Teman-teman

Wednesday, April 13, 2011

Syukur Dan Tahniah Anakku

Aku menerima berita dari anak gadisku yang mengatakan bahawa dia akan mendapat Diplomanya pada 30 April 2011 di MSU Shah Alam. Hati ibubapa mana yang tidak gembira dengan berita ini. Aku berkata kepada anakku yang betapa ayah gembira tetapi dalam masa yang sama ayah terasa sedih kerana emak tidak dapat merasai kesemua ini. Setelah anakku mendapat keputusan SPM dia mengisi borang untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi namun gagal atas sebab keputusannya tidak berapa baik kalau dibandingkan dengan orang lain. Aku meminta anakku bersabar dengan ujian ini. Mungkin Allah sedang menguji.

Kecewa anakku dengan berita itu. Dipohonnya Diploma Jururawat dan akhirnya dipanggil untuk temuduga di kelantan. Bergegas kami kesana namun sehingga kini tiada surat jawapan hasil dari temuduga. Arwah emaknya sering berdoa agar Allah bukakan pintu rezeki kepada anakku yang ingin terus belajar. Akhirnya sedang menonton tv anakku beritahu yang iklan dari kolej swasta tentang Diploma Makmal Perubatan yang dia begitu minati. Keesokkan harinya kami bergegas ke Kolej PTPL Sungai Petani. Anakku di temuduga dan akhirnya rezekinya tetap ada. Beliau diterima untuk memasuki bidang yang diminatinya.

Setiap minggu andaikata emaknya rindu kami akan ke Sungai Petani dan makan-makan. kerapnya kami lebih banyak makan di Sungai Petani sebab biarlah anak-anak juga merasainya. Selang beberapa bulan setiap pelajar telah ditawarkan pinjaman PTPN. Anakku turut memohon namun gagal sebab dalam surat mengatakan tidak cukup syarat kreditnya padahal memang anakku telah memenuhi syaratnya. Menangis anakku sebab rakan-rakan yang telah berjaya menikmati duitnya. Kami terpaksa membayar setiap bulan sebab tidak mendapat pinjaman PTPN. Kata emaknya, " Insyaallah kakak cuma belajar. Tentang wang ayah dan emak akan berusaha ". Tenang anakku seketika. Tapi itulah rezeki yang Allah berikan tidak putus-putus. Isteriku mendapat upah menjahit baju agak lumayan juga dan wang itulah digunakan untuk bayaran bulanan yuran pengajian anakku.

Anakku memohon sekali lagi pinjaman PTPN. Bila samapi jawapan tetap sama. Tidak memenuhi syaratnya. Aku menalipon terus ke pejabat PTPN. Maklumat yang aku berikan kepada mereka dan kata mereka anakku telah cukup syaratnya. Jadi dimana silapnya. Anakku disuruh kembali memohon dan ini merupakan permohonan kali yang ketiga. Akhirnya jawapannya tetap sama bila surat diterima. Mengagis anakku terlalu kecewa dan kami mengambil keputusan yang yuran bulanan kami akan membayarnya. Siang dan malam isteriku tidak putus-putus menjahit baju. Kadang-kadang aku menemaninya sehingga subuh kalau tidak bekerja. Selepas subuh baru kami tidur. Aku berkata kepada anakku, ' kakak.. kita telah berusaha sebanyak 3 kali namun tetap gagal. Mungklin Allah sedang merancang sesuatu untuk kakak. Ayah begitu yakin ".

Akhirnya atas keprihatinan pensyarahnya, anakku di minta untuk memohon dari MARA. Seperti apa yang aku yakini akhirnya anakku berjaya mendapat pinjaman dari MARA. Gembira sungguh anakku. Kami sebagai ibubapa amat bersyukur kepada Allah. Namun ketika anakku mengambil peperiksaan terakhirnya ibunya telah koma dan berada di dalam ICU. Setelah diberitahu dan setelah selesai peperiksaan anakku bergegas pulang namun sudah terlewat untuknya. Ibunya pergi dahulu meninggalkan anak-anaknya yang masih memerlukan kasih sayang. Menangis anakku sambil memegang tangan emaknya yang telah kaku. " Emak...kakak minta maaf tak sempat jenguk mak ". Berkali-kali anakku mengulangi perkataan itu. Aku hanya mampu menangis melihat perilaku anak gadisku.

