Teman-teman

Saturday, November 29, 2008

Dia masuk kembali

Pagi itu nampak isteriku ceria. Boleh berjalan dan bergurau. Bila hampir waktu zohor dia dah mula rasa sesuatu. Katanya kepala dan tengkoknya amat berat. Aku dapat merasakan bahawa benda itu telah kembali masuk kedalam tubuhnya. Aku membaca ayat 9 dari surah yasin lalu kuhembus ketengkoknya. Jatuh terkulai isteriku tidak bermaya. Sah makhluk itu telah kembali masuk kedalam badan. Sewaktu solat zohor aku menyuruh anak perempuanku get ready sebab selesai saja salam terakhir dia akan jatuh terkulai.

Memang benar habis saja memberi salam terakhir terus dia jatuh tidak sedarkan diri. Aku buntu memikirkan semua ini. Memang aku tahu ini semua ijian dari Allah tetapi sebagai manusia yang lemah aku amat tertekan. Aku menalipon abnagku. Katanya teruskan pasang cd. Bila pasang saja cd dia jatuh. Aku talipon seorang ustaz yang memang pakar bab jin. Katanya bawa isteri pada hari Ahad. Aku kecewa sebab hari ini baru Jumaat. Aku tak sanggup melihat keadaan isteriku. Aku menalipon seorang rakanku Ust Romzi. Ketika aku sedang bercakap isteriku batuk dengan teruk sekali semacam nak tercabut nyawa.

Mendengar esakan tangis dari isteriku kawanku terus berhenti mengajar Al Quran dan terus pergi mencari kawannya yang boleh berubat. Kawanku talipon mengatakan mereka akan datang jam 9.30 malam. Syukur aku kepada Allah ada juga yang sudi datang. Dr Danial talipon mengatakan dia juga nak datang.

Jam 9 malam. Jantung isteriku bergerak kencang. Katanya gorenglah pisang sikit untuk yang datang malam ini. Terdengar kereta Dr Danial dah sampai. Masuk saja dia isteriku tak boleh dah pandang wajah Dr Danial. Terus dia jatuh terkulai. Kemudian datang kawanku bersama rakannya. Dia memulakan pengubatan. Tatkala membacakan sesuatu isteriku membuka mata dan memerhati kami seorang demi seorang dan terus memfokus kepada oarang yang sedang membacakan ayat-ayat Al Quran.

Isteriku terus membeliakkan mata memandang orang itu. Kini mata mereka saling bertentangan. Tiba-tiba Orang itu terus berkata, "keluar". Terdengar berdentum diatas bumbung yang membuatkan ayam-ayam bertempiaran lari. Isteriku sedar kembali. Semua yang hadir dapat mendengarnya.Kami diberi garam untuk memagar rumah. Malam itu isteriku tidur dengan nyenyak sekali tapi yang menjaganya dapat mendengar benda berjalan diatas bumbung rumah kemudian anjing menyalak mendayu-dayu didepan pintu. Aku terus memasang cd Al Quran. Subuh dapat dilaksanakan dengan tenang.

Pagi ini dia merasa kakinya lenguh. Dalam hati aku terdetik apakah petanda makhluk itu masuk kembali. Waktu sembahyang yang akan menentukannya. Anak saudaraku di Kelantan tak senang. Dia akan cari Ust disana dan kalau tiada perubahan untuk isteriku akan ku bawa ke kelantan insyaallah untuk berubat dan kami boleh aktif kembali di surau. Terima kasih yang sudi membaca dan memberi komen. Aku tulis hanya untuk meredakan stress aku dan bukan untuk mencari populariti. Mungkin orang lain yang membaca mendapat iktibar dari peristiwa ini.

sekian ariman

Friday, November 28, 2008

Terima kasih sahabat semua


Aku dan keluarga merakamkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada sahabat-sahabat JIM yang memenuhi ruang tamu untuk menunaikan solat hajat dan membaca surah yasin. Aku sendiri tidak menyangka kedatangan yang begitu ramai. Terasa kemanisan hidup berjemaah. Kepada JIM Timur Laut terima kasih kerana sudi datang dan bawa juadah makanan sekali. JIM Seberang Perai Tengah Cikgu Rusli, Hj Atan dan isteri masing yang sudi datang walaupun jalan dan jambatan jamn. Tetapi disebabkan ingin membantu sahabat yang ditimpa musibah mereka sanggup datang. JIM Barat Daya aku amat berterima kasih terutama kepada YDP Mohd Tuah dan juga Bakhtiar yang mengesyurkan agar majlis ini diadakan.

