Teman-teman

Thursday, September 24, 2009

Terima Lagi Jemputan

Aku masih menceritakan mood raya. Walaupun raya ketiga aku dah mula bekerja namun jemputan disebelah malamnya dapat juga aku hadir. Semalam keluarga sebelah mertuaku buat open house seperti tahun-tahun yang lepas. Cuma tahun ini kemeriahannya kurang dirasai setelah pemergian Siti Aishah. Namun hidup perlu diteruskan lalu aku dan isteri telah dijemput. Tahun ini aku hadir hanya sebagai tetamu sahaja. Terlalu banyak memori yang tidak mampu aku coretkan bila menerima jemputan sebelah mertuaku. Bila program dibuat sudah pastinya keluarga sebelah mertuaku akan terkenangkan Siti Aishah. Maka cerita demi cerita diluahkan kepada isteriku. Aku hanya mendengar dan sekejap aku akan duduk diluar. Aku tidak mahu sangat menunjukkan yang aku masih mengingati akan Siti Aishah. Aku buat selamba saja. Aku tahu naluri wanita tidak suka mendengar atau menceritakan tentang wanita lain didepannya. Itu aku tahu sebab itulah lebih baik aku duduk diluar saja. Aku melihat isteriku begitu tekun mendengar kisah tentang Siti Aishah yang telah berkongsi kasih selama 23 tahun bersama suaminya kini tetapi didalam hatinya siapa yang tahu. Aku tahu dia amat bersangka baik terhadap Siti Aishah. Pernah dia berkata kepadaku, " Bang cantik wajah jenazah Aishah. Kelihatan tersenyum ". Aku berkata, " Itulah wajah ahli syurga ". Aku melihat dia mengesat airmata ketika mendengar cerita dari mak mertuaku dan kakak ipar. Pernah dia meminta aku menceritakan tentang peribadi Siti Aishah tetapi aku tak mampu nak cerita. Jadi semalam dia berpeluang mendengarnya.

Bagi aku Siti Aishah telah pun bertemu penciptanya. Kini aku harus memikul tanggung jawabku terhadap isteriku kini. Aku perlu mengambil peluang ini. Kalau tidak aku pasti menyesal seumur hidup. Itulah yang aku dapat dari komen-komen yang diberikan oleh para pembaca. Aku amat menghargainya. Terima kasih banyak-banyak.


Kalau dirumah emak aku, yang menjadi tumpuan ialah kucing. Tetapi disebelah mertuaku pula tidak jauh bezanya. Burung murai yang baru dibeli oleh abang ipar sebanyak 4 ekor yang berharga RM2000 siap dengan lesen sekali menjadi tumpuan yang hadir. Bunyinya memang sedap. Pernah abang ipar menawarkan seekor kepadaku. Katanya bila mendengar bunyi burung, hati akan menjadi tenang. Aku tidak minat membela burung sebab aku dah bertekad kepada Allah yang aku tidak mahu menyiksa burung lagi.

Aku teringat tentang peristiwa yang berlaku ketika aku berada didalam darjah 6. Naluri keanak-anakkan masih lagi kuat. Aku suka menangkap burung merbah dengan menggunakan jebak yang aku buat sendiri. Didalamnya aku letakkan buah betik. Bila burung melihatnya maka akan datanglah berkerumun keliling jebak aku. Yang tak sabar pastinya akan melompat bertengggek diatas kayu dan secara outomatiknya jebak tertutup. Banyak juga aku dapat

Gambar jebak yang aku buat zaman keanakkan

Suatu hari aku melihat seekor burung merbah jambul duduk disebelah jebak aku. Dia pandai. Dia mematuk buah betik dari luar. Apalagi aku keluar terus mengambil lastik dan melastik burung itu. Bedebuk...kena dada burung itu lalu terjatuh dibawah. Aku melihat burung itu tercungap-cungap mungkin menahan kesakitan dan akhirnya ia mati. Aku terus pergi dan membiarkan burung itu diluar. Tiba-tiba aku melihat beberapa ekor burung-burung kecil mengelilingi burung itu. Cit cit bunyinya. Seluruh badan aku menggeletar ketakutan. Aku memohon ampun kepada Allah. Semoga Allah tidak mengambil emak dan ayah aku. Aku lepaskan semua burung yang aku tangkap. Terdengar bunyi burung bercuit cuit terbang. Mungkin gembira mereka dapat kembali bebas ke fitrah biasanya.

Sebulan selepas kejadian itu, ayah aku membawa pulang burung kunyit. Setiap pagi, tengahari dan petang dia akan berbunyi nyaring. Seronok ayah aku mendengarnya. Aku amat kesian akan nasib burung itu lalu tanpa berfikir panjang terus aku lepaskan burung itu. Petang ayah aku pulang dari tempat kerja. Apalagi mengamuk sakan bila melihat burungnya tiada. Aku memberanikan diri berterus terang dengan ayah. Apalagi ayah aku mengamuk. Dikejarnya aku keliling rumah. Akhirnya aku mengalah lalu aku serahkan pipiku kepada ayah. Pangggg hinggap penampar sulung. Mengalir air mata aku menahan kesakitan yang amat sangat dari tangan seorang pelayar kapal. Kasar sungguh.

Seminggu aku merajuk tak keluar rumah. Aku asyik menangis. Apakah aku telah lakukan perkara yang tidak baik. Setelah emak nasihat akan ayah, ayah memanggil aku. Ayah minta aku tukar pakaian sebab ayah nak ajak aku menonton wayang gambar. Selesai menonton aku masih lagi merajuk terhadap ayah. Ketika ayah pulang dari kerja, ayah memanggil aku,
" Budiman.., ayah minta maaf sebab memukul Diman. Pada ayah Diman telah buat perkara yang betul ". Apalagi menangis aku terharu sebab ayah tidak marah lagi padaku dan akhirnya aku mendapat mainan yang paling aku hajati iaitu pistol koboi siap dengan pelurunya. Semoga Allah tempatkan ruh ayahku bersama para solihin. Seorang ayah yang banyak bekorban akan anak-anaknya.

3 comments:

maiyah said...

salam.. sy suka tgk burung tapi tak pernah bela pun :)

bearcat said...

Tak suka tengok orang bela burung dalam sangkar. Kesian.

Dulu masa zaman study di U, G selalu beli burung di pet shop dan lepaskan.

Cina pet shop tu pun jadi pelik, dan satu hari dia tanya "Apasal u selalu beli burung banyak-banyak?"

G senyum saja. Malas nak jawab. Bukan dia faham pun.

scr said...

gambaq raya smua dah dikumpul...x mo amek ka pakjang....hahaha....tetiba lak....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...