Teman-teman

Friday, August 19, 2011

Syurga Di Bawah Tapak kaki Ibu

Jam 6.30 petang.......

Emak berdiri di depan pintu. Wajah emak kelihatan begitu resah. Emak menunggu adik balik dari sekolah agama.
Ayah baru pulang dari sawah.

" Mana Along ". Tanya ayah kepada emak.
" Ada di dapur tolong siapkan makanan ". Jawab emak
" Angah mana ". Tanya ayah lagi kepada emak.
" Angah mandi. Baru pulang dari bermain bola ". Jawab emak kepada ayah.
" Ateh mana ". Tanya ayah lagi kepada emak.
" Ateh, Kak Cik tengok tv di dalam bilik ". Jawab emak
" Adik dah balik " Ayah bertanya lagi kepada emak.
" Belum...Patutnya sudah balik. Basikal adik rosak kut. Kejap lagi kalau adik tak balik jom kita cari adik ". Jawab emak kepada ayah. Emak menjawab soalan ayah dengan penuh yakin. Setiap hari pasti ayah bertanya soalan yang sama. Emak menjawab dengan penuh perhatian. Emak sentiasa mengambil tahu di mana anak-anak berada, bagaimana keadaan mereka setiap masa dan ketika.

20 tahun kemudian.....
Jam 6.30 petang

Ayah pulang kerumah dengan keadaan baju yang basah. Hujan turun sejak tengahari lagi.
" Mana emak ". Tanya ayah kepada Along
Sambil membelek baju barunya dan menjawab, " Tak tahu ".
" Mana emak ". Tanya ayah pula kepada Angah.
Angah sambil menonton tv menjawab, " Mana Angah tahu ".
" Mana emak ". Tanya ayah pula kepada Ateh.
Lama ayah menanti jawapan Ateh yang sedang asyik membaca majalah.
" Mana emak ". Tanya ayah lagi kepada Ateh.
" Entah ". Ringkas saja jawapan Ateh dan terus membaca majalah tanpa menoleh ke arah ayah.
" Mana emak ". Ayah bertanya pula kepada Alang.
Tiada jawapan dari Alang. Hanya bahu Alang saja yang bergerak menandakan tidak tahu.

Ayah tidak mahu bertanya Kak Cik dan Adik yang sedang asyik melayan Facebook. Ayah tahu yang ayah pasti tidak mendapat jawapan yang ayah mahu. Tidak ada siapa yang tahu di mana emak. Tidak ada siapa yang ingin tahu di mana emak. Mata dan hati anak-anak emak tidak pada emak. Hanya mata dan hati ayah saja yang mencari-cari di mana emak. Tidak ada anak-anak emak yang tahu setiap kali ayah bertanya, " Mana emak ".
Tiba-tiba adik bongsu bersuara, " Emak ni sudah senja-senja pun masih nak merayap lagi. Tak reti nak balik ". Tersentap hati ayah mendengar kata-kata adik.

Dulu anak-anak emak akan berlari mendakap emak bila pulang dari sekolah. Mereka akan bertanya, " Mana emak " apabila emak tidak berada di depan pintu menunggu mereka.
Mereka juga akan bertanya, " Mana emak " apabila mendapat nombor 1 dalam peperiksaan atau kaki melecet ketika bermain bola di padang sekolah. Emak akan resah bila anak-anak emak lewat pulang. Emak ingin tahu di mana kesemua anak-anak emak berada setiap waktu dan ketika. Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak emak tidak bertanya, " Mana emak ".

Semakin anak-anak emak membesar, soalan " Mana emak " semakin hilang dari bibir anak-anak emak. Ayah resah berdiri di depan pintu menanti kepulangan emak. Sudah senja begini emak masih belum pulang lagi. Ayah bertambah risau sebab sejak akhir-akhir ini emak kerap mengadu sakit lutut. Dari jauh kelihatan susuk emak berjalan sambil memakai payung yang telah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti lagi. Emak memegang dua bungkusan beg plastik. Sudah kebiasaan bagi emak membawa pulang sesuatu untuk anak-anak emak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah, emak berhenti di deretan kereta anak-anak emak. Emak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak emak. Emak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Emak rasakan seperti mengusap kepada Ateh sewaktu Atek kecil lagi. Tersenyum emak seorang diri sambil mengetap rapat bibirnya. Senyum yang tertahan hanya ayah sahaja yang memahaminya. Sekarang emak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti sewaktu anak-anak emak masih kecil. Kini mereka sudah besar. Emak takut anak-anak emak akan menepis tangan emak kalau berbuat demikian. Lima buah kereta milik anak-anak emak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Emak tidak tahu apa kehebatan kereta Ateh itu. Emak cuma suka akan warnanya. Kereta warna merah bata merupakan kesukaan emak. Emak belum merasa menaiki kereta anak-anak emak. Baju emak basah akibat terkena hujan. Ayah tutupkan payung emak.