YDP JIM Barat Daya Mohd Tuah dan YDP JIM Seberang Perai Tengah Cikgu Rusli Hashim

HJ Mohd Rashid Hasnon dari JKP pusat turut hadir untuk membantu
Isteriku dalam keadaan longlai dibantu anakku Siti Zinnirah. Dia dapat merasakan kehadiran kawan-kawanku yang akan datang untuk solat hajat dan membaca surah yasin. Matanya dah mengantuk sehingga tidak dapat dibuka mata. Selalu beginilah keadaannya bila nak baca surah yasin. Bila baca saja terus tidur. Kata Ust man memang dia tak mau dengar sebab dia dah terbakar akibat dipanah petir. Bayangannya masuk kebadan isteriku yang lemah ketika itu. Kata Ust Man kalau dia dengar bacaan yasin akan terus terbakar. Sebab itu dia tidur. Selesai saja majlis malam itu dia menjadi cergas kembali. Ramai yang hairan. Boleh bergurau dan berjalan. Selalunya bila selesai baca yasin akan terasalah sakit badan, paha dan lutut.

Ketika kami nak tidur isteriku sedang menunaikan solat isyak. Aku pasang CD ayat-ayat quran yang kursus untuk menghalau jin yang telah dipinjamkan oleh Dr Abd Halim. Selesai saja salam yang terakhir terus dia jatuh terkulai tak bermaya. Katanya mengantuk tak tahan. Biasalah kalau dengar ayat al quran beginilah keadaannya. Aku ulang dan ulang kembali bacaan yang dah selesai. Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Telah 5 kali aku ulang CD bacaan ayat suci. Kali ini aku melihat tindak balasnya. Dia nampak gelisah. Pusing kiri tidak kena dan pusing kanan pun tidak kena. Aku menyuruh anak lelakiku Hermawan membaca ayat ke-9 dari surah yasin dan dihembus ketelinga kanan.

Apalagi apabila terkena saja hembusan dia menjadi agresif dan melawan. Anakku hembus lagi ayat itu. Dia menutup lubang telinga kanannya tidak membenarkan hembusan dibuat. Dia menendang kami. Bila sampai saja kepada ayat 3 Qul dia menjadi tidak tentu arah. Meracau. Aku dan anak apalagi kami bertempik, " keluar kalau tidak mahu sakit". Isteriku menangis mendayu minta jangan dihembus kuat-kuat katanya sakit sampai kedalam. Tangisannya membuat aku lembut seketika dan memohon maaf kalau ada kekasaran. Anak perempuan aku bertanya itu mak atau makhlus halus. Aku kata kedua-duanya sekali. Isteriku sedar tentang apa yang berlaku tetapi badannya seolah-olah telah dikawal.

Aku menyuruh anakku menghembus perlahan-lahan sehinggakan terbatuk-batuk sambil menangis hiba. Aku kata kepada anak-anakku dia minta simpati. Anakku tak kasi can dia terus membaca ayat itu dan dihembusnya perlahan-lahan. Isteriku terus bangun. Katanya dia tidak mengantuk dan sakit paha dan badan. Ternyata makhluk itu telah keluar dari badan isteriku akibat tidak tahan. Pagi tadi isteriku menceritakan bahawa dia marah ketika itu bila sedar saja dari tidur terdengar ayat 3 Qul dan itulah yang membuatkan dia meronta. Kini katanya badannya tidak sakit-sakit lagi.

Aku bersyukur kepada Allah kerana telah memberi bantuan yang amat aku harapkan melalui kedatangan yang begitu ramai dari sahabat-sahabat. Insyaallah kalau dengan izinnya doa salah seorang daripada kami akan Allah makbulkan. Aku mengharapkan isteriku akan pulih sepenuhnya. Apa pun terpaksa tunggu petang ini baru tahu akan hasil yang telah dilakukan. semoga Allah membantu. Aku terkesan semasa sesi tazkirah selepas solat hajat dari YDP JIM SPT. Katanya musibah ini menjadi pengajaran kepada kita. Selama ini kita lalai dengan tanggungjawab kita terhadap Allah. Kita tidak dekatkan diri kita dengan si pencipta. Kita sibuk dengan urusan duniawi sehinggakan kita lupa dengan tugas kita sebagai hambanya.

