Teman-teman

Thursday, April 18, 2013

Jangan Suka Menghina

Dulu dia merupakan seorang penagih. Ramai yang memusuhi dan menghinanya. Bila penduduk kampong kehilangan barang sudah pasti namanya yang disebut. Sudah beberapa kali aku bergaduh dengannya. Sudah beberapa kali aku melontar batu kearahnya. Kampong kami telah dijadikan markas penagih. Aku dan rakan telah berpakat akan belasah mereka bila mereka datang pada waktu malam. Tepat jangkaan kami. Ketika sedang khayal kami pukul mereka dengan kayu. Lari lintang pukang mereka termasuk pemuda ini. Dia tahu siapa punya angkara. Esok dia datang mencari aku. Hampir kami bertumbuk kalau tidak dihalang rakan-rakan. Masing-masing berdendam.

Kini masa sudah berlalu. Bila sudah meningkat umurnya pemuda ini telah menampakkan perubahan. Dia sudah mula berjinak dengan masjid. Dengan berkopiah dan kain pelikat di sendeng atas bahunya dia berjalan menuju ke masjid. Tugasnya ialah mengambil penyodok lalu mencari tahi cicak dan membuangnya. Aku juga melihat rakannya juga ke masjid. Pernah aku dan rakan membelasah rakannya hingga termuntah. Aku terus kearah mereka dan bersalaman. Tiada siapa yang mengungkit kisah lampau. Aku dan rakan pernah melonggarkan skru basikal kepunyaan rakan pemuda ini. Akibat dari perbuatan kami rakannya jatuh tersungkur bila tayar basikal tercabut. Aku dan rakan-rakan tertawa bagai nak pecah perut kami. kami juga berdosa. Aku pernah meminta maaf dari rakannya tentang perbuatan kami. Bersahaja saja airmukanya memaafkan kami.
" Man...macam nilah kami. Kami nak berubah tapi tak boleh tahan Man kalau tak dapat ubat ". Kata pemuda ini. Rakannya hanya mengangguk saja. Cengkung nampak rakannya tapi nampak keikhlasan dalam solat mereka malah lebih ikhlas dariku.

" Tak apa la. Memang secara mendadak nak berhenti agak susah tapi hang boleh cuba kurangkan pengambilan. Yang penting jangan tinggal solat sebab solat banyak membantu kepada perubahan. Aku pun macam hang juga. Aku nak ubah diri aku ". Aku berkata kepada mereka. Kalau ada kuliah aku melihat mereka pasti mendengarnya. Hari tu dalam kuliah menekan bab taubat nasuha. Aku melihat pemuda ini menyapu airmatanya. Mungkin telah timbul keinsafan. Aku turut terharu melihat mereka. Allah telah meniup hidayah kepada mereka.

Aku masih ingat ketika berkumpul bersama rakan-rakan yang lain sambil bermain gitar di tepi jalan. Melhat kelibat pemuda ini rakan-rakan sudah perli dengan kata-kata yang menghina. Nak cari ubat la. Jantan jalang la dan bermacam-macam lagi. Tapi dia datang bersahaja dan terus menceritakan tentang kuliah yang didengarnya mengenai bab meninggalkan solat dan azab yang menanti. Rakan-rakanku tertawa sambil berkata yang pemuda ini telah khayal. Akhirnya aku membuat keputusan menjarakkan diriku dari kumpulan ini sekaligus membuatkan ibu dan ayahku gembira. Kalau tiada muadzin ayahku menyuruh aku azan. Aku tahu ayahku amat gembira dengan perubahanku. Aku bukan lagi suka melepak bermain gitar di tepi jalan.

Dua hari yang lepas aku mendapat khabar yang pemuda ini telah kembali menemui ilahi. Apa yang membuat aku tersentuh ialah bila melihat jenazahnya yang berseri dengan senyuman. Tanpa disedari airmataku mengalir. Aku berkata didalam hati adakah ini dinamakan Bihusnil Khatimah iaitu penyudah yang baik. Aku melihat rakannya yang berjinak dengan masjid dan kuliah hanya menundukkan kepalanya. aku bersalaman dengannya. Aku melihat airmata bergenangan. Aku tidak sanggup melihatnya lalu menepuk bahunya dan bersalam dengan yang lain. Rata-rata masih menceritakan sebab kematian sekaligus membuat andaian punca kematian akibat najis dadah. Selamba saja mereka tertawa padahal masih lagi di rumah mayat.

Aku begitu insaf dengan peristiwa ini. Padaku janganlah kita sekali-kali menghina mereka walaupun kita tahu latar belakang mereka. Jangan kita anggap mereka umpama syaitan sedangkan kita tidak tahu jikalau Allah meniupkan hidayah kepada mereka, mungkin mereka lebih baik dari kita. Amalan mereka mungkin diterima Allah tapi amalan kita kosong. Penyudah mereka mungkin penyudah yang baik tapi penyudah kita belum kita tahu. Hari ini kita islam. Entah esok kita menjadi kufur. Sama-samalah kita berdoa kepada allah agar mereka yang mencari kebenaran akan menerima hidayah dari Allah. Kita juga berdoa kepada Allah semoga Allah tidak menarik kembali hidayah setelah memberinya kepada kita.

4 comments:

Miss Brenito said...

Ya Allah.. sedihnya..
Dulu arwah bapa saudara saya no.5 menagih dadah juga.
bila ada kehilangan duit, org yg paling kuat menuduh ialah ibu saudara no 2 n suaminya. kata itulah, inilah..
Kesian bapa saudara saya, dia mengadu dgn ibu sy bahawa klu dia nk ambil benda tuh.. dia cari duit sendri, bukan mencuri terutama duit dlm rumah.. kebetulan ketika itu dia menumpang di kampung.

Sehinggalah, satu hari Allah nak tunjukkan. Tergamam ibu saudara sy no 2 kerana selama ni yg mencuri dlm rumah tuh adalah anak buah kesayangan suaminya sendri.. Dua2 terdiam n tersentak..

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh pakcikku kerana dia tidak jahat, tidak pandai bergaduh, tidak pandai menghina org.. dia rajin cuma kesilapannya ialah terjebak dgn dadah..amin

Thirah said...

Allah maha pengampun dan maha penyayang..:)

Ariff Budiman said...

Miss Brenito...Semoga Allah tempatkan ruhnya bersama para solihin. Jahat tak semstinya tidak boleh berubah

Ariff Budiman said...

Thirah...Benar sekali

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...