Dan kini anakku akan mendapat Diploma Makmal Perubatan yang diminatinya. Inilah hasil pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertegang mata demi kejayaan anak-anaknya. Aku amat terkesan dengan lagu dari Jamal Abdillah, " kasihnya ibu..membawa kesyurga... ". Setiap kali mendengarnya pasti airmata mengalir. Entahla......

Monday, April 11, 2011

Inilah KisahKu

Pagi-pagi lagi aku keluar bersama isteri menuju ke destinasi yang berlainan. Hari ini aku ditugaskan ke Parit Buntar. Aku sudah berkira kalau kesini bermakna aku akan bersarapan pagi di Parit Buntar. Sudah lama aku tidak merasai mee kicap pedas tapi aku harus kegerai isteriku dulu. Sebelum nak pergi nak tengoklah dulu muka isteri. " Abang nak makan roti telor ka. Lama abang tak makan ". Pula dah isteriku sudah pelawa. Memang agak lama aku tak makan roti telor. Aku bangga dengannya sebab dari tepung menjadi bebola. Dari bebola menjadi sekeping roti canai. Semuanya dibuat sendiri. Sebab itu customer ramai yang suka. Setiap hari sebanyak 140 keping terjual. Kesian pula kalau aku tak makan. Jadi aku pun order sekeping roti telor dari isteriku. Sekejap saja udah siap.

Setelah makan roti telor aku minta diri dari isteri untuk ke Parit Buntar. Dengan senyuman dia melambai tangan padaku. Setelah membawa kereta selama 40 minit maka sampailah aku di Parit Buntar. Alhamdulillah ada juga rezeki nak merasai mee kicap pedas. Berpeluh-peluh aku menikmati mee kicap pedas. Tengah asyik makan isteriku talipon. " Kenapa suara abang Nah dengar semacam penat. Abang tak sihat ke ". Risau isteriku mendengar suara aku. Bukan aku penat tapi menahan kepedasan mee kicap. " Tak-tak abang tak penat. Cuma pedas tengah dok makan mee kicap pedas ". Oh..oh aku tersilap cakap. " Ya Allah abang makan mee ka. lututbaru saja baik ". Terdiam aku bila isteri sudah marah. " Semoga abang tak sakit kaki selepas makan mee ". Alhamdulillah. Berdoa juga dia untuk aku.

Setelah aku meneruskan perjalanan, sampai juga akhirnya kedestinasi aku. Aku parkir keretaku dilaman sebuah rumah. Sebuah pokok yang sinonim buatku. Ia begitu rendang. Di Penang kami panggil pokok ceri. Buahnya kecil berwarna merah. kata orang buahnya amat baik untuk mereka yang mempunyai penyakit gout. " Buah ni kalau ada yang darah tinggi, gaut dan banyak lagi elok dimakan '. Kata pakcik yang berdekatandenganku . Confirm la tekaan aku tentang buah ini. Cuma tiada research yang menyeluruh tentangnya. Aku kutip dan makan sebelum aku menjalankan tugasku.

Setelah selesai tugasanku disini aku beredar ketempat lain pula. Dalam perjalanan ternampak pula buah durian. Sekilo dijual dengan harga RM3. Aku berhenti kereta dan membeli 2 biji. Durian Perak katanya. Isinya tebal dan wangi pula. 2 biji dijual dengan harga RM18. Ok la tu. Buahnya pula besar. Macam durian kahwin. Isteri aku bila aku beritahu beli buah durian bukan main suka dia. Peminat durian katakan. " Abang balik pukul berapa sebab hari ini Nah masak kari kepala ikan ". Mendengar kari kepala ikan saja perut sudah terasa lapar. Hai baru saja aku makan mee.
Pagi kelmarin aku ke pasar lalu membeli kepala ikan Mayong. Itu sebutan orang Penang la. Ikan ini ada kelempong besar. Aku dari kecil emak suka beli ikan ini. Bila aku dah besar aku mesti mencarinya. " Ok ok abang on the way nak balik ni ". Tak sabarnya rasa hati bila nak balik rumah. Aku buka radio channel Hitz FM. Aku minat dengan siaran ini sebab jenakanya bersahaja dan dikendalikan dalam bahasa inggeris. Hari ini seorang suami meminta agar DJ mengenakan isterinya. lalu DJ pun menalipon wanita tersebut. kata DJ dia dari bank dan mengatakan yang sudah banyak kali wanita tersebut tidak melunaskan pinjaman kereta. Terkejut wanita tersebut sebab katanya setiap bulan dia ada membayar dan resitnya pun ada.

