Teman-teman

Wednesday, September 28, 2011

Senang Saja Nak Buat

Aku mendapat panggilan dari anak saudara bertanya samada isteriku boleh menerima tempahan bihun Singapore untuk jamuan hari raya. Semenjak aku berkahwin dengannya belum pernah aku merasa bihun singapore. Aku tahu dia tidak berapa pandai dengan bihun singapore. kalau bihun Malaysia memang sedap kalau isteriku yang menggorengnya. Aku pernah berkata kepadanya yang aku amat suka makan bihun singapore tapi aku tidak beritahunya siapa yang goreng. Mungkin isteriku faham apa yang dimaksudkan.
" Nah tak pandailah buat bihun Singapore. Malu nanti tak sedap ". Itu jawapannya bila aku bertanya kepadanya. Akhirnya aku meminta bantuan dari keluarga arwah Siti Aishah. Mereka juga merupakan orang yang pandai di dapur. Hairan..mereka juga berkata tidak pandai dengan bihun singapore.

Akhirnya aku menalipon ibu angkatku untuk bertanya cara-cara membuat bihun singapore. Mendapat resipi dari ibu angkatku, isteriku pun memberanikan dirinya menggoreng bihun singapore. Bila di hidangkan di hadapanku rasa ghairahku kembali dengan bihun yang lama tidak aku sentuh.
" Macam mana bang. sedap tak bihun ni ". Tanya isteriku.
" Masyaallah. Memang sedap Nah goreng. Pandai pun ". Puji aku
" Aishah goreng sedap tak ". Tanya isteriku dan aku pula terdiam mencari ilham.
" Isteri mana goreng pasti sedap. Aishah goreng pun sedap. Nah goreng pun sedap ". Aku yakin jawapan aku itu merupakan jawapan yang tidak menyebelahi sesiapa. Senyum isteriku bila aku menambah lagi. Kira sedaplah tu.

Isteri mana pun pasti merasa gembira bila suami mereka memuji masakan mereka. Suami mana pun pasti bersyukur bila pulang dari kerja isteri sudah menyediakan makanan di atas meja. Kadang-kadang suami isteri bekerja tapi bila pulang isteri menyambung tugas di dapur pula. Sekali sekala kita sebagai suami bantulah sama isteri bak kata pepatah melayu berat sama dipikul. Ringan sama dijinjing. Sekali sekala kita jadilah Mr Mama.

Monday, September 26, 2011

Ayah Nak Kahwin Lagi

" Assalamualaikum kakak. Ayah nak ajak keluar makan. Ada perkara yang ayah nak bincang ". Kataku kepada anak sewaktu menaliponnya. Terasa rindu benar dengan anakku. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Selepas maghrib aku mengambil anakku. Hanya kami berdua tanpa di temani isteriku. Kami ke restoran satay Ahh Basri. Satay yang amat aku minat. harganya secucuk RM 1 namun kalau makan 5 cucuk sudah kenyang sebab besar-besar dagingnya. Anakku order satay Ostrich dan kijang manakala aku hanya order satay Tandoori.

Resah anakku menanti apakah persoalan yang akan aku bincangkan. Setelah pelayan meletakkan satay maka aku pun mula membuka mulut.
" Macam ni kakak. Ayah ingat nak kawin lagi ". kataku sambil tersenyum.
" Apa....Ayah nak kawin lagi. Jangan ayah Mak Rosnah tu begitu baik ". Tersentak anak gadisku mendengar ayat pertama dariku. Aku terus tertawa melihat anak gadisku.
" Tak..tak. Ayah bergurau saja. Ayah tak kahwin. Ayah dah ada isteri yang baik ". Anak gadisku mengurut dadanya merasa lega. Persis ibunya bila terkejut hasil dari gurauanku. Terbayang wajah arwah Siti Aishah bila melihat reaksi spontan anak gadisku. Saling tak tumpah.

" Macam ni kakak. Ayah ingat tahun depan selepas adik tamat pengajian di Politeknik dan kalau ada rezeki, ayah nak bawa kakak dan adik serta Mak Rosnah kita buat Umrah. Ayah kesian dekat kakak dan adik begitu sunyi. Kakak dan adik sudah banyak bekorban kasih sayang demi ayah setelah emak tiada. Jadi inilah masanya ayah nak balas segala pengorbanan kakak dan adik ". Terpaku anak gadisku. Kelihatan air mata jernih mengalir.

" Ya Allah ayah. Kakak memang teringin sangat nak ke Mekah ". Katanya yang membuat aku juga begitu terharu. Aku terus memasukkan satay tandoori kedalam mulut. Sedap rasa satay ni.
" Kakak berdoalah sama kepada Allah agar ayah di beri rezeki berlebihan. Satu saja ayah nak pesan dekat kakak. Kalaulah jadi kita kesana janganlah kakak niat untuk bertemu dengan emak. Kita kesana kerana ibadah dan kalau Allah izinkan kita melihat bayangan emak itu merupakan rezeki dari Allah ". Terdiam anak gadisku mendengar nasihat aku.

Setelah aku menghantarnya pulang aku kembali kerumahku. Aku cerita kepada isteriku apa yang berlaku sewaktu aku keluar bersama anakku. Entah kenapa aku melihat air jernih jatuh dari kelopak isteriku.
" Abang buat macam ni Nah sebab anak-anak abang telah korbankan kasih sayang mereka demi kebahgiaan seorang ayah ". Airmataku pula mengalir. Terlalu sebak bila memikir pengorbanan kedua-dua anakku. Teringat akan kata-kata anak gadisku
" Ayah jangan risau akan kakak dan adik. Pandai-pandailah kami menjaga diri. Janji ayah bahagia, kami juga bahagia ". kata anak gadisku sewaktu aku hendak melangkah keluar kerumah isteriku setelah berkahwin dengannya. Berpelukan kami anak beranak seolah-olahnya akan berpisah jauh.

" Abang cukup duit ke nak bawa kami ke Mekah ". Tanya isteriku.
" Insyaallah Nah. Duit kita boleh cari. Kalau tak cukup abang akan duduk sebelah Nah. Nah jual nasi tomato, abang pula mengetuk bongo menyanyi lagu. Abang letaklah topi dibawah ". Gurau aku dengan isteriku.
" Jangan bang. Nanti tak ada siapa yang akan beli nasi Nah ". Tertawa pula isteriku.
" Hai dulu abang artis la. Dari penyanyi rock abang hijrah ke nasyid pula. Nah pun pernah dengarkan suara abang dulu ". Sambil tertawa aku terus bergurau.
" Dulu umur abang berapa dan sekarang berapa. Nanti sumbang la ". Tertawa kami berdua dengan gurauan itu.

Friday, September 23, 2011

Rezeki Hari Jumaat

Hari ini aku bekerja pagi di tempat kerjaku yang asal. Jam 11 pagi sengaja aku ke Kuala manalah tahu kalau ada rezeki nelayan membawa pulang hasil tangkapan mereka. Memang kelihatan bot-bot yang baru sampai. Mungkin hari ini Jumaat jadi mereka pulang awal sebelum masuk waktu solat Jumaat. Terdapat udang, ikan gelama, ikan duri, ketam dan ikan-ikan kecil.

" Encik semua ni satu besen RM30 mau ka ". Tanya nelayan. Terbeliak biji mata bila melihat udang yang besar. Ikan duri yang banyak. Terbayang ikan duri dimasak asam pedas dan kari. Ikan gelama di goreng. Fresh lagi tu. Akhirnya aku mengambil kesemua dan terbanyang bila membawa pulang sudah tentu isteriku terkejut melihat begitu banyak ikan. Macam borong di supermarket.

Thursday, September 22, 2011

Mengaji Dan Mengkaji

Isteriku membuka beg lalu memberi kepadaku quran. katanya itu quran digital. Di belinya dengan harga RM250. Aku membuka dan dapati ianya sungguh mudah. Bila diarahkan saja pen ke ayat quran terus di bacanya. Memang dunia sudah maju dan teknolji pun berubah begitu cepat sekali. Tiada alasan untuk kita mengatakan yang kita tidak tahu membaca. Quran digital boleh guide pembaca.

Aku masih ingat akan kata-kata seorang pakar motivasi. " Mari kita mengaji dan mengkaji ". Disamping kita mempelajari tajwid kita perlu juga tahu makna ayat yang dibaca. Marilah kita bermula dari sekarang jikalau dalam bulan ramadhan kita pinggirkannya. Selamat membaca.

