Teman-teman

Monday, June 07, 2010

Catatan Umrah - 04


Setelah mengemas beg pakaian kesemua kami turun kebawah menanti bas yang akan membawa kami ke makkah. kami berpakaian ihram dan akan menuju ke masjid Bir Ali untuk berniat ihram. Aku sedikit teruja menanti untuk melihat sendiri bagaimana rupanya Masjidil Haram dan kaabah. Setelah bas datang, seperti biasa aku dan rakanku akan mengangkat rakanku yang kurang upaya keatas bas sambil dibantu oleh beberapa orang yang lain. Syukur kepada Allah sebab mereka semua sudi membantu kami. Setelah semua jemaah berada didalam bas maka bas bergerak untuk menuju ke masjid Bir Ali. Didalam bas aku tidak putus-putus berdoa agar Allah menerima kami semua. Aku takut akan ujian Allah ketika berada di Mekah. Apakah aku mampu mengharunginya. Kami tiba di masjid Bir Ali dan kelihatan banyak bas sudah berada disana. Setelah sembahyang sunat 2 rakaat kami terus berniat untuk melakukan umrah. Kami semua diingatkan akan pantang larang semasa berada didalam ihram.

Di lobby hotel Movenbick di Madinah sebelum ke Makkah

Semasa bas bertolak ke Mekah yang mengambil masa selama 6 jam kami bertalbiah didalam bas. " Labbaikallah Hum Malabbaik. Labbai kala syari kala kalabbaik.... . Aku menyebutnya dengan penuh sebak. Sungguh sayu terasa hati. Tiba-tiba bayangan Siti Aishah menjelma di mindaku. Dalam hati aku berdoa agar Allah memperlihatkan Siti Aishah semasa di depan Kaabah. Begitu juga ketika berada di raudah tidak putus-putus aku berdoa agar di tunjukkan sesuatu kepadaku. Semasa melalui padang pasir yang berbukit, aku dapat menyaksikan yang betapa susahnya Rasulullah dan para sahabat berdakwah dengan keadaan bukitnya yang berbatu. kalau di Malaysia akan kelihatan kehijauan bukitnya, Sepanjang perjalanan ke Makkah hanya kelihatan pasir dan bukit batu sahaja. Cuaca terasa panas diluar.

Miqat di Masjid Bir Ali

kami berhenti untuk mengisi perut dan melakukan solat jamak di sebuah masjid. Ramai jemaah dari pelbagai negara turut sama singgah untuk melakukan solat sebelum terus ke Makkah. Kami diberi nasi beriani arab. Terasa begitu selera walaupun nasi beriani arab tidak ada kuah namun tidak ada yang merungut. Semuanya makan tanpa banyak soal. Itu yang aku puji jemaah yang datang. Bas terus bergerak menuju ke makkah. Sekali lagi kami bertalbiah. Akhirnya kami memasuki tanah haram. Kami semua terus membaca doa ketika memasuki tanah haram. Jantung aku semakin berdebar-debar menanti saat itu. Bas berhenti didepan hotel Hajeej. Kelihatan sudah ramai yang berjalan kaki ke Masjidil Haram. Aku tercari-cari dimana.

Begitu ramai orang menuju ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat

Setelah meletakkan barang didalam bilik hotel, kami berkumpul dilobby untuk beramai-ramai melakukan tawaf dan saie secara berjemaah. Bila semuanya sudah ada maka kami berjalan kaki menuju ke masjidil Haram. Aku dan rakanku Zabri bertukar-tukar tangan menolak kerusi roda rakanku menuju masjid. Jarak hotel kami dengan Masjidil Haram ialah 250 meter. Tidaklah jauh sangat. Ada jemaah yang tinggal lagi jauh pun sanggup berjalan. Dari jauh aku melihat Masjidil Haram tersergam indah. Syukur Ya Allah. Aku datang Ya Allah. Kau terima lah aku Ya Allah. Kami memasuki masjidil Haram melalui pintu King Abdul Aziz. Begitu ramai jemaah berada didalam. Indah sungguh kelihatan dalam masjidil haram. Tiba-tiba aku terpandang kaabah yang begitu besar. kami semua bersuara subhanallah. Tidak terkata aku dan isteri. Antara tergamam dengan linangan airmata aku terus melangkah mengikut ustaz untuk melakukan tawaf umrah. Airmata aku dan isteri tidak dapat dibendung lagi. Kini kaabah berada didepan kami semua. Semasa tawaf tidak putus-putus aku berzikir dan berdoa agar Allah permudahkan segala urusanku. Begitu ramai yang tawaf. Isteriku berjalan dekat denganku agar tidak terpisah maklumlah baru saja sampai dan masih tidak lagi faham akan keadaan.