Akhirnya bila DJ mengatakan yang pihak bank tiada rekod yang mengatakan bahawa pinjaman telah dibayar maka menangis wanita tersebut. Dalam sebak sempat juga wanita tersebut bertanya dari mana mereka mendapat nombor talipon bimbitnya sebab dia tidak pernah memberinya kepada pihak bank. Maka berlakulah pertengkaran yang sengaja diadakan oleh DJ. Terhibur juga aku mendengarnya. Akhirnya DJ pun mengalah. katanya dia baru mendapat email dan memberi nama orang yang memberi nombor talipon bimbitnya dan orang itu ialah suaminya. Akhirnya DJ memperkenalkan diri mereka dari Hitz FM dan wanita itu telah terkena.

Menjerit wanita tersebut geram lalu berkata. " Can you please tell my husband yang malam ini dia kena tidur diluar. I tak akan buka pintu bilik. Geramnya i. Dia nak kenakan i. I kenakan dia balik ". Kata-kata wanita itu bukan DJ saja yang tertawa malah aku juga tertawa seorang diri bila membayangkan bagaimana sisuami mengetuk pintu bilik yang telah dikunci. Nasib badan hang la. Gatal sangat nak kenakan isteri. Kan binasa badan. Aku sampai dirumah isteriku sudah sedia menyambutku. Kari kepala ikan terhidang diatas meja. Memang cukup lazat sekali terutama kelempong yang liat. Pembaca semua cubalah rasa kari kepala ikan tapi bukan dirumah aku. Pergi pasar dan belilah.

Saturday, April 09, 2011

Bila Ibu marah-Marah

Ibuku kini berusia 85 tahun. Kudratnya kini semakin hilang. Kadang-kadang bila penat melanda terpaksa dipasang gas. Ibu yang telah membesarkan 7 orang anak sehingga berjaya mengharungi dugaan dunia yang sementara. Bila setiap kali aku ziarah ibu, pasti aku dimarahi sebab datang keseorangan. Setiap kali ayat ini akan keluar dari mulut ibu,
" kenapa tak bawa Aishah. Datang sorang-sorang saja ".
Ingatan ibuku kini semakin merosot. Namun bab solatnya tidak pernah Allah tarik ingatannya.
Baru-baru ini ibuku dilanda penat yang amat sangat. Bibirnya biru sehingga terpaksa memakai oksigen. Aku dan isteriku Rosnah pergi menziarahi ibuku.
" Ini siapa dia ". Tanya ibuku pada isteriku Rosnah. Tersenyum isteriku bila ibuku bertanya demikian.
" Ni lah Rosnah mak. Isteri Budiman ". Begitu ketara ingatan ibuku. Terangguk-angguk kepala bila diperkenalkan isteriku kepadanya.


" Kelmarin Aishah mai ziarah mak. Sorang-sorang saja dia mai ". kata ibuku. Isteriku hanya memandang wajahku sambil tersenyum. Mungkin dia pun faham keadaan ibu mertuanya.
" Aishah kata apa dekat mak ". kataku kepada ibuku.
" Dia tak kata apa-apa. Dia senyum saja dekat mak. Ayah pun mai tengok mak ". Bersungguh ibuku menceritakan kepada kami. Aku hanya mendiamkan diri. Memoriku cepat berputar bila terkenangkan kembali saat-saat aku dan isteriku tinggal bersama ibuku selepas berkahwin. Selama 15 tahun kami bersama ibuku. Aku telah berjanji kepadanya andaikata dapat membeli rumah, kami akan berpindah. Ingin juga kami hidup berdikari.