Terima kasih sekali aku ucapkan kepada sahabat dengan bantuan dan doa dari kalian semua amat kami menghargainya.

Sekian ariman

Thursday, November 27, 2008

DJ....Yang Buntu

Aku telah menerima dan berjanji untuk menjadi DJ di rumah kenduri. Itu merupakan kerja sambilanku. Janji yang aku buat sebelum isteriku menerima dugaan Allah. Berat rasaya hati untuk membiarkan dirinya yang mengharapkan aku berada disampingnya. Program bermula jam 11 pagi hingga 5 petang. Kata isteriku pergilah kalau kita dah berjanji tak baik memungkirinya. Katanya dirinya jangan dirisaukan sangat sebab Allah ada bersama.

Aku melangkah longsai dan tidak ceria memikirkan keadaan isteri. Aku tidak banyak bercakap sewaktu dirumah kenduri. Dengan hanya memasang lagu-lagu nasyid aku terus buntu mencari idea. Sekejap anakku menghantar sms mengatakan emak muntah darah. Ya Allah kau percepatkanlah masa sampai jam 5 petang. Aku terpaksa talipon bertanyakan khabar, tapi kata isteriku tak apa boleh bertahan lagi.

Alhamdulillah jam dah pukul 5 selepas aku bereskan kerjaku, aku bergegas pulang. Kulihat isteriku sedang menangis menahan kesakitan. Kakinya terasa lemah dan tidak bermaya. Aku mengajaknya keluar untuk mengambil angin. Aku hanya mengambil jalan-jalan yang mudah seperti jalan menuju pulang kerumahku. Aku tidak berani membawanya kepantai. Kami melalui masjid. Terdengar bacaan ayat suci Al Quran surah Yasin yang menandakan ada kematian. Apalagi isteriku menangis bila mendengarnya. Katanya mungkin suatu hari bacaan Al Quran ini adalah untuk dirinya.

Air mata tidak mampu ku bendung lagi. Sambil memandu air mata berlinangan mengenangkan percakapan isteriku tempuh hari. Katanya, " Kalau Siti pergi abang redholah pemergian ini. Sedekahlah ayat-ayat Al Quran untuk Siti ". Apalagi aku menangis semahunya dalam kereta. Aku berhenti di depan masjid dan terus berkata kepada isteri. " Kita jangan mudah putus asa. Rasulullah telah diuji dengan lebih dasyat lagi. Mungkin mereka yang melakukan ini mahukan kita berputus asa".

Keesokkan harinya jiranku telah membawa seorang pengamal perubatan untuk membantu. Aku terima saja demi isteriku asalkan ianya tidak menyeleweng. Aku tidak mahu ia berkecil hati. Kata tok bomoh dia hanya mampu menghalau keluar saja, tapi kalau datang balik ia tak dapat buat apa-apa ibarat menghalau anak ayam dari memakan makanan. Katanya tok bomoh benda yang berada didalm badan isteriku amat kuat dan pandai. Bila dibacanya ayat ia akan pura-pura tidur. Begitu juga kalau kami sekeluarga berhimpun untuk membaca Yasin, bila sebuat saja ayat Yasin.... dia terus tertidur. Selesai membaca dia akan bangun semula. Kata tok bomoh kalau nak pendinding dia ada tapi ini kena bayar sedikit iaitu sebanyak RM 140. Ia berbentuk tangkai yang perlu dibuat rantai dan digantung dileher. Aku menolaknya secara baik. Aku tidak mahu bergantung harap kepada azimat tangkai. Itu dah syirik

Sambil tersenyum tok bomoh berkata ini semua sebab terlampau aktiflah. Ada yang cemburu dan hasad. Aku tahu kalau disurau kalau ada apa-apa pergi tanya Budiman & Aishah. Orang yang hantar benda itu keisteriku marah sebab ia kata Aishah suka menonjolkan diri. Subhanallah, yang aku tahu isteriku bukanlah jenis yang suka menunjuk-nunjuk. Tidak pernah is bermusuh dengan sesiapa. Cuma makcik-makcik memang mengharapkan setiap program Aishah mesti ada sebab dia yang paling muda. Kalau tak ada Aishah kata mereka, mereka tidak boleh bekerja.

