Teman-teman

Tuesday, April 14, 2009

Maafkanlah Aku

Pertama sekali aku mohon maaf dari pembaca semua kerana entri kali ini mendapat reaksi pembaca yang banyak menghantar SMS dan talipon. Rakan sekerjaku menaliponku mengatakan bahawa isterinya menangis tersedu-sedu membaca entriku kali ini. Ada juga rakan baikku talipon sebak bila membaca entriku. Mereka merupakan pengikut setiaku walaupun tak pernah memberi komen.

Sebenarnya aku sendiri tidak sedar jari jemariku menaip mengikut alunan hatiku. Itulah gelora yang aku hadapi sekarang ini. Ramai orang ditamanku mengatakan bahawa aku nampak gembira sekarang dan dalam masa yang sama hatiku begitu pilu dengan keadaan aku. Aku sedih mellihat kedua-dua anakku yang terpaksa menempuh dugaan ini. Si kakak berada di Sungai Petani manakala adik terkial-kial tak tahu kemana bila aku bekerja. Dulu dengan emaklah tempat mereka bergurau-senda.

Kini kami bertiga terpaksa membiasakan diri dengan keadaan yang berkurangan. Bila hatiku merasa rindu akan isteri, aku akan membaca Al-Quran dan akhirnya air mataku jatuh berderai membasahi Al-Quran. Ya Allah apa yang harus aku lakukan. Aku memang tidak dapat melupakan segala kenangan manis. Aku tidak pernah menyesal mempunyai isteri yang bernama Siti Aishah. Memang namanya seindah akhlaknya.

Kadang-kadang aku bercakap seolah-olahnya Aishah berada dihadapanku, " Siti tengoklah rumah kita berselerak. Abang tak tau nak buat macam mana". Memang kedaan rumahku kini macam kapal yang pecah dipukul taufan. Hari ini aku teringin nak masak nasi sendiri. Buka saja periuk labah-labah dah buat sarangnya. Aku hanya mampu membuat nasi goreng namun seleraku hilang sebab aku makan keseorangan.

Timbullah dihati kecilku. Perlukah aku mencari seorang isteri. Tapi belum apa lagi dah hebuh cerita aku merisik khabar. Banyak yang negatif tentang aku kini. Aku di cop gatal dan terlalu awal bagiku. Aku terima kesemua kata-kata ini dengan hati yang terbuka. Tak semuanya 100% mengikut kehendakku. Demi Allah kalau Aishah ada tentu semua perkara ini tidak terjadi. Aku amat mencintainya.

Aku masih ingat 2 minggu sebelum Aishah meninggal. Sujud yang akhirnya terlalu lama sekali. Aku hanya memerhatikan saja sujudnya. Dalam hati aku berkata bahawa isteriku tidak pernah sujud begini lama. Selepas memberi salam dan berdoa dia menangis teresak-esak. Aku menghampiri dan bertanya apa yang tidak kena dengan diriku. Sambil menangis dia berkata,
" Kalau Siti mati bagaimana hidup abang nanti". Terkejut aku dengan kata-kata ini yang umpama halilintar. Aku memeluknya dan menenangkannya. Kataku," Kalau Siti tak ada hidup abang akan merana. Abang tak akan dapat isteri yang sebaik Siti ". Dan malam itu kami berdua menangis dan aku dapat merasai petanda bahawa aku akan kehilangannya dengan keadaan sakitnya.

Entah kenapa bila aku nak ketempat kerja dia meminta supaya aku mencium pipinya. Katanya ciuman ini akan menambahkan ingatan manis kami. Aku akur dan aku gembira sekali memberi ciuman ini. Ketika dia sakit dan tak dapat bangun aku yang akan terus ketempat dia baring lalu mencium pipinya sebelum ketempat kerja. Dan kini memang benar akan kata-katanya ciuman ini benar-benar membawa ingatan yang tak mampu aku padamkan.

Walaupun kami berkahwin, kami umpama pasangan yang sedang bercinta. Cuba bayangkan 2 hari aku bekerja dan tak balik kerumah, dia akan menaliponku mengatakan akan kerinduannya terhadapku. Sewaktu perjalanan pulang kerumah aku begitu gembira sekali akan bertemu dengan isteriku. Terasa kami berpisah begitu lama sekali. Kini kami berpisah selama-lamanya. Aku betul-betul merindui ciumannya, senyumannya, tangisnya dan yang pasti aku merindui masakannya.

Aku tertawa sendirian bila mengingati cerita rakan sekerjaku kepada isterinya. Katanya kepada isterinya aku mungkin beristeri lain. Marah isterinya mendengar berita ini. " Itulah orang lelaki bini baru mati dah nak kahwin lain. Ingat bang kalau saya mati abang kahwin lain, tengah bersanding saya akan bangun dari kubur mai cekik abang ". Katanya sekarang ni dia selalu berdoa moga Allah panjangkan usia isterinya supaya dia tidak berkahwin lain takut dicekik isteri. Memang melucukan gurauan ini.

Ya Allah andaikata diakhirat kelak aku diberi pilihan untuk memilih wanita istimewa, aku akan memilih Siti Aishah Ya Allah dan andaikata didunia ini aku dipertemukan jodoh kembali, kau temukan aku dengan seorang wanita yang solehah yang mempunyai perwatakan seperti Siti Aishah. Aku mohon Ya Allah agar kau makbulkanlah doaku ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...