Siti Aishah yang menolong ibuku memasak. kadang-kadang terdengar mereka bergelak ketawa didapur. Bila ibuku dimasukkan ke wad akibat koma, Siti Aishah menangis takut ibuku pergi meninggalkan kami. Ibuku amat menyayangi akan Siti Aishah. Sebab itulah nama itu tidak pernah hilang dari bibir ibuku walaupun nama cucunya kerap terlupa. kadang-kadang isteriku Rosnah dipanggilnya dengan nama Aishah. Namun siapa dapat melawan takdir Allah. Siti Aishah pergi tak kembali. Pergi dengan meninggalkan kenangan lebih-lebih lagi pada ibuku. Bila berkali-kali ibuku bertanya kenapa tak membawa Aishah datang aku harus berterus terang dengan ibuku.
" Mak Aishah dah meninggal mak. Sebab tu Budiman datang sorang ". Kataku dengan nada perlahan.
" Bila meninggal. Pasai apa mak tak tau ". Sebak ibuku bila mengetahui Siti Aishah sudah meninggal. Ibuku sudah lupa semasa jenazah Siti Aishah sedang dikapankan ibuku berada disisi jenazah.
" Dah 2 tahun Siti Aishah meninggal mak. Budiman pun sudah kahwin dengan Rosnah mak. Mak juga yang merestui perkahwinan kami ". Sebak juga aku ketika itu. Kelihatan airmata jernih mengalir dari pipi ibuku.
" Mak minta maaf sebab sudah lupa ". Sambil memegang tanganku sambil aku turut mengalir airmata...
Semoga Allah tidak hilang ingatan ibuku terhadap Allah. Kepada yang mempunyai ibu. Ziarahlah atau talipon andaikata berjauhan. Kepada yang masih mempunyai isteri, sayangilah isteri anda sebelum dia hilang selama-lamanya dari pandangan anda. Dialah yang telah melahirkan zuriat untuk kita. kepada yang masih mempunyai suami, hurmatilah dan taatilah dia selagi tidak melanggar batas-batas syariat. Kepada kita semua yang mempunyai anak marilah kita didik anak-anak kita agar menjadikan mereka anak-anak yang akan membahagiakan kita diakhirat kelak.

Andaikata kedua-dua ibu bapa telah tiada, kirimkanlah doa untuk mereka. Mereka menanti doa dari anak-anak yang soleh. Jangan kita kedekut untuk berdoa kerana besok kita juga memerlukan doa-doa dari kaum keluarga. Soal Allah terima atau tidak itu kerja Allah. Tugas kita doa.doa dan terus berdoa....

Tetapi haruslah kita ingat andaikata kita menyayangi atau mencintai seseorang tidak semestinya kita memilikinya. Dia milik Allah dan itulah tarbiah buat diriku.....

Gambar Penang

Dalam beribu-ribu pengguna Jambatan Pulau Pinang, aku merupakan salah seorang yang setiap hari pasti melalui jambatan ini. Sudah banyak kisah serta tragedi yang menyayat hati telah aku saksikan di atas jambatan. Peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah bila kemalangan motosikal bertembung dengan kereta. Si isteri menggerakkan si suami yang telah pun kaku. Memang sayu.


Sambil aku melaui jambatan ini andaikata terlihat pemandangan yang indah, akan aku ambil gambar untuk disimpan. Isteriku kadang-kadang menggelengkan kepala bila aku memperlihatkan gambar kepadanya. Dengan kamera yang tidak canggih iaitu kamera talipon bimbit saja aku telah merakamkan banyak gambar.

Jadi hari ini tiada cerita yang hendak aku kogsikan padahal memang ada cuma agak sibuk dengan kerja jadi aku hanya paparkan gambar saja. Inilah gambar Pulau Pinang dari atas jambatan. Selamat melihat dengan cerita yang akan di updatekan

Kepada pembaca yang belum datang lagi ke Penang. Silalah datang. Banyak tempat menarik yang boleh di lawati. Eh wah...macam pemandu pelancung pula....



