Teman-teman

Friday, October 22, 2010

Bukan Seronok Tapi Syukur

Pagi ini sebelum aku ketempat kerja, aku singgah di pusara isteriku. Sudah seminggu aku tak kesana akibat tuntutan tugasku. Hanya doa dari kejauhan saja yang dapat aku hadiahkan kepadanya. Suasana pagi di dalam kawasan perkuburan begitu mendamaikan hati ini. Jam menunjukkan pukul 7.45 pagi. Hari ini bukan aku keseorangan. Ada individu lain yang lebih awal dari aku. Dari kejauhan aku dapat mendengar akan bacaan surah yasin. Masing-masing dengan bacaan tanpa memperdulikan siapa yang datang.

Aku marapati pusara isteriku. Sayu hati ini bila melihat rumput mulai tumbuh diatas pusara isteriku. " Siti abang minta maaf kerana agak lama tak datang ". Aku bercakap sendirian seolah-olahnya isteriku dapat mendengar. Rumput mulai menutupi pusara isteriku. Aku mencabutnya perlahan-lahan sambil membaca ayat suci al-quran. Insyaallah Ahad ini aku pasti akan datang kembali membersihkannya. Agak lama aku tidak bertemu dengan rakanku yang ditugaskan mengorek liang lahad. Selalunya dia akan memaklumkan kepadaku andaikata kubur isteri, ayah dan anakku ditumbuhi rumput.

Selesai berdoa aku terus beredar untuk ketempat kerja. Aku berjumpa dengan rakan lamaku. Dari kata-katanya tahulah aku yang isterinya baru meninggal sebulan yang lepas akibat cancer. Menangis dia tatkala menceritakan akan kisahnya kepadaku. Aku amat mengerti akan kesedihannya. Aku juga seperti dirinya bila isteri meninggal. Kini sudah hampir 2 tahun peristiwa itu berlalu. Hanya kenangan dan blog inilah tempat aku melepaskan rinduku. Katanya anak-anaknya masih lagi kecil. Mereka memerlukan seorang ibu tapi dia amat takut kalau dituduh terlalu awal mencari pengganti. Hidupnya terlalu sunyi. Dia pula tidak pernah bermain perasaan dengan wanita lain.

Aku menceritakan akan kisahku kepadanya. Terdiam dia bila mendengar akan ceritaku. " Ariff seronoklah dah ada pengganti ". Katanya. " Bukan seronok tapi syukur sebab Allah masih memberi nikmat untuk kali yang kedua. Allah memberi ujian kepada kita tanda sayangnya Allah kepada kita. Cuba kita bayangkan ketika kita ditimpa musibah, akhirnya kepada Allah juga tempat kita bergantung sebab kita tahu tak ada orang lain dah yang boleh membantu kita. Cuba kalau kita tidak diduga begini. Masjid yang begitu hampir dengan kita pun kita buat tak endah. Masjid buat program kuliah pun kita tak hadir ". Terangguk-angguk kepala rakanku mendengar celotehku. Akhirnya sebelum kami berpisah aku menasihati rakanku agar perbanyakkan doa kepada Allah. Amat rugi orang terlalu sombong tidak mahu meminta kepada Allah sedangkan Allah menyuruh kita agar minta. Setelah berjabat salam kami membawa diri masing-masing. Hati dan minda aku terasa begitu tenang melangkah masuk kepejabat seolah-olahnya aku dapat bertemu dengan kekasih hati.

1 comment:

hentian said...

itu yang dikatakan bahawa ketenangan itu tak boleh dibeli. ia kekadang hinggap tanpa kita sedari.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...