Badan aku masih terasa bisa yang amat sangat akibat kemalangan tempoh hari. Mahu saja aku tidur. Tapi tugasku kepada surau perlu aku laksanakan dulu. Malam ini ada kuliah dari Ust Nik Razi Nik Mat iaitu adik kepada Tuan guru Nik Aziz Nik Mat. Aku perlu membuka surau dan melihat apa yang perlu aku lakukan.
Selepas solat maghrib Tuan Guru memulakan kuliahnya. Kuliahnya banyak berkisar tentang isu semasa. Isu palestin tidak ditinggalkannya. Agak ramai juga yang hadir. Aku amat terkesan bila Tuan Guru berkata bahawa untuk menghilangkan resah, gundah gulana dan perasaan sedih kita perlu banyak bersedekah. Aku pernah juga berkata kepada isteri kalau ada kuliah bawalah bersama wang supaya senang kalau ada pelan wakaf bolehlah digunakan wang ini.
Wakaf ini merupakan pelaburan masa hadapan. Ia berkekalan sehingga kita mati pun pahalanya kita dapat. Itulah kata-kata dari ustaz. Jadi aku pun tak mahu melepaskan peluang keemasan. Malam ini aku membeli dua lot wakaf. Satu untuk aku dan satu lagi untuk isteri aku. Aku mendoakan semoga Allah terima amal-amal ini.
Setelah selesai aku dan anak menaiki motorsikal dalam jalan-jalan cari makan. Kami singgah disebuah warung nasi goreng. Ketika sedang makan aku melihat seorang lelaki bertongkat bersama anaknya sedang mencari nafkah dengan menjual key chain. Mereka melalui tempat kami. Aku menggelengkan kepala tanda tidak mahu membeli. Aku lihat sayu siayah berjalan pergi. Makanan sampai dan aku tak dapat menelannya kerana merasa berdosa tidak membeli walaupun berharga RM2.
Selesai makan aku mengajak anak mencari lelaki tadi untuk aku berikan duit kepadanya. Namun lelaki itu sudah pergi. Puas aku mencari namun tidak berjumpa. Ya Allah ampunkan dosa hambamu ini yang mementingkan diri sendiri.
2 comments:
G dah beli dua lot wakaf utk mak dan ayah dulu.
Bab org yang menjual di kedai-kedai makan ni, biarpun kadang-kadang barangan tu tak diperlukan, kami akan beli...atas dasar kasihan dan membantu. Selagi manusia itu berusaha untuk mencari rezeki yang halal, sepatutnya kita bantu dia. Takut-takut dia putus semangat dan buat kejahatan untuk mencari duit yang mudah.
semoga rezeki akan bertamabah, dengan keikhlasan.
Post a Comment