Wednesday, September 21, 2011

Warkah kedua Buat Anak-Anak Ayah

Assalamualaikum kedua-dua anak ayah. Harapan ayah agar kedua-dua anak ayah dalam pelihara Allah swt. Tujuan warkah kedua ini di kirim bukanlah bertujuan untuk menyentuh perasaan sedih di hati kakak dan adik. Kakak masih ingat ketika kakak berada dalam darjah 4 dan adik dalam darjah 2. Emak sekali lagi disahkan mengandung. Awal-awal lagi doktor telah maklumkan kepada ayah dan emak yang emak harus juga di bedah untuk anak ketiga. Tempat bedah masih sama dimana kakak dan adik di keluarkan. kali ini ayah dan emak lebih bersedia sebab sudah mengetahui akan risikonya. Doktor menasihati ayah dan emak agar saluran peranakan emak di ikat. Terlalu risiko kata doktor untuk anak yang selanjutnya. Doktor meminta ayah dan emak berfikir tentangnya.

Emak asyik termenung selepas nasihat doktor. Pada emak, emak tidak mahu mengikat saluran peranakan. Kata emak kalau dijahit sudah tentu emak tidak dapat memberi zuriat lagi kepada ayah. Emak juga khuatir andaikata perkara itu terjadi mungkin ayah akan berubah hati. Sedih hati ayah mendengar kerisauan emak. Kata ayah pada emak yang ayah tidak sampai hati berbuat demikian. Ayah terlalu sayang emak. Ayah bersyukur kepada emak dengan izin Allah, emak telah memberi 3 zuriat untuk ayah. Itu suatu pengorbanan yang besar buat ayah. Akhirnya kakak, adik, ayah menandatngani borang persetujuan agar saluran peranakan emak di ikat. Ayah terlalu kasih pada emak. Bagi ayah cukuplah 3 orang zuriat yang kalau di didik dengan betul akan membahgiakan ayah dan emak di akhirat kelak.

Sepanjang emak mengandung, Allah telah memberi kesihatan yang baik kepada emak tetapi ayah yang di ujinya. Sudah berapa kali ayah muntah dan pening. Emak tersenyum sambil mengurut kepala ayah. Ayah bertanya emak kenapa emak senyum- senyum pada ayah. Kata emak itulah yang wanita rasa tiap kali mengandung. Ayah hanya tertawa ketika itu. Bahagia sungguh hidup ayah ketika itu. Memang langit ketika itu amat cerah buat keluarga kita. Kadang-kadang ayah meminta emak buatkan pasembur sebab terlalu teringin. Ketawa emak bila ayah mengidam makan pasembur. Ayah masih ingat akan kata-kata emak sambil tertawa,
" Abang ni mengidam ka atau nak ambil kesempatan ". Ayah hanya tertawa ketika itu. Emak tetap juga buatkan pasembur. Esoknya ayah minta emak buatkan gado-gado pula. Kata emak ayah mengalahkan wanita yang mengandung. Bila ayah kenangkan kembali saat itu bila bersendirian terasa sayu dan kadang-kadang ayah tersenyum sendirian.

Kakak, adik bila genap dan emak telah menampakkan tanda-tanda hendak melahirkan adik yang ketiga, ayah terus membawa emak ke hospital. Setelah beberap jam ayah menunggu, nama ayah dipanggil nurse.
" Tahniah encik. Encik dapat baby lelaki ". Kata nurse kepada ayah
" Bagaimana isteri saya nurse ". Tanya ayah kepada nurse.
" Alhamdulillah sihat. Cuma letih sedikit ". Kata nurse kepada ayah sambil mengizinkan ayah melihat emak. Ayah mengucup tangan emak sambil mengucapkan terima kasih. emak mengalir air mata.
" Siti minta maaf sebab tak dapat memberi lagi anak kepada abang ". kata emak kepada ayah. Ayah turut juga mengalir airmata sambil memeluk emak.
" Tak apa Siti. Allah sudah berikan 3 orang anak kepada kita itu yang perlu abang syukur ". Ayah mententeramkan emak. Ayah tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku terhadap emak.

Ayah memberi nama adik dengan nama Ashraf. Setiap hari ayah melihat adik Asyraf tanpa emak sebab emak tidak dapat berjalan sebab masih merasakan lagi kesakitan. Suatu hari kakak, adik ayah mendapat panggilan talipon dari nurse. Katanya ada perkara mustahak doktor nak berbincang dengan emak. Dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ayah singgah di hospital. Sebak hati ayah bila diberitahu yang adik asyraf telah dijangkiti kuman dan ia sedang menyerang paru-paru dan buah pinggang. Ayah pulang kerumah dan emak sudah menanti untuk mengetahui akan perkembangan adik Asyraf. Ayah serba salah ketika itu. Akhirnya ayah tidak lagi dapat menyebunyikan perasaan ayah lalu ayah cerita pada emak. Menangis emak bila mendengar dan hari itu juga emak mengajak ayah untuk melihat adik Asyraf walaupun kesakitan. Itu semua tidak di hiraukan emak. Janji emak dapat melihat adik Asyraf.

Kakak, adik, pada hari kelapan belas kelahiran adik Asfraf, ayah mendapat panggilan talipon dari nurse. Kata nurse adik Asyraf kritikal. Bergegas ayah dan emak ke hospital. Bila sampai kelihatan adik Asfraf memakai peralatan mengepam jantung. Bagaikan halilintar doktor beritahu ayah yang adik asfraf sudah tiada dan menanti pengesahan ibubapa untuk mematikan alat pengepam jantung. Emak terus jatuh bila mendengar adik asfraf tiada.
" Bang...bang anak kita telah meninggal bang. Siti tak boleh bagi anak dah dekat abang ". Tangis emak dalam pangkuan ayah. Ayah cuba mententeramkan emak. Tapi ayah juga seperti emak tidak dapat lagi menahan sebak. Menangis ayah dan emak di dalam ICU sambil di perhatikan oleh nurse dan doktor.

Mayat adik telah dibawa pulang kerumah. Batin emak ketika itu amat tersiksa jadi ayah terpaksa mengawal perasaan ayah agar emak dapat menerima kenyataan ini. Berkali-kali emak mencium adik Asyraf. Ramai rakan-rakan ayah mengucapkan takziah dan tahniah. Ayah tahu apa maksud tahniah itu. Emak bertambah murung selepas pemergian adik Asfraf. Emak amat takut sekali ayah berubah hati. Sudah beberapa ayah tenangkan hati emak dengan berkata yang ayah amat sayang akan emak dan tidak sekali-kali berubah hati hanya kerana emak tidak dapat lagi memberikan zuriat kepada ayah. Emak ketika itu amat tertekan. Hanya kepada Allah saja tempat ayah mengadu agar Allah memberikan ketenangan kepada emak.

Alhamdulillah akhirnya sedikit demi sedikit emak telah pulih. Sudah berapa kali emak mengajak ayah ke pusara adik untuk melawat. Ayah akur demi emak. Biar emak terasa tenang dengan berbuat begini. Satu perkara yang emak tak boleh lihat ialah bila ada kisah drama tentang bayi dan ini membuatkan hati emak kembali tersentuh. Ayah mengerti perasaan emak yang telah mengandung selama 9 bulan. Kakak, adik. Janganlah dilupai akan pengorbanan emak. Ayah tahu emak kini sedang bergembira bermain dengan adik Asfraf. Pernah suatu ketika ayah mimpikan emak sambil mendukung adik Asfraf. Kakak, adik. Sebenarnya kita semua menjadi matang bila telah di uji. Kini ayah tahu apa hikmah di sebalik ujian ini.

Kakak,adik. Ayah amat terkesan sekali dengan firman Allah ketika mengikuti kelas-kelas ilmu. Uztaz sering berkata dimana ayah pula akan menulis di dalam buku nota untuk panduan.
" Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami telah beriman sedangkan mereka tidak di uji ". Al-Ankabut ayat 2.

Monday, September 19, 2011

Gatal Mulut Sangat

" Malam ni Nah goreng nasi. Sayang kalau di biarkan basi ". Kata isteriku untuk makan malam kami. Selepas solat maghrib isteriku membayangkan kerisauannya untuk ke Medan tahun hadapan. Takut dia dengan gempa bumi yang baru-baru ini melanda sumatera.
" Bang kita batal saja kesana. Nah takut la ". Kata isteriku.
" Kalau nak mati di atas katil pun kita mati. Tak payah tunggu gempa ". Aku berkata kepada isteriku.
" Tu betul bang. Tapi kita boleh elak kan ". Kata lagi isteriku sambil tersenyum.

