Teman-teman

Tuesday, April 23, 2013

Ragam - Ragam Di Pasar Malam


Walaupun aku keletihan standby untuk penamaan calun pilihanraya dan perutku kekosongan dari tengahari akibat terlalu sibuk. Aku gagahi juga bila pulang terus ke pasar malam untuk membantu isteriku. ketika suasana masih lagi awal dan pelanggan masih tidak ramai aku order koay teow goreng bersebelahan gerai isteriku. Aku memang suka mee dan koay teow goreng mereka. Ianya basah dan sedap. Perut pun memang lapar jadi makan pun bersemangat la.


Inilah pelanggan tetap isteriku. Setiap sabtu sudah pasti dia akan berada dibelakang gerai isteriku menanti sesuatu. Walaupun kami tidak membela kucing namun isteriku amat menyayangi kucing. Disediakan 2 ketul ayam goreng untuk kucing ini. Setelah mendapat 2 ketul ayam kucing tersebut terus berlalu pergi. Aku begitu memuji orang yang suka kepada binatang. Aku masih ingat sahabat baik aku amat menyayangi kucing. Nama turut diberi kepada kucing-kucingnya. Antara yang aku ingat ialah Bibah dan Bokyeng. Kadang-kadang bila aku bertanya kabar tentang dirinya sudah pasti kucing kesayangannya tidak terlepas dari pertanyaanku. Aku teringat akan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairoh, Rasulullah saw pernah bersabda, " Suatu ketika seorang lelaki yang melakukan perjalanan sangat kehausan. Ia turun kesebuah sumur lalu minum air dari situ. Pada saat dari tempat itu, ia melihat seekor anjing menjilati lumpur kerana merasa haus. Lelaki itu berkata, Anjing ini sengsara kerana persoalan yang sama denganku. Lalu ia turun kembali ke dalam sumur mengisi sepatunya dengan air, menggigitnya dengan giginya dan memanjat dinding sumur, kemudian memberinya minum dengan air itu. Allah berterima kasih atas perbuatan baiknya dan memamafkannya. Orang-orang bertanya , Ya Rasulullah, apakah kami diberi pahala bila melayani haiwan ?"
Rasulullah saw menjawab, " Ya..melayani keperluan makhluk hidup memperolehi pahala ".


Dari jauh pula kelihatan seorang lelaki membawa fail untuk meminta derma. Setiap orang yang lalu akan disapanya dan meminta derma. Kertas yang dibawanya bersama begitu lusuh. Pakaiannya juga tidak begitu kemas. Waktu maghrib dia masih lagi kehulu dan kehilir meminta derma. Banyak juga duit yang didapatinya. Aku kira rakyat Malaysia ini memang berhati mulia. Peminta sedekah juga begitu banyak yang datang untuk meminta. Bagi aku kalau siapa yang nak memberi sedekah berilah. Kalau tak nak beri jangan dimarahi atau mengherdik mereka. Bab kita sudah lepas dan Allah akan memberi pahala kepada kita.Dalam surah Al Baqarah ayat 263, Allah berfirman yang bermaksud, " ( Menolak peminta-peminta sedekah ) dengan perkataan yang baik dan memaafkan ( kesilapan mereka ) adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi " dengan perbuatan atau perkataan yang ) menyakitkan hati dan ( ingatlah ) Allah maha kaya lagi maha penyabar ".


Ibubapa yang mempunyai anak kecil janganlah membawa mereka ke pasar malam bila waktu maghrib. ketika itulah makhluk berkeliaran. Ada satu keluarga membawa anaknya waktu maghrib. Ada makhluk yang berminat dan nak bermain dengannya. Anaknya menjadi takut lalu menangis. Si ibu memberi anak patung kepada anaknya. Makhluk tersebut bertambah minat lalu tidak berganjak. Anaknya semakin menangis dan si ibu hanya menepuk anaknya sambil melihat makanan. Biarlah selepa solat baru kita keluar.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...