Teman-teman

Sunday, April 05, 2009

Kemana hala tujuku aku sendiri pun tak tahu

Badan aku amat keletihan setelah penat bekerja hampir 24 jam. Sewaktu pulang dari kerja, hujan turun dengan lebatnya. Aku gagahi juga membelah laluan jambatan menuju tempat teduhku. Baju basah kuyub walaupun aku memakai baju hujan. Dalam kesejukan aku merasai badanku kepanasan. Aku gagahi perlahan-lahan mendaki anak tangga menuju kerumahku. Yang pasti aku tahu bila aku membuka pintu rumah tidak ada siapa lagi yang akan menyambutku menghulurkan tuala supaya dapat aku mengeringkan badan yang basah.

Setiap kali bila hujan turun dengan lebatnya dia akan pasti menanti aku dididepan pintu. Bila melihat kelibat aku dia akan tersenyum tanda syukur aku selamat sampai. Suami mana pun kalau isteri layan sebegitu badan yang letih pun tak terasa. Selesai menunaikan solat asar aku mengambil selimut terus menyelimuti badanku yang panas. Sedar-sedar jam dah 7.30 petang. Bergegas aku mandi dan kesurau untuk solat Maghrib. Selesai solat aku terus ke giant untuk apa pun aku tak tahu. Sedar-sedar stering aku pusing ke arah giant.

Aku terus ketingkat atas untuk menjamu selera. Tempat yang selalu kami makan ialah chicken chop. Kini aku makan keseorangan. Agak ramai keluarga yang makan. Ada beberapa kawanku dari taman yang sama datang bersama keluarga mereka. Sekali-sekala mereka akan menjeling kearahku membuatkan aku rimas. Aku merasakan yang aku ini seperti penjenayah. Asyik-asyik mereka akan memerhati aku. Apa yang tidak kena dengan aku. Salah ka aku makan seorang diri.

Sedang enak aku mengelamun, aku ditepuk seseorang dari belakang. Oh si Shuid rupanya.
" Itulah ada bini makan sorang-sorang. Sebab tu tak lalu". Terdiam aku tanpa berkata apa-apa. Ya dia tidak tahu apa yang telah terjadi terhadap isteriku. Aku pun malas nak menceritakan. Dia berlalu pergi bersama isterinya. Inilah kali pertama aku makan seorang diri. Selalunya kami makan berdua atau dengan anak-anak. Kini setelah dia pergi aku hanya makan dengan anak-anak. Kadang-kadang kalau dia tidak masak sebab terlalu banyak jahitan, dia menyuruh aku makan saja diluar dan membeli untuknya. Tapi aku akan beli dan bawa balik kerumah dan kami akan makan bersama-sama. Terasa kekok kalau aku makan keseorangan.

Masa inilah hati aku terlalu sayu seolah-olah isteriku berada dihadapanku. Kami makan sambil berbincang dan isteriku akan mengambil peluang ini untuk menceritakan apa yang berlaku seharian dan aku menjadi pendengar yang prihatin. Kini siapa pula yang akan mendengar rintihan hatiku. Emakku??. Aku tak nak bebankan masalah aku kepada emak. Kesihatan emak pun tak berapa elok. Kakak, abang. Ahh..mereka pun mempunyai keluarga sendiri. Malas aku nak ganggu dengan masalah aku.

Nak mengadu kepada kawan-kawan. Mereka mudah saja, " Kahwin lain budiman habis cerita ". Perkataan kahwin memang mudah. Nak mencari yang benar-benar baik memerlukan masa. Bagaimana penerimaan anak-anakku. Aku tak boleh meminggirkan mereka. Mereka juga mempunyai perasaan. Nak mengadu kepada ibu mertua. Ibu mertua pula tidak boleh terlalu memikir sebab masalah jantung. Terpaksa aku pendamkan perasaan aku yang berkecamuk. Kalau ada orang bertanya aku lepaskan sedikit tension aku.

Aku tak sanggup nak menghabiskan makanan aku. Aku terus menuju kedalam kereta. Hujan turun dengan lebatnya. Inilah masanya aku melepaskan perasaanku, " Siti abang nak ikut Siti. Abang sunyi. Abang rindu. Kakak, adik apa yang perlu ayah buat. Ayah terlalu rindu dekat mak ". Dalam kereta seorang diri tempat aku melepaskan tangisanku. Biarlah aku seorang yang merasainya. Sekurang-kurangnya terasa lapang dadaku.

Aku terus memandu menuju kemasjid. Malam ini ada kuliah Ust Harun Din. Sambil mendengar Mutiara FM memainkan lagu Tunggu Sekejab nyanyian Jaclyn Victor aku terhibur sementara. Tiba-tiba terdengar bunyi hon kereta dibelakang. Astaghfirullah Hal Azim aku bawa selaju 50km/j patutlah marah orang belakang. Memang aku tak boleh dengar lagu sentimental. Kalau aku menghantar anak ke Sungai Petani isteriku akan memasang lagu nasyid yang rancak. Memang dia tahu kalau pasang lagu sentimental maknanya kereta ini akan berjalan secara sentimental juga dan hasilnya berderet kereta dibelakang. Katanya, " Dah berapa tahun Siti kahwin dengan abang. Siti tau apa lagu kegemaran abang ". Betul aku akan burn semua lagu yang slow-slow. Relax bawa kereta. Tapi dia akan pasang lagu Rabbani yang rancak seperti pergi tak kembali. Memang lagu itu kegemarannya dan kini dia pergi tak kembali. Maaf entri kali ini untuk meluahkan perasaanku.

4 comments:

insan marhaen said...

kita serupa. heh..heh..heh..

alizarin said...

Memang menyebut "lupakan dia, kawin jer lain" amat mudah bagi sesetengah orang. Bila sampai pada diri sendiri, entah macammana lah agaknya..Tabahkan hati yer pak njang [he..he..panggil pak njang boleh...], kurang-kurangkan mengelamun semasa memandu..merbahaya pada diri sendiri.

ARIFF BUDIMAN said...

alizarin...Tak apa panggil la apa saja insyaallah boleh terima.

NagaEmas said...

Salam
Abang, saya la ni kat tempat kerja, tengah baca blog abang, saya tak tahan baca, sebak, air mata dok mengalir.....
Saya ni lelaki, tetapi sangat cepat tersentuh dengan kata kata yang menyentuh perasaan. sabar ya ....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...