Seorang kenalan aku yang juga seorang ustaz mengatakan isteriku jadi begini sebab terlalu baik. Insyaallah dia akan cuba mengumpulkan beberapa orang ustaz untuk membantu kami. Pagi ini aku akan membawa isteri ke USM untuk berjumpa dengan ust Abd rahman. semalaman isteriku tak dapat tidur manakala aku terlalu keletihan tidak sedar diri. Sedar-sedar dah subuh. Kulihat isteri sedang menangis akibat tidak dapat tidur. Katanya semalam ia mendengar orang mengetuk pintu dan berlari diatas anak tangga.

Insyaallah malam ini beberapa orang sahabat dari JIM Bara Daya akan melakukan solat hajat dan membaca yasin dirumah mertuaku yang selama ini aku duduk semenjak isteri keluar dari hospital. Katanya ia takut untuk pulang kerumah walaupun merinduinya dan aku sendiri tidak akan membiarkan isteriku keseorangan dirumah. Inilah ujian yang perlu kepada orang yang mengaku beriman kapeda Allah. Kata Allah, kamu mengatakan kamu beriman sedangkan kamu belum diuji. Inilah ujiannya. ketakutan

Semoga dalam kesedihan ada kegembiraannya. Anakku dah mula berontak. Mereka menaliponku minta tolong ustaz beritahu yang melakukan pekerjaan terkutuk ini. Mereka perlu diajar. Mereka tidak sanggup melihat emak mereka dilakukan seperti ini. Kata mereka adakah ini hasilnya setelah bekorban untuk masyarakat. Aku hanya mampu berdoa agar Allah menenangkan perasaan anak-anaku. Kami terkejut bila ketika melihat program di TV9 keluar iklan halaqah. Gambar Dr Danial ditunjukkan. Keluar ayat dari isteriku," Orang tua ni lah yang buat aku malam tu".Bersahaja saja tapi orang lain yang terdiam. Ya Allah semoga ujian terhadap isteriku tidak berpanjangan.

Tuesday, November 25, 2008

AKHIRNYA.... TERBONGKAR JUA

Pertama sekali aku mohon maaf andaikata cerita yang akan ku paparkan akan membuatkan kalian semua merasa tidak senang. Bukan niatku untuk mengaibkan atau membanggakan sesiapa. Ini semua mungkin secara kebetulan atau kebenaran. Kalian saja yang dapat mentafsirnya. Aku cuma mahu agar kalian semua mengambil iktibar dari peristiwa ini.

Setelah berada dihospital selama 9 hari, pada tanggal 11 November 2008 akhirnya isteriku dibenarkan pulang. Namun demam panas masih lagi menguasai badan. Panadol, ubat hospita dan klinik ternyata tidak memberi kesan. Hari - hari pasti demam panas. Aku pening memikirkan perkara ini sehinggakan aku terlupa dengan tugas seharianku. Surau ramai jemaah yang bertanya kemana menghilangnya Budiman. Kenduri dijemput aku juga lupa hadir. Sedar-sedar kenduri dah selesai. Terpaksa berjumpa tuan rumah memohon maaf.

Yang menghairankan aku apabila menjelang Maghrib isteriku mula merasa menggigil kesejukan dan diikuti dengan badan yang panas. Apabila waktu nak mengambil air sembahyang mulalah batuk menyerang tidak henti - henti. Ini membuatkan badan bertambah sakit dan demam panas. Aku mula terasa kepelikan dan mula tersedar kemungkinan ada benda lain yang mengganggu didalam tubuh isteriku. Aku membaca Al Mathurat didepan isteriku. Tiba-tiba ayatnya hilang didepan mata. Setelah beristighfar beberapa kali barulah penglihatan kembali pulih. Aku menyuruh anakku membaca surah Yasin. Tiba-tiba dibalingnya kelambu membuatkan wajah anakku pucat. Isteriku hanya tersenyum melihatnya. Aku dah syak.