" Tak boleh batal Nah sebab abang sudah bayar duit ". Aku berkata kepada isteri.
" Jom la kita pergi. Abang buat yang ini untuk kita juga ". Aku memujuk isteriku.
" Tengok lah tahun depan macam mana. kalau kerap sangat Nah tak berani pergi ". Kata isteriku
" Kalau Nah tak mau pergi abang bawa orang lain ". Gurauku kepada isteriku. Itulah yang aku suka lakukan ketika bersama arwah Siti Aishah. Faham benar dia dengan gurauanku.
" Bagus juga abang bawa anak lelaki abang ganti Nah ". kata isteriku gembira.
" Tak..tak bukan anak lelaki abang tapi orang lain. Tunggu abang pelawa saja ". Gurauku. Terdiam isteriku bila mendengar kata-kataku.

" Abang jangan buat Nah macam ni ". Terus dia bangun masuk kedalam bilik. Sedih dia sehingga mengalir airmata. Aku pula tergaru-garu kepala di atas keceluparanku bergurau.
Akhirnya dari nasi goreng yang di idamkan, aku hanya menyicah roti gardeniar bersama air kopi. Terpaksa aku memujuk isteriku.
" Kesian dekat abang. Abang ni anak yatim ". Kataku
" Abang ada juga emak. Nah ayah dan emak tak ada ". Ya tak ya juga. Aku kantoi
" Nah abang minta maaf. Abang bergurau saja. Hanya Nah di hati abang ". Namun masih tidak lut. " Kesian dekat abang. Cicah roti saja malam ni. Entah kenapa teringin benar nasi goreng. Abang rasa macam Nah menagndung pula ".. Gurauku lagi.
" Abang jangan dok buat pasal pula ". Kata isteriku. Namun senyumannya melegakan aku.

" Ala Nah sorry la. Abang gurau saja. Kita tengok dulu tahun depan ok ". Akhirnya bertuah juga aku malam tu sebab masih dapat menikmati nasi goreng. Dalam hati aku berkata, " Dasyat juga isteriku ni kalau merajuknya datang. Minta simpang ler.... ". Sewaktu menonton berita TV3, di tunjukkan berita tentang gempa bumi melanda India.
" Takutnya bang ". Aku terus diam membisu tanpa jawapan...

Sunday, September 18, 2011

Warkah Buat Anak-Anakku

Kehadapan kedua-dua anakku. Ayah doakan agar diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan. Ayah masih ingat ketika ayah berusia dalam linkungan 20an. Tempat ayah ialah di tepi-tepi jalan bergaul bersama rakan-rakan sambil memetik gitar. Tempat itu juga merupakan sarang pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah. Namun ayah bersyukur kepada Allah kerana diberi iman dan akal untuk ayah berfikir akan buruk baiknya najis tersebut. Pernah beberapa kali tempat itu di serbu polis tapi ayah bernasib baik sebab ketika polis menyerbu ayah tidak berada di situ. Tok dan Tokwan amat risau dengan cara pergaulan ayah walaupun mereka tahu yang ayah tidak pernah merokok walaupun bergaul dengan rakan-rakan yang perokok.

Selepas berlaku insiden pergaduhan besar diantara kumpulan ayah dan kumpulan lain dimana ayah telah disoal siasat oleh pihak polis maka ayah melakukan perubahan drastik dengan meninggalkan kumpulan ayah walaupun terasa amat berat kerana tidak ada lagi teman-teman yang bermain muzik. Ayah telah mula berjinak dengan kuliah agama. Dari situlah timbul keinsafan dihati ayah betapa ayah telah melukai hati Tok dan Tokwan. Ayah perlahan-lahan menjadi tok bilal bila tok bilal yang terlantik tidak dapat hadir. Tokwan merupakan orang yang paling gembira bila melihat ayah tidak lagi bergaul dengan kawan-kawan liar.

Kakak, adik. Suatu hari ayah beranikan diri berdepan dengan Tok dan Tokwan. Ayah luahkan niat hati ayah ingin menamatkan zaman bujang. Masa itu ayah tidak mempunyai teman yang special. Entah kenapa jiwa ayah tidak berminat kearah itu. Jiwa rock katakan. Manalah nak fikir tentang awek. Gaji ayah pula amat kecil ketika itu. Sebulan gaji ayah ketika itu ialah RM400. Manalah cukup untuk menyara anak gadis orang. Ibubapa manalah yang sanggup melepaskan anak gadis mereka dengan gaji ayah sebanyak itu. Ternyata Tok dan Tokwan terkejut dengan niat ayah. Angin tidak. Ribut pun tidak dan tiba-tiba nak berkahwin. Kata ayah kepada Tok dan Tokwan yang ayah hendak berubah menjadi seorang insan yang berguna. Umur ayah ketika itu dalam linkungan 26 tahun. Tertawa Tokwan bila ayah berkata ingin berubah.

Akhirnya kakak, adik..Ayah diberitahu terdapat seorang anak gadis yang baik. Mendengar akan namanya saja jiwa ayah sudah jatuh hati. Ayah juga diberitahu kalau ingin melihat gadis itu pergilah ke stesen bas ketika gadis itu menunggu bas untuk ke tempat kerja. Sudah berkali-kali ayah pusing namun tidak berjumpa. Akhirnya ayah beritahu pada Tok yang andaikata pada hari tersebut ayah tidak bertemu dengan gadis tersebut maka ayah akan mencari gadis lain. Terus ayah ke stesen bas. Dengan izin Allah, tatkala ayah melalui jalan tersebut ayah melihat seorang gadis bertudung putih. Tersenyum dia melihat ayah. Mungkin dia juga mengetahui yang ayah ingin melamarnya. Aduh...sungguh manis senyumannya. Rupanya ayah sudah jatuh hati pada gadis tersebut. Itulah Siti Aishah kakak, adik iaitu emak kepada kedua-dua anak ayah.

Dalam tempuh pertunangan, ayah beritahu kepada emak yang gaji ayah tidaklah setinggi mana. Namun emak menjawab dan berkata bahawa rezeki Allah ada di mana. Sejuk hati ayah bila mendengar jawapan emak. Setelah tiba masanya, ayah dan emak telah di ijab kabulkan. Umur ayah ketika itu ialah 27 tahun dan emak 21 tahun. Ramai kawan-kawan ayah memuji yang wajah emak amat manis sekali terutamanya ketika tersenyum. Kakak, adik. Dengan motosikal GP100 dan sebuah beg kecil, ayah membawa pulang emak kerumah Tok dan Tokwan. Tidak ada kereta mewah seperti sekarang. Ayah tunjukkan sebuah bilik yang tidak seindah yang diharapkan kepada emak. Malu ayah kepada emak bila dibawa masuk kedalam bilik yang seperti bilik Kassim Selamat. Wajah emak menerimanya dengan tenang sekali. Tidak ada tanda-tanda penyesalan diwajah emak.

Suatu hari ketika ayah pulang dari kerja, ayah melihat emak muntah-muntah. Terus ayah membawa emak ke klinik. Doktor mengesahkan yang emak telah mengandung dan anak tersebut ialah kakak. Dalam ketika emak mengandungkan kakak, gaji ayah sudah mula meningkat setelah lulus dalam peperiksaan. Itu merupakan hadiah untuk emak. Akhirnya setelah genap 9 bulan tibalah masanya emak hendak melahirkan kakak. Ayah mendapat berita yang emak tidak dapat melahirkan kakak secara normal. Ia harus melalui pembedahan. Setelah ayah menandatangani surat maka emak pun dibedah. Nama ayah dipanggil nurse setelah kakak berjaya dilahirkan. Ayah memegang kakak dan azan ke telinga kanan kakak dan iqamat di telinga kiri kakak. Mengalir air mata ayah ketika itu dengan anugerah ini. Gembira ayah tidak terperi dengan kelahiran kakak.

