Teman-teman

Wednesday, June 02, 2010

Catatan Umrah - 02

Kami tiba di Jeddah pada jam 9.40 pm 21 Mei 2010 bersamaan jam 2.40 am waktu Malaysia. Setelah kastam, imigresen dan pengambilan bagasi selesai, kami menaiki bas khas menuju ke Madinah. kami tiba di Madinah dalam sekitar jam 5 pagi. Kelihatan ramai yang sudah pulang dari menunaikan solat subuh di masjid Nabawi. Aku masih tercari-cari dimana masjid Nabawi. Tidak sabar rasanya hati hendak melihat masjid yang terkenal dengan makam Rasulullah. Ustaz dari TH Travel meminta kami menunai solat subuh di dalam bilik hotel sebab subuh sudah pun berlalu. jam 5.30 pagi keadaan di Madinah sudah cerah. Mekah dan Madinah mengalami malamnya yang pendek. Setelah meletakkan barang didalam bilik hotel, jam 7 pagi kami berkumpul di lobby hotel dan terus menuju ke masjid nabawi. Terpandang saja masjid Nabawi aku hanya mampu terkeluar kalam subhanallah sambil airmata mengalir. Aku melihat isteriku juga begitu. Mengesat airmata yang tumpah tanpa dipaksa. Kelihatan begitu ramai jemaah lain terutamanya dari Iran turut berada dikawasan masjid dan menuju ke kawasan Raudah. Ustaz dari TH Travel membawa kami kekawasan pintu memasuki raudah. Dari situ kami menyampaikan salam dari mereka yang mengirim salam kepada Rasulullah. Sambil menolak kerusi roda sahabatku kami bergerak perlahan menuju ke raudah. keadaan amat sesak. Aku tidak putus-putus mendoakan agar permudahkan kami memasuki raudah.

Mimbar Nabi saw didalam kawasan Raudah

Kata seorang sahabat dari Selangor yang kerap ke sini beliau menyarankan agar kami mengambil laluan kiri sebab laluan itu untuk keraudah. Aku mendengar cakapnya. Maha suci Allah bila orang ramai melihat aku menolak rakanku yang berkerusi roda mereka memberi laluan kepada kami. Sedar-sedar kami sudah berada di depan mimbar nabi. Segera aku teringat akan sabda nabi yang bermaksud, " Diantara rumahku dan mimbarku adalah taman-taman syurga dan mimbarku berada diatas telagaku ". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Terus kami bertiga tidak membuang masa dan bersolat didepan mimbar nabi. Disitulah aku tidak putus-putus berdoa. Terasa begitu nikmat seolah-olahnya Allah itu begitu hampir denganku. Aku mengalir airmata ketika berdoa agar Allah tempatkan Siti Aishah didalam syurga juga Allah memberikan aku dan Rosnah kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Aku juga menyampaikan doa mereka yang mengirim untuk aku berdoa ditempat yang mustajab doanya. Kami tidak duduk lama didalam sebab masih ramai dibelakang yang menunggu giliran untuk masuk.

Hotel Movenpick berdekatan dengan Masjid Nabawi

kami tidak sempat menziarahi perkuburan Al baqi sebab hari ini merupakan hari Jumaat. kawasan perkuburan ditutup dan dibuka selepas solat asar. Kami pulang ke hotel untuk persiapan solat Jumaat. kaum wanita dengan program mereka yang dibawa oleh seorang Ustazah TH Travel. Masuk waktu Jumaat pada 12.20 pm. Kami setuju untuk pergi awal sekitar jam 1030 pagi agar dapat tempat didepan. jam 10.30 pagi kelihatan sudah ramai memasuki kawasan masjid. Sekejap saja masjid sudah dipenuhi dengan jemaah dari pelbagai negara. Hitam, putih sawo matang semuanya menuju satu qiblat yang sama. Bila masuk waktu kedengaran azan yang membuat kami bertiga terharu. Aku begitu senang mengalir airmata bila selama ini aku hanya mendengar azan Madinah. Kini aku sudah berada didalam masjid Nabawi. Dalam hati tidak putus-putus aku mengucap syukur kepada Allah kerana dengan izinnya jua aku dan rakan-rakanku berada disini.

