Teman-teman

Wednesday, October 13, 2010

Baru Terasa Begitu Hampir dengan Allah

Sementara menanti waktu isyak, aku penuhi dengan membaca Al-Mathurat. Isteriku duduk bersebelahanku sambil mendengar akan ayat-ayat yang aku baca. Selesai membaca aku melihat muka isteriku seolah-olahnya ada persoalan. " kenapa Nah. Ada masalah ke ". Dia hanya diam sambil memerhati aku. " Dulu abang pernah berjanji nak cerita pada Nah mengapa abang memilih Nah sedangkan masih ramai lagi diluar sana yang mampu abang miliki ". Rupanya aku tertunggak cerita bagaimana aku boleh melamarnya dan kini telah setahun lebih kami melayar bahtera bersama dengan penuh kasih sayang. " Begini Nah. Lepas solat isyak dan selepas makan insyaallah akan abang cerita dari mula hingga kita disatukan ".

Selepas selesai solat isyak berjemaah kami makan malam bersama. Sambal tumis jawa yang sudah lama dibekukan dipanaskan kembali. Itulah selalu yang aku lakukan pada sambal tumis. Aku buat berlebihan dan diletakkan didalam peti sejuk. Bila teringin saja hanya panaskan dan sudah boleh dimakan. Alhamdulillah walaupun sedap aku hanya menjamah sepinggan nasi saja. Tidak elok makan terlalu banyak diwaktu malam. Kini waktu yang dijanjikan telah tiba. " Sebelum abang cerita boleh tak Nah bancuh kopi arab ". Aku tidak pernah miss minum kopi arab dari syarikat AZI.

Setelah meneguk sedikit kopi arab, aku pun memulakan cerita. Seperti dalam sebuah drama aku flashback kembali kisah lalu...." Seminggu sebelum kematian Aishah, sudah beberapa kali dia berpesan kepada abang... Abang kahwin lain jikalau Siti sudah tiada, Siti redho bang. Abang hanya pekakkan telinga abang. Abang tidak mahu mendengar perkataan itu. Sambil mengelap darah yang keluar dari mulutnya abang cuba tenangkan dirinya jangan berfikiran begitu. Sebenarnya Nah, abang takut untuk ditinggalkan oleh Aishah. Abang tidak sanggup berpisah selama-lamanya dengan Aishah ". Aku mengesat airmataku. " Setelah didesak Aishah akhirnya abang sengaja mengiakan permintaanya. Kata abang insyaallah. Kita merancang dan Allah juga merancang untuk kita namun perancangan Allahlah yang terbaik ".

" Akhirnya Nah abang tak dapat melawan takdir. Aishah pergi meninggalkan abang. Waktu itu abang rasakan yang abang juga telah mati bersamanya. Abang tak dapat menerima kenyataan ini. Apabila mayat Aishah berada didalam dewan sudah beberapa kali abang mencium dahinya. Setelah habis bacaan quran, abang akan cium dahinya. Dengan senyuman yang menguntum dibibirnya seolah-olahnya gembira menerima ciuman dari abang. Setiap kali abang cium dahinya abang akan berkata bahawa tempat Aishah adalah di syurga. Abang telah ampunkan Aishah walaupun pada abang Aishah tidak pernah melakukan kesalahan ". Kini airmata isteriku Rosnah pula yang berguguran. " Setelah jenazahnya disemadikan abang ingin tinggal saja dikubur menemaninya tetapi anak-anak mengajak pulang dan abang akur akan permintaan mereka ".

" Bila berada dirumah, hidup abang tertekan. Abang terlalu rindukan Aishah. Rumah abang terlalu sunyi ketika itu. kami anak beranak ketika itu lebih suka menyendiri. Masing-masing masih lagi terkesan dengan kematian Aishah. Apa yang boleh abang lakukan ketika itu ialah mengambil wuduk dan solat dan dihabiskan dengan membaca al-quran. Ketika melakukan solat, abang dapat rasakan yang abang terlalu hampir dengan Allah. Selalunya bila melakukan qiamullail bersama jemaah surau tidak terasa begini. Waktu tu Nah, sudah beberapa minggu abang tidak menjamah nasi. Emak dan mak mertua abang kerap menalipon mengajak abang kerumah mereka namun abang tidak ada selera langsung. Abang lebih suka menyepi dari bergaul dengan adik beradik ".

