Teman-teman

Friday, August 31, 2012

Kuatnya Semangat Ibu

Aku masih ingat ketika ibu dalam ICU. Doktor menunjuk gambar x ray keadaan paru-paru ibuku. Kata doktor kedua-dua paru ibuku mengalami rosak teruk dan chances untuk hidup amat tipis. Bermula dari situlah kami terus berdoa dan berkumpul anak cucu membuat bacaan yasin khas untuk ibu kami. Kami berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala-galanya. Ramai juga dikalangan pembaca blogku turut sama berdoa. Bulan Ramadhan Allah telah menutup pintu neraka dan membuka pintu syurga. Itulah bulan yang di penuhi dengan rahmat. Berkata Allah swt, “Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina” (QS. 40 : 60).

Alhamdulillah akhirnya doktor memberitahu yang sebelah kiri paru-paru ibuku telah beransur baik dan sebelah kanan masih ada sedikit lagi tompokan. Kata doktor ibuku bernasib baik sebab mengikut faktor umur, peratus untuk pulih amat tipis. Itulah keberkatan berdoa di bulan Ramadhan. Ibuku dipindah ke wad biasa dan ini bermakna ibuku terlepas dari fasa kritikal. Semasa aku melawat ibu doktor sedang menukar tiup. Kata doktor ibuku mempunyai semangat juang yang begitu kuat. Amat susah mendapat wanita dengan faktor umur seperti ibuku mampu mengharungi segala dugaan. Memang diakui akan semangat ibu. Sewaktu ayah lumpuh akibat termakan kulat beracun dan kami seramai 7 beradik masih kecil. Ibulah yang memainkan peranan membesarkan kami.

Aku melihat ibuku terbaring. Mungkin keletihan agaknya. Wajahnya kini telah berubah namun semangatnya begitu tinggi. Aku duduk di kerusi sambil memandang ibu. Memoriku begitu cepat memutarkan kembali kisah lampau. Aku berada di ICU tapi bersama isteriku Siti Aishah. Doktor berjumpa aku. Kata doktor,
" En Ariff, Kami dapati isteri En Ariff seperti sudah mengalah. Dia tidak mahu berjuang langsung. Cuba En Ariff bisik sesuatu ketelinga isteri En Ariff. Dia boleh dengar ". Kata doktor padaku.
Aku terus menghampiri isteriku yang kaku dengan wire memenuhi badannya. Aku memegang tangannya
" Siti..kuatkan semangat Siti. Jangan mengalah Siti. Jangan biar orang yang buat pada Siti ketawa gembira. Kan abang dah berjanji pada Siti. Insyaallah kalau Siti sihat kita akan mengerjakan umrah. Siti lawan la. Jangan tinggalkan abang dan anak-anak. Kami memerlukan Siti ". Aku sudah tidak dapat mengawal perasaanku. Aku menangis sambil memeluk isteriku yang kaku. Aku melihat airmata jernih jatuh dari kelopak isteriku.

Sewaktu aku membawanya berubat di Kelantan sudah nampak bunga mengalahnya. Sewaktu di rumah adikku kami melakukan solat hajat bersama. Keadaan isteriku ketika itu asyik menangis kesakitan Berkali-kali aku menalipon ustaz di Penang. Kata ustaz isteriku telah disihir dengan kaedah jarum dicucuk pada patung. Sebab itu dia kesakitan. Aku mengejutkan anak lelakiku agar solat hajat bersama. Setelah selesai solat hajat aku tertidur sebentar. Aku terkejut bila terdengar suara isteriku. Dia baru saja selesai solat hajatnya. Dia berdoa tapi dalam doanya dia menerima segala ketentuan ilahi. Dia pasrah akan nasibnya. Dia sudah tiada berdaya melawan lagi. Aku memberinya kata semangat.
" Insyaallah Siti...Kita akan lawan balik. Siti jangan mengalah. Kuatkan semangat. Allah bersama kita. Abang, anak-anak serta keluarga akan membantu ". Aku berkata pada isteri yang hanya terdiam.

