Teman-teman

Wednesday, October 06, 2010

Rumah Jangan Dibiarkan kosong

Sudah setahun lebih aku tinggal di rumah isteriku dan dalam jangka waktu itulah aku melihat rumah jiranku setiap hari jendela disebelah atas tertutup rapi. Mereka tidak pernah membukanya dengan alasan nanti anak mereka akan jatuh melalui jendela. Itu rumah mereka dan mereka ada hak keatas privacy mereka. Cuma aku tidak berapa setuju rumah itu diperlaku begitu. Hasil dari cerita datuk aku yang merupakan orang yang boleh mengubat apabila penduduk kampung ditimpa masalah itulah yang aku pegang. Datuk dan nenekku tinggal dihujung sawah padi berduaan. Aku cukup senang bila berada dirumah atuk. Pernah atuk menunjuk kepada aku kaedah merawat seseorang yang disengat binatang bisa. Diambilnya pelepah nenas sambil menyapu kapur dan membaca sesuatu dan menepuk ketempat yang terkena sengatan. Alhamdulillah hilang bisanya. Itu yang aku lihat bila atuk mengubat seorang lelaki. Akhirnya atuk difitnah. Mereka berkata atuk ada membela pelesit. Atuk tidak pernah meninggalkan solat. Selepas solat atuk akan berzikir dahulu. " Atuk..pasal apa atuk tinggal berdua dengan nenek. Tak takut ka ". Aku pernah bertanya atuk.

" Budiman... rumah kita jangan dibiarkan kosong. Kalau dimasjid kita berubah tempat untuk bersolat kelak diakhirat tempat itu akan menjadi saksi yang kita pernah bersolat disitu. Kalau dirumah kita berubah tempat solat, iblis tidak berani untu menapak disitu ". Begitu khusyuk aku mendengar kata-kata atuk. Biarlah masyarakat memfitnah atuk tapi aku tidak pernah melihat atuk melakukan pemujaan untuk berubat. Semuanya menggunakan Al-Quran ". Akhirnya atuk menyahut panggilan ilahi. Tinggallah nenek bersama kami. Rumah dibiarkan tiada penghuni. Setiap hari bila pulang dari sekolah aku pasti kesana. Aku terasa seperti ada mata yang sedang memerhatiku. Cepat-cepat aku pergi dari situ. Rumah itu akhirnya menyembah bumi dengan sendirinya.

Berbalik cerita rumah jiranku. Anak gadisnya telah mengandung. Setelah cukup 9 bulan maka lahirlah seorang bayi comel. Setiap malam akan kedengaran tangisan. Aku dapat rasai bahawa itu bukan merupakan tangisan biasa. Pasti ada sesuatu yang mengganggunya. Pada suatu hari datang siibu bertanya kepada isteriku dimana boleh mencari orang untuk mencukur rambut cucunya. Walaupun isteriku tahu aku boleh melakukannya namun dia tidak terus mengaku. Katanya insyaallah akan tolong cari. Itu yang aku respect dekat isteriku. Akhirnya selepas isteriku bertanya aku bersetuju untuk bantu jiranku mencukur rambut cucunya. Tiba harinya kami kesana. Jantungku begitu kencang mengepam. Aku meminta isteriku merasa jantungku. " Pasai apa jantung abang laju sangat ". kata isteriku. " Mungkin dalam rumah tu tak elok la Nah ". Aku bersuara kepada isteriku.

Ketika aku sedang mencukur rambut aku dapat merasai sekilas pandangan ada lembaga diatas rumah yang tidak pernah terbuka jendelanya. Aku diamkan saja perasaan kacau bilau dihatiku. Nak aku beritahu mereka takut mereka akan merasa ketakutan. Mahukah mereka percaya akan kata-kataku ini. Akhirnya setelah melakukan tahnik dan aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran lalu aku hembus perlahan-lahan menuju keatas. Tiba-tiba terdengar seperti sesuatu terjatuh. " Rumah makcik memang ada kucing. Tu dok kejar tikus laa... ". Aku hanya memandang isteriku apabila tuan rumah berkata demikian. " Erghh.. Rosnah berapa upah cukur rambut ni ". Tanya tuan rumah. " Tak apa makcik. Budiman tak ambil duit. Dia tolong saja ". kata isteriku disambut dengan ucapan terima kasih oleh tuan rumah.

Selang beberapa minggu anak itu masih kedengaran tangisnya. Tuan rumah datang kembali mengadu kepada isteriku. Isteriku hanya mampu berkata insyaallah sebab tugasku sekarang tidak menentu. Pulang kerumah dah lewat malam. Akhirnya semalam aku mengambil cuti. Aku nak rehatkan badanku yang terlalu kerap standby. " Abang ambil cuti pun bukannya nak rehat. Tawaf sana tawaf sini ". Gurau isteriku. Itulah kerjaku jikalau cuti. Selepas menolong serba sedikit digerai, aku lebih banyak meronda. Sekurang-kurangnya minda aku tenang. Aku ke rumah ibu mertuaku untuk meninjau kesihatannya. Itulah pesanan arwah Siti Aishah. " Bang.. kalau Siti tak ada abang tolong tengok-tengokkan emak ya ". Terbatuk - batuk sambil mengalir air matanya.

