Teman-teman

Thursday, October 06, 2011

Allah Bayar Cash

Bersambung dari entry semalam, setelah selesai aku membayar wang untuk ikan bawal goreng aku bergegas pula ketempat kerja sebab aku mendapat maklumat yang Jabatan Saliran akan mengorek dan membersih parit di belakang tempat aku bertugas. Aku harus kesana segera sebab jika berlaku kelalaian sewaktu kerja-kerja pembersihan alamat menanggung gelap ler Pulau Pinang.

Bila sampai kelihatan jengkaut telah mula menjalankan tugasnya. Lumpur diangkat lalu diletakkan diatas. Yang menyedihkan ialah pokok ulam beluntas yang begitu hijau turut tertimbus dek lumpur.
" Sayang pokok beluntas tu ". Aku beritahu kepada driver jengkaut.
" Tak apa bang. Nanti dia tumbuh lagi elok ". Aku membenarkan kata-katanya. Lagi pun aku tidak mahu mengganggu tugasnya. Akhirnya tertanam juga pokok ulam beluntas. Hilang kehijauan pokok ulam.

Ketika aku bersama mereka sudah beberapa ekor belut dapat ditangkap dari dalam lumpur. Cina kontraktor yang bersama aku tak senang duduk bila melihat belut ditangkap.
" Aiyaa. Itu belut manyak bagus oo untuk kesihatan. Satu kilo RM70 ". Katanya kepadaku.
" Apa yang bagus untuk kesihatan tauke ". Sengaja aku bertanya padahal aku sudah mengetahui akan kebaikan belut.
" Itu belut aar baik untuk penyakit penat dan untuk olang jantan ooo ". Aku tertawa bila dia berkata demikian. Walaupun umurnya mencecah 72 tahun, kesihatan tetap dipeliharanya.

Pemuda yang menangkap belut terus menghulur seekor untukku. Cepat-cepat aku mengelak sebab belum pernah aku menjamah belut. Kalaulah aku bawa pulang belut sudah tentu isteriku lari lintang pukang seperti melihat hantu bonceng. Aku sendiri pun geli memegangnya. Terasa seperti memegang ular senduk pula. Pemuda tersebut terus membawa belut ke restoran berhampiran. Katanya nak minta tolong buatkan sup belut.

Datang sebuah motosikal lalu berhenti dihadapanku lalu mengambil sesuatu dari dalam raga motorsikalnya.
" Encik ni saya bagi kerang. Baru saja dinaikkan. Terima kasih kerana parit nampak bersih ". Katanya lelaki tersebut. Ketika air laut pasang besar, airnya memenuhi parit tersebut. Maka ramailah yang datang menjala ikan. Kadang-kadang seperti pesta. Aku sendiri tidak senang duduk bila melihat mereka menjala dan hasil dari menjala begitu banyak ikan didapati. Aku melihat kerang yang diberi kepadaku. Agak-agak dalam 3 kilo.

Teringat kembali bagaimana Allah membayar cash kalau kita amanah. Aku membayar wang ikan bawal goreng yang berharga RM5 lalu aku dihadiahkan kerang pula dalam lingkungan harga itu. Mahasuci Allah kalau kita tidak mengambil hikmah disebalik semua kejadian maka kita tidak akan menjadi orang yang bersyukur. Aku membawa pulang lalu kuberikan kepada isteriku. Gembira sungguh isteriku sebab terlalu teringin nak makan kerang katanya. Tiba-tiba kerang berada didepannya. Terus di rebusnya lalu dicicah dengan kicap yang diperah limau dicampur dengan cili padi dan bawang. Sedap sungguh serta manis sekali.....

4 comments:

Kakcik Seroja said...

Sesungguhnya janji Allah sentiasa benar - buat baik, maka baiklah balasannya. :)

Ariff Budiman said...

kakcik..Allah sentiasa melihat ya

saing said...

alhamdulilah atas segala kurniaNya...segar isi kerang tu..ermmm tliur weh kawe

Ariff Budiman said...

saing...Kerang fresh meme segar weh..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...