Thursday, April 07, 2011

Makan Roti Saja Bang

Aku keluar menyusuri isteriku kegerai. Tapi lencunganku kearah yang berbeza. Aku terlebih dahulu kewarung berdekatan rumahku untuk mencari sarapan pagi. Entah kenapa bau nasi kandar begitu wangi sehingga aku hilang pertimbangan dan akhirnya aku beli juga nasi kandar.
" Pagi ni abang makan nasi kandar ke ". Tanya isteriku kehairanan sebab belum pernah aku makan nasi kandar sebelah pagi. Aku hanya terdiam sambil menikmati nasi kandar. " Tengahari ni abang nak makan nasi ke ". Tanya pula isteriku. Aku tahu dia sengaja nak menguji aku ke ni. Aku hanya menggelengkan kepala bermakna tidak. " Cukuplah makan nasi sekali sehari ". Kataku membuatkan isteriku tersenyum. Dia umpama jururawat kepadaku dan aku begitu senang kalau ada orang yang tolong control tabiat pemakanan aku. Siti Aishah dan Rosnah mempunyai perwatakan yang hampir serupa.

" Haa.. Nah tahu apa kita nak makan tengahari ini ". Terfikir juga apa hidangan istimewa dari isteriku tengahari ini. Akhirnya terjawab juga bila dia hangatkan kuah durian. Baunya begitu harum sekali. Akhirnya kami berdua cicah roti benggali dengan kuah durian. Itupun berebut sebab sedap dan panas lagi. Kuag durian juga merupakan makanan kesukaanku semenjak kecil lagi. Mak mertuaku rajin juga membuat lempuk durian dan disimpan didalam peti sejuk. Kalau musiam durian dah habis, aku masih lagi dapat menikmati kuah durian hasil dari lempuk yang dibuat. Sebab itu kadang-kadang aku suka borong buah yang terhem[pas diatas batu. Sebakul besar baru berharga RM10. Adalah dalam 20 biji. Buah itulah yang dibuat lempuk dan disimpan untuk bekalan masa depan. Pandai tak

Kadang-kadang aku ajak rakan-rakan kerumah. Aku order roti jala dan dicicah dengan kuah durian. Berebut beb. Selamat makan semua dan selamat mencuba juga kepada pembaca semua. Orang Singapore kalau teringin datanglah Penang.

Wednesday, April 06, 2011

Jalan-Jalan Ambil Gambar

Hari ini tidak banyak cerita yang hendak dikongsikan sebab aku hanyak memerap dirumah. Nak rest. Setelah aku pulang dari gerai isteri aku mengambil keputusan untuk kesungai. Agak lama aku tak kesana. Inilah tempat aku membesar dan belajar berenang dari sekolah rendah hinggalah kesekolah menengah. Air deras ke atau tidak inilah tempat aku dan kawan-kawan berkubang. Ia berdekatan dengan rumah ibuku.

Aku juga membawa buku dan pen. Untuk apa semua ini. Inilah tempat aku mendapat idea mencipta lagu dan lirik nasyid. Kalau tak silap aku sudah cipta sebanyak 5 buah lagu nasyid. Semuanya lagu syok sendiri untuk kegunaan kumpulan nasyid ku ketika dahulu. Ketika aku duduk diatas batu sendirian idea datang dengan cepat sekali. Tiba-tiba talipon berbunyi mematikan ciptaanku. " Abang tengah tidur ka ni ". Isteriku menalipon. Tak kan aku nak bohong dekat isteri pulak. Tak sanggup rasanya hati. " Tak..abang ada di sungai Tok Keramat ".


Suaraku begitu perlahan sebab aku tahu sudah pasti aku dimarahi. " Haa...abang bukan balik rehat tapi ada di sungai pula ". Terkejut isteriku bila mengetahui dimana aku berada. " Abang balik rehatlah. Lutut abang baru saja sembuh dah merantau jauh. Panjat bukit lagi ". Rayuannya telah mematikan niat aku untuk keatas sungai yang biru airnya. " Tak apa nanti bila selesai abang ambil gambar, abang pulang rehat ". Aku memberi jaminan. Sedang asyik memgambil gambar datang idea lagu maka ceoat-cepat aku rakam suaraku di talipon bimbitku.

