Sabtu lepas merupakan hari yang begitu sibuk buat aku atau hari yang sengaja aku buat sibuk. Seperti selalu seawal jam 7 aku keluar. Setelah menjamu selera di gerai isteriku maka bermulalah tawaf aku. Aku merayau-rayau di Lorong Kulit mencari sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Akhirnya hanya buah limau yang aku beli. Aku ke kedai PC Depot untuk mencari sub woofer untuk laptop aku. Aku amat suka mendengar lagu-lagu dengan bunyian yang sedap sound systemnya. Akhirnya aku beli sound system yang berharga RM150. Aku pulang kerumah dan try dengan soundnya. Fulamak... soundnya amat mengkagumkan. Aku begitu leka mendengar lagu sambil anak jari menekan dari satu blog ke satu blog.
Akhirnya aku sendiri tidak sedar jam 12 tengahari isteriku sudah pulang dari meniaga. Tersenyum dia bila melihat aku ada dirumah. Setelah memasak untuk makan tengahari isteriku sibuk pula dengan memasak nasi tomato untuk berniaga di pasar malam pula. Aku biarkan saja rutinnya. Aku kena terima kenyataan ini. Hari Sabtu adalah hari yang sibuk buat isteriku. Tak apa aku relax mendengar lagu nasyid dan sentimental. Bunyi soundnya membuatkan kadang-kadang aku terlentok diatas kusyen. Sedang begitu leka aku mendengar muzik sehinggakan aku terlupa yang anak gadisku akan membuat rumah terbuka dan menjemput rakan-rakannya pada hari Ahad. Bergegas aku mencari bahan-bahan terutama sekali untuk laksa. " Ayah jangan lupa order satay juga sebanyak 300 cucuk ".
Setelah semua bahan-bahan dibeli, aku mengikutnya pula ke pasar malam. Entahlah aku tidak terasa boring pula dengan kehidupan baruku. Kalau sebelum ini aku begitu jarang kepasar malam tetapi kini kalau ada masa terluang aku akan bersama isteriku di pasar malam. Entah kenapa kali ini pengunjung tidak begitu ramai. Ramai peniaga pasar malam mengeluh bisnes mereka slow. " Itulah adat berniaga bang. Ada hari cepat habis dan ada hari jam 9 pun masih ada lagi nasi ". Akhirnya setelah selesai semua kami pulang dan aku pula bersiap untuk kerja malam. " Kesian dekat abang teman Nah. Ni nak pergi kerja pula ". Alhamdulillah berkat aku dengan Habbatus Sawda, aku tidak terasa letih walaupun dari jam 7 pagi aku tidak melelapkan mata.
Ditempat kerjalah aku menulis di blog. Kesunyian malam membuatkan hati aku terasa amat tenang walaupun sesekali ada yang mengganggu aku. Ahh..biarkan saja. kalau setakat mendengar ketawa mereka tak menjadi hal. Letih ketawa diamlah mereka. Bisik hati kecilku. Bila pulang kerumah isteriku dah sibuk membuat kuah laksa dan kuah kacang untuk anak aku. Syukur Ya Allah walaupun ibunya sudah tiada, dia masih lagi mendapat kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari ibu tirinya. Setelah siap semuanya kami kerumahku untuk mengemas. Setelah mempastikan segalanya beres, kami pulang kerumah sebab selepas solat zohor isteriku mengajak ke Tanjung untuk membeli peralatan anak gadisnya pula yang akan ke KL untuk kursus ticketing. Sepanjang perjalanan mulut aku tidak henti-henti menguap. Mengantuk la tu.
Bila selesai pembelian untuk anak gadisnya pula, aku mengajak ke Restoran Kapitan. Lama tak makan tandoori. Kami disambut oleh pekerja bangladesh. Isteriku seperti biasalah tak boleh lepas dengan nasi kandar. Aku dan anak gadisnya order tandoori. Pekerja bangladesh begitu sibuk mengambil order dari kami. " Menu..menu ". Kata pekerja bangladesh. Aku sendiri tidak tahu apa nama menu tandoori. Akhirnya aku menyuruh pekerja bangladesh melihat kebelakang. " You tengok itu orang makan. You kasi sama macam dia makan ". Aku menunjuk tandoori yang dimakan oleh orang disebelah kami. Sekejap mereka memandang kearah kami apahal memerhatikan akan mereka. Tergaru-garu pekerja bangladesh. " Menu..menu ". Sambil menujuk isyarat minum. " La..dia tanya nak minum apa ka. Menu dengan menum dekat sama ". Isteriku hanya tertawa bila aku tak faham dengan pekerja bangladesh.
