Baru-baru ini aku amat terkilan kerana tidak dapat menyertai program lawatan hospital. kali ini akan melawat wad kanak-kanak. Wad inilah yang telah memberikan aku harapan untuk terus hidup dalam dunia manusia suatu ketika dahulu. Aku dilahirkan dalam keadaan yang sempurna. Aku terus membesar hasil dari belaian kasih sayang seorang yang bergelar ayah dan ibu. Aku telah disekolahkan di Bayan Lepas English School. Boleh dikatakan cikgu pada masa itu amat garang sekali tetapi amat prihatin akan nasib anak muridnya. Kalau ada apa-apa masalah mereka cepat bertindak.
Ketika berada dalam darjah 2, fizikal aku telah dikesan oleh seorang guru yang bernama Mr Cheah. Aku dibawa berjumpa gurubesar yang kami gelar sebagai Sivaji sebab misainya sebiji macam pelakun tamil Sivaji. Garang sungguh. Bila dia marah pasti di sintilkan misainya. Seram aku tatkala dibawa masuk berjumpa dengannya. Masalah aku ialah urat leher aku terlalu tegang sehinggakan menjadi masalah untuk menoleh kebelakang. Akibatnya bila aku nak pandang belakang aku terpaksa berpusing dengan badan-badan aku sekali.
Aku telah di sindir oleh rakan-rakan disebabkan keadaanku. Malu aku nak kesekolah. Mr Cheah amat kasihan nasib yang aku terima. Setelah berjumpa dengan kedua-dua orang tuaku, mereka semua bersetuju bahawa aku harus dibedah sementara masih muda. Emak menangis takut aku meninggal semasa pembedahan. Aku masih ingat akan kata-kata ayah, " Kalau Budiman mati kita masih ada Danial. Lebih baik begini daripada dia besar akan menanggung malu seumur hidup ". Tegas sungguh ayah ketika itu. Aku pada masa itu tidak tahu langsung erti berkecil hati. Aku akur dengan keputusan ayah.
Aku ditolak masuk kedalam bilik pembedahan. Emak menangis teresak-esak membuatkan aku turut menangis akibat ketakutan. Aku telah diberi sejenis cecair yang membuatkan mata aku menjadi lali. Aku terus melawan agar tidak tidur. Dr menampar pipi aku. " Emak Diman takut mak. Tolong mak depa ambil gergaji ". Aku dapat melihat lampu dinyalakan diatas aku. Aku dapat mengira kesemuanya 10 biji. lama kelamaan aku terus tidak sedarkan diri.
Ketika aku terjaga, aku melihat begitu ramai orang berada disekelilingku. Ayah, emak dan cikgu-cikgu sekolah. Aku bangun tetapi badan terasa terlalu berat. " Mak pasai apa badan Diman jadi macam ini ". Aku menangis akibat terkejut bila melihat separuh badan aku telah disimen sehingga ke kepala. Dr kata aku kini me4njadi Apollo 11. Lama kelamaan aku dapat membiasakan diriku berjalan kesana-kesini dengan hati yang girang.
Hari Ahad, kami telah dikunjungi oleh beberapa orang father ( paderi ). Mereka pasti membawa gula-gula. Aku amat gembira menanti kunjungan ini. Bila melihat akan father aku terus meluru dan berkata, " Father datang, father datang ". Father mendukung aku sambil mengagihkan gula-gula kepada rakan-rakan yang lain. Aku tahu pada masa father begitu sayangkan aku dan aku juga begitu.
Father yang aku kenali bernama John. Orang dan pertuturannya amat lembut. Jururawat pun amat senang dengan father. Setiap hari Ahad pasti ada saja hadiah dari father kepada aku. Aku tak sabar menanti hari Ahad yang akan datang. Bila aku keluar dari hospital aku merasakan aku kehilangan sesuatu dalam jiwa aku iaitu belaian father. Dirumah ayah telah memainkan peranannya dengan mendidik aku ilmu agama sehinggakan aku terus lupa akan father.
Akhirnya setelah simen yang membelengguku selama 6 bulan akhirnya dibuka dan aku dapat berpusing secara normal tanpa perlu memusingkan badanku. Kini baru aku mengerti akan berkesannya program ini. Program amal yang tidak ramai mahu menyertainya telah mencorakkan kehidupan aku suatu ketika dahulu. Insyaallah kalau aku masih mempunyai kesempatan akan aku ziarah kembali wad yang suatu ketika dahulunya aku telah dilantik oleh father sebagai ketua. Semoga aku terus istiqamah dalam program ini.
No comments:
Post a Comment