Teman-teman

Thursday, April 01, 2010

Aku Juga Akan Begitu

Aku menuruni anak tangga dari rumahku untuk pulang kerumah isteriku. Itulah rutinku setiap hari kalau aku bertugas petang. Tatkala isteriku berniaga dan setelah aku menolong serba sedikit, aku pulang kerumahku. Keadaan rumahku menjadi sepi. Suatu ketika rumah ini begitu kemas dan teratur. Jam sudah lama berhenti. Blender yang selalu digunakan bila aku blend pula akan berasap. Baru-baru ini flask yang meyimpan air panas pula meletup. Aku seperti tidak memperdulikan akan rumahku sendiri. Nasib baik anak gadisku tolong mengemas. Itupun kalau dia tidak letih dengan praktikalnya. Tatkala menuruni anak tangga itulah aku terlihat seorang pakcik yang dahulunya pernah dibacakan surah yasin oleh jemaah surau dan dikatakan kepadaku bahawa harapan untuk hidup amat tipis. Aku dan isteri bergegas kerumah pakcik. Isteri pula mempunyai pertalian saudara dengan mereka. Keadaan pakcik masa itu amat tenat. Tidak dapat bangun dan bercakap. Kekadang dirinya gelisah memusing badan tidak tentu arah. Aku pula memberitahu kakak-kakak ipar agar datang ziarah akan pakcik.

Hari ini Allah maha kaya. Aku melihat pakcik berjalan sambil bertongkat menuju kerumahnya. Tanpa membuang masa aku terus kerumahnya. Terkejut dia melihat kehadiranku. Kami berpelukan dan masing-masing terasak sebak. Sebaknya aku adalah disebabkan terasa bahawa Allah itu maha kaya dengan menghidup dan mematikan seseorang. Isterinya turut menangis bila aku memeluknya suaminya. " Lama tak nampak Budiman. Macam mana kehidupan sekarang. pakcik terasa sedih dengan apa yang menimpa Budiman ". Aku hanya mendiamkan diri.
" Tak apa lah pakcik. Semua tu ada hikmahnya. Allah tahu apa yang dia buat ". Sebenarnya kata-kata yang keluar dari mulutku adalah untuk mententeramkan hati ini.

Akhirnya aku cepat-cepat menukar topik perbualan. Aku datang bukan untuk menceritakan akan perihal benda yang berlaku. Padaku biarlah ia menjadi memori yang akan aku kenang sepanjang hayatku. " Pakcik..saya dan Rosnah akan mengerjakan umrah pada 20 - 30 Mei ini. Pakcik doakan agar Allah permudahkan segala urusan kami ". Aku melihat airmata pakcik dan makcik mengalir. Mungkin terharu dengan kami. Padaku mereka terlalu baik walaupun tidak ada pertalian saudara sebelum ini. Tetapi semenjak aku berkahwin dengan Rosnah mereka terlalu baik denganku. " Itulah yang terbaik buat Budiman dan Rosnah. Semoga mendapat umrah yang mabrur ". Kata-kata pakcik mematikan perbualan kami dan kami berpelukan kembali sebelum aku mengundur diri. Sambil aku berjalan keluar aku berperasaan yang suatu hari kelak aku pula yang akan menjadi seperti pakcik. Sebenarnya kita tidak menjangkakan bila kita akan kembali kepada sang pencipta. Adakah amalan kita sudah cukup. Adakah sedekah jariah kita sudah dapat menolong kita diakhirat kelak. Bagaimana dengan anak-anak kita. Adakah mereka akan terus mendoakan kita apabila kita sudah tiada kelak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...