Teman-teman

Tuesday, November 09, 2010

Tak Serik-Serik lagi

Isteriku menerima panggilan talipon dari kakaknya mengatakan bahawa suaminya telah dimasukkan kehospital akibat serangan jantung dan stroke. Isteriku terpaksa menutup gerainya untuk menziarahi abang ipar yang koma di Hospital Taiping. Setibanya kami disana kami terus masuk kedalam ICU. Isteriku kelihatan terlalu sebak sewaktu mendoakan abang ipar. Ya la sudah berapa puluh tahun mereka bersama. Aku yang baru memasuki setahun lebih turut merasa keintiman mereka terhadap aku.

Kakak ipar menceritakan bahawa pada malam suaminya dimasukkan kehospital, Rakan-rakan ramai yang ziarah. Mereka bercakap dan memanggil nama suaminya. Akhirnya suaminya terpaksa membuka mata dan jantungnya terus menjadi tidak stabil. Dr terpaksa memberi ubat untuk merihatkan jantung dan tidak membenarkan lawatan secara group. Diizinkan masuk seorang demi seorang. Itupun untuk sekejap saja.

Kadang-kadang kita tidak mengerti akan adab-adab menziarahi orang sakit. Islam telah mendidik umatnya tentang semua ini. Dalam kitab Figh sunnah - Sayid Sabiq telah menjelaskan tentang adab-adab ketika menziarahi pesakit
  1. Mendoakan pesakit agar lekas sembuh
  2. Memberi nasihat agar bersabar dan tabah
  3. Menyampai ucapan yang baik seperti memberi harapan agar cepat sembuh
  4. Pendekkan waktu ziarah
Ini merupakan 4 yang boleh aku tulis. Ada beberapa lagi perkara penting. Berdasarkan 4 perkara ini aku dan isteri tidak lama di hospital. Kakaknya berkali-kali mengajak kami makan nasi dirumahnya tapi kami menolak secara baik. Tidak mahu kami menambah tekanan memasak untuk kami tapi hati masih memikirkan tentang keadaan suaminya. Kami mengambil keputusan untuk solat di masjid Taiping saja. Selepas itu kami mula meronda di Taman Tasik. Aku mencari bot kayuh. Niat dihati nak kayuh bersama isteri ditasik namun tidak kelihatan. Aku mengajaknya ke zoo Taiping tetapi isteriku tidak berminat. Nak ke Bukit Larut cuaca kelihatan gelap nak hujan. Jadi kami ambil keputusan untuk pulang saja ke Penang.

Dalam perjalanan pulang kelihatan begitu banyak buah-buahan yang dijual di tepi jalan. Aku memang tak boleh lihat buah-buah. Akhirnya aku berhenti di gerai yang menjual buah dokong. " La abang nak beli buah dokong ka. Abang ni tak serik-serik lagi. Dah baik sikit lutut tu mencari pula ". Rungut isteriku. " Abang beli buah ni untuk Nah. Abang tak makan. Kan abang dah taubat tak makan dah buah dokong ". Aku memujuk isteriku. Memang aku tak ada niat nak makan tapi aku geram melihat begitu banyak buah dokong. " Encik rasa buah ni. memang manis ". Penjual buah memberi buah untuk merasa. Aku rasa sejorong saja itupun mata isteriku dah membesar sedikit. Aku terus beri kepadanya. Akhirnya aku beli sekilo buah dokong.

" Terima kasih abang beli buah untuk Nah. Ni Nah beli buah untuk abang pula. Jangan makan buah dokong ". Sambil menghulurkan buah limau kepadaku. " Terima kasih kerana beli buah limau untuk abang ". Senyum aku begitu tawar mengambil buah limau. Isteriku tersenyum melihat gelagat aku menerima buah pemberiannya. " Nah nak sorok buah ni dari abang. Nanti bila Nah pergi meniaga abang dok makan buah dirumah ". Begitu beria benar dia tidak memberi aku makan buah dokong. Memang benar apa yang dia kata. kesokkan harinya aku tidak melihat langsung bayangan buah dokong. Akhirnya aku mendapat tahu dia membawa ke gerai dan makan bersama pekerjanya. Terliur aku melihat mereka bila mengupas buah dokong. " Tak apa bang. Nah makan untuk abang ". Aku tersenyum sendirian ketika membawa motosikalku bila mengingati akan bait-bait ayat ini.

2 comments:

hentian said...

nasib baik tak makan dokong. kalau tak nanti kena dukung.

makan banyak banyak apple cider tu. lepas 3 bulan, boleh la try dokong...

Ariff Budiman said...

Amin IM. Ya 3 bulan lagi musim dokong pun habis. Hang pandai la dok perangat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...