" Abang jarang berinteraksi dengan anak-anak ketika itu. Abang lebih suka melayan perasaan abang. Sudah sebulan Aishah pergi dan abang masih seperti dulu. Diam dan termenung merupakan kegemaran abang. Perubahan diri abang dapat dirasai oleh kaum keluarga. Mereka mula menampakkan kerisauan. Pada suatu malam abang bangun untuk bersolat tahajjud. Abang membuka pintu bilik anak-anak. Bila melihat anak-anak tidur ketika itu abang menangis teresak-esak sebab sudah sebulan abang mengabaikan mereka. Mereka juga turut sedih diatas kematian ibu mereka dan bila melihat pula keadaan ayah mereka tentu jiwa mereka lebih tertekan. Selepas solat abang memohon ampun kepada Allah. Abang telah abaikan anak-anak yang juga memerlukan kasih sayang selepas ketiadaan emak mereka. Masa itu hidup abang terlalu sunyi. Pergi kerja tidak ada yang menghantar. Pulang kerja tidak ada pula yang menyambut. Hanya airmata saja yang sudi menemani abang ".

" Akhirnya abang berdoa kepada Allah, ' Ya Allah ya tuhanku. Aku redho segala ujian yang aku terima ini walaupun padaku ia terlalu berat. Ya Allah hidup aku terlalu sunyi selepas pemergian Siti Aishah. Kau tempatkannya bersama para solihin. Ya Allah andaikata ditakdirkan aku bertemu jodoh, kau berikan jodohku seorang wanita yang solehah seperti Siti Aishah yang dapat membimbing aku serta anak-anak. Begitu mendayu abang bermunajat kepada Allah. Abang merasa terlalu nikmat beribadah kepada Allah yang selama ini abang pinggirkan. Jarang-jarang abang lakukan solat malam. Kini hampir setiap malam abang bermunajat kepada Allah dan setiap malam jugalah doa ini yang abang ucapkan ".

" Suatu hari perut abang terlalu lapar lalu abang teringat akan pasar malam. Abang hendak mencari sesuatu untuk mengalas perut. Bila tiba dipasar malam, abang tak tahu nak beli apa. Pergi hujung tak rasa berkenan dihati. Abang patah kembali. Juga begitu. Tak ada yang tersangkut dihati. Ketika itulah abang terpandang Nah menjual nasi tomato. Sebelum ini kalau abang datang bersama Aishah, abang hanya melihat saja Nah menjual nasi. Tak pernah terlintas nak membelinya. Kini seperti ada sesuatu yang membuat abang pergi kearah Nah. Tatkala Nah menghulurkan nasi sambil tersenyum timbul satu perasaan anih pada diri abang. Terasa yang abang seperti sudah jatuh hati pada Nah ". Tersenyum meleret isteriku bila aku berkata jatuh hati kepadanya time tu.

' Abang pendamkan perasaan abang ketika itu. Siapalah nakkan abang. Rupa tak ada. Kulit pula gelap " Tertawa isteriku bila aku berkata demikian. " Pulang kerumah seperti selalu sebelum tidur abang pasti melakukan solat dahulu dan berdoa. Doanya tetap sama. Malamnya abang bermimpi abang dan anak-anak melalui sebatang anak sungai. kelihatan ikan terlalu banyak dan berwarna warni. Kami terus berlalu. Tak berkenan langsung melihat ikan-ikan yang timbul. Bila sampai dihujung sungai kami melihat beberapa ekor ikan begitu jinak mendekati kami seolah-olahnya membenarkan kami menagkapnya. Anak gadis abang menjerit, Ayah..ayah tangkap ikan tu. Cantiklah. kita letak dalam akuarium. Anak lelaki abang terus mengambil jala berhampiran dan menagkap ikan-ikan tersebut untuk dibawa pulang ".

