Teman-teman

Sunday, January 02, 2011

Pindah Rumah

Alhamdulillah pada tanggal 1 Jan 2011 aku dan isteri telah mula berpindah memasuki rumah baru kami. Badan begitu meletihkan ketika mengangkat barang. Nasib baik anak aku dan anak tiriku ada. Merekalah yang banyak memainkan peranan. Aku menjadi seperti mandor mengarah itu dan ini. Semasa aku seusia mereka, akulah menjadi harapan keluarga untuk membantu apa yang patut. Abangku ketika itu berada di Mesir mendalami ilmu perubatan. Terasa benar juga dalam usia begini juga seperti insan marhen dan jendela hati sisa-sisa tenaga ini telah berkurangan. Sepanjang perjalanan kerumah baruku aku perasan yang isteriku terlalu sebak meninggalkan rumah yang didiami selama 17 tahun. Banyak suka dan duka terpahat dirumah itu. Itulah yang aku rasa tatkala keluar dari rumahku setelah berkahwin dengan isteriku Rosnah. Meninggalkan 2 anak hasil perkongsian hidup dengan arwah Siti Aishah. Walaupun mereka sudah besar dan meredhoi apa yang telah tersirat namun sebagai seorang ayah yang tidak pernah renggang selama 23 tahun aku terlalu sedih tetapi dalam masa yang sama terpaksa berkorban kasih sayang.

Siang dan malam aku merindui anak-anakku. Mereka terpaksa berjauhan dengan ayah mereka. Itulah pengorbanan yang cukup besar untukku. Sudah hampir 2 tahun aku terpaksa memendam perasaan. Biarlah kami berkorban asalkan di akhirat kami dapat bertemu jua insyaallah. Selepas solat maghrib aku menghampiri isteriku yang masih lagi bersedih walaupun tidak ditunjukkan kesedihannya kepadaku. Namun riak muka sudah menggambarkan sesuatu yang dipendamkan. Aku berpaling kearahnya dan berkata, " Nah kehidupan kita berdua ibarat sebuah drama dimana pengarahnya ialah Allah. Dalam episod pertama dipertonton perjalanan kisah Nah dan keluarga manakala episod seterusnya ditayang episod abang dan keluarga abang. Saat itu kita merupakan keluarga bahagia '. Isteriku kehairanan apa yang hendak aku sampaikan dan aku sendiri pun tidak mengerti apa yang hendak aku sampaikan ".


" Tanpa sesiapa duga Allah telah menguji Nah dengan kematian suami. Ketika itu amat berat Nah memikul segala tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada anak-anak. Alhamdulillah Nah berjaya mengharungi dugaan berat ini sehingga anak-anak meningkat dewasa. Tiba-tiba di episod lain ditunjukkan pula bagaimana Allah menduga abang dengan kematian Aishah. Bagi sesiapa yang tiada iman tentu telah menyalahkan Allah. Mengapa kita yang diduga tetapi tidak orang lain. Seperti juga Nah dengan dugaan Nah manakala abang dengan dugaan abang. Kita merasakan amat berat dugaan ini ".

" Siapa sangka rupanya pengarahnya iaitu Allah telah menggarap agar kita berdua dipertemukan walhal sebelumnya tidak terlintas dihati kita bahawa perkara ini akan berlaku. Setelah kita diijabkabulkan abang terpaksa berkorban dengan meninggalkan anak-anak abang dirumah. Memang mereka telah pun dididik dengan ilmu agama agar dapat menerima dugaan ini tetapi siapalah tahu didalam hati mereka terpaksa berpisah dengan ibu mereka selama-lamanya dan kini berjauhan pula dengan ayah mereka ". Disaat ini aku terlalu sebak bila bercakap soal anak-anak. " Cerita kita tidak berakhir begitu saja. Pengarah menggarap pula agar endingnya adalah ending gembira. Akhirnya Nah segalanya Allah atur dengan begitu rapi sekali. Kita telah dapat membeli rumah baru agar segala memori dan kenangan silam berkurangan ".

" Kini biarlah kita melangkah dengan penuh kesyukuran sambil membawa kenangan silam yang tidak dapat kita padam. Kalau kita fikirkan kembali kisah lalu tentu kita bersyukur kepada Allah kerana perancangannya yang begitu rapi terhadap kita ". laju air mata isteriku ketika ini. Aku mengharap agar Allah permudahkan segala urusan kami dirumah baru kami dan Allah tiupkan iman agar kami tidak lalai dan leka dengan nikmat sementara yang diberikan. Sebenarnya aku amat berterima kasih kepada kedua-dua anakku. Pengorbanan yang mereka lakukan tidak pernah aku lupakan. Mereka terpaksa mengorbankan kasih sayang yang setiap anak-anak perlukan. Ya Allah kau berikan kejayaan dunia dan juga akhirat kepada kedua-dua anakku Siti Zinnirah dan juga Hermawan. Aku gembira hasil pengorbanan besar mereka. Amin....

1 comment:

hentian said...

ah, sayu la pulak baca drama yang ni

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...