Teman-teman

Friday, November 13, 2015

Antara Palestin Dan Malaysia

Sedang aku menaip di tempat kerja, masuk seorang jurutera untuk membuat kerja. Sementara menanti kedatangan anak buahnya jurutera tersebut duduk dihadapan aku sambil membelek talipon bimbitnya
" Ish...Laknat sungguh israel. Dayus. Boleh hancur Palestin kalau tiada campur tangan dari negara jiran arab. Aku terdiam dan berfikir
" Bagi saya la encik. Negara palestin tak boleh di hancurkan. Sudah lama israel cuba hancurkan tapi Allah tak izin. Sebab depa meletakkan Allah nombor 1. Jadi Allah pelihara Palestin dan akan datang Allah akan hancurkan bangsa yahudi ". Terdiam jurutera

" Kita tengok di Malaysia encik, kebanyakkan pemimpin meletakkan harta benda nombor 1 dan bukannya Allah. Apa jadi negara kita. Nak hancur dek kerana tangan-tangan yang rakus serta tamak walhal kita tidak di serang oleh sesiapa. Allah pelihara Palaestin. Encik tengok semalam bolasepak. Palestin boleh kalahkan Malaysia yang pembanggunan bolasepak kita begitu hebat. Kita tewas 6 - 0 ". Tertawa jurutera.
" Betoi juga kata-kata en Ariff ". Sekali - sekala pekerja buruh kasar memberi pendapat

Mandi Manda Di Sungai Sedim

Aku dan anak serta keluarga yang lain berkesempatan mengunjungi Sungai Sedim yang terdapat di Kulim, Kedah. Dari Pulau Pinang ke sungai Sedim hanya mengambil masa selama 2 jam. Sungai yang fresh dan sejuk menjadi pilihan keluarga. Sudah beberapa kali aku dan keluarga mengunjungi tempat ini. Tak terbilang dengan jari. Kalau berada di situ kita harus pandai memilih tempat. Ada tempat airnya terlalu deras. Kita boleh menyewa pelampung untuk mengharungi arus yang deras. 


TREE TOP WORLD

Kami berkesempatan juga berjalan-jalan di jambatan gantung yang tingginya 50 meter dari tanah. Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM10. Berpeluh juga berjalan dan dapat menyaksikan keindahan hutan Sedim dari atas. Ada juga ahli keluarga yang gayat dan tak berani berjalan di jambatan ini.












Thursday, November 12, 2015

Mencari Damai Di Pulau Pangkor

Ini kali kedua aku dan isteri ke Pulau Pangkor. Lebih kurang 2 jam perjalanan dari Penang ke Jeti Marina Island kami sampai dan terus membeli tiket. Tidak ramai penumpang berbanding jeti Lumut. Tiket berharga sebanyak RM10 untuk pergi dan balik dan dengan perjalanan selama 15 minit, akhirnya kami selamat tiba di pulau. Sudah ramai pengusaha kenderaan menanti kami. Aku dan isteri sudah tahu selok belok ke sana jadi terus kami book sebuah motosikal dengan harga RM30 sehari. Terus mengisi minyak sebanyak RM3 sebab dah tahu dalam 2 hari berada di pulau Pangkor memang tak habis minyak yang diguanakan.


Terus kami ke Coral Bay Resort. Resort yang cantik. Selepas meletakkan barang terus kami keluar mencari makan dan makan ditepi laut. Ramai kawan2 aku bertanya antara langkawi dan Pangkor mana yang lebih best. Langkawi sudah terkenal didunia. Tempat peranginan yang cantik. Banyak tempat juga untuk membeli belah. Pantainya begitu cantik tapi terpaksa berkongsi dengan ramai orang. Selalunya kalau aku ke Langkawi jarang aku mandi laut. Rasa tak selesa lebih-lebih kalau wanita.

Marina Bay

Pulau Pangkor tak sama macam Langkawi. Tidak banyak tempat yang boleh kita lawati. Dalah masa sehari saja semua tempat telah kita lawat. Tidak banyak pusat membeli belah seperti Langkawi. Pulau Pangkor banyak menjual hasil laut seperti ikan bilis. Satu yang aku puji ialah pantainya yang bersih dan kita bebas mandi berduaan tanpa ada gangguan dari orang lain. Jadi untuk ketenagan yang hakiki aku lebih memilih Pulau Pangkor.