Ayah berjumpa emak dan mengucapkan terima kasih kerana melahirkan kakak. Emak tersenyum walaupun kesakitan amat dirasai. Doktor mengarahkan emak tinggal lebih lama di hospital untuk memudahkan mereka mencuci luka emak tapi ayah meminta agar emak di bawa pulang dan ayah sendiri yang akan memcuci luka emak. Setelah doktor setuju emak dibawa pulang dan ayah mengambil alih tugas jururawat mencuci luka emak akibat pembedahan. Amat dalam sekali luka emak. Akhirnya alhamdulillah luka emak beransur pulih dan emak dapat berjalan-jalan sambil menyuap kakak. berlari kakak mendapatkan ayah bila ayah pulang dari kerja. Bahagia sungguh hidup ayah dan emak dengan kehadiran kakak. Kakak di bawa kesegenap pelusuk untuk mendengar ceramah. Dengan hanya motosikal saja ayah, emak serta kakak menghadiri kelas-kelas ilmu. Pernah kakak demam setelah terkena hujan sewaktu pulang dari ceramah. Namun aklhamdulillah emak menjaga kakak dengan begitu sempurna sekali.

Setelah 2 tahun berlalu, emak disahkan mengandung sekali lagi. Berdebar-debar ayah ketika itu menanti anak apa yang bakal dilahirkan. Perut emak amat besar sekali. Kata orang tua-tua, anaknya tentu seorang lelaki. Setelah genap 9 bulan emak dimasukkan ke dalam hospital. Sekali lagi ayah di beritahu yang emak harus di bedah sebab doktor tidak mahu menanggung risiko bila kes pertama kelahiran juga melalui pembedahan. Ayah menanti dengan penuh debaran di luar bilik pembedahan. Nama ayah di panggil nurse. Ayah di beritahu nurse yang emak telah melahirkan seorang bayi lelaki iaitu adik. Bersyukur ayah kepada Allah sebab telah memberi sepasang anak kepada ayah. Emak amat sakit ketika itu sebab tempat pembedahan adik ialah di tempat yang sama ketika melahirkan kakak.

Atas kasih sayang ayah dan emak, kakak dan adik terus membesar didepan mata ayah dan emak. Kehidupan ayah dan emak amat bahagia sekali ketika itu. Gaji ayah semakin naik dan alhamdulillah dari kereta jenama Fiat 850 pemberi Tokwan, ayah telah membeli sebuah kereta proton saga. Emak begitu gembira sekali. Setiap hujung minggu kita pasti berjalan di tepi pantai. kakak ketika itu begitu gembira berlari sambil mengorek pasir manakala adik hanya melihat kerana masih belum boleh berjalan. Beberapa tahun kemudian kakak mula memasuki sekolah tadika. Seronok ayah bila emak sendiri menjadi guru di tadika tersebut. Begitu petah kakak bercakapa walaupun sekali sekala menangis bila rakan-rakan yang lain menangis.

Ketika kakak memasuki sekolah rendah, adik sudah memasuki sekolah tadika. Begitu cepatnya masa berlalu. Suatu hari ayah mendapat khabar berita gembira. kita telah ditawarkan sebuah rumah murah. Dengan harga RM25 000 ayah membeli rumah tersebut. Kata ayah kepada emak, andaikata ayah tiada rumah tersebut adalah milik emak dan anak-anak. Ayah meminta agar emak menjaga anak-anak ayah dengan penuh kasih. Kakak telah meningkat remaja dan memasuki sekolah menengah pula. Ayah bertungkus lumus mencari rezeki manakala emak di rumah membantu ayah dengan menjahit pakaian. Memang emak di anugerahkan Allah dengan bakat menjahit. Ramai yang mengupah sebab begitu kemas jahitan emak dan upahnya juga begitu murah.

Masihkah kakak, adik ingat keluarga kita begitu gembira sekali. Setiap hari kita bergurau dan bergelak ketawa. Ayah suka menggeletek emak dan emak akan menjerit meminta tolong. Memang indah sekali. Ayah begitu bahagia hidup bersama emak. Alhamdulillah kakak telah di tawarkan melanjutkan ke program Diploma Teknologi Makmal perubatan di sebuah kolej swasta. Pada emak dan ayah duit bukanlah penghalangnya. Janji kakak berjaya mencapai cita-cita, sudah cukup bagi ayah dan emak menumpang gembira. Masih ingatkah kakak bila ayah dan emak ke Sungai Petani untuk makan malam bersama kakak. Adik pula ketika itu dimasukkan ke sekolah Teknik. Tinggallah ayah dan emak berdua. Andaikata ayah bekerja emak keseorangan dirumah. Kadang-kadang emak menalipon ayah mengatakan rindu bila keseorangan di rumah. Bila ayah pulang dari kerja, emak sudah menanti ayah dengan penuh senyuman. Suami mana yang tidak merasa syukur ketika itu. Penat lelah dilupakan.

Tahun 2008 kakak, adik. Emak menampakkan perubahan. Emak batuk-batuk serta muntah darah. Ayah membawa emak ke hospital. Pernah emak bercakap kepada kakak sewaktu berada di hospital. Kata emak kakak jangan risau sebab emak hanya demam biasa akibat keletihan. Emak tidak mahu mengganggu kakak ketika itu yang sedang menduduki peperiksaan. Result dari doktor mengatakan yang emak hanya demam biasa saja. Emak di benarkan keluar. Selang beberapa bulan emak demam kembali dan diikuti dengan muntah darah yang banyak. Ayah amat risau ketika itu lalu sekali lagi ayah membawa emak ke hospital. Kesihatan emak semakin merosot. Akhirnya ayah mengeluarkan emak dari hospital untuk berubat secara kampung sebab penyakit emak tidak dapat dikesan dengan teknologi canggih. Ayah membawa emak ke Kelantan untuk berubat secara tradisional. kata ustaz yang merawat emak penyakit emak adalah hasil perbuatan dengki manusia. Berkali-kali emak mengatakan yang emak rindu sangat dengan kakak yang ketika itu sedang bergelut dengan peperiksaan akhir. Sudah puas kakak, adik ayah bermain airmata mengenangkan akan kesihatan emak. Pada ayah biar ayah saja yang menaggung penderitaan ini.

Kesihatan emak semakin merosot sewaktu berada di kelantan. Ayah mengambil keputusan untuk pulang ke Pulalu Pinang. Biarlah ayah berikhtiar secara lain. Masih ingatkah kakak ketika kakak selesai dan pulang untuk menziarahi emak dan ketika itu emak sudah pun koma. Ayah ketika itu sudah kekeringan airmata. Namun didalam hati ayah, ayah meratap hiba di atas kejadian yang menimpa keluarga kita. Akhirnya perkara yang paling ayah takuti berlaku. Emak meninggalkan kita semua. Cukup berat ayah menerima kenyataan ini kakak, adik. Ayah begitu tersiksa sekali. Ayah dapat rasakan yang emak telah membawa kebahgiaan kita sekali bersama emak. Mahu saja ayah melakukan perkara yang sama kepada mereka yang menganiayai emak tapi ayah amat takut akan azab Allah.

Kakak,adik. Setelah enam bulan pemergian emak, dengan izin Allah ayah telah bertemu jodoh. pada hari itu ayah menangis seorang diri di dalam bilik. ayah tahu yang ayah akan berjauhan dari kedua-dua anak ayah. Kita belum pernah berjauhan dan ayah amat terasa sekali. Ayah terpaksa berpindah kerumah emak baru meninggalkan kakak dan adik. Ayah sering termenung dan menangis keseorangan ketika itu bila mengenangkan pengorbanan kakak dan adik. Ayah tidak mampu menzahirkan kesedihan ayah kepada orang lain. Ayah nampak gembira dan bergelak ketawa didepan keluarga namun didalam hati ayah hanya tuhan saja yang tahu akan apa yang ayah hadapi.

Ayah tahu kakak dan adik kesunyian setelah pemergian emak. Ayah pula tiada di sisi. Hilang segala gurau senda dan gelak ketawa di dalam rumah kita. Masing-masing kini membawa diri bersama kenangan yang tidak mampu kita lenyapkan. kakak dan adik adalah anugerah Allah hasil perkongsian hidup ayah dengan emak. Ayah tak boleh melihat andaikata kakak dan adik bersedih. Jiwa ayah akan tersentuh bila memikirkan kesunyian yang kakak dan adik hadapi kini. Ayah sering berdoa kepada Allah agar Allah memberikan ketenangan kepada kita untuk meneruskan kehidupan sementara kita. Ayah hanya mampu berdoa kepada Allah. Ayah tidak mampu berkongsi kenangan ini kepada orang lain. Ayah hanya mampu menyimpannya di dalam hati demi menjaga hati. Ayah berdoa kepada Allah agar Allah memberi ketenangan kepada jiwa ayah dan juga kepada kedua-dua anak ayah. Mungkin suatu hari ayah juga akan menuruti jejak emak. Harapan ayah kirimkanlah doa kepada ayah dan emak kerana itu saja yang kami pinta dari anak-anak.