Insyaallah akan aku perdengarkan suara sumbangku didalam blog bila siap lagu yang dicipta. Semua ni lagu syok sendiri. Sungai ini banyak nostalgianya. Dari sekolah rendah aku minta emak bungkus nasi dalam daun pisang dan aku akan makan dengan kawan-kawan disungai. kemudian kami akan berendam dalam air sehingga 3 jam membuatkan seluruh apa yang ada pada kami semuanya menjadi kecut he he. Sekolah menengah juga sama. Bila pulang dari sekolah aku pasti kesungai dulu. Bila masuk form 3 emak tak bagi sebab aku harus memberi tumpuan pada peperiksaan LCE ( Lower Certificate Education ). Selesai periksa sekali lagi sungai ini menjadi saksi. Kalau bekalan air terputus maka ramailah anak kampong kesungai untuk mandi manda. Disinilah kami menunjuk aksi stunt kepada aweks yang merupakan rakan sekolah. Maka esok riuhlah dikelas bila aweks menceritakan aksi kami. Betapa kembangnya hidung kami ketika itu termasuk aku yang boleh melenting. Kini kalau aku melenting pasti tercabut tulang-tulang.

Bila aku berkahwin aku kerap membawa arwah isteriku kesini. Sebelum dikurniakan anak ia menjadi tempat perkelahan kami kalau aku bercuti. Memang terasa cukup indah. Setelah dikurniakan 2 orang cahaya mata aku turut membawa mereka untuk mengajar anak-anakku agar tidak menjadi gemuruh dengan air. Aku akan rendamkan mereka kedalam air. Setelah istreriku meninggal disinilah tempat aku meluangkan masa termenung keseorangan mengimbas kenangan silam. Kini aku telah berkahwin dengan isteriku Rosnah. Disungai inilah juga menjadi saksi kami berkelah bersama. Ya mana bisa dilupakan memori silam.

Pokok cermai burung

Pulang dari sungai aku singgah dirumah emakku untuk bertanya khabar. Kebetulan jiran sebelah emakku menanam pokok cermai burong. Apalagi aku pun snap gambar untuk tatapan pembaca. Eh eh banyak pula cerita. Kata tak banyak. Biasalah kalau jari yang mengetuk

Monday, April 04, 2011

Sakit Gout Ke.....

Ketika bangun untuk mengerjakan solat subuh, terasa kesakitan pada lututku. Entah kenapa aku tidak dapat berjalan. Isteriku memimpin ketandas dan setelah itu dia pula bergegas ke gerai. katanya sudah lewat. Walaupun kesakitan aku tidak sanggup tinggal dirumah sendirian. Akhirnya aku menyusuri isteriku kegerai. dalam keadaan terhincut-hincut aku memacu motosikal. Setibanya aku digerai kelihatan sudah ramai yang berada digerai isteriku memesan roti canai. Setelah aku berjalan dengan terhincut-hincut maka banyaklah mata yang memandang maklumlah suami tauke roti canai. Terasa malu pula ketika itu. isteriku terkejut juga melihat aku datang tapi tak terkata apa-apa.

Buah cermai biasa

" Sakit gout ke ". Tanya customer kepadaku. Aku hanya tersenyum saja. Malas nak cerita banyak-banyak dengan sakit yang aku rasa. Sebelum aku sampai kegerai aku rasa sudah 4 orang bertanya soalan yang sama. Isteriku hanya menngelengkan kepala diatas kesanggupan aku datang ke gerai walaupun dalam keadaan kesakitan.
" Abang nak ke klinik dan nak ambil surat untuk masuk wad. Tak tahan sangat sakitnya ". Kataku kepada isteri yang hanya terdiam sehingga roti canainya juga menjadi hitam akibat memikirkan kesihatan aku. Kesian dekat isteriku.

Setelah sampai di klinik pesakit sudah ramai. Jadi terpaksalah aku menunggu. Datang seorang makcik kearahku. Diberinya aku merasa buah yang merah. Katanya buah cermai burung. Ini pertama kalinya aku melihat cermai ini, Selalunya dirumah sewa isteriku buahnya warna kuning. Aku merasa seperti makan buah strawberry. "
" Banyak lagi di runah makcik. Kalau nak datanglah ambil ". Katanya sambil menunjuk kepadaku buah timun yang sebesar jari kelinkingku. Setelah namaku dipanggil baru teringat sebab lupa bertanya makcik tadi dimana rumahnya.