Aku ajak isteriku turun kebawah. Sambil bergurau kepada ipar dan anak saudara, aku berkata, " Kawan Pakcik kata pakcik ni boleh berubat tapi tak yakin. Sekarang mari kita berkumpul sambil lutut bertemu lutut dan Pak Cik akan ubati Makcik". isteri menjeling tajam kearahku. Aku tahu yang ia dah mula merasainya. Aku meminta anak saudara membacakan ayat Al Quran didepan isteriku dan aku nak lihat reaksinya. Ternyata tindak balas berkesan. Ku lihat isteriku menggenggam tangan menahan sesuatu. Aku mendekati isteriku dalam keadaan bergurau namun didalam hati, aku membaca surah yang aku telah bacakan didepan isteriku sewaktu aku sendiri tidak sedar ketika mengikut kelibat seorang pendekar sedang menggerakkan tari silatnya.

Bila sampai saja aku didepan isteri, aku terus meletakkan telapak tangan didahi isteriku. Apa lagi menjerit, tertawa dan mengilai. Apa lagi terkejut dengan peristiwa ini ipar dan anak saudara melarikan diri. Tinggal aku dan anakku. Aku beritahu kepada anakku jangan takut dan tolong bantu ayah memulihkan kembali emak. Aku menyuruh dia mengikuti bacaan ayat kursi. Dia membaca amat pelahan, tapi bila disuruh baca dengan kuat suaranya bertukar garau. Aku membaca ayat-ayat suci Al Quran sehinggakan membuatkan isteriku longlai tak bermaya. Aku sendiri pun tak tahu bagaimana aku lakukan semua ini. Aku hanya ingat aku pegang ditempat tertentu sambal membaca ayat Quran. Aku menyuruh anakku menalipon abangku dan beritahu keadaan mak dan katakan ayah tak mampu nak buat seorang diri.

Isteriku ternyata letih dan tidak bermaya. Beliau berkata nak tidur. Aku tahu bukan dia yang nak tidur tapi benda yang berada didalam badannya. Tiba-tiba taliponku berbunyi, anakku memberi tahu Pak Ngah talipon dan sedang menuju kerumah kami. Bila terdengar suara abangku dari dalam talipon matanya mula tidak tentu arah. Apabila terdengar saja salam dari abangku tiba-tiba dia terus bingkas bangun sambil ketawa geram. Apa lagi abangku tak bagi chance langsung terus dimintanya air lalu membacakan sesuatu di tepuk ke kepala isteriku sebanyak 3 kali. Terus longlai dan akhirnya ia keluar dari badan isteriku.

Aku dapat merasai yang benda itu hanya keluar seketika sahaja. Sebelum ini bila aku suruh isteriku senyum sebab aku nak test ternyata senyuman memang meremangkan bulu roma. Tetapi setelah kena tepuk dari abangku dia tidak berani senyum. Setelah keadaan tenang abangku pun pulang kerumah. Aku sengaja test kembali senyuman isteriku. Apalagi senyumannya kembali menakutkan dengan ketawa sinis.

Semalam seorang bomoh tradisional datang untuk merawat isteriku dan ternyata memang ada benda didalam tubuh isteriku. Bila aku pulang dari tempat kerja jam 12 malam sebelum aku masuk kedalam aku membaca ayat kursi dan dapat merasai bahawa benda itu masih lagi berlegar didalam rumah. Sewaktu kami tidur terdengar orang berjalan. Seluruh isi rumah semalam tidak dapat tidur sebab diganggu. Aku mebuat solat hajat memohon kepada Allah semoga kami semua dipelihara dari gangguan iblis dan syaitan terutama sekali isteriku. Alhamdulillahisteriku dapat tidur dengan tenang walaupun aku sendiri tidak dapat tidur sebab diganggu oleh makhluk halus yang ingin masuk kembali kedalam badan isteriku

Aku dapat merasai ia mencuit belakangku, ia mengetuk dan menolak pintu. Ada seketika ia berlari diatas bumbung. Aku hanya berzikir dan membaca Al Mathurat. Hanya kepada Allah lah kita semua meminta disamping berikhtiar. Tujuan aku menulis untuk kalian semua ialah janganlah kita memandang ringan tentang perkara ini. Sekali kita terlalai padah yang menanti. Kalau kalian pulang dari rumah lewat malam, sebelum masuk kedalam bacalag dulu ayatul kursi. Tak salah dan susahkan. Mohonlah kepada Allah semoga keluarga terselamat dari gangguan iblis yang direjam. Kini isteriku masih belum pulih sepenuhnya. Ya Allah kau bantulah kami. Biarlah orang dengki dan khianat namun kami tidak akan membalasnya kembali. semoga mereka yang membuat perkara ini Allah berikan hidayah dan keinsafan. Akhir sekali kepada kalian berhati-hatilah. Kadang-kadang kita buat benda kebaikan pun orang tidak suka. Semoga mendapat iktibar insyaallah.