Sekian dari ayahanda. Ayah amat sayang anak-anak ayah. Amin Ya Rabbal Alamin.




Saturday, September 17, 2011

Mantop Suaranya

Aku masih ingat ketika aku masih anak kecil seperti mereka. Inilah permainan yang paling aku syok sekali. beberapa kali nenekku marah akibat bunyi bising tin kosong di buat drum. Bila aku melihat video ini aku tersenyum sendirian. Layan.................



video

Wednesday, September 14, 2011

Teringin Mee Mamak Pula

Hari ini aku bertugas pagi. Seperti selalu sebelum aku sampai pasti aku beli kuih untuk makan pagiku. kalau sebelum ini tabiat makan pagiku ialah nasi. Kemudian tengahari juga nasi. Malam pasti nasi. Maka berat badan aku begitu cepat naik. Cepat-cepat aku tukar bila doktor dan isteriku turut menasihatiku. Jadi waktu pagi aku hanya makan kuih saja. tengahri baru aku mencari nasi untuk tenaga. Entah kenapa sehari suntuk hujan. Malas pula aku nak kelaur dalam hujan. Jadi hanya roti cream crackers menjadi penamanku

Ketika aku pulang dari bertugas terasa teringin pula nak makan mee mamak special di temapt kerjaku di bandar. Jam 7 petang perut sudah berbunyi. Akhirnya meme mamak aku makan dengan begitu nikmatnya sehingga tidak terkata lagi.
" Haa.. abang makan mee ". Risau isteriku bila diberitahu yang aku makan mee. Aku hanya tertawa kecil saja.

Tuesday, September 13, 2011

Cabaran Di Sambut

" Bila abang nak mula exercise. Kata lepas raya tapi tak mula-mula lagi ". Kata isteriku
" Ok selepas maghrib sebelum makan kita kayuh basikal dulu ". kataku pula kepada isteriku yang mengambil positif ajakanku. Selepas maghrib aku mulakan sesi latihan untuk ke saiz M. Mindset aku dari mula lagi sudah tewas.
" Susah la Nah abang nak turun sampai M ". Kataku kepada isteriku yang hanya tersenyum.
" Ala abang dah turun dari size 3 XL. Tak kan size M abang tak mampu ". Isteriku terus memberi semangat. Aku hanya tersenyum. Dalam hati aku berkata " No mungkin...no mungkin ".
" Nah tengok abang ni setakat diet tak ada masalah. Cuma satu saja abang tak boleh tinggal ". Kata isteriku yang membuat aku terdiam. Apa yang dia tahu habit yang aku tak boleh buang.

" Apa dia...bagi tau la". Tanyaku. Suspen juga. Apa yang tak kena dengan aku.

" Yang abang tak boleh tinggal ialah...minum air ais. Tu yang buat perut buncit. Cuba abang jangan minum air ais. Insyaallah abang akan nampak lebih handsome. Badan sudah kurus. Cuma perutnya yang masih belum susut ". Tertawa isteriku sambil menegur.

" Tu yang susah Nah abang nak buang. Ok abang minum ais tengahari saja. Waktu lain abang minum air kosong ". Geleng kepala isteriku bila aku tetap tak boleh tinggalkan air ais. Berpeluh juga kami setelah mengayuh basikal. Perut terasa berkeroncong pula.

Selepas selesai mengayuh basikal, isteriku memberi kasut urutan untuk aku cuba.
" Abang try pakai kasut ni. Ia baik untuk lutut. Nah beli untuk abang ". Baiknya isteriku. Sebab itulah aku sayang dekat dia seperti sayangnya aku terhadap arwah Siti Aishah. Watak mereka adalah sama. Caring...
Sakit juga permulaan mencubanya. Rasa sepewrti berjalan di atas batu-batu yang terdapat di taman permainan. Kata orang selepas memijak ini kita kena minum air kosong banyak-banyak. Selepas selesai tugasan size M makan makan time pun bermula. Isteriku menghidangkan sebiji roti yang dikongsi bersama dah di cicah dengan kuah kari ikan. Alhamdulillah. Permulaan yang baik.
" Ingat bang. Banyak minum air kosong. Doktor pun sudah pesan ". Aku tersenyum sambil terangguk kepala tanda tidak membantah arahan jururawat peribadiku...Moga-moga berjaya...Ohh ais kacang pula di TV. Memang dugaan....

Monday, September 12, 2011

Ahhh...Aku Sudah Gemuk

Boleh dikatakan Aidil Fitri tahun ini aku begitu mewah dengan baju. Isteri dan anak gadisku telah menghadiahkan disamping aku sendiri turut juga membeli. Berbanding tahun lepas aku hanya ada sehelai baju raya itupun isteriku yang belikan. Aku tidak menghiraukan langsung akan pakaianku. Kebanyakkan baju yang baru dibeli aku gunakan. Sebab itu aku katakan bahawa Aidil Fitri tahun ini seolah-olahnya aku keluar dari kepompong ku sendiri. Aku mengajak isteriku ke bandar berjalan-jalan. Aku membuka almari dan aku dapati masih ada sehelai baju yang dibeli belum lagi di pakai.
" Abang pakai baju yang ini ". Kata isteriku sambil menghulurkannya kepadaku. Aku mengambilnya sambil membelek-beleknya dan meletakkannya kembali. Setelah selesai bersihkan diri aku terus menyarung baju sambil di perhati isteriku dengan senyuman. Bila selesai memakainya isteriku terkejut. " Ya Allah bang. Abang dah gemuk ke ". Panik juga aku dengan perkembangan terkini tubuhku selepas hari raya. Baju yang di sarung bagaikan menyarung buah nangka. Padat dan ketat.
" Betullah Nah abang sudah gemuk ". kataku kepada isteri dengan wajah muram. Hilang selera hendak kebandar.

Aku membuka kembali baju yang dipakai. Isteriku membelek-belek baju dan akhirnya..
" Bang baju ni saiz M la dan bukan XL ". Kata-kata isteriku membuat hati aku merasa lega.
" Jadi abang tak gemuk la ". Tertawa isteriku dengan kepanikan aku. Mungkin penjual tersalah mengambil baju. Aku mencuba size XL tapi mendapat siza M pula. Resit pun dah kemana halanya. Apa pun aku merasa lega dengan perkembangan ini. Hairan juga aku. Tak kan sehari sekali saja aku menyentuh nasi boleh menggemukkan. Aku sudah mula jogging tapi di dalam rumah saja dengan mesin track. Harapannya berat badanku semakin menurun...insyaallah.

Sunday, September 11, 2011

Sahabat Sejati

Perkenalan dengannya amat mengembirakan. Bersahabat dengannya amat membahgiakan. Mencintainya amat istimewa. Kehilangannya amat menyakitkan dan di rasai...

Hari ini merupakan ulangtahun perkahwinan kami berdua. Kepada kedua-anakku. Marilah kita sedekah Al-Fatihah untuk emak. Semoga emak di tempatkan bersama para solihin...Amin..Hu hu hu

Sepakat Membawa Berkat

Aku dan isteri telah di jemput oleh kakak iparku iaitu kakak kepada isteriku sekarang. katanya nak buat kenduri arwah. Suaminya meninggal pada tahun lepas. Jam 7 pagi kami bertolak ke Taiping. Isteriku di beri amanah untuk memasak nasi tomato. Dari malam lagi dia sudah prepair segala bentuk tumisan. Jadi bila sampai terus saja masak. Bila kami sampai kelihatan sudah ramai yang datang menolong. Akhirnya kami mendapat tahu kendurinya telah bertukar menjadi sambutan hari raya untuk penduduk taman. Setelah mereka bermesyuarat maka kata sepakat dicapai. Setiap rumah akan mengadakan satu menu. Maka penuhlah meja dengan laksa, nasi himpit, nasi daging, mee kari dan macam-macam lagi.