Emak memberi salam namun salam emak tidak di jawab. Terketar-ketar lutut emak melangkah menaiki anak tangga. Ayah memimpin tangan emak masuk kedalam rumah. Lutut emak terasa kesakitan lagi. Emak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus lagi kuih koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak emak. Mak Uda tahu yang anak-anak emak amat menggemari kuih koci dan emak terasa malu untuk meminta di bawa pulang. namun raut wajah emak sudah cukup membuat Mak Uda faham. Semasa menerima bungkusan kuih koci dari Mak Uda, emak sempat berkata, " Wah..berebutlah budak-budak tu nanti bila nampak kuih koci kamu ni ".

Sekurang-kurang itulah bayangan emak ketika anak-anak emak sedang gembira menikmati kuih koci seperti mana waktu mereka kecil dahulu. Jika anak-anak berebut maka emak menjadi hakim membuat keputusan muktamat. Seringkali juga emak akan memberi bahagian emak supaya anak-anak emak puas makan. Bayangan itu seringkali bermain di kepala emak. Ayah menyuruh emak menyalin pakaiannya yang basah dan emak akur. Selepas itu ayah akan mengiringi emak ke dapur. Emak mengajak anak-anak untuk bersama emak makan kuih koci namun tidak ada seorang pun yang menoleh ke arah emak. Mata dan hati anak-anak bukan untuk emak lagi.

Emak menunduk kebawah dan akur dengan keadaan. Ayah tahu emak tidak boleh lagi mengharapkan anak-anak melompat gembira sambil mendakapnya seperti dahulu. Ayah menemani emak makan sambil menyuap nasi perlahan sambil mengharapkan agar anak-anak emak akan makan bersama. Setiap hari emak akan mengharapkan begitu. hanya ayah yang sudi duduk menemani emak di meja makan setiap malam. ayah tahu emak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi emak kerumah Mak Uda yang terletak di kampung seberang mencari rebung. Emak hendak buat masam lemak cili padi dan ikan masin kesukaan anak-anak emak.

Ayah bertanya emak kenapa tidak menalipon meminta anak-anak menjemput emak.
" Saya sudah menyuruh Uda menalipon anak-anak tadi tapi katanya semua tidak di jawab ". kata emak kepada ayah. Emak meminta Mak Uda menalipon anak-anak. Emak tidak dapat pulang sebab hujan lebat. Lutut emak akan kesakitan jika cuaca sejuk. Ada sedikit harapan di hati emak agar salah seorang anak emak akan menjemput emak dengan kereta. Emak teringin kalu Ateh yang datang menjemput emak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang sudi datang menjemput emak.

Emak tahu anak-anak emak tidak menyedari talipon berbunyi. Emak masih ingat akan kata-kata ayah. " Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu, kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka mempunyai kehidupan mereka sendiri. Tak payah sedih-sedih. Maafkan saja anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasai menaiki kereta mereka sekarang. nanti jikalau kita meninggal kita masih mempunyai peluang merasai anak-anak kita mengangkat kita di atas bahu mereka ". Emak faham buah hati emak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Adik serta kak Cik sudah mempunyai buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat emak di hati anak-anak emak. Pada suapan terakhir, setitis airmata emak jatuh ke dalam pinggan. Kuih koci masih belum di usik oleh anak-anak emak.

Beberapa tahun kemudian...

Mak Uda bertanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik, " Mana emak ".
Hanya adik yang menjawab, " Emak dah tak ada ".
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik, tidak sempat melihat emak sewaktu emak sakit. Kini emak sudah berada di sisi tuhannya dan bukan di sisi anak-anak mak lagi. Dalam esakan Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik menerpa kubur emak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan emak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak mempunyai tangan seperti tangan emak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anaknya menerpa emak semasa waktu kecil dahulu.

