Teman-teman

Friday, January 09, 2009

Bang Batu Nesan Dah Siap


8 Januari 2009 - Setelah segalanya berjalan dengan lancar aku telah menetapkan untuk mengadakan kenduri kesyukuran seperti hajat isteri aku. Semasa di Kelantan isteri aku ada berkata, " Bang bila kita balik ke Penang nanti, kita buat kenduri untuk kanak-kanak yang masuk pertandingan Tunas Rabbani". Pertandingan Tunas Rabbani adalah petandingan untuk kanak-kanak dan remaja. Ia berbentuk nasyid, sajak, pidato dan azan. Ramai juga kanak - kanak dan remaja yang menyertainya sehingga ada yang tak sempat masuk dah booking untuk tahun 2009. Betapa seronoknya aku, isteri dan anak-anak tatkala kami mengajar kanak-kanak bernasyid, azan, sajak yang dibuat di surau kami. Tidak ada rasa jemu bagi kami.

Kanak-kanak telah aku beritahu jamuan akan diadakan selepas solat isyak. Aku ke kedai membeli apa yang patut untuk malam itu. Tiba-tiba talipon berbunyi," Assalamualaikum bang, batu nesan yang abang tempah dah siap". Aku terus ketempat tempahan untuk mengambilnya. Sayu rasa hati bila melihat tertera nama Siti Aisha bt Zakaria pada batu nesan. Tak sanggup aku melihatnya. Aku terus bawa ketanah perkuburan. Setelah selesai aku letakkan batu nesan aku berbual sebentar. " Siti malam ini abang buat kenduri seperti yang Siti niatkan ". Tidak sedar air mata aku mengalir laju. " Siti hari ini genap 3 minggu Siti tinggalkan kami semua. Abang amat rindu sekali dengan siti". Aku membetulkan tanah kubur agar nampak kemas. " Siti abang nak balik, esok insyaallah abang datang lagi, Assalamualaikum Siti ". Tak tahu kenapa. Aku berbual seolah-olahnya dia masih hidup. Ya hidup didalam hati aku dan anak-anak serta sahabat baiknya.



Aku terus kesurau untuk mengemaskan apa yang patut untuk kenduri malam ini. Talipon berbunyi lagi. " Assalamualaikum Pak Anjang, ayah baru saja meninggal ". Terkejut aku berita pemergian abang ipar aku. 3 minggu yang lepas dia memeluk aku sambil menangis agar aku dapat bersabar dengan pemergian isteriku. Kini Allah pula telah menjemputnya pergi menemui yang esa. Tergamam aku sambil mengucap Inna lillahiwainna ilai hirojiun. Setelah kata sepakat dari keluarga, mayat akan dikebumikan pada jam 10 pagi hari Jumaat 9 Januari 2009. Sempat aku selesaikan kenduri kesyukuran.

Selesai solat Maghrib diadakan bacaan ayat suci Al-Quran dan tahlil untuk Aishah. Agak ramai jemaah yang hadir. Selesai solat Isyak majlis kenduri bermula. Kelihatan begitu ramai kanak-kanak, sahabat handai dan jiran-jiran datang. Aku dan anak-anak amat gembira dengan kedatangan para tetamu. Kataku kepada anak gadisku," Kalaulah mak ada tentu mak pun seronok". Aku amat sebak ketika ini. Terlihat aku akan sahabat Aishah datang. Sambil berbual masing-masing mengalir air mata, sebak mengenangkan Aishah. Aku tak berani berbual dengan mereka takut aku akan turut sama menangis. Seronok rasanya buat kenduri untuk kanak-kanak sebab mereka tidak cerewet berbanding orang dewasa.

Akhirnya aku turut berbual juga dengan sahabat Aishah. Aku cuba mengawal perasaan agar tidak ketara sangat akan kerinduan aku terhadap Aishah. Tapi sahabat-sahabat Aishah amat memahami perasaan aku ketika ini. Kata mereka bukan senang bagi Budiman untuk menghilangkan nostalgia dengan Aishah. Batin aku ketika itu menangis mendengar nasihat dari mereka.