Terima kasihku tak terhingga kepada abangku, anak saudara, sahabat handai dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan kami dan membantu mencari air penawar. Semua ini tidak dapat kami balas dengan wang ringgit. Hanya doa yang kami pohon semoga Allah berikan keberkatan kepada keluarga kalian semua. Amin...

Sekian ariman

Tuesday, November 18, 2008

REMAJA YANG AKTIF

Aku masa zaman remaja amatlah aktif. Segenap pelusuk kampung , pekan, bukit telah aku jelajahi. Pendek kata cuti saja sekolah inilah kerja aku. Setelah tamat sekolah dan seperti yang diimpi-impikan aku dan rakan-rakan berpesta sakan. Nak raikan tamatnya alam persekolahan. Ayah dan Mak tak risau sangat dengan aku sebab kawan-kawanku bukanlah dari kalangan mereka yang sesat. Suatu petang aku berkata kepada rakan-rakanku. " Esok pagi kita joging mau ka". " Bolih juga tapi hang kena mai kejut kami bangun tidor la ". Balas kawanku. Memang diantara kami semua, aku digelar ustaz rock sebab dunia boleh akhirat pun boleh. Kadang nak kejutkan rakanku yang bangun lewat senang saja. Aku ke telinganya lalu aku bacakan surah Yasin. Apa lagi meloncat sakan. " Macam ni malam ni kita pergi pesta dulu. Kita jalan kaki saja sebab dekat dengan rumah ". Cadangan yang baik dari salah seorang rakan.

Malam itu selepas Isyak kami berjalan kaki ke Pesta Pulau Pinang. Seronok sakan kami malam tu. Sedar-sedar pesta dah nak tamat. Kami berjalan kaki pulang sambil berbincang tentang joging esok pagi. Sah nama aku juga kekal sebagai orang yang pertama kena kejut seorang demi seorang. Sampai dirumah jam dam 1 pagi. Aku terus tidur. Pagi perlu bangun awal. Terkejut beruk bila lihat didinding menunjukkan pukul 6.30 pagi. Aku terus ketandas mengambil air sembahyang dan terus sembahyang subuh. Selesai saja solat aku terus keluar rumah siap dengan kasut jogging. Semangat betul. Aku melintasi pokok ciku yang rendang. Tiba-tiba pokok digoyang dengan kuat sekali. Terkejut juga aku. Aku tertawa sambil berkat," Oii lekaslah pukul berapa nak joging".

Diam seketika. Tiba-tiba pokok digoyang dengan lebih kuat. Aku melihat diatas untuk mencari kalau ada siapa-siapa yang nak mainkan aku. Gelap tak nampak. Aku berkata. " Patutlah hangpa pilih aku, rupanya hangpa nak gempar. Ni sorrylah silap orang". Hai diam juga. Tiba-tiba aku melihat pelita menyala di tandas luar rumah kawanku. Aku terus kesana. Oh Pak Yusuf ka. Terkejut pak cik Yusuf. " Ha Jiman hang buat apa pagi-pagi ni ". " Nak pi jogging Pak Yusuf". Kataku. " Awat awai sangat". " La ni pukul berapa Pak Yusuf ". " 3.30 pagi". Balas Pak Yusuf. Ha terkejut aku. " Tadi masa saya lalu bawah pokok ciku sapa yang goncang pokok Pak Yusuf". " Hmm sapa lagi benda yang suka jelir lidah la ".

