Teman-teman

Friday, August 05, 2011

Emak Tak Dapat Puasa

" Bang nanti selepas abang bangun tidur, kita ke pekan. Nah nak beli tepung. Ingat nak buat kuih pau ". Kata isteriku ketika aku membuka uniform kerja. Mendengar saja nama kuih pau terus aku terkenangkan Siti Aishah. Memang keluarga kami suka akan kuih pau yang di buat oleh isteriku Siti Aishah.
" Yang tanda merah tu inti sekaya. Siti buat untuk abang ". Kata Siti Aishah bila kuih pau sudah siap. Memang sedap sekali rasanya.
" Macam nilah Nah. Kita pergi sekarang. Takut nanti kalau abang tertidur jenuh juga nak bangun ". Maklumlah sudah 16 jam aku bekerja. Kalau diletakkan kepala alamat sampai jam 2 la jawabnya.

Setelah membeli kelengkapan di pekan, kami singgah di rumah ibuku. Aku sudah berjanji melalui talipon yang kami akan datang. Tersenyum ibuku menerima kunjungan anak menantu.
" Mak tak boleh puasa ". Katanya sambil mengalir airmata kepada isteriku.
" Tak apalah mak. Mak dah uzur. Bukannya mak sengaja ". Kata isteriku.
" Tak apakah Diman kalau mak tak puasa. Allah tak marah ke ". Tanya ibuku minta kepastian.
" Tak apa mak. Allah tak marah. Nanti kita bayar fidyah berapa hari mak tinggal. lepas ini kita bayar denda la ". Kataku untuk menenangkan hati ibuku. Fidyah bererti membayar denda berbentuk beras kepada fakir miskin.

Ibuku di golongkan dalam golongan mereka yang sakit teruk yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Kadar fidyah ialah sehari secupak beras kepada fakir miskin. Ibuku begitu gembira dengan penjelasanku. Kita sebagai anak perlu mengambil berat bab ini terhadap ibu bapa. Seperti mana mereka mendidik kita erti puasa semenjak kecil lagi dan bila mereka sudah uzur kita harus mengambil berat bab puasa mereka.

Selepas zohor mata sudah tak boleh nak buka lagi. Aku minta agar isteri kejutkan aku jam 4.30 petang untuk latihan nasyid pula. Terasa amat payah untuk bangun bila isteri mengejutkanku. Selepas solat asar aku terus ke masjid. Anak-anak remaja telah menunggu. Aku terkial-kial mengetuk bonggo. Cuba bayangkan aku mengetuk bonggo ketika anak-anakku masih di sekolah rendah lagi. Kini ada yang sudah bekerja dan ada yang masih belajar di politenik. Ini bermakna sudah berpuluh tahun aku meninggalkan nasyid. Anak-anak remaja tertawa melihat aku mengetuk lintang pukang mencari rentak. Akhirnya dapat juga aku mencari tempo. Tinggal 8 hari lagi untuk persembahan.

Bila aku sampai di rumah, isteriku menunjukkan kuih pau yang baru di buat.
" Yang titik merah tengah tu inti sekaya. Nah buat untuk abang ". Kata isteriku tersenyum. Aku hanya terdiam bila mengenangkan ayat yang sama digunakan oleh Siti Aishah dan Rosnah. Macam mana aku tak terkenang kembali.
" Pasai apa abang diam. Abang tak suka ka ". Tanya isteriku
" Bukan tak suka. Terpegun cantik dan gebu macam orang yang buat ". Selorohku yang membuatkan isteriku tertawa.

Alhamdulillah bila azan berkumandang inilah nikmatnya ketika berbuka. Kuih pau dan cucur udang semalam masih lagi boleh di makan. Ia hanya perlu di goreng semula. Aku langsung tidak menjamah nasi. Dengan dua hidangan ini pun sudah memadai buat kami. Perut tidak boleh di biarkan terlalu penuh. Ia perlu di kosongkan untuk ibadah sama.

Inilah pertama kali aku jejak masjid kariahku untuk bertarawih. Yang sebelumnya aku terpaksa menjalankan tanggungjawabku sebagai tok bilal di surauku. Kini setelah aku berpindah kerumah baru, tanggungjawab itu telah aku serahkan kepada jawatankuasa yang baru. Tarawih kedua, aku kesana dan bilal telah di ambil alih oleh anak-anak tahfiz. Alhamdulillah. Berbondong-bondong manusia keluar dari lorong berhampiran menuju ke masjid.

Aku begitu kagum dengan melihat begitu ramai anak muda berada di masjid untuk solat tarawih. Kita juga di hebuhkan dengan keruntuhan akhlak anak muda sekarang tapi malam tadi aku melihat dan bersyukur dengan kehadiran yang begitu ramai dari kalangan anak muda.
" Assalammualaikum pakcik. Tak kenai saya ka ". Seorang anak muda bersalaman dengan aku.
" Pakcik ingat tak masa nasyid yang kita buat di masjid ni. Sayalah budak yang nasyid sama pakcik ". Anak muda mengingatkan kembali. Subhanallah begitu cepat masa berlalu. Dulu mereka di bangku sekolah rendah sewaktu bersama kumpulan kami. Kini sudah bekerja dan baru saja berkahwin. Ini bermakna aku sudah dimamah usia.

Sambil menanti isteriku keluar dari masjid, sempat juga aku menziarahi pusara isteriku Siti Aishah. Suatu hari aku juga akan kesini dan adakah aku akan di ziarahi..........

2 comments:

insan marhaen said...

Agak--agak dia kenal IM juga ka?

Ariff Budiman said...

insan marhein...Tentu dia kenal kalau lihat IM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...