Badan yang keletihan setelah beberapa jam berkawad di program masjid membuatkan aku begitu cepat tertidur. Namun masih terasa sakit dikakiku akibat kekejangan otot. Keesokan harinya pula aku perlu ketempat kerja lebih awal sebab telah berjanji dengan rakan sekerjaku yang mempunyai program. Jadi dalam jam 7 pagi aku perlu menggantikan tempatnya. Itulah kelebihannya kerja secara berpasukan. Kalau rakan lain ada masalah sama-sama kami menolong apa yang perlu. Pada tahun 2008 semasa aku mengalami masalah keluarga dimana isteriku perlu penjagaan rapi, merekalah yang banyak membantu tanpa mengira waktu. Cuti telah habis aku ambil. Kini kalau mereka ada masalah aku perlu membantu pula mereka. Sedar-sedar sudah kedengaran azan subuh di surau berdekatan. Walaupun badan masih terasa letih, solat tetap perlu ditunaikan.
Setelah memakai uniform aku terus memecut motosikal ketempat kerja. Jam di tangan menunjukkan pukul 6.30 pagi. Suasana masih sunyi sebab hari minggu. Tidak ada banyak kereta. Jalan raya turut sepi. Aku sampai disatu traffic light. Selalunya bila lampu merah aku pasti berhenti menanti lampu hijau. Tapi entah kenapa pagi ini aku seperti terpukau dan terus memecut melepasi lampu yang masih lagi merah. Nasib baik tidak ada kenderaan lain. Aku terkejut bila dihadapan ada lagi satu traffic light yang menunjukkan merah. Terus aku brek. Tiba -tiba aku terdengar bunyi hon dibelakang. " Aishh.. tak kanlah kawan-kawan ada dibelakang ". Bisik hati kecilku. Sangkaanku meleset. 3 buah motosikal polis trafik telah berada dibelakangku. " Encik sila berhenti ditepi ". Arah salah seorang polis trafik.
Apalagi aku dapat merasai bagaikan hendak pengsan bila menyedari yang aku telah melakukan kesilapan besar. " Habis abang Nah kali ini kena saman maksimum. Apa aku nak buat ni ". Aku bercakap seorang diri didalam hatiku. Gelabah usah diceritalah. " Abang langgar lampu merah tadi sedar ke tidak ". Tanya polis trafik. " Maaf encik saya tak perasan tadi. Saya kelam kabut tadi. Saya pekerja TNB dan ada breakdown. Sebab itu saya tak perasan langsung ". Aku cuba meraih simpati. Mudah-mudahan mereka terima alasanku. " Kalau abang pekerja TNB sekali pun tak kanlah abang boleh langgar lampu merah dihadapan kami dan orang ramai pula nampak. Kalau saya tak tahan dan saman abang nampak sangatlah kami ni tak betul ". Serius polis trafik memegang buku saman. " Habislah aku kali ni. Ya Allah permudahkanlah ". Tak habis-habis aku berdoa kepada Allah didalam hati.
" Abang tolong beri lesen memandu dan pamerkan roadtax ". Minta pegawai polis tersebut. Aku mencari-cari lesen didalam beg duit. " Aishh...dimana pula lesen ni. Time ni la cari tak jumpa ". Merungut aku didalam hati. Akhirnya terjumpa juga lesen lalu aku hulurkan kepada pegawai polis tersebut. " Saya minta maaf banyak-banyak encik. Bos saya call tadi dan mengarahkan saya cepat-cepat ketempat kerja dengan segera. Kalau tidak satu Penang akan blackout ". Entah kenapa aku terkeluar ayat-ayat ini dan ini mungkin yang terakhir memohon simpati agar tidak disaman. Polis tarfik membelek-belek lesen memandu aku dan terdiam.