Jalan raya untuk mengelilingi Pulau agak sempit dan ada tempat yang curam. Tak banyak kereta di gunakan. Ramai yang menggunakan perkhidmatan teksi untuk berjalan. Aku dan isteri lebih selesa dengan motosikal sebab senang untuk kami singgah di tempat2 yang menarik.

Sudikah engkau menerimaku

Makanan yang di jual juga tidak banyak terdapat di Pangkor. Kebanyakkan makanan laut boleh didapati di Telok Nipah tetapi harus berhati-hati. Ada kedai yang tidak amanah. Contoh sewaktu kami mencari nasi goreng dan tomyam. 4 dewasa dan seorang Di buku menu tertera nasi goreng berharga RM6 tapi bila bayar ia berharga RM12. Kesemuanya RM80. Cukup mahal untuk nasi goreng yang tidak enak. Jadi hati-hati kepada mereka yang nak makan di Telok Nipah. Minum secawan teh susu yang tidak pekat berharga RM2 di tepi pantai.

 Pemandangan dari pantai Monkey Beach

Hari kedua kami berada di Pangkor kedai makan di buka bersebelahan resort kami. Jadi kami makan disana saja dengan makanan yang sama seperti di Telok Nipah. Harga kesemuanya ialah sebanyak RM36. Jauh benar larinya. Kepada pengunjung yang nak ke Pulau Pangkor pastikan makan anda di pekan dan bukan di Telok Nipah.


Untuk menyewa perkhidmatan bot lebih baik sewa di Telok Nipah sebab harganya jauh lebih murah. Semasa aku berada di Coral Bay Resort dan nak menyewa bot harga yang di tawarkan ialah sebanyak RM190. Ini di sebab laluan ketempat tertentu jauh. Ia berdekatan dengan Teluk Nipah. Jadi labik baik pergi ke Pantai Telok Nipah dan dapat menyewa bot dengan harga RM50 - RM80. Jimat kan


 Batu buaya

 Snorkling di Pulau Giam


Untuk snorkling hanya terdapat di Pulau Giam tapi terdapat banyak batu di situ. Kalau siapa yang kerap snorkling di Langkawi atau di tempat tentu dapat merasa kelainan tempat di sini. Pernah ada orang cedera kakinya akibat terkena batu. Disitu juga terdapat gamat hidup

 Inilah rupa gamat hidup

 Pantai Teluk Nipah

 Pulau Giam. Tempat snorkling


Disini kami menaiki bot dari Telok Nipah dengan harga sebanyak RM70 untuk ke kawasan tertentu. Boleh dikatakan enjoy dan memuaskan.


 Pantai Monkey Beach

Pantai Monkey Beach amat cantik. Airnya yang bersih. Untuk kesana perlu menyewa bot. Memang best kalau membawa keluarga mandi. Tak ada orang masa kami mandi disitu.

 Kota Belanda



Tidak sah kalau tak pergi ke Kota Belanda yang terletak di perkampungan nelayan Teluk  Gedung. Jadi kepada pembaca sekelian untuk mencari ketenangan yang hakiki, pilih la Pulau Pangkor. Anda pasti tenang.

Tuesday, November 10, 2015

Merapatkan Silaturrahim

Aku masih ingat ketika bersama dengan arwah Siti Aishah. Kami suka berkumpul dengan kaum keluarga dan isteriku akan masak yang special semasa perjumpaan itu. Macam-macam dia pernah masak dan kaum keluargaku memuji masakan isteriku yang sedap. Bukan kami mahukan pujian dengan menjemput kaum keluarga tapi itulah satu caranya kami merapatkan hubungan kekeluargaan. Ibu dan ayah telah berpesan kalau ketiadaan mereka keluarga janganlah berpecah belah. Bermuafakatlah. Pada tahun 2008 Allah menguji aku dengan mengambil Siti Aishah dari hidup aku. Aku begitu sedih kerana kehilangan isteri tercinta. Aku mula memandang negatif pada ujian ini. Aku salahkan Allah mengapa aku di beri ujian yang berat ini. Bukan aku tak pernah mengikuti kuliah agama tapi aku tak percaya perkara ini boleh terjadi terhadap diri aku.


