

Hanya ayat-ayat quran yang mampu aku sedekahkan kepadanya. Kepada kedua-dua anakku. Ingatlah kejayaan anak-anak ayah adalah doa dari seorang emak yang tidak putus-putus berdoa. Janganlah lupa berdoa untuk emak. Hanya doa dari anak yang solehlah akan menjamin ayah dan emak di akhirat kelak. Salam Maal Hijrah kepada pembaca semua. Semoga ujian yang Allah berikan kepada kita semua dapat ditempuhi dengan hati yang tenang dan redho.

6 comments:

IdaAnuar said...

ya allah sedih saya baca entry ni bang...cinta memang sukar untuk di lupakan. alfatihah untuk arwah.dan selama berbahagia abang dgn kak ros..salam untuk keluarga

iBu...gUru said...

moga rohnya dicucuri rahmat dan diberkati Allah. Al-fatihah.

Maiyah said...

sedih.. moga rohnya dicucuri rahmat

Guru said...

assalammualaikum

ameen...ameen....ameen utk doa tersebut

kak ja said...
This comment has been removed by the author.
kak ja said...

Sdr Budiman, saya pernah menonton satu movie, ni, berdasarkan a true story kalau tak salah saya..

Pasangan yg menderita sakit dan hanya menanti masa dijemput pulang meninggalkan nota yg lbhkrg sama mcm tu, di tempat yg paling tak disangka2..

Awal notanya bertulis begini:
Kamu hanya akan menjumpai nota ini pd saat kamu benar2 bersedia (to let go)..

Dan dia segera sedar yg dia sudahpun menemui cinta yg mampu mengganti yg telah pergi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...