Aku sendiri tidak tahu apa yang perlu aku buat sebab semuanya telah di uruskan oleh penduduk taman. Aku begitu kagum dengan sikap penduduk di situ. Mereka telah mengenepikan ideologi politik bagi menjayakan sambutan. Rata-rata dari PAS, PKR dan UMNO. Mereka boleh duduk semeja berbincang dan bergurau senda. Inilah yang dinamakan politik bijak. Majlis tahlil untuk kakak iparku telah dibereskan pada malam lagi dan siang hanya program majlis hari raya. Melihat mereka bekerja aku teringat yang pernah aku seperti mereka. Begitu sibuk dengan majlis untuk penduduk. Melihat akan wanita disana yang bertungkus lumus membantu,aku terkenangkan arwah isteriku yang juga sibuk seperti mereka. Aku merindui saat-saat itu. Begitu asyik aku memerhati pada wanita padahal fikiran aku melayang entah kemana. Sedar-sedar mereka sedang memerhatikan aku. Apa pula sangkaan mereka terhadap aku. Malu aku terus bangun.


Payah mendapat penduduk taman seperti mereka. Setengah tempat penduduk asyik mencari publisiti. Ingin menjadi ketua. Membuat sesuatu pekerjaan untuk mendapat pujian. Bila tidak mendapat tempat di hati masyarakat, mulalah melakukan perkara terkutuk. Rata -rata yang hadir memuji sikap penduduk taman tersebut. Inilah yang dikatakan sepakat membawa berkat. Setelah selesai program, mereka beramai-ramai mengangkat khemah untuk ke taman sebelah sebab akan di adakan kenduri kahwin pula. Kita perlu hidup dalam masyarakat sebab kalau sesuatu terjadi jiranlah yang akan datang dulu dan bukannya adik beradik. kalau sebelah menyebelah tidak bertegur sapa kita juga yang akan rugi di suatu hari kelak.

Friday, September 09, 2011

Ini Yang Dikatakan Rezeki

Sudah sebulan aku begitu manja. Tiada aktiviti berat yang dilakukan. Aku tidak berpeluang kedapur sebab ianya di conquer oleh isteriku. Apa yang dimasak olehnya itulah yang menjadi juadah berbuka atau bersahur. Bila aku pulang dari bertugas dia menjadi penyambut setiaku. Kini ramadhan telah berlalu dan isteriku telah mula berniaga kembali. Ini bermakna aktiviti lamaku bermula. Apalagi kalau bukan tawaf. Kadang-kadang isteriku marah-marah bila aku pulang bertugas jam 1 pagi, pukul 7 pagi aku sudah nak keluar tawaf mengikutnya.
" Abang tidurlah dahulu. Hilangkan letih dulu ". Kata isteriku bila melihat aku menyarung seluar dan t shirt. Akhirnya aku akur dan menyambung kembali tidurku.

Sedar-sedar jam sudah 10 pagi. Aku membeli kuih untuk makan bersama isteriku di gerai. Tersenyum isteriku bila melihat aku sampai. Sambil melihat jam di dinding,
" Lewat abang sampai ". Kata isteriku.
" Itulah. Suruh abang tidur lagi ". Tertawa kecil dia mendengar akan kata-kataku. Akhirnya setelah lama berada di gerai aku pun mulalah jelajah di pekan yang telah aku tinggalkan selama sebulan untuk mencari buah-buahan.
" Hai..takkan raya lagi... ". Bisik hati kecilku bila gerai buah tidak dibuka.


Hari ini aku bertugas pagi. Sengaja aku singgah di warung kopi. manalah tahu untung-untung aku dapat kepala sembilang. Melihat jam ditangan 8.30 pagi. Kalau ada pun sudah tentu orang lain yang beli dulu sebab ikannya fresh. Tidak disimpan 3 atau 4 hari. Hari ini dapat, esok sudah masak kari. Bila sampai di warung kelihatan begitu ramai yang sedang menjamu selera. Motor diletakkan dihadapan sekali.
" Bang hari ini tinggal isi sembilang saja. Kepala orang lain dah ambil. Hari ini besar-besar bang. Saya tak tau abang kerja hari ini. Kalau tidak boleh saya simpan ". Kata tauke warung.

Aku hanya tersenyum walaupun dalam hatiku berkata..ruginya..
" Tak apa. Tak ada rezeki hari ini ". Kataku kepada tauke warung.
" Kalau encik nak, ambillah kepala sembilang saya. Esok saya boleh beli lagi ". Kata seorang pemuda kepadaku.
" Tak apa. Saya bukanya teringin sangat. Isi pun tak apa ". Aku berkata padanya padahal bila melihat kepala sembilang yang dihulurkan kepadaku membuatkan aku menelan air liur.
" Tak apa. Ambillah abang. Abang dok jaga kawasan kami. Esok ada lagi ". Dia terus menghulurkan kepala sembilang kepada tauke warung untuk dibungkus. Aku mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepadanya. Dalam hatiku melonjak gembira bila Allah memberi rezeki kepadaku...

" Esok abang mau ke kepala sembilang. Saya tolong simpan ". Tanya tauke warung. Namun cepat-cepat aku menolak sebab esok Sabtu, aku telah mengambil cuti untuk ke Perak...
Sampai saja di tempat kerja terus aku buka bungkusan nasi. Fulamak wanginya kari kepala ikan sembilang. Dengan lafaz Bismillah aku terus meredah nasi yang baru aku beli. Lama tak makan ikan sembilang....

Aku pernah ingat bila isteriku berkata, " Apa yang sedap sangat ikan sembilang ni ".
" Hanya orang tertentu saja yang tahu akan nikmatnya ". Kataku kepada isteriku yang hanya mencebikkan mulut.

Tuesday, September 06, 2011

Ini Betu-Betul. Bukan Cobaan

Dalam masa terluang aku mengajak isteri ke kedai elektrik untuk survey harga peti sejuk. Walaupun tidak membelinya namun harganya perlu ku ketahui sebab peti sejuk akan tetap ku beli memandangkan peti sejuk yang telah ada sudah beberapa kali di baiki namun masih lagi buat hal. Sebelum kesana aku membawa isteriku kesebuah gudang yang menempatkan barang-barang terpakai.Sesiapa yang tak berminat dan ingin membuat sumbangan kepada orang cacat kebanyakkannya menghantar kegudang ini dan mereka akan menjual jika ada pembeli. Duit itu akan di salurkan kepada pertubuhan orang cacat. Ia telah dihasilkan oleh bekas ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2000.

Bila sampai aku dapati begitu ramai pekerja dan kebanyakkannya adalah orang cacat. Ada juga yang mencari kasut terpakai untuk dijual secara jumble sale. Kasut yang dibeli sepasang dengan harga RM5 dan di elokkan kembali akan dijual dengan haraga RM70-80. Memang untung. Barulah aku tahu rupanya disinilah mereka mendapat barang. Anak saudaraku mengambil DVD Sharp dengan harga RM10. Masih elok lagi. Diambilnya lagi hair dryer dengan harga RM10. Aku masih tercari dan akhirnya isteriku tertarik dengan sebuah almari yang kayunya begitu solid. Hajatnya untuk menyimpan perkakas berniaga. Aku bertanya harganya. Tauke tersebut berkata harganya RM40. Memang murah tapi masalahnya ialah tiada kenderaan untuk dibawa pulang. Kami berkata kepada tauke cina esok kami akan datang.

Kami terus keluar ke ke kedai elektrik. Setelah melihat-lihat aku mengajak isteriku pulang. Ketika membelok keretaku kekanan namun tak lepas. Sebuah kereta proton wira lalu dengan begitu laju dibelakang kami dan brek. Aku mengundur kembali keretaku kebelakang namun proton wira juga turun mengundur dengan laju juga. Mungkin dia tidak melihat side mirror atau cermin belakang. Isteriku menjerit menyuruh aku menekan hon. Disebabkan terkejut dengan jeritan isteriku, aku sendiri tercari-cari dimana hon dan akhirnya..." Pedepang.... ". Bunyi kereteku dihentam.

" Nah dok suruh abang bunyi hon tapi abang tak bunyi ". Bebel isteriku. Rasanya semenjak aku berkahwin dengan dia inilah pertama kalinya dia membebel kepadaku. Akhirnya kami tertawa bila aku berkata yang aku terkejut dengan bebelannya dan tak jumpa hon. Isteriku terus keluar mendapatkan wanita tersebut. Nampak garang juga isteriku time itu walaupun wajahnya lembut. Keluar seorang wanita bertudung meluru kearah kami. Dalam hati aku agak sudah pasti akan berlaku pertengkaran dengan isteriku.
" Saya minta maaf. Memang salah saya. Saya akan bayar ". Terdiam kami bila mendengar pengakuan wanita tersebut.
" Saya bagi RM100 boleh ka. Bukan rezeki saya hari ini. Baru saja tekan duit ". Kata wanita tersebut. Aku menerima saha pemberian wanita tersebut. Tapi dia pula meminta kurang.
" Kalau di kedai harganya RM180. Tapi saya malas nak bertekak ". Aku berterus terang saja dengan wanita tersebut. Terdiam dia. Kami masuk kedalam kereta. Sekali lagi isteriku bebel sebab aku ambil terlalu murah sedangkan dikedai harganya lebih. Tapi entah kenapa sikapku sekarang lebih banyak beralah dari dulu yang panas baran. Aku sendiri tidak mengerti.