Akhirnya dengan sepotong ayat quran dari surah Al Ankabuut ayat 2 - 3, yang bermaksud." Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman sedangkan mereka belum diuji ". Aku termenung dan mula insaf bila ustaz membaca terjemahan ayat ini. Aku mula taubat dan bangun malam untuk mendekatkan diri dengan Allah. Setiap malam aku memohon maaf dan berdoa.
" Ya Allah aku menetapkan jodoh aku kepadamu. Aku memohon kepadamu andaikata jodoh ada biarlah orangnya seperti Siti Aishah ". Itulah doaku setiap malam. Syukur pada tahun 2009 aku telah dipertemukan dengan isteriku Rosnah. Bila sudah lama bersamanya barulah aku sedari yang perwatakan isteriku Rosnah mempunyai persamaan dengan arwah Siti Aishah. Allah maha besar. Rupanya Allah mendengar rintihan aku. Aku yang bersangka buruk terhadapnya bila diuji


Hari ini aku dan isteriku Rosnah akan menjamu selera kaum keluargaku. Aku telah membeli ikan semilang untuk mereka. Inilah ikan kegemaran kaum keluargaku. Isteriku telah dipertanggung jawabkan untuk memasak dan masakannya juga sedap. Kini telah 6 tahun kami hidup bersama. Masing-masing sudah mengenali hati budi. Kadang-kadang bila menyendiri aku terfikir juga Allah memberi kita ujian dan Allah tak akan biarkan kita menanggungnya. Akhirnya barulah kita sedari yang Allah sebenarnya merancang yang terbaik untuk kita cuma cepat atau lambat saja. Dalam surah Al Baqarah Ayat 153 Allah telah berfirman yang bermaksud: " Wahai orang-orang beriman, Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang sabar ".

Aku doakan semoga Allah tempatkan isteriku Siti Aishah ditempat yang paling mulia disisi Allah dan aku juga berdoa moga Allah berkati isteriku Rosnah. Mereka merupakan isteri yang solehah. Bertuah hidup aku mempunyai mereka.

Saturday, November 07, 2015

Kisah Ibu Mertuaku

Kelmarin aku kerumah ibu mertuaku. Aku diberitahu yang tangan ibu mertuaku bengkak kemerahan. Aku masuk lalu memegang tangannya
" Sakit tak tangan mak ". Aku bertanya dan ibu mertuaku menganggukkan kepala sambil berkata sakit. Aku dapat rasakan dari memek mukanya yang dia terlalu sakit. Jarang dia bersikap begini kalau setakat sakit biasa saja.
" Sakit tu tangan mak. Merah ". Kata seorang jiran yang datang ziarah.
" Siapa yang pernah kena dia tau. Saya dah rasa macam mana sakitnya tangan. Arwah Aishah dah tak tau nak buat apa lagi bila saya menangis. Dia hanya mampu membaca ayat quran tapi masih lagi kesakitan. Akhirnya Aishah duduk di bawah dan kepala di letakkan diatas katil. Aishah meminta saya letakkan tangan supaya terasa lega dan dapat melelapkan mata. Bila saya terjaga dan sakit berkurangan saya lihat Aishah tidur dibawah sambil duduk. Memang syurga layak untuk dia mak ". Aku melihat ibu mertuaku mengalir airmatanya mendengar kisah aku.

Bukan aku sengaja bercerita sebab aku pun tahu sebagai seorang emak kerinduan terhadap anaknya tetap ada. Aku lantas bangun
" Mak...Nanti saya tanya doktor macam mana nak buat ". Pulang kerumah aku ajak isteriku menemani aku membawa ibu mertuaku. Bila tiba dirumah ibu mertua serta adik ipar sudah menunggu. Terus kami ke klinik abangku. Kakak iparku telah memberi suntikan dan ubat bagi meredakan kesakitan.Semalam aku bertanya kepada anak gadisku bagaimana neneknya. Kata anak gadisku sakit beransur sembuh. Syukur kepada Allah.