Apalagi seram aku dibuatnya. Aku terus pecut pulang kerumah dan sambung kembali tidor. Bangun dari tidur jam 8 pagi. Mak tanya sembahyang subuh ke belum. Aku jawab belum sebab 3.30 pagi dah sembahyang. Apalagi berleterlah si mak ini suruh aku sembahyang sekarang. Katanya sembahyang tidak boleh dibuat main. Jam 9 pagi kawan-kawanku datang kerumah bertanya kenapa aku tidak mengejutkan mereka tadi. Kataku sekarang lebih baik kita mandi di sungai Tok Keramat lagi best. Semua setuju. Aku pulang dan tanya mak masak apa pagi ini. Wow nasi goreng. Aku keluar ambil daun pisang dan layur diatas api lalu kubungkus nasi goreng. Adoh wanginya bau nasi sambil makan didalam air.

sekian ariman

Friday, November 14, 2008

DI BALING BATU DARI POKOK

Inilah pokok yang telah aku katakan dulu. Aku tidak bermaksud pokok ini semua hantu suka tapi ditempat aku bertugas, pokok inilah yang ramai orang melihat ia tergantung lalu menghilangkan diri. Pernah pak guard bagitau dekat aku bahawa mereka dibaling dengan ketul batu. Nasib baik batu tu kecil saja. Aku pun pernah beberapa kali dibaling batu kecil. Hari tulah aku dibaling dengan batu sebesar penumbuk. Kebas leher-leher. Terus aku sms dekat bos mengatakan bahawa aku telah dibaling dengan batu. Atas nasihat bos dia suruh aku pulang kerumah dan jangan ambil risiko seorang diri.


Inilah ketul batu yang menghinggap leherku. Sengaja aku letakkan diatas pokok. Hairan sampai kehari ini siapa pun tak berani ubah. Silap hari bulan kalau kena tempat sensitif mungkin tinggal lagi 2 Jumaat saja aku. Sekarang ni kalau ada yang nak pergi mereka akan datang berdua.

Inilah lorong tempat aku melihat kelibat seorang pendekar sedang bersilat pada jam 8 malam ketika aku memberi anjing makan. Kalau waktu malam memang nampak suram yang hanya diterangi dengan lampu kawasan.

Inilah tempat aku melihat seorang yang gayanya ala pendekar sedang memperlihatkan bunga silatnya sehingga memukau aku untuk mengikut gerak tarinya dan kemudian terus aku tidak sedarkan diri ketika pulang kerumah. Dikawasan inilah setiap malam anjing akan menyalak panjang. Salak apa aku pun tak tau. La tak percaya lagi. Hangpa punya pasai. Aku cuma cerita apa yang aku lalui.

Sekian ariman

Tuesday, November 11, 2008

Isteriku telah pulih

Alhamdulillah pada tanggal 11 November 2008 isteriku telah dibenarkan pulang ke rumah. Gembira tak terkira hatinya setelah berada didalam wad selama 8 hari tidak bolih bangun akibat keletihan. Aku pun turut rasa bersyukur kepada Allah kerana selama 8 hari itulah tidurku di hospital. Makanku ikut minat sebab badan keletihan. kesian juga dekat isteri duduk sorang-sorang dalam wad. Akulah peneman setianya didalam wad.

Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kesejahteraan isteriku. Yang datang melawat tak kira jemu, yang menalipon, yang hantar sms dan prihatin membawa segala jenis ubatan agar demam isteriku pulih. Semua ini kami tidak dapat membayarnya dengan wang ringgit. Kami mohon kepada Allah semoga mereka yang prihatin ini Allah berikan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah. Terima kasih kepada klinik syifa ( panel klinik ) kerana memberi surat rujukan. Insyaallah hari Rabu tugas tape Islam Moden Dr Danial berjalan seperti biasa. Amin.....

sekian ariman

Monday, November 10, 2008

TERPERANGKAP DIDALAM LIF

Hari ini tanggal 10 November 2008, aku telah ditugaskan untuk menjaga kontrak di tempat kerjaku yang asal yang dikatakan berhantu. Jam 9 aku bersama seorang kontraktor memasuki lif. Terus aku tekan tingkat 2. Lif pun berjalan menunjukkan angka 1 dan seterusnya 2. Tiba-tiba angka terpadam dan aku menjangkakan akan berlaku sesuatu perkara. Terasa lif memecut turun dengan laju sehinggakan bila menghampiri tingkat G secara automatik lif melekat sehingga membuat kami terhoyong hayang. Apalagi si kontraktor ni menjerit sakan dalam bahasa Terengganu. jeritannya membuat aku gelabah seketika. Akhirnya aku menyuruh dia diam seketika dan biar aku saja yang fikir. Ah handphone pula tak ada liputan didalam lif. Berpeluh aku dalam lif. Telah hampir sejam kami terperangkap. Sesak juga nafas. Aku berdoa semoga Allah memberi sedilit ruang untuk aku meminta pertolongan. Aku try sms dan akhirnya alhamdulillah terlepas keluar 3 mesej. Kemudian aku terima sms dari ketua yang mengatakan on the way kesana. Sementara menunggu bantuan aku mengelamun sejenak iaitu pada tanggal 9 november 2008 seorang rakan karibku yang berbangsa India telah meninggal didalam tempat kerja seorang diri akibat serangan jantung. Aku sempat sms kepada ketua kalau lewat sikit mungkin hari ini akan seorang lagi pekerja akan hilang.