Pulang kerumah kami terkejut pula bila melihat kereta isteriku kemek dan pecah lampu signal. 2 minggu sebelum raya kereta isteriku dicat dan ditukar lampu. Kini ditempat yang sama juga terkena. Bebel lagi dia sehingga tiada selera makan. Perut aku pula masa itu berkeroncong.
" Abang..abang lekas cuba tengok kereta putih tu. Ada kesan calar. Cuba abang keluar tanya dia samada dia yang langgar ". Kata isteriku.
" Kita tak boleh tanya berdasarkan syak. Takut orang akan salah erti dan kita akan bergaduh sesama jiran ". Aku cuba menyejukkan hati isteriku yang panas.
" Kita kena sekat mak kereta tu. Kita tanya dia ". Kata anak gadis isteriku.

Aku terdiam tanpa berkata apa-apa. Kedua-dua mereka hanya memerhatikan aku yang diam tanpa bertindak apa-apa. Aku masih terbayang bagaimana siksanya arwah Siti Aishah. Darah meleleh keluar dari mulutnya. Aku lapkan darahnya dan masih lagi keluar. Ini semua lahir dari perasaan marah, dendam dan akhirnya bersekongkol dengan syaitan. Aku kini menjadi orang yang lebih banyak beralah dari bertengkar. Kalau aku rasa aku yang bersalah, cepat-cepat aku akan memohon maaf. Aku sendiri pun tidak mengerti kenapa aku jadi begini. Mungkin Allah telah menukar hati aku. Bukan aku pengecut tapi bila aku marah sudah pastinya aku akan terbayang wajah arwah Siti Aishah. Aku tidak mampu menggambarkan peristiwa itu kepada isteriku Rosnah.

" Abang ni suka melenting bila Siti tegur. Buanglah panas baran abang tu. Dia akan memudaratkan kita bang ". Pujuk Siti Aishah sambil menangis bila aku suka melenting namun tanganku tidak pernah hinggap kebadannya. Cuma sikap aku yang tidak suka di tegur. Cepat melenting.
" Siti berdoalah kepada Allah agar Allah menukar hati abang yang panas baran ". Kataku kepada isteri. Lama kelamaan sikapku berubah. Aku tidak lagi suka marah-marah. Aku lebih banyak tertawa dan penyayang.

Melihat aku hanya berdiam, akhirnya isteriku berkata, " Kita nak tuduh pun tak boleh. Kita tak nampak ". Aku hanya tersenyum sambil berkata, " Tak apa Nah. Nanti abang bawa repair kereta Nah tu ". Tersenyum isteriku. Syukur dia tak marah-marah lagi. Jam sudah pukul 6.30 petang.
" Nah abang tak makan tengahari lagi. Perut lapar ". Rayuku kepada isteri
" Ya Allah abang. Nah minta maaf kerana asyik marah-marah ". Terus dia kedapur memanaskan lauk. Aku terdiam dan rasa lega......dia tak marah lagi....
Hari ini aku membawanya kegudang sekali lagi dan meja yang dia suka telah diambil orang. Tiada rezeki kami rupanya...

Sunday, September 04, 2011

Aidil Fitri 4 - Elak Dan Serang

Aku dan isteri keletihan setelah sehari suntuk melayani tetamu. Hati ini cukup gembira sebab rumah kami telah dihadiri ramai kaum keluarga. Setakat letih sedikit tidak menjadi hal. Harap mereka berpuas hati dengan layanan kami. Sekejap saja sudah tertidur. Selepas solat subuh sekali lagi menyambung tidur. Sedar-sedar jam sudah pukul 10 pagi. Bergegas bangun sebab harus ke Tesco mencari barang keperluan sebab anak gadisku pula akan membuat rumah terbuka menjemput kawan-kawannya pada hari Sabtu. Dengan masa yang terhad sebelum solat Jumaat bergegas kami kesana.

Selepas solat Jumaat aku menerima panggilan di arah bertugas. Nak buat macam mana. Dah tugas. Isteriku membungkus kuih kapit dan loyang kesukaanku untuk dibawa berhari raya di tempat kerja. Badan masih lagi terasa letih. Jam 12.30 malam aku sampai di rumah. Isteriku menyediakan nescafe sebelum tidur. Tapi bila sudah minum nescafe mata menjadi tidak mengantuk. Kami berborak sehingga jam 2 pagi. Ada saja cerita isteriku maklumlah siang hari begitu sibuk. Manalah sempat nak berborak. Entah bila aku melelapkan mata. Kali ini aku dibawa kembali ke zaman persekolahanku. Aku merupakan seorang pengawas sekolah. Kerap juga aku membuat laporan kepada guru disiplin yang melibatkan salah laku pelajar. Ramai yang sudah menerima padahnya. Maka aku menjadi musuh kepada mereka.

Suatu hari aku mendapat tahu ada seorang pelajar yang suka membuli dan menggugut pelajar yang lain. Aku terus membuat laporan kepada guru disiplin. Kali ini aku kantoi sebab pelajar tersebut mendengar. Setelah aku keluar dari bilik guru, aku disekat oleh pelajar tersebut. Baju aku dicekaknya lalu diacah penumbuk kemukaku. Aku tidak gentar sebab aku adalah Gurulatih Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. Aku telah di ajar ilmu tentang mengelak lalu menyerang dan aku menanti serangan darinya. Pelajar tersebut terus menumbuk dan aku dalam mengelak sempat membalas kembali tumbukan padu kemukanya. Anih sebab dia tidak sakit. Tangan aku yang sakit. Bertubi-tubi aku menumbuk mukanya. Semakin aku menumbuk semakin sakit tanganku.

Akhirnya aku membuka mata. Rupanya aku telah menumbuk dinding batu bilikku. Sakit tak terkira tanganku yang baru pulih akibat sengatan serangga tempuh hari. Berdenyut-denyut dibuatnya. Aku terus mengejut isteriku meminta simpati. Mungkin dia akan mengurut tanganku dengan penuh belaian kasih sayang.
" Nah..Nah tangan abang sakit. Abang tumbuk dinding ". Rayu kepada isteriku.
" Tak apalah bang. Abang jangan tumbuk kuat sangat. Tumbuklah pelan-pelan ". Kata isteriku separuh sedar dan terus menyambung kembali tidurnya. Geramnya aku. Bukan simpati yang aku terima tapi disuruhnya aku tumbuk pelan-pelan. Perli ke.....

Selesai isteriku solat subuh, dia melihat aku sedang mengurut tanganku. Sengaja aku buat muka sedih. Ala... nak manja konon. Bila lagi no....
" Ya Allah bang. Pasal apa tangan abang bengkak balik ". Tanya isteriku. Geramnya aku..... Terus aku cerita kejadian semalam dan bagaiman dia menyuruh aku menumbuk perlahan-lahan. Apalagi berguling isteriku tertawa diatas tikar sejadah mendengar cerita aku.
" Abang ni merapulah. Mimpi yang bukan-bukan ". Sambil keluar mengambil tunku elektrik. Kelihatan biru dicelah-celah jariku. Di ambilnya minyak lalu di urutnya. Barulah rasa lega. Sambil mengurut isteriku tersenyum sambil tersengih. Nak tertawa takut aku marah.

Ketika aku membawa nasi kepada anak gadisku. Sempat juga dia melihat tanganku yang bengkak. Lalu ditanya kenapa. Terus aku cerita tentang mimpiku. Tertawa kedua-dua anakku.
" Ayah ni merapulah. Boleh mimpi sampai tumbuk dinding ". Kata anak gadisku
" Nak buat macam mana. Kan ayah raja segala mimpi ". Tertawa lagi kedua-dua anakku.

