Teman-teman

Wednesday, January 07, 2009

Akhirnya Allah Makbulkan Doaku

Ya Allah kenapa petang ini badan aku terasa amat letih dan panas. Hilang selera untuk makan. Seharian aku tidur keseorangan dirumah.Entah kenapa pula lutut aku berdenyut-denyut. Teringat kata Dr kalau tak buat operation sakit akan berlarutan. Ah.. biarkan dulu. Inilah hasilnya masa muda dulu main bolasepak dan akhirnya bila diusia begini terasalah bahangnya. Aku hanya makan roti saja tengahari sambil mata memerhati lansir tingkap.

Teringat akan kata-kata isteri,"Bang... hari raya puasa kita tukar langsir. Dah 3 tahun kita tak tukar". Aku akui memang langsir yang sedia ada sudah bertukar warna akibat terlalu lama. Tersenyum aku atas permintaan isteriku. Aku tahu memang dia amat mengharapkan sangat sebab sebelum ini tak pernah pun dia meminta-minta.

Dipendekkan cerita setelah kami setuju warna dan corak, maka kain langsir pun dibeli. Aku terus pergi kerja seperti selalu. Pulang saja aku lihat isteriku dan anak-anak tersenyum-senyum. Aku bertanya kenapa semua orang senyum-senyum ni. Isteriku berkata," Cuba abang tengok apa perbezaan dalam rumah kita ". Aku memerhati sekeliling sambil berkata tak ada apa-apa yang beza. Muncung isteri aku. Katanya " Abang tak peka langsung ". Aku terdiam sambil memerhati sekeliling dan badan pun letih juga. Tiba-tiba subhanallah cantik sungguh langsir yang isteri aku jahit. Tersengih-sengih dia bila aku puji cantik maka itu dapatlah secawan kopi Radix. Itulah langsir yang terbaru dan terakhir.

Semalam aku menalipon kawan aku mengatakan yang aku tak dapat masuk kerja sebab badan terasa demam. Kawanku kata no problem. Aku keluar sebentar bertemu rakanku untuk pertemuan mingguan yang kami panggil sebagai usrah. Kami akan membaca A--Mathurat yang merupakan himpunan doa Rasulullah. Selesai membaca kami akan berdoa. Sambil menikmati hidangan dari tuan rumah kami berbincang tentang isu semasa. Bermula dengan masalah Palestin dan akhirnya kepada kehidupan aku.

Kata kawan aku, sekarang dia tak nampak dah Budiman dan Kak Aishah di pasar. Memang kami kerap kepasar untuk membeli bekalan untuk 3 hari dan kami akan berjumpa kawanku itu. Aku berkata setelah 20 hari isteri telah meninggalkan aku sekeluarga, Allah tak izin untuk aku bermimpikannya. Aku berkata memang aku amat rindu sangat untuk bertemu dengannya secara mimpi ataupun sedar. Kawan-kawan yang lain hanya terdiam sambil berkata tak ada rezeki lagi tu.

Seperti biasa sebelum tidur aku akan membaca sedikit ayat Quran. Sekurang-kurang hati aku terasa begitu damai sekali dengan membacanya dan aku akan akhiri doa agar Allah pertemukan aku dengan Aishah didalam mimpi. Aku amat merinduinya. Aku terus tidur. Subhanallah malamnya aku bermimpi aku dan Aishah kepasar membeli ikan sambil memegang tangan. Masing-masing tidak mahu melepaskan tangan walaupun ramai yang memerhati. Kami nampak begitu gembira sekali. Dalam mimpi itu juga Aishah bertanya kepada aku," Abang mau ka kepala ikan, Siti nak beli ". Aku hanya mengangguk kepala saja. Memang kepala ikan dan ikan semilang adalah kegemaranku.

Setelah kami beli ikan seperti biasa kami makan kuih muih dibawah pokok berdepan dengan masjid Bayan Baru. Sambil makan kami terus memegang tangan seoalah-olahnya masing -masing tidak mahu berpisah. Aku meramas-ramas tangan isteriku yang sudah lama aku tidak pegang. Tiba-tiba Aishah terkejut, Katanya dia kena pergi sebab ada kerja.

Aku terus tersedar tatkala azan subuh berkumandang. Aku solat subuh sambil berlinangan air mata. Betapa gembira dan bersyukurnya aku akhirnya Allah memperkenankan doa aku. Walaupun mimpi itu hanya mainan tidur tapi bagi aku cukuplah kerinduan yang aku tanggung selama ini membuahkan hasil yang begitu indah. Itulah senyuman yang aku rindui selama beberapa bulan dan akhirnya aku dapat melihat senyumannya dan memegang tangannya. Syukur ya Allah. Pagi tadi aku terus kepasar dan alhamdulillah ada ikan semilang. Aku beli dan aku berikan kepada ibu mertuaku untuk memasak. Resepinya sama. Inilah hari yang bahagia buatku yang selama ini aku pendam didalam hati. Syukur..syukur.....syukur

1 comment:

alhan said...

Alhamdulillah di atas doa yg dimakbulkan. Sesungguhnya DIA MAHA MENDENGAR. mengalir air mata saya membacanya. kakak aishah menunggu anda di Sana, Insya-ALLAH.Mulia dan tulusnya kasih anda berdua. Semoga tautan kasih anda berdua diberkati ALLAH. Semoga tabah..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...