Ya Allah anakku akan menduduki peperiksaan. Isteriku masih lagi di hospital. Lamunanku terhenti apabila terdengar ketukan dari luar yang datang membantu. Syukur akhirnya kami terperangkap dalam lif selama satu jam 15 minit. Keluar saja aku dari lif terus aku berkata aku taubat dah tak naik lif ni. Rakan yang lain tertawa sambil berkata," Tu la hang tinggal tempat ni tak bagi tau dekat depa, depa marah la". Depa tu siapa dia. hanya aku dan orang yang tahu saja mengerti perkataan ini.

sekian ariman

Wednesday, November 05, 2008

ROOM 350

Telah seminggu isteriku demam. Berapa biji panadol telah ditelan. Hilang peluh, panas timbul kembali. Aku tidak sampai hati membiarkan insan yang menjagaku ketika aku pernah terlantar di hospital. Insan inilah yang berjalan kaki dari rumah ke hospital. Sampai saja di hospital baju dah berpeluh. Pernah seketika ia terlelap akibat keletihan. Insan ini juga yang menyambutku ketika aku pulang dari tempat kerja dalam keadaan pelik. Insan inilah juga yang memasak makanan untukku dan anak-anak. Insan inilah juga yang menenangkan aku tatkala dalam keadaan marah. Insan inilah juga yang sauna aku bila aku keletihan selepas pulang dari tempat kerja.Itulah dia yang bergelar seorang isteri.

Aku tidak sampai hati melihat badannya yang begitu panas sehinggakan bila duduk berhampiran pun terasa bahangnya. Pada tanggal 3 Nov 2008 aku terus ke klinik panel untuk mendapatkan surat rujukan yang akan aku gunakan semasa pendaftaran di hospital. Sampai saja disana isteriku terus dibawa ke bilik ER. Aku diberitahu olih Dr bahawa demam isteriku terlalu panas. Semasa menanti isteri, aku mengelamun aktiviti kami yang lalu. Insan inilah yang bertungkus lumus menyiapkan makanan untuk hari keluarga walaupun telah dinasihat. Atas dasar amanah yang diterima dia berkata" Hari ini kita tolong orang, suatu hari nanti Allah akan tolong kita ". Dalam orang lain menolak tugasan ini beliau bersama ibunya membalut ketupat, membuat serondeng, nasi himpit dan kuah kacang.

Keesokan harinya kami terus hantar ketempat hari keluarga yang telah diadakan. isteriku tidak menjamah makanan langsung sebab tidak lalu. Selesai hari keluarga dia terus mengajak aku pulang sebab terlalu letih. Badannya terlalu panas. Lamunanku terhenti bila namaku dipanggil untuk membawa isteriku masuk kedalam wad. Beliau, Dr suspek bermacam-macam jenis penyakit yang membuatkan dirinya tidak dapat mengawal perasaan. Aku terpaksa menenangkan perasaannya walaupun aku sendiri tahu memang ketika ini memang berat untuk sesiapa yang mengalaminya. Lama kelamaan berita yang kami terima sedikit sebanyak melegakan hati kami. Namun panasnya masih belum hilang.

Tanggal 5 Nov 2008 Dr mengesahkan bahawa isteriku negatif dari penyakit TB. Esok darahnya akan diuji mengapa ia kerap demam dan penantian masih lagi berterusan. Anak-anakku terpaksa ku tahan dari pulang kerumah sebab mereka sibuk dengan peperiksaan mereka. Mungkin ini semua ujian dari Allah dan aku berdoa moga Allah memberi kegembiraan untuk kami terus berbakti kepada yang esa sedaya yang kami mampu.

Sekian ariman
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...