Selesai jamuan kesyukuran aku dan anak-anak bergegas pula kerumah kakak aku. Sampainya kami disana aku melihat kakak aku sedang menangis dan kadang-kadang memegang suaminya. Aku amat mengerti akan perasaan ini sebab aku sendiri dah melaluinya. Terasa amat perit sekali. Cuma aku tidak salahkan ketentuan ilahi cuma cara Aishah meninggal membuatkan aku begitu sedih. Aku masuk untuk membaca Fatihah untuk abang ipar. Aku keluar untuk bersendirian diluar. Aku mengelamun sebentar mengenangkan kembali tatkala Dr memanggil aku untuk memberitahu bahawa harapan untuk hidup amat tipis buat isteriku. Aku meminta izin kepada Dr untuk memeluk isteriku. Terdiam seketika Dr dan dia mengizinkan.

Aku dibawa kepada isteriku oleh 3 orang jururawat. Sampai saja aku dan bila melihat isteriku, aku tak tapat menahan sebak lagi. Aku meluru kearahnya. Aku cium tanganya, aku cium pipinya beberapa kali. Aku cium dahinya. Aku tidak rasa malu lagi terhadap nurse disebelah aku. Aku peluk isteri aku yang sudah tidak ada tindak balas. " Siti, Siti jangan tinggal abang. Abang tak boleh hidup tanpa Siti". Seorang nurse dari negara India tak tahan melihat aku hanya mampu mengalirkan air matanya. Bukan aku sengaja nak tunjuk-tunjuk tetapi entah kenapa seorang isteri yang terlalu baik harus menerima nasib sebegini akibat perbuatan manusia yang dengki. Apa salah kami. Apakah kami tidak patut ada rasa gembira berkeluarga. Kenapa begitu kejam melakukan perkara yang bertentangan dengan agama islam. Kenapa harus memisahkan kami.

Lamunan aku terhenti bila aku disapa oleh anak saudara aku. Aku mengambil air sembahyang lalu membacakan surah yasin lalu aku hadiahkan kepada arwah abang iparku dan yang pastinya tidak aku lupakan arwah isteriku yang tercinta. Aku bermalam dirumah kakak aku. Jam 8 pagi jenazah abang ipar dimandikan dan dikapankan. Tepat jam 10 pagi jenazah disembahyangkan di Masjid Taman Guar Perahu dan dikebumikan. Yang pastinya kakak aku pasti akan merasai seperti mana aku rasa. Sunyi, rindu. Sehingga kini telah menjadi rutin aku sebelum ketempat kerja atau selepas pulang dari kerja aku akan cium baju Aishah dulu. Kalau tidur aku akan meletakkan baju Aishah bersebelahan aku. Itulah saja cara aku melepaskan kerinduan ini.

Selesai mayat dikebumikan aku meminta izin kakak aku untuk pulang sebab aku akan kerja petang. Aku terus menunaikan solat Jumaat. Khatib menyampaikan dengan baik mengenai penderitaan Palestin dan apa yang perlu orang islam lakukan untuk menolong saudara seagama.
Selesai solat aku terus pulang kerumah. Sampainya aku didepan rumah kelihatan rumah aku amat berseri. Apa tidaknya anak gadis aku telah mengemas rumah. Tidak ada lagi baju-baju yang dilungguk. Wangi bau rumah selepas dimop. Sudah 3 bulan rumah aku terbiar tanpa jagaan. Aku dan anak lelaki bukannya tak rajin cuma lagi kami kemas lagi semak. Terima kasihlah anak. Susah juga kalau tak ada orang perempuan no ( Fikir positive no ).

Jam 3 petang aku bersiap ketempat kerja berbekalkan burger buatan sendiri oleh anak gadis aku dan kini anak aku pula mengambil tempat emaknya. Diciumnya tangan aku. Terasa seperti Aishah mencium tangan aku. Tenang aku menuruni anak tangga. Esok anak gadis aku akan pulang ke Sungai Petani. Seperti biasa aku akan habiskan masa ziarah tanah perkuburan dan berbual. Itulah rutin ayah kalau terasa sunyi. Pedulikan apa yang orang akan berkata. Janji ayah terasa bahagia dan tenang.

Sekian ariman

1 comment:

hrusli61 said...

Sudah sunnah orang berjuang, Diuji Allah untuk melihat dan menzahirkan mereka yang lebih ikhlas.

Perik dan getir mainan hidup di dunia yang fana ini. Kepingin dan rindu merupakan selimut diri.

Jiman kita pun akan ke sana juga. siapa dulu siapa kemudian. Semoga akan ketemunya di sana dengan wajah berseri-seri. InsyaAllah.

Tiada terbendung air mata ini. Dikau lebih terkesan. Tidak apa yang kita punya.

Semuanya milik Allah. Setiap pinjaman harus dikembalikan.

Terima kasih Allah.
Allahu Akbar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...