Friday, September 02, 2011

Aidil Fitri 3

Jam 12 tengahari. Jemputan untuk keluarga isteriku Rosnah

Antara menu-menu yang di hidangkan

Jam 12 tengahari rumahku telah dikunjungi oleh kaum keluarga isteriku Rosnah. Aku telah tetapkan masa agar tidak berlaku pertembungan sebab rumahku bukanlah besar mana. Lama kelamaan begitu ramai tetamu yang hadir. Antara menu yang isteriku buat ialah laksa, pizza, satay, soto dan ketupat kuah kacang serta rendang ayam. Bila banyak juadah dan di buat sendiri maka budgetnya tidaklah terlalu banyak.

Emak dan bapa angkatku

Rumahku juga dikunjungi oleh ibu dan bapa angkat. Mereka merupakan orang yang banyak membantuku selepas pemergian Siti Aishah. Betapa sayangnya mereka dengan arwah isteriku. Mereka bukan setakat ketawa bersama malah menangis bersama mententeramkan jiwaku. Betapa gembiranya mereka bila di undang. Siapalah yang boleh melupakan orang yang sebaik mereka. Mereka umpama ibu bapa kepada kami.

Begitu teruja melihat menu-menu yang di sediakan

Tahun ini merupakan yang pertama kali kami membuat jamuan hari raya di rumah baru kami dan tahun ini juga ramai kaum keluarga yang hadir. Aku melihat isteriku yang paling sibuk dengan layanan. Sekejap kedapur membakar pizza. Bila keluar letak di atas meja begitu cepat habis. Maklumlah pizzanya begitu special. Kalau jamuan tanpa pizza tak ada maka tak sah lah jawabnya. Sekejap pula membawa keluar laksa. Aku berada di depan melayan dan melihat apa yang perlu. memang riuh rendah jadinya.

Selepas solat asar jemputan untuk keluarga Sebelah arwah Siti Aishah

Keluarga sebelah arwah Siti Aishah

Setelah fasa pertama selesai, kami menerima kunjungan dari kaun keluarga arwah Siti Aishah. Aku tidak pernah melupakan mereka. Mereka juga keluargaku.
" Tok Cik..tok cik tahun ni tok cik tak bagi duit raya lagi dekat kami ". Kata cucu saudara ketika bersalaman denganku. Tertawa aku bila mendengar.
" Ok ok tok cik bagi nanti ". kataku disambut ketawa oleh keluarga.

Riuh dengan suara cucu saudara

Masing sudah maklum dengan menu. Apalagi bila sampai terus mereka tak lepas dengan laksa. Sekejap aku ke dapur bertanya isteri bagaimana dengan menu. masih terkawal ke. kata isteri dont worry sebab dia telah menyediakan sebanyak 20 keping pizza. Masyallah aku sendiri tidak menyangka begitu cekapnya isteriku. Tahun ini aku tersilap budget dengan satay jadi terpaksa di bawa keluar sedikit demi sedikit. Takut nanti tak cukup untuk fasa ketiga sebelah keluargaku.

Selepas solat Maghrib jemputan untuk keluargaku

Kaum keluargaku sedang mengambil juadah

Fasa ketiga merupakan jemputan terakhir untuk keluargaku. Selepas solat maghrib sedikit demi sedikit tetamu hadir. Mereka juag sudah maklum dengan menu. Laksa, pizza dan satay merupakan kesukaan keluargaku. Sekali lagi isteri sibuk semula di dapur. Keadaan riuh dengan gurauan. Aku ternyata cukup seronok. Padaku wang ringgit tidak ada masalah. Janji kami dapat merapatkan hubungan silaturrahim adik beradik.

Sambil makan sempat menonton gambar

Aku di beri LIKE seperti dalam fecebook sebab telah dapat mengadakan ciri-ciri rumah terbuka. Gurau mereka. Masa jemputan berbuka tiada siaran tv dapat dilihat dan akhirnya terlepas aksi final badminton. Kini aku telah memasang astro dan kataku tahun hadapan pasti lebih canggih. Apa yang canggihnya. Tanya mereka. Tunggulah tahun depan....

Abangku dr Danial tak pernah miss datang ke rumahku

Ibuku cukup gembira sekali sebab kami adik beradik dapt berkumpul. kerap dia berpesan
" Nanti bila mak tak ada, adik beradik jangan bergaduh. Bahagi sorang sikit ". Kata ibu kepada kami semua. Banayk terjadi adik-adik beradik putus saudara akibat perebutan harta pusaka dan yang menjadi mangsa ialah ibu bapa mereka yang telah tiada.
" Mak jangan risau. kami bukan macam tu. Masing-masing sudah ada rumah ". kataku kepada ibuku.

Hadiah dari abangku untuk pihak penganjur. Terima kasih

Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada abangku yang memberikan hadiah khat ayat quran sebagai cenderamata. Insyaallah akan aku lekatkan di dinding. Tahun ini merupakan Aidil Fitri yang paling bermakna buat diriku. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa. Arwah Siti Aishah dan Rosnah bagaikan kembar. kerapkali aku terbayang senyuman Siti Aishah bila melihat isteriku Rosnah tersenyum sambil melayan tetamu. Sebelum terlelap aku memgang tangan isteriku
" Nah..abang ucapkan terima kasih kerana Nah telah menyantuni keluarga abang. Abang tak ada hadiah selain doa semoga Allah berkati isteri abang. I Love You ". Tersenyum isteriku menerima pujian dariku. Memang dia layak mendapat pujian ini. Syukur kepada Allah dengan anugerah ini.

Thursday, September 01, 2011

Aidil Fitri 2

Sempat bergambar di rumah sepupu setelah 2 tahun menyepi

Setelah solat zohor maka kami sebanyak 6 buah kereta berangkat menuju rumah saudara mara untuk berhari raya. Aku berkata kepada isteriku bagaimana pula pandangan mereka terhadapku setelah 2 tahun aku menyepi dan tidak memperkenalkan isteriku. Sungguh gembira mereka menerima kedatanganku. Tapi terpaksa menahan gurauan mereka berbentuk sindiran. Apa boleh buat memang salah aku juga. Aku terima dengan tersengih gigi menahan gurauan mereka.

Bagaikan rombongan pengantin

Aku kerap kerumah sepupuku bila tidak bekerja. Macam-macam perkara yang kami bualkan. Setelah pemergian Siti Aishah terus aku menyepi dan itulah punca yang membuatkan mereka merasa hati denganku dan itu bukan salah mereka. Aku yang terbawa-bawa perasaanku. Isteriku cukup gembira bila diperkenalkan. Aku masih lagi di gelar pengantin baru padahal sudah 2 tahun lebih kami berkahwin. Terasa berseri lagi. Perasannya.


Pokok buah munggai sebutan orang Penang atau buah kelo bagi sebutan orang Singapura

Kami juga kerumah sepupuku. Aku paling suka kesini pada waktu kecil. Tak sabar menanti cuti minggu sebab akan bermain pasir di pantai sambil mengorek siput. Kini pantainya telah di cemari dengan najis babi. Memang pengotor makhluk jenis ini yang mengalirkan najis babi hingga ke laut. Tempat ini juga subur dengan pokok munggai atau buah kelo bagi sebutan orang Singapura. Cukup enak kalau di buat kari. Tapi kini kalau aku makan pasti keesokkannya aku tidak dapat bergerak. Kata orang buah ini anginnya amat kuat. Buat sedap di mulut tapi sakit di kaki.

Ibuku bertudung 83 tahun manakala kakaknya 85 tahun

kami juga kerumah emak saudara iaitu kakak kepada ibuku. Berusia 85 tahun. Kini penglihatnnya amat kabur. Sudah tidak dapat melihat.
" Ini siapa ". Tanya emak saudara kepadaku
" Budiman Mak Andak ". Sambil memegang dan mencium pipiku. Berlinangan airmatanya. Sewaktu remaja aku beralih angin pula mengikut abangku kerumah emak saudara ini. Disini aku mengikut abangku bermain muzik bersama pancaragam. Dari sinilah bermula minat aku dengan muzik. Kini masing-masing telah membawa diri. Masing-masing bekerjaya.

Di rumah arwah Siti Aishah. Masing2 terkenangkan arwah

Destinasi terakhir kami ialah kerumah arwah Siti Aishah. Kami siajikan dengan mee udang oleh kakak iparku. Boleh dikatakan setiap hari aku pasti singgah walaupun hanya sekejap. Cukuplah untuk menghilangkan riduku terhadap Siti Aishah. Selepas itu aku pulang kerumah untuk membantu persiapan membuat rumah terbuka pada hari raya ketiga.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...