Selepas solat maghrib aku pulang kerumah. Tiba-tiba aku terpandang satu lembaga putih berada diatas bumbung rumah jiranku. Menyirap darahku melihat rupa lembaga itu. Terketar-ketar juga aku dibuatnya. Sempat aku membaca ayat 3 Qul lalu perlahan-lahan aku hembus kearah lembaga itu. Sebenarnya lembaga itu tidaklah mengganggu, ia cuma singgah saja diatas bumbung dan kemudiannya terus hilang. kalaulah ia nak ganggu aku mesti ia dah mengilai dari atas bumbung. Aku masuk kedalam rumah dan cerita kepada isteriku apa yang aku lihat. Aku memnyuruh isteriku menalipon jiranku mengatakan yang kami nak kerumahnya. Aku minta kepada isteriku alat menyembur semasa digunakan untuk seterika baju. Aku baca Al-Mathurat dan ayat-ayat yang lain lalu aku hembus kedalam. Tujuannya aku nak guna semasa berada didalam rumah.

Sampainya kami disana, aku terus meminta izin untuk pergi keatas rumah. Tuan rumah tunjukkan aku tangga keatas. Ketika aku sedang menaiki anak tangga, aku terasa begitu seram sekali. Tahulah aku yang pasti ada sesuatu diatas. Sambil membaca Al-Mathurat dengan nada yang boleh didengari aku menyembur air yang dibaca tadi. Aku memasuki bilik kosong. Tiada lampu langsung. Sudahlah mata aku sepet terpaksa pula dibuka luas-luas. Bila aku menyembur air tadi tiba-tiba tangan aku ditampar sesuatu. Berterabur penyembur tadi. Isteriku menyerbu keatas dan aku memberi isyarat agar jangan keatas. Dahi aku berpeluh bila didepan aku lembaga kecil sedang memerhati aku. Aku sudah lupa akan ayat-ayat Allah. Akhirnya aku tenangkan kembali minda aku lalu aku membaca ayat suci Al-Quran. Lembaga itu hilang. Terketar-ketar tangan aku menuruni anak tangga.

Aku tidak cerita insiden ini kepada jiranku sebab aku tahu pasti mereka akan ketakutan. Aku memberi saranan kepada menantunya agar jangan lupa untuk menggunakan ruang diatas sebagai tempat solat dan berzikir. Cuba ubah-ubahkan tempat solat. Jendela jangan ditutup terus. Waktu siang bukalah sedikit agar cahaya memasuki ruang atas. kalau takut anak mereka jatuh melalui jendela itu . ikatlah dengan tali agar tidak terbuka terus. " Abang diatas rumah kami macam mana. Ada benda ka ". Tanya anak tuan rumah. " Insyaallah kalau kita guna ruang atas untuk bersolat dan mengaji, insyallah tempat itu akan bersih ". Aku cuba tidak membayangkan apa yang terjadi.

Aku mengajak isteriku pulang kerumah. Dibelakang kami lembaga itu sedang mengekori. " Nah cuba baca ayat kursi. Abang nak dengar betoi dak abang baca tadi ". Sengaja aku menyuruh isteriku berbuat demikian. Nak aku cerita pasti dia pula ketakutan. Jadi dengan cara demikianlah aku buat. Isteriku pun mula membaca sambil aku mengikuti bacaannya. lembaga itu terus hilang. Kami terus masuk kedalam. Aku mengambil Al-Mathurat dan membaca sekali lagi Aku membaca sehingga habis. Tiba-tiba pintu rumah kami diketuk bertalu-talu. Aku memberi isyarat tangan agar isteriku tidak membukanya. ketika aku sampai keayat 3 Qul ketukan itu terus hilang. Aku terus cerita kepada isteriku apa yang terjadi tadi. " la patutlah Nah heran pasal apa abang suruh baca. Nah pun syak pasti ada sesuatu ni ". Aku menyeringai gigiku yang semakin jarang bila mendengar kata-kata isteriku. Kepada pembaca sekelian. Tujuan aku menulis cerita ini hanya untuk dikongsikan sahaja. Bukan nak tunjuk yang aku ini seorang yang hebat. Tapi alhamdulillah aku berani menghadapinya dan setiap orang pun begitu sebab dengan ayat Allah saja syaitan amat takut. Kalau kita takut kepada mereka maka akan bertambah berani mereka mengganggu keluarga kita.

2 comments:

Khahar said...

Pengajaran yang berguna....Syabas Abg Budiman kerana tenang menghadapi makhluk halus.

Ariff Budiman said...

Terpaksa kena tenang walaupun dalam masa yang sama tangan terketar-ketar

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...