Sementara menunggu tandoori sampai, isteriku sempat juga menyuap aku nasi kandar. Pasangan sebelah kami asyik memerhati gelagat kami. Hairan juga kali ini isteriku tidak lagi malu. Aku pula yang malu dia kerap menyuap aku. " La abang malu ka Nah suap abang ". Anak gadisnya hanya tersenyum bila ibunya perli aku. Akhirnya aku terpaksa buka juga mulut menerima suapan dari isteriku. " lama Nah tak suap abang makan. kita jarang dapat berjumpa macam ni ". Betul juga kata isteriku. Apa yang nak dimalukan. Ini yang patut diamalkan. kalau mat saleh buat macam tu kita akan berkata mereka merupakan loving couple. Yang paling banyak dilihat ialah mereka yang belum berkahwin begitu loving sekali. Bila sudah berkahwin lantak kau la makan sendiri. Tak ada kuasa nak menyuap-nyuap. Akhirnya sampai juga tandoori yang dipesan. Aku pula mencubit ayam dan menyuapnya. Kira balas kembali suapan darinya.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki cina sedang meminta sedekah. Dari satu meja kesatu meja lelaki cina berhenti namun ada sesetengah pengunjung buat tak tahu dan ada yang menghalau. kasihan aku dengan lelaki cina. walaupun dia cina, kita yang muslim tidak patut menunjuk akhlak sedemikian. Apa la sangat dengan RM1 kalau diberikan. Akhirnya lelaki cina itu berada dihadapan aku. Aku mengeluarkan dompet lalu menghulurkan RM2. Mungkin dia kelaparan. Itu lebih baik dari mencuri. Setelah dia mendapat wang lalu dia mengangkat tangan seperti berdoa dan menunduk memberi hormat kepada kami sekeluarga. Pengunjung lain hanya memerhati akan kami. Dia terus kemeja sebelah. Seorang pemuda india terus memberi wang dan begitu juga dilakukan oleh lelaki cina tersebut.
Aku berkata kepada isteri, " Insyaallah Allah akan ganti kembali duit kita. Dia akan bagi lebih lagi ". Isteriku membenarkan akan kata-kata aku. Aku memanggil pekerja restoran menyuruh mereka mengira apa yang kami makan. Pekerja itu bertanya kami apa yang dimakan dan terus mencatit dikertas. " Sila bayar di kaunter encik ". kata pekerja tersebut. Aku terus kekaunter untuk membayar. Tanpa melihat harganya aku serahkan resit kepada cashier. " Kesemua RM23 encik ". Aku terus bayar tanpa berkata apa-apa. Kami terus pulang kerumah. Dalam kereta entah kenapa aku terfikir akan harga tadi. " Nah pasai apa kita makan dia charge murah ". Isteriku mula mengira apa yang kami makan. Kami memesan 3 set tandoori. Nasi kandar isteriku harga sebanyak RM5. Minuman dipesan ialah fresh oren, teh tarik dan teh ais. Anggaran yang patut kami bayar ialah RM30.
Aku tergaru-garu kepala bagaimana nak buat. kami tak tipu. Bila pekerja bertanya kami beritahu satu persatu apa yang dimakan. Akhirnya isteriku memberi tips. katanya, " Macam ni kalau abang kerja malam, sebelah petang tu abang pergi balik ke restoran dan tanya balik. Kalau betul salah kita boleh bayar balik ". Betul juga kata isteriku sebab kami sudah tahu ada berlaku kesilapan dalam pengiraan. Insyaallah aku akan kesana. Takut pula kalau dah makan menjadi darah daging pula.
2 comments:
kehidupan seharian beri inspirasi kan
Benar maiyah.Terima kasih
Post a Comment