Rakanku Rizal yang kurang upaya telah menupah seorang pelajar menolongnya melakukan umrah untuk rakanku. Bayaran yang dikenakan ialah sebanyak 250 riyal. Upah terpaksa dilakaukan sebab ini merupakan umrah wajib dan perlu dilakukan dengan betul-betul. Atas nasihat ustaz dan pemahaman rakanku juga maka mereka telah mencari pelajar untuk menolong rakanku mengerjakan umrah wajib.

Mahasuci Allah aku dan isteri benar-benar berada di dataran Kaabah

Setelah selesai tawaf kaabah 7 keliling kami bersolat sunat dibelakang maqam Ibrahim. Tersedu-sedu aku berdoa tanpa memperdulikan orang lain. Begitu juga mereka yang berada di sebelah kanan. kiri, depan dan belakang masing-masing tersedu berdoa. Aku mengambil peluang melangsaikan doa yang dikirim oleh jiran, keluarga dan sahabat handai. Akhirnya aku berdoa agar Allah berilah peluang kepadaku agar dapat melihat Siti Aishah disini. Selesai berdoa kami melangkah untuk melakukan saie pula. Selesai melakukan 7 pusingan kami bergunting menandakan yang kami sudah selesai melakukan umrah wajib. Kedaan di Mekah amat panas. Cuaca meningkat kepada 49 darjah celcius. Tetapi aku tidak terasa panasnya ketika bersolat didepan kaabah.

Masyaallah tersergam indah Kaabah yang pertama kali berada didepan mata

Sewaktu berjalan pulang aku tercari-cari andaikata ada sesuatu yang Allah akan tunjuk. namun aku hampa. kakiku mula terasa kering. Terasa sakit bila memijak. Sebelum datang ada juga yang memesan agar membawa krim bersama untuk disapukan di tapak kaki. Aku terlupa masukkanya kedalam beg. Pulang kerumah aku terasa tapak kaki aku dah mula merekah. Badan pun dah terasa letih jadi aku dan rakan-rakan berehat seketika sebelum masuk waktu asar. Di Mekah sama juga seperti di Madinah setiap waktu pasti ada solat jenazah. kami semua tidak mahu terlepas peluang ini.

Ketika berjalan kaki menuju Masjidil haram untuk solat maghrib jam 6.20 petang mata aku tidak terlepas melihat gerai yang berada dikiri kanan menjual jubah dan peralatan yang lain. Penjual tidak putus memanggil kami, " Haji, hajjah mari singgah. Jubah cantik-cantik ". Kami mengambil peluang beriktikaf didalam masjid sehingga isyak sambil memandang kaabah yang begitu besar. Tidak putus-putus aku menyebut subhanallah. Syukur Ya Allah kerana kau telah terima kami semua. Esok merupakan aktiviti bebas. Aku dan isteri dah berpakat untuk melakukan tawaf sunat. Kaki aku dah terasa pedih. Akhirnya isteriku ketika pulang dari masjid singgah di farmasi membeli krim untuk disapu ditapak kaki. Kami tidur awal sebab masing-masing sudah keletihan bertolak dari Madinah dan sampai ke mekah terus melakukan umrah.

Diluar kedengaran keriuhan penjual dan kereta yang membunyikan hon. Silap sikit hon dibunyikan. Patutlah bas yang membawa kami asyik membunyikan hon. Kira tak sabar juga orang arab ni. Kedai-kedai menjual nasi beriani begitu banyak sekali, namun tidak ada tempat untuk duduk makan didalam sebab akan membuang masa saja. Bila azan berkumandang semua kedai akan ditutup untuk solat. Selepas selesai solat maka riuhlah keadaan. Dalam hati aku berkata tidak ada rezeki hari ini. Allah masih tidak mengizinkan doa aku dan aku terus tertanya-tanya apakah doa aku tidak dimakbulkan..Ya Allah tolonglah aku......

1 comment:

Bearcat said...

MasyaAllah. Rupa Paknjang sebijik macam arwah Tok Wan kan :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...