Teman-teman

Wednesday, March 17, 2010

Mengimbas Nostalgiaku

Bila melihat anak-anak bermain bersebelahan rumahku, terkenang aku waktu zaman kanak-kanakku seusia ini. Pokok menjadikan tempat aku dan rakan-rakan bermain. Cuba bayangkan kami bermain acilut diatas pokok ciku dan janggus. Siapa yang terjatuh maka dialah yang kena kejar. Melompat dari satu dahan kesatu dahan yang lain umpama tarzan. Aneh agak susah melihat kami terjatuh. Semuanya pakar-pakar belaka. Ini merupakan suasana dikampong ketika cuti sekolah. Jarang dapat dilihat dibandar. Pernah aku ke KL waktu cuti sekolah dan melihat anak-anak seusia ini menjadi rempit basikal mengelilingi bandar KL tanpa diketahui emak dan ayah. Tapi itulah yang dinamakan lain kampong lain ragamnya. Yang paling melucukan ialah anak-anak kecil ini bermain kahwin-kahwin. Kata sibudak lelaki, " Aku nak isteri yang tak gedik macam hang. Melompat atas pokok ".

Jawab pula si budak perempuan, " Ala ingat hang boleh jadi suami yang baguih ka kalau boleh bergayut macam monyet ". Aku yang tertidur kerana baru pulang tugas malam pun tak dapat melelapkan mata. Akhirnya aku snap gambar mereka. " Pakcik nak buat apa tangkap gambar kami ". " Pakcik nak masuk dalam internet nak cari jodoh untuk adik semua ". Jawapan aku membuat mereka semua ketawa. Isteriku pula asyik ketawa bila melihat aku suka mengambil gambar. Dalam hati aku berkata., " Inikan blogger ikan bilis ".

Terkenang aku waktu usia begini bermain kahwin-kahwin. Aku telah berkahwin dengan seorang budak perempuan yang rambutnya afro. Sehingga hari ini rambutnya masih lagi afro. Kami bersanding dengan memakai bunga raya di telinga. Kemudian selepas itu isteri mencium tangan suami. Kalaulah dikenangkan kembali memang malu. Tapi kanak-kanak dikatakan. Apa saja yang dilakukan tidak mendatang kemarahan. Kami yang seramai 5 pasangan berjalan keliling kampong untuk memperkenalkan yang kami dah berkahwin.

Aku dikutuk oleh rakan-rakan sebayaku. Aku dikatakan pondan sebab bermain kahwin-kahwin. Lantas isteri aku ketika itu mengambil batu lalu baling kearah rakanku yang suka perli. Apalagi menjerit kesakitan sambil menangis. Isteri membela suami. Akhirnya lama kelamaan aku berubah sikap setelah usia meningkat sedikit demi sedikit. Permainan ganas pula menjadi pilihanku. Pokok menjadi tempat aku dan rakan-rakan melompat sehingga pokok ciku tidak berani mengeluarkan buahnya akibat takut dengan gang lompat. Suatu hari aku bertemu dengan isteriku ketika itu dan berkata, " Kita cerailah ". Dia pun berkata ok. Huih begitu senang aku melepaskan kata-kata.

Kini bila aku bertemu dia kami masing-masing hanya menyapa saja. Seminggu yang lepas dia bertemu aku sambil menangis katanya dia tidak tahu yang Siti Aishah sudah melebihi setahun meninggal. Pernah aku beritahu Siti Aishah yang rakanku itu merupaka isteriku ketika zaman kanak-kanak. Tersenyum dia mendengar ceritaku. Memang nostalgia lalu tidak dapat dipadam dan amat susah mendapatkannya kembali

1 comment:

hentian said...

Aku tak pernah main kawin-kawin. cuma asyik korek tong sampah cari setem.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...