Emak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik, berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik mereka tidak mendengar talipon bimbit berbunyi semasa ayah talipon untuk memberitahu yang emak sedang sakit tenat. Emak faham bahawa mata dan telingan anak-anak emak adalah untuk orang lain dan bukan untuk emak lagi. Hati anak-anak emak bukan milik emak lagi. Hanya hati emak yang tidak pernah di berikan kepada sesiapa, ia hanya untuk anak-anak emak sahaja.

Emak tidak sempat merasa di angkat di atas bahu anak-anak emak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah emak dalam hujan renyai. Ayah sedih seba tiada lagi suara emak yang akan menjawab soalan ayah.
" Mana Along, Mana Angah, Mana Ateh, Mana Alang, Mana Kak Cik atau Mana Adik ". Hanya emak saja yang rajin menjawab soalan ayah dan jawapan emak tidak pernah silap. Emak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab emak mengambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan ketika. Anak-anak emak sentiasa di hati emak tetapi hati anak-anak emak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah kelihatan begitu sedih. Di tepi kubur emak ayah bermonolog sendiri,
" Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan adik, " Mana emak ". Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah begitu hancur bila mengingati hajat emak untuk menaiki kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah teringat kata-kata emak malam itu, " Cantiknya kereta Ateh kan bang.besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan dekat kuala Lumpur tu. Saya akan buat kuih koci untuk bekalan " ".

" Ayah..ayah...ayah bangun..". Suara Ateh memanggil ayah. ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh. Terketar-ketar ayah bersuara, " Mana emak ".
Ayah tidak mampu berhenti bertanya soalan itu. Sudah 10 tahun emak pergi namun soalan " Mana emak " masih sering keluar dari mulut ayah sehingga ke usia akhir.

Sebuah cerita pendek untuk tatapan anak-anak yang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu di lambung resah. Apabila tua di lambung rasa.
Sabda Rasulullah saw, ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah ibu berapa kali lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunnat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan talipon panggilan dari ibu tanpa berjawab ???.

Coretan Ustaz Mohd Sablie Shamsuddin
Exec. religious officer.




13 comments:

Anonymous said...

seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu boleh jaga seorang ibu...

Marina Monroe said...

Membuat akak sedih baca citer ni..

insan_marhaen said...

buat IM check diri sendiri. adakah IM seorang daripada anak-anak ini?

Khahar said...

Sebak baca cerita pendek yang penuh bermakna....Rindu pada emak dan abah saya yang di Skudai,Johor.Juga rindu pada arwah mak mentua saya.

Anonymous said...

saya menangis tersedu2 baca citer ni..menusuk kdlm kalbu..mudah2an sya tidak tergolong dari anak2 ini..dan bukan juga senasib dengan emak malang ini..nauzubillah..rindu yang teramat sangat pada arwah mama...mudah2an kita bekumpul lagi disyurga firdaus..Amin3x

Anonymous said...

saya menangis tersedu2 baca citer ni..menusuk kdlm kalbu..mudah2an sya tidak tergolong dari anak2 ini..dan bukan juga senasib dengan emak malang ini..nauzubillah..rindu yang teramat sangat pada arwah mama...mudah2an kita bekumpul lagi disyurga firdaus..Amin3x

Ariff Budiman said...

Anonymous...Janganlah kita tergolong dalam 10 orang anak itu

Ariff Budiman said...

Marina Monroe...Saya baca pun begitu juga

Ariff Budiman said...

insan marhein...Sama-samalah kita check diri sendiri

Ariff Budiman said...

Khahar...Sekurang-kurangnya ia mendekatkan kita kepada ibu kita

Ariff Budiman said...

Anonymous...Doa dari anak yang soleh saya da[pat menolong ibu bapa kita. mari kita berdoa untuk mereka. kelak kita pula memerlukan doa dari anak2 kita.

saing said...

http://youtu.be/mm482cw4pDk. layan lagu mama oo mama

Ariff Budiman said...

saing..Terima kasih banyak2 kirim lagu

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...