" Abang terkejut dari tidur. Terfikir juga apakah maksud mimpi abang. Cukup anih sekali bila difikirkan. Dalam pukul 10 pagi abang menerima panggilan talipon dari sahabat baik Aishah. Dia bertanya adakah abang ada mencari pengganti Ashah. Abang katakan yang abang masih belum lagi mencari pengganti. Lantas dia menasihati abang agar carilah calun lain. Aishah sudah tiada dan abang perlu meneruskan kehidupan abang. Katanya abang masih ada dua lagi harta yang perlu diberi perhatian. Abang katakan yang abang tak tahu nak mencari calun isteri. Akhirnya dia mencadangkan nama Nah. Menyirap darah abang bila terdengar nama Nah. Peristiwa yang berlaku malam sebelumnya abang ceritakan kepada sahabat Aishah. Hanya perkataan subhanallah yang keluar dari mulutnya. Katanya mungkin ini perancangan Allah. Dia meminta izin dari abang untuk merisik Nah. ".

" Akhirnya abang izinkan mereka merisik Nah walaupun abang tahu Nah pasti menolaknya seperti berlaku terhadap mereka yang pernah mempunyai keinginan berbuat demikian. Menanti jawapan dari Nah merupakan azab bagi abang, Tidak putus-putus abang berdoa agar Allah perkenankan permintaan abang. Akhirnya selepas 3 hari menunggu, abang menerima panggilan dari sahabat Aishah. Dalam sebaknya dia beritahu yang Nah telah menerima abang. Abang menerima khabaran ini dengan syukur dan linangan airmata sebab Nah sudi terima abang. Kaum keluarga abang juga terkejut bagaimana Nah sudi terima abang. Setelah kaum keluarga abang bermesyuarat maka akhirnya kita telah disatukan ". Aku mengakhiri ceritaku.

Aku pula bertanya isteriku bagaimana dia boleh menerima aku. Katanya sambil tersenyum, " Abang bawa 2 orang yang power. Seorang pandai berkata - kata dan seorang lagi membenarkannya '. Aku tertawa gelihati bila mendengarnya. Syukur ya Allah. Sekian ceritaku.

10 comments:

razip said...

pi kat komputer halaman "warna Nostalgia" telah terpampang. Biasala, cerita apa pula kali ini?...

TK berkongsi cerita yg manis. Banyak pengajaran kpd saya dari pengalaman sdra. TK sekali lagi.

Ariff Budiman said...

Terima kasih razip kerana sudi membaca cerita saya.

Insan Marhaen said...

abang dan adik sama-sama umphh... mimpi yang bukan mainan tidur!

Ariff Budiman said...

Man ada Im. Itu secara kebetulan sajaiman

Ahmad bin Baharudin said...

Salam cikgu,
Ini mimpi bukan sebarang mimpi da, mimpi ada makna le!.

abu muhammad said...

salam,
sangat menyentuh hati setiap kali akhi cerita mengenai arwah Aishah. Memang terasa istimewa bila seorang wanita menerima kita dan bukan yg lain. Subhanallah.
wassalam

Ariff Budiman said...

Ahmad baharuddin. Terima kasih cikgu. Mungkin itu semua perancangan allah

Ariff Budiman said...

abu muhammad...Masyaallah itulah yang saya dapat rasakan. Dalam sedih pasti ada gembiranya. Subhanallah

Dato' Hj Mustafa Kamal Mohd Zaini said...

Salam~

Biasa Pak Mus baca nukilan akhi Ariff. Tapi baru perasan cerita ni... MasyaALlah... Pak Mus pun banyak cerita gini, tapi segan pulak nak share... :-).

Wsalam.

Ariff Budiman said...

Dato' Hj Mustafa Kamal Mohd Zaini..Terima kasih Dato Mus. Apa yang hendak dimalukan. Pengalaman amat berguna untuk orang lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...