Teman-teman

Wednesday, April 13, 2011

Syukur Dan Tahniah Anakku

Aku menerima berita dari anak gadisku yang mengatakan bahawa dia akan mendapat Diplomanya pada 30 April 2011 di MSU Shah Alam. Hati ibubapa mana yang tidak gembira dengan berita ini. Aku berkata kepada anakku yang betapa ayah gembira tetapi dalam masa yang sama ayah terasa sedih kerana emak tidak dapat merasai kesemua ini. Setelah anakku mendapat keputusan SPM dia mengisi borang untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi namun gagal atas sebab keputusannya tidak berapa baik kalau dibandingkan dengan orang lain. Aku meminta anakku bersabar dengan ujian ini. Mungkin Allah sedang menguji.

Kecewa anakku dengan berita itu. Dipohonnya Diploma Jururawat dan akhirnya dipanggil untuk temuduga di kelantan. Bergegas kami kesana namun sehingga kini tiada surat jawapan hasil dari temuduga. Arwah emaknya sering berdoa agar Allah bukakan pintu rezeki kepada anakku yang ingin terus belajar. Akhirnya sedang menonton tv anakku beritahu yang iklan dari kolej swasta tentang Diploma Makmal Perubatan yang dia begitu minati. Keesokkan harinya kami bergegas ke Kolej PTPL Sungai Petani. Anakku di temuduga dan akhirnya rezekinya tetap ada. Beliau diterima untuk memasuki bidang yang diminatinya.

Setiap minggu andaikata emaknya rindu kami akan ke Sungai Petani dan makan-makan. kerapnya kami lebih banyak makan di Sungai Petani sebab biarlah anak-anak juga merasainya. Selang beberapa bulan setiap pelajar telah ditawarkan pinjaman PTPN. Anakku turut memohon namun gagal sebab dalam surat mengatakan tidak cukup syarat kreditnya padahal memang anakku telah memenuhi syaratnya. Menangis anakku sebab rakan-rakan yang telah berjaya menikmati duitnya. Kami terpaksa membayar setiap bulan sebab tidak mendapat pinjaman PTPN. Kata emaknya, " Insyaallah kakak cuma belajar. Tentang wang ayah dan emak akan berusaha ". Tenang anakku seketika. Tapi itulah rezeki yang Allah berikan tidak putus-putus. Isteriku mendapat upah menjahit baju agak lumayan juga dan wang itulah digunakan untuk bayaran bulanan yuran pengajian anakku.

Anakku memohon sekali lagi pinjaman PTPN. Bila samapi jawapan tetap sama. Tidak memenuhi syaratnya. Aku menalipon terus ke pejabat PTPN. Maklumat yang aku berikan kepada mereka dan kata mereka anakku telah cukup syaratnya. Jadi dimana silapnya. Anakku disuruh kembali memohon dan ini merupakan permohonan kali yang ketiga. Akhirnya jawapannya tetap sama bila surat diterima. Mengagis anakku terlalu kecewa dan kami mengambil keputusan yang yuran bulanan kami akan membayarnya. Siang dan malam isteriku tidak putus-putus menjahit baju. Kadang-kadang aku menemaninya sehingga subuh kalau tidak bekerja. Selepas subuh baru kami tidur. Aku berkata kepada anakku, ' kakak.. kita telah berusaha sebanyak 3 kali namun tetap gagal. Mungklin Allah sedang merancang sesuatu untuk kakak. Ayah begitu yakin ".

Akhirnya atas keprihatinan pensyarahnya, anakku di minta untuk memohon dari MARA. Seperti apa yang aku yakini akhirnya anakku berjaya mendapat pinjaman dari MARA. Gembira sungguh anakku. Kami sebagai ibubapa amat bersyukur kepada Allah. Namun ketika anakku mengambil peperiksaan terakhirnya ibunya telah koma dan berada di dalam ICU. Setelah diberitahu dan setelah selesai peperiksaan anakku bergegas pulang namun sudah terlewat untuknya. Ibunya pergi dahulu meninggalkan anak-anaknya yang masih memerlukan kasih sayang. Menangis anakku sambil memegang tangan emaknya yang telah kaku. " Emak...kakak minta maaf tak sempat jenguk mak ". Berkali-kali anakku mengulangi perkataan itu. Aku hanya mampu menangis melihat perilaku anak gadisku.

Dan kini anakku akan mendapat Diploma Makmal Perubatan yang diminatinya. Inilah hasil pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertegang mata demi kejayaan anak-anaknya. Aku amat terkesan dengan lagu dari Jamal Abdillah, " kasihnya ibu..membawa kesyurga... ". Setiap kali mendengarnya pasti airmata mengalir. Entahla......

6 comments:

Kakcik Seroja said...

Doa ibu adalah peneman perjalanan kehidupan anak2.

Ariff Budiman said...

Kakcik...Benar. Syurga terletak dibawah kaki ibu

Sham said...

salam kenal...

alamak 1st entry saya baca ni terus cerita sedih...apa2 pun syabas n tahniah pada anak ye...benar sekali syurga di bawah telapak kaki ibu...

Murni Alfathunnisa said...

tahniah kat anakanda nya yer..:)
itulah..berkat doa, usaha gigih dan pengorbanan ikhlas seorang ibu...

Ariff Budiman said...

Sham..Terima kasih kerana membaca 1st entry. namun sedihnya tidaklah berpanjangan. Ia bermusim. teruskan membaca. jangan jemu

Ariff Budiman said...

siti murni..Doa ibu amat mustajab. jadi berhati-hatilah perkataan yang keluar dari mulut seorang yang bergelat ibu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...