Setelah aku diberi ubat dan cuti sakit aku pun keluar. " Encik Ariff. Makcik tadi beri buah kepada encik Ariff ". Sambil menghulurkan bungkusan buah tersebut. " Makcik tu dari mana ". Tanyaku kepada jururawat yang bertugas. " La kami ingat en Ariff kenal makcik tu ". Aku berkata yang aku sendiri tidak mengenali makcik tersebut. Mukanya lembut bertudung cokelat. Setelah aku pulang aku ceritakan perkara yang terjadi sambil memberi buah cermai burung yang diberi oleh seorang makcik. Aku simpan bijinya untuk dibuat benih. Tapi aneh siapa makcik itu dan dari mana dia datang.
" Biar betul abang ni. Siapa pula yang abang jumpa ni ". Gurau isteriku sambil makan buah cermai burung. Ya siapa makcik tadi. sambil makan sambil aku berfikir....


Friday, April 01, 2011

April Fool

Pagi-pagi lagi aku ke gerai isteri. kebetulan hari ini aku bertugas petang jadi aku nak ambil peluang sebelum solat jumaat untuk meronda dengan motosikal. Sudah seminggu aku tak meronda. Sewaktu menghampiri gerai ada beberapa kumpulan anak muda sedang bergurau dan bergelak ketawa sambil menyebut April Fool setelah mengenakan kawan mereka. Suasana menjadi riuh dengan menjerit dan ketawa yang kuat.

Rupanya hari ini sudah April dan fool pula. Itulah mentaliti rakyat Malaysia yang entah siapa mendidik mengatakan April ialah bulan yang fool manakala islam mengatakan bahawa setiap hari adalah baik. kita yang meletakkan bulan ini sial. Bulan itu fool dan macam-macam lagi yang orang melayu cipta. Hari ini aku ke gerai nak minta dia buat kuey teow kungfu lagi untuk dibawa ketempat kerja. Bila malam boleh diletakkan didalam microwave.

" Abang beli udang dan sotong. Baru kuey teow tu rasa manis sikit ". kata isteriku. Aku terus ke pasar mencari udang. Aku beli sebanyak RM10. Aku hulurkan RM 50 kepada tauke kedai. Diberinya aku baki RM10.
" Tauke i kasi you RM50. Balance sepatutnya RM40. You beri i RM10 ". kataku kepada tauke kedai'
" April Fool ". Ketawa tauke kedai menghulurkan baki lagi RM30. Rakan-rakannya yang lain pun terut tertawa setelah aku dikenakan.
" Tauke...tuhan kasi hari-hari semua baik. Mana ada hari yang fool. Yang fool itu kita bukan hari ". Marah juga aku bila menjelang saja bulan April maka riuhlah foolnya.
" Aiya...gurau sikit pun tak boleh ka. Jangan anbil serius la ". Kata tauke cina tersebut bila melihat aku dah marah sedikit.
" Tak tak saya tak marah sama you. Saya pun bergurau tadi. You pun jangan ambil serius no ". Aku pula memulangkan paku buah keras kepada tauke cina sambil tersenyum.
" Bagus bagus kalau you tak marah. Kita 1 Malaysia mana boleh marah. April fool ". Semangat betul tauke cina bila menyebut April Fool. Macam menyambut merdeka.

Aku berlalu pergi setelah membeli apa yang isteriku pesan. Bila berada diluar pula, aku ternganga bila melihat begitu banyak lunggukan buah durian yang telah menyerang Penang.
" Bang sekilo RM5 saja. Tempat lain tak dapat harga ni ". Kata penjual buah.
Aku membelek-belek dulu buah tersebut. Akhirnya aku beli sebanyak 3 biji dengan harga RM15. Aku singgah kedai beli pulut dan santan. Nanti bila isteri aku pulang dari gerai sudah pasti aku kena berleter sebab semalam aku mengadu sakit lutut yang amat sangat. Lega sedikit aku beli pulut pula. Sure kena punya aku.......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...