Ibuku kini berusia 85 tahun. Kudratnya kini semakin hilang. Kadang-kadang bila penat melanda terpaksa dipasang gas. Ibu yang telah membesarkan 7 orang anak sehingga berjaya mengharungi dugaan dunia yang sementara. Bila setiap kali aku ziarah ibu, pasti aku dimarahi sebab datang keseorangan. Setiap kali ayat ini akan keluar dari mulut ibu,
" kenapa tak bawa Aishah. Datang sorang-sorang saja ".
Ingatan ibuku kini semakin merosot. Namun bab solatnya tidak pernah Allah tarik ingatannya.
Baru-baru ini ibuku dilanda penat yang amat sangat. Bibirnya biru sehingga terpaksa memakai oksigen. Aku dan isteriku Rosnah pergi menziarahi ibuku.
" Ini siapa dia ". Tanya ibuku pada isteriku Rosnah. Tersenyum isteriku bila ibuku bertanya demikian.
" Ni lah Rosnah mak. Isteri Budiman ". Begitu ketara ingatan ibuku. Terangguk-angguk kepala bila diperkenalkan isteriku kepadanya.
" Kelmarin Aishah mai ziarah mak. Sorang-sorang saja dia mai ". kata ibuku. Isteriku hanya memandang wajahku sambil tersenyum. Mungkin dia pun faham keadaan ibu mertuanya.
" Aishah kata apa dekat mak ". kataku kepada ibuku.
" Dia tak kata apa-apa. Dia senyum saja dekat mak. Ayah pun mai tengok mak ". Bersungguh ibuku menceritakan kepada kami. Aku hanya mendiamkan diri. Memoriku cepat berputar bila terkenangkan kembali saat-saat aku dan isteriku tinggal bersama ibuku selepas berkahwin. Selama 15 tahun kami bersama ibuku. Aku telah berjanji kepadanya andaikata dapat membeli rumah, kami akan berpindah. Ingin juga kami hidup berdikari.
Siti Aishah yang menolong ibuku memasak. kadang-kadang terdengar mereka bergelak ketawa didapur. Bila ibuku dimasukkan ke wad akibat koma, Siti Aishah menangis takut ibuku pergi meninggalkan kami. Ibuku amat menyayangi akan Siti Aishah. Sebab itulah nama itu tidak pernah hilang dari bibir ibuku walaupun nama cucunya kerap terlupa. kadang-kadang isteriku Rosnah dipanggilnya dengan nama Aishah. Namun siapa dapat melawan takdir Allah. Siti Aishah pergi tak kembali. Pergi dengan meninggalkan kenangan lebih-lebih lagi pada ibuku. Bila berkali-kali ibuku bertanya kenapa tak membawa Aishah datang aku harus berterus terang dengan ibuku.
" Mak Aishah dah meninggal mak. Sebab tu Budiman datang sorang ". Kataku dengan nada perlahan.
" Bila meninggal. Pasai apa mak tak tau ". Sebak ibuku bila mengetahui Siti Aishah sudah meninggal. Ibuku sudah lupa semasa jenazah Siti Aishah sedang dikapankan ibuku berada disisi jenazah.
" Dah 2 tahun Siti Aishah meninggal mak. Budiman pun sudah kahwin dengan Rosnah mak. Mak juga yang merestui perkahwinan kami ". Sebak juga aku ketika itu. Kelihatan airmata jernih mengalir dari pipi ibuku.
" Mak minta maaf sebab sudah lupa ". Sambil memegang tanganku sambil aku turut mengalir airmata...
Semoga Allah tidak hilang ingatan ibuku terhadap Allah. Kepada yang mempunyai ibu. Ziarahlah atau talipon andaikata berjauhan. Kepada yang masih mempunyai isteri, sayangilah isteri anda sebelum dia hilang selama-lamanya dari pandangan anda. Dialah yang telah melahirkan zuriat untuk kita. kepada yang masih mempunyai suami, hurmatilah dan taatilah dia selagi tidak melanggar batas-batas syariat. Kepada kita semua yang mempunyai anak marilah kita didik anak-anak kita agar menjadikan mereka anak-anak yang akan membahagiakan kita diakhirat kelak.
Andaikata kedua-dua ibu bapa telah tiada, kirimkanlah doa untuk mereka. Mereka menanti doa dari anak-anak yang soleh. Jangan kita kedekut untuk berdoa kerana besok kita juga memerlukan doa-doa dari kaum keluarga. Soal Allah terima atau tidak itu kerja Allah. Tugas kita doa.doa dan terus berdoa....
Tetapi haruslah kita ingat andaikata kita menyayangi atau mencintai seseorang tidak semestinya kita memilikinya. Dia milik Allah dan itulah tarbiah buat diriku.....
6 comments:
Tanpa ibubapa siapalah kita... tapi di kala usia senja mereka, kesabaran ini kadangkala tergugat juga...
kakcik..Benar tapi itu merupakan dugaan untuk kita juga. Sabarlah dengan kerenah mereka seperti mana mereka bersabar dengan kerenah kita sewaktu kecil
kalau gitu, selalulah ziarah dia. masa ini begitu pantas berlalu. gitu juga masa dia...
Insan marhein..Benar kena kerap ziarah
sebak juga saya baca entry abg diman kali ini. terima kasih kerana ingatkan....
kapten...Terima kasih. Yang baik kita jadikan teladan
Post a Comment