" Bang Siti minta ampun pada abang. Halalkan makan minum Siti. Siti ucapkan terima kasih sepanjang kita hidup bersama Siti amat bahagia sekali. Abang adalah suami yang baik pada Siti ". Apalagi yang mampu aku katakan pada isteriku. Aku memeluk isteriku sambil menangis teresak-esak. Malam itu kami penuhi dengan airmata. Aku menyedari ketika itu bahawa isteri akan meninggalkan kami.
" Siti jangan kata macam tu. Kita lawan. Siti kuatkan semangat. Siti jangan risau kalau terjadi apa-apa tempat Siti adalah di Syurga. Siti tidak ada salah pada abang " Isteriku mencium tanganku. Terasa panas airmatanya. Aku hanya mampu menangis ketika itu.
" Ya Allah. Engkau permudahkan isteriku. Dia isteri yang baik. Aku tak dapat hidup tanpanya. Ya Allah aku ampunkan segala dosanya. Tempatkannya di syurgamu Ya Allah ". Menangis isteriku sambil terus mengucup tanganku

Sehari sebelum isteriku meninggal, aku mendapat panggilan talipon dari seorang sahabat. Katanya dia nak membawa aku berjumpa dengan seorang guru pondok yang boleh mengubati penyakit sihir. Aku terpaksa meninggalkan isteriku di ICU dan mengikut sahabatku. Guru pondok ini boleh scan dari jauh. Kata guru tersebut badan isteriku dipenuhi dengan wire. Ada 4 ekor makhluk sedang mengelilingnya. Dia telah musnah makhluk tersebut. Untuk membuang penyakit yang berada di badan isteriku, guru pondok akan menggunakan kaedah memindahkan segala penyakit kebadanku dan membuangnya. Guru pondok meminta aku berfikir sebelum bertindak. Mungkin akan terdapat kesan sampingan bila penyakit dipindahkan kebadanku.

Akhirnya aku mengambil risikonya. Aku setuju untuk memindahkan segala penyakit isteriku kebadanku. Biar apa pun terjadi asalkan isteriku dapat diselamatkan walaupun caranya amat merbahaya sekali. Aku amat sayangkan isteriku. Akhirnya aku disuruh membaca ayat-ayat quran dan membayangkan wajah isteriku. Tiba-tiba badanku terasa begitu sakit sekali. Tak tertanggung aku menahannya. Hampir pengsan aku. Inikah kesakitan yang isteriku alami selama ini. Guru pondok menarik keluar melalui ibu kakiku. Ketika itu aku dapat merasakan sakit yang amat sangat sehingga kehujung ibu kakiku. Akhirnya selesai penyakit isteriku dibuang melaluiku. Guru pondok terus scan dari jauh sambil menggelengkan kepalanya.

" Bang penyakit dan makhuk telah tiada lagi Tapi isteri abang sudah pun mengalah. Dia sudah menerima takdirnya. Abang pulanglah. Sekarang ni doktor sedang bertungkus lumus memulihkan jantungnya ". Kata-kata dari guru agama membuatkan airmataku mengalir. Aku masih boleh menahan sebakku tapi didalam hatiku aku meraung.." Siti jangan tinggalkan abang...abang sayangkan Siti ". Aku memandu kereta terus pulang kerumah. Ketika mengambil wuduk untuk solat hajat, aku menerima panggilan kecemasan dari bilik ICU. Kata nurse isteriku sedang nazak sekarang. Aku bersama anak lelakiku bergegas ke hospital. Doktor beritahu yang jantung isteriku mengalami kerosakkan yang teruk dan tiada harapan untuk dipulihkan.
" En Ariff boleh memanggil kaum keluarga untuk datang melawat ". Kata doktor aku tahu bahawa doktor sudah membuat yang terbaik.

Kaum keluarga mula memenuhi bilik ICU. Mereka membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Aku menghampiri isteriku sambil berkata,...
" Laa...ila Haillallah...3x. Siti..abang ampunkan segala dosa Siti walaupun pada abang Siti tiada kesalahan langsung. Abang halalkan segala makan minum Siti. Siti pergilah dengan tenang. Tempat Siti adalah di Syurga. Siti tunggu abang di sana ". Aku tidak dapat menahan lagi perasaanku sehingga ditenteramkan kaum keluarga. Tidak sanggup aku melihat mesin digital menurun dari angka 20, 19.18......1,________ ". Akhirnya isteriku mengadap ilahi dengan begitu tenang. Berakhirnya segala harapanku, cita-citaku, hobiku. Semuanya dibawa bersama oleh isteriku. Itulah secebis kisah 2 orang wanita yang membuatkan aku begitu bangga dan kagum sewaktu bersama mereka. 2 wanita hebat itu ialah ibuku dan isteriku Siti Aishah. Namanya seindah akhlaknya. Al-fatihah buat Siti Aishah.


4 comments:

Thirah said...

Al-Fatihah...:|

Kakcik Seroja said...

Bergenang airmata kakcik me baca Catalan ini. Terkenang Kanda ibu Dan ayah kakcik yang bertarung nyawa di ICU dulu. Al Fatihah buat semua mereka yang telah mendahului kita...

Maiyah said...

terharu bca bingkisan ini
dari Allah kita dtg
kpd Allah kita kmbali

radziah AR said...

Al-fatihah...sedih...begitu manusia memperlakukan...bahagiakah mereka melihatnya....ya allah..minta dijauhkan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...