" Nasib baik abang pekerja TNB. Kalau tidak tentu saya saman maksimum. Lain kali jangan buat dah ". Sambil menghulur lesen kepadaku dan aku pula tidak putus-putus mengucapkan ribuan terima kasih dan berjanji agar lain kali aku lebih berhati-hati. Terus dia pergi. Berhenti pula polis trafik seorang lagi. " Ingat lain kali jangan main redah saja lampu merah ". Terus dia pergi. Berhenti pula lagi seorang. " Ingat lain kali kalau abang buat lagi macam ini saya bagi saman maksimum dan tiada lagi maaf ". Terus dia pergi. Fuhh...lega rasanya. Nasib baik mood polis trafik baik. Kalau tidak tentu aku kena maksimum. Sampai ditempat kerja dan sesudah rakanku pulang aku terus mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat zhuha.
Entah kenapa sewaktu bertafakur sejenak airmataku mengalir laju mengenangkan insiden tadi.
Bagaimana bila Mungkar dan Nakir bertanya kepadaku soalan yang sama mengapa aku melanggar perintah Allah. Apa yang aku akan jawab. Apakah alasan aku dan apakah mungkin mereka akan memaafkan segala kesilapan yang telah aku lakukan. Kalau didunia aku begitu fasih memberi alasan memohon simpati tetapi kini bila aku keseorangan didalam kubur bagaimana pula lidahku. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosaku. Ditempat kerja aku banyak mengelamun tentang peristiwa yang baru berlaku.
Sedar-sedar jam 4 petang dan aku akan menghabiskan tugasku. Sewaktu melangkah keluar dari tempat kerja aku memohon kepada Allah agar Allah jauhkan aku dari melakukan perkara yang tidak baik. Motosikal terus membelah lebuhraya memasuki jambatan Pulau Pinang. Selepas membayar tol aku terkejut sebab dihadapan JPJ pula membuat roadblock. " Ahh..sudah. Apa pula kali ini ". Gerutu hatiku. Aku mengikut giliran sebab semua motosikal diperiksa. Sampai giliran aku pegawai JPJ memerhatiku. Kemudian dia memanggil rakannya. Rakannya datang dan terus ditunjukkan aku kepadanya. " Ya Allah apa pula kesalahanku kali ini ". Hati aku ketika itu amat gelabah. Hanya zikir-zikir pendek bermain dihatiku.
" Encik... saya nak minta izin guna nama Ariff Budiman untuk anak kecil saya yang baru lahir boleh ka '. Aku tergamam mendengar kata-kata itu. " Tak ada masalah. Apa ada pada nama. Saya izinkan ". Kataku. " Saya mengharapkan agar anak saya kelak menjadi insan yang berguna seperti nama tersebut. Ariff, bijaksana dan Budiman, baik hati ". Kata pegawai JPJ. Setelah mengizinkan aku pergi aku terus mengelamun diatas motor apakah akhlakku sama seperti nama yang diberi. Aku masih ingat lagi ayat dari seorang rakanku tatkala tragedi yang berlaku kepada isteriku. " Hang ni baik sangat.Hang ni dayus tau. Kalau aku la, aku balas balik 3 kali ganda kepada orang yang buat bini aku sampai mati ". Ayat inilah yang kerap menghantui aku. Apakah aku telah menjadi terlalu dayus sehingga membiarkan orang yang menyihir isteriku bebas sebebasnya. Apakah aku tidak sayang akan isteriku sehingga membiarkan sahaja perkara itu.
Memang benar seperti kata mereka. Kalau aku ikutkan pepatah melayu yang berbunyi Tepuk Dada Tanya Selera memang seleraku ingin membalas kembali segala perbuatan yang telah mereka lakukan kepada isteriku tetapi apa yang aku pelajari dalam hukum agama berbunyi begini Tepuk Dada Tanya Iman dan imanku berkata kalau dibalas kembali aku sama seperti mereka. Itulah yang memisahkan aku dan mereka. Biarlah Allah yang membalas segala kejahatan yang mereka lakukan dan aku begitu yakin kini mereka telah melalui hari mereka. "Wama karu wamakarallah. Wallahu khairul makirin. Mereka merancang dan Allah juga merancang namun Allah sebaik-baik perancang ". Amin Ya Rabbal Alamin
1 comment:
hargghhh.... baca n3 IM ' salah lampu merah kah?' untuk pemandu yang langgar traffic light..
Post a Comment