Bersama sahabatku Zabri dan Mohd Rizal berkerusi roda di waktu malam dalam kawasan Masjid Nabawi

Walaupun keadaan cuaca di madinah ketika ini mencecah 48 o c namun tidak menghalang manusia terus menziarahi masjid Nabawi. Walaupun khutbahnya dalam bahasa arab aku terasa kelazatan mendengar bila ketika khatib menyentuh bab siksa api neraka bahasanya sedikit sebak. Bila imam membaca ayat quran ketika mengimami solat Jumaat aku begitu khusyuk sekali. Bila selesai solat Jumaat kami pulang ke hotel. kelihatan begitu ramai jemaah wanita Iran yang memakai pakaian jubah hitam. Tiba-tiba tercegat isteriku Rosnah dengan jubah hitamnya. " Masyaallah comelnya Rosnah macam orang iran ". Tersenyum dia menerima pujian dari aku. Dia pun tersenyum padaku sebab semenjak kami berkahwin inilah pertama kali dia melihat aku memakai jubah. " Uihh abang macam tok arab la ". Aku pula tergelak mendengar kata-katanya.

Bersama isteriku Rosnah di kawasan Masjid Nabawi selesai solat Isyak

Pada waktu malamnya kami ke masjid menunaikan solat Maghrib dan terus beriktikaf sehingga selesai solat Isyak. kelihatan begitu ramai orang yang bersolat di Masjid nabawi. Siapa yang tidak mahu bila Allah memberi ganjaran mereka yang mengerjakan solat di masjid Nabawi akan diberi pahala sebanyak 1000 pahala. Jadi rugi rasanya kalau kita sudah berada disini kita tidak mahu mengambil peluang.

Masjid Nabawi ketika memasuki waktu Maghrib

Selesai solat isyak kami keluar dan kelihatan diluar begitu riuh dengan aktiviti jualan dari orang arab berkulit hitam. " Haji..haji khamsa rial. Murah-murah haji. Jubah cantik ". Aku tersenyum bila pak arab pandai bercakap melayu. Ini bermakna begitu ramainya rakyat Malaysia yang kesini. Kadang-kadang aku merasakan yang aku berada di Malaysia sebab banyak peniaga kedai boleh bertutur dalam bahasa melayu. Aku baru saja sampai dan aku masih belum terfikir untuk membeli. Ketika waktu makan dihotel seorang dari jemaah kami menunjukkan talipon bimbit yang baru dibelinya dengan harga 290 riyal. iphone dari china.

luar kawasan masjid. Cuaca yang terik maka payung pun dibuka. Masyaallah

Apalagi bila dah ditunjuk pada semua membuatkan ramai yang sudah bertanya dimana belinya. Termasuk lah aku. " ishh abang ni tak boleh tengok handphone ". Tegur isteriku. Kata-kata isteriku membuat aku tersedar yang aku ini datang bukan untuk bershoping tetapi untuk beribadah. Akhirnya aku diamkan saja niatku itu. Malam itu kami semua tidur awal sebab keletihan dan esok pula akan bermula program ziarah ke masjid yang bersejarah. Hotel yang bertaraf 5 bintang begitu selesa sehinggakan begitu cepat aku mendengar dengkoran dari kawan-kawan yang lain. Aku masih seperti biasa di Malaysia amat payah melelapkan mata. Aku mengambil buku catitan lalu aku menulis aktiviti harianku semasa berada di bumi Allah untuk aku kongsi didalam blogku ini.

Masjid nabawi waktu pagi. Cuaca tidaklah panas walaupun terasa bahangnya


Pintu Babus Salam memasuki kawasan Raudah


Menuju menunaikan solat fardhu asar

5 comments:

hentian said...

Subhanallah.

Kassim Selamat said...

Salam sdr Arief,

Alhamdulillah....selamat sampai dan kembali.

Jika tak menyusahkan, boleh tak ceritakan bagaimana perjalanan sdr kita yg berkerusi roda disana.

Senang atau mudah ketika di pesawat dan di Makkah. Tima kasih.

Anonymous said...

suzuki marauder forums mini cooper user manual 2003 kia sedona 3.5l v6 car alarm removal honda accord armorall car cleaning

Unknown said...

Seronoknya, rs mcm nak pergi jugak..En Arif doakan sy & hb akan ke sana jg ye...

Ariff Budiman said...

MaryaYusof..Insyaallah akan saya tolong doakan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...