Tadi tuan rumah datang dan memberitahu bahawa bulan Januari atau Februari kami terpaksa mencari rumah lain. Sudah berapa buah rumah yang kami survey namun belum tersangkut dihati. Tidak putus-putus aku berdoa kepada Allah agar Allah permudahkan segala urusan kami. Aku cukup terasa sebab selama ini aku menyangkakan yang bab rumah telah selesai setelah aku membeli rumah dan hidup bersama arwah Siti Aishah. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Tatkala aku bersendirian aku terbayang bagaimana gembiranya isteriku Siti Aishah setelah kami mempunyai rumah. Katanya biarlah sederhana tetapi dia dapat bersama denganku. Akhirnya setelah memperolehi rumah tersebut telah berakhir titik hitam dalam hidup kami berdua. Kini rumah itu menjadi kenangan buat kami berdua. Itulah harta sepencarian kami.
Isteriku tidak putus-putus bertanya kepada pelanggan yang datang membeli roti canai. Banyak respon yang diberi kepada isteriku namun setelah melihat sendiri rumah tersebut hati tidak merasa tenang. Jadi terpaksa mencari yang lain. Masa inilah aku teringat yang sahabat arwah Siti Aishah sedang berada di Mekah untuk menunaikan fardhu haji. Aku menghantar sms kepadanya meminta agar dia dapat berdoa bila berada ditempat yang mustajab doanya. Doanya agar Allah permudahkan segala urusan kami untuk membeli rumah baru. Aku mengambil langkah ini sebab semasa aku berada di Mekah ketika menunaikan umrah banyak aku menerima sms dari jiran-jiran agar tolong berdoa untuk keluarga mereka. Paling terkesan dalam hidup aku ialah bila anaknya meminta agar mendoakan untuk ayahnya yang sedang nazak. Kalau sudah sampai ajalnya biarlah matinya dalam bihusnil khatimah. Kalau dipanjangkan umurnya sihatkanlah ayahnya. Aku berdoa betul-betul di Raudah dan didepan pintu kaabah. Akhirnya dengan kehendak Allah jua ayahnya sihat dan dapat kembali menunaikan solat berjemaah. Ketika aku berjumpa dengan pakcik tersebut kami berpelukan. Menangis pakcik tersebut mengucapkan ribuan terima kasih kepadaku kerana tolong berdoa.
Kedua ialah seorang makcik meminta agar Allah melembutkan hati cucunya agar dapat menerima pinangan dari seoranmg pemuda yang baik. Berdoa aku juga di Raudah dan belakang makam Ibrahim dan akhirnya dengan izin Allah jua cucunya telah diijab kabul dengan pemuda tersebut. Aku juga masih ingat tatkala ibuku koma akibat terhidu semburan ubat nyamuk. Aku dan Siti Aishah mendapat berita dari doktor bahawa kemungkinan ibuku tidak dapat diselamatkan. Doktor meminta aku memberitahu kaum keluarga akan hal ini. Menangis arwah Siti Aishah mengenangkan nasib yang diterima oleh ibu mertuanya. Aku meminta agar adik dan kakak ipar aku yang berada di Mekah ketika itu untuk menunaikan fardhu haji agar tolong berdoa agar Allah meringankan bebanan ibu kami. Tidak putus-putus mereka berdoa disana dan akhirnya dengan izin Allah jua ibuku dipanjangkan umurnya sehingga kini. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Menantu kesayangannya pula yang tiada. Semua itu hanya tinggal kenangan sahaja buat aku.
Kini aku pula mengharapkan bantuan dari kawan-kawan yang berada disana agar tolong berdoa agar kami dapat membeli rumah yang mampu dimiliki. Aku juga berdoa kepada Allah yang aku tidak menyalahkan takdir. Aku terima segala dugaan ini dengan hati yang tenang walaupun ada masa tertentu aku amat merindui suasana yang sebelumnya tetapi aku tidak dapat memutarkan masa yang telah lalu. Kini aku berada dialam yang baru iaitu alam yang penuh dengan cubaan dan dugaan. Selagi kita bernafas selagi itu dugaan pasti kita tempuhi. Ya Allah kau berikanlah dugaan yang mampu kami tempuh Ya Allah. Terlalu perit aku merasakan dugaan yang lepas walaupun aku tahu bahawa ada sinarnya yang menanti tetapi sehingga kini aku masih terasa yang arwah isteriku Siti Aishah telah mengorbankan nyawanya untuk kebahgiaanku. Semoga Allah tempatkannya bersama para soloihin.
No comments:
Post a Comment