Teman-teman

Monday, August 20, 2012

Perubahan Positif

Allahu Akbar Allahu Akbar...Laa...Ila Haillallah Wallahu Akbar. Allahu Akbar Walillahilham. Terasa begitu sayu sewaktu aku mengetuai takbir di surauku. Allah maha besar yang dilaungkan sepanjang waktu sebelum solat Aidil Fitri sebenarnya ditujukan kepada aku sekeluarga. Alhamdulillah sewaktu menziarahi ibuku sehari sebelum Aidil Fitri ibuku telah menunjukkan peningkatan dalam penyakit yang dihadapinya. Kalau sebelum ini ibuku banyak bergantung harapan pada ventilator kini Alhamdulillah sedikit sebanyak ada perubahan. Kata doktor sudah 8 jam ibuku bernafas dengan menggunakan paru- parunya dan bukan dengan ventilator. Walaupun masih nampak kepenatan namun ia sebagai langkah yang terbaik.

Selesai solat Aidil Fitri kami berkumpul dirumah ibuku seperti biasa. Walaupun sekadar sederhana tapi hubungan kekeluargaan tetap mesra. ICU hanya dibenarkan masuk pada jam 1 - 2 petang dan 5 - 7 petang setiap hari. Sebanyak 2 orang dibenarkan masuk setiap kali. Sebelum kami ke hospital sambil berhari raya kami berbincang tentang kesihatan ibu. Jam 1 petang kami terus ke hospital. Bila masuk kedalam ibuku sudah sedia menanti. Wajahnya nampak bersih walaupun menanggung kesakitan. Itulah anugerah yang Allah berikan kepada orang yang kerap membasahi mukanya dengan wuduk. Kadang- kadang kita melihat walaupun seseorang itu kelihatan tua tapi wajahnya begitu bercahaya sekali. Itulah kesan dari air wuduk kita.

Kata doktor ibuku mempunyai semangat juang yang begitu tinggi. Jarang mendapat orang yang seusia ibuku mampu bertahan. Anti body ibuku juga begitu kuat. Paru-parunya nampak ada tanda pemulihan kata doktor. Apalagi yang kami mampu ucapkan selain subhanallah dan Alhamdulillah. Terlalu sayu sewaktu menghulurkan tangan memohon ampun dan maaf pada ibuku. Aku gagahi menahan perasaan sebak agar ibuku juga tidak sebak dan mungkin boleh memgganggu kesihatannya. Kami tidak berani berkata hari ini hari raya. Kalau ibuku tahu sudah tentu dia pasti sebak.

Berkali- kali ibuku meminta untuk pulang. Tapi doktor tidak membenarkan sebab ibuku memang bergantung sepenuhnya kepada ventilator. Ada juga kaum keluarga sebelah ibuku berkata mengapa tidak dibawa pulang ibu buat semntara waktu. Sebenarnya mereka tidak faham akan tahap kesihatan ibu. Mereka merasakan apabila ibu meminta untuk pulang kenapa tidak dilayan permintaan ibuku. Tanpa ventilator mungkin ibuku akan bertambah penat dan seterusnya menjadi tenat semula. Bukan mudah untuk membawa pulang ventilator. Kadang- kadang begitu senang kita bercakap tanpa mengetahui disebalik keengganan doktor.

Bila doktor datang memeriksa ibuku, ibuku akan mengangkat tangan seperti memberi warning kepada doktor. Tertawa doktor.
" Kenapa....makcik marah pada saya ke ". Kata doktor. Kami hanya tersenyum mendengar kata-kata doktor dan kami mengerti mengapa ibu berbuat demikian kepada doktor. Sebenarnya walaupun Aidil Fitri tahun ini dianggap sayu oleh kami kerana tiada ibu disisi tapi kami perlu bersyukur sebenarnya Aidil Fitri tahun ini memang satu rahmat buat kami kerana mendapat berita yang positif tentang tahap kesihatan ibu. Kata doktor insyaallah mungkin minggu hadapan ibuku akan dipindah ke wad biasa. Subhannallah...terima kasih Ya Allah kerana masih memberi lagi peluang kepada kami untuk terus bersama ibu. Terima kasih tak terhingga kepada pembaca sekelian yang membantu mendoakan agar kesihatan ibuku pulih seperti biasa. Tiada apa yang dapat aku berikan selain aku juga berdoa kepada Allah agar pembaca yang menolong mendoakan ibuku mendapat rahmat dari Allah.
" Ya Allah kau berikan mereka yang berdoa buat ibuku kesihatan yang baik. Kau bahagiakan keluarga mereka dan engkau jauhkan mereka dari siksa api neraka. Amin Ya Allah ".

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...