Petang dalam perjalanan ke tempat kerja aku singgah dirumah ibu mertuaku
" Macam mana rasa tangan mak ". Aku bertanya
" Lega dah. tangan pun dapat bergerak. Tak sakit. Terima kasih Budiman ". Kata ibu mertuaku. Aku terpaku melihat ibu mertuaku. Entah kenapa bayangan arwah Siti Aishah tiba bermain di mataku bila ibu mertua mengucapkan terima kasih. Gaya mukanya. Suaranya saling tak tumpah anaknya. Entah kenapa tiba-tiba datang kerinduan terhadap isteriku. Aku melihat jam ditangan. Masih sempat aku ziarah pusara isteriku sebelum ketempat kerja. Selesai aku ziarah terus aku ketempat kerja dengan hati yang tenang. Damailah engkau isteriku yang tercinta. Abang telah memegang pada janji untuk melihat akan kesihatan emak semampun yang boleh. Ameen....

Sila - Sila

Aku jarang menulis di blog ini sekarang sebab banyak penulisanku abdikan di facebook. Kepada pembaca yang baik hati. Kalau anda semua ingin membaca kisah seharianku, silalah hantar friend request ke mukabuku yang terletak bersebelahan pagi ini. Aku menanti....Atau perlukah aku terus menulis disisni..Sila nyatakan pandangan pembaca sekelian. Terima kasih

Wednesday, October 14, 2015

Jerebu Tebal

Agak lama aku tak snap gambar akibat jereu tebal. Semalam hujan lebat juga. Pagi ni selepas subuh terus aku ke Jambatan Pulau Pinang. Kalau ada rezeki dapat la melihat matahari terbit


Agak malang jerebu masih lagi menghantui negeri Pulau Pinang. Jadi inilah yang aku dapat pagi ni


Monday, October 12, 2015

Aku Masih Ingat - 3

Isteriku sudah berada di rumah. Aku ke klinik abangku untuk mengambil ubat-ubatan serta keperluan untuk mencuci. Aku sudah bertekad akan menjaganya dengan baik. Sebelum aku ke tempat kerja aku akan mencuci luka yang begitu dalam. Aku melihat isteriku menahan kesakitan bila terkena ubat pencuci. Itulah pengorbanan seorang ibu. Aku cium anakku Siti Zinnirah
" Ayah pergi kerja dulu. Petang ayah balik ". Aku melihat anakku menggerakkan kaki sambil ketawa. Tenang aku melihat mereka. Bila aku pulang dari kerja aku akan memcuci luka isteriku dulu dan barulah aku akan makan.
" Terima kasih bang. Sayang abang ". Itulah yang membuat aku tenang. Siti Aishah tidak pernah melupakan perkataan terima kasih dari bibirnya.

Kadang-kadang kalau isteriku tidak sihat aku sendiri yang akan bakar ikan haruan beserta lada hitam untuknya. Ia baik untuk mencantumkan kulit.
" Malam ni Siti tidur dan rehat. Biar abang yang jaga Zinnirah ". Kataku kepada isteriku. Siti Aishah tersenyum mendengar kata-kataku
" Jangan ayah yang lena sudah la ". Kata Siti Aishah kepada anaknya. Aku tertawa gelihati. Sebelum tidur aku akan letakkan botol susu serta yang lain disebelah aku. Ketika menukar pampers anakku, aku melihat isteriku tidur begitu nyenyak sekali. Mungkin keletihan. Seharian mengurus diri dan anak kami.

Alhamdulillah..lama kelamaan luka isteriku sedikit demi sedikit semakin sembuh. Tak banyak cotton yang perlu di masukkan ke dalam lubang luka. Tiba hari check up di hospital aku membawa isteriku ke sana
" Luka isteri awak semakin sembuh. Bertuahnya you Siti Aishah mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab ". Puji doktor yang membuat hidung aku yang kembang ini semakin kembang. Siti Aishah tersenyum mendengar pujian doktor. Akhirnya setelah 3 bulan berkat aku memcuci luka isteriku sudah tertutup tetapi masih lagi kemerahan. Aku tetap meneruskan cucian sehingga luka isteriku pulih sepenuhnya. Dia sudah boleh membonceng motosikalku.

Ditakdirkan aku mendapat berita yang pihak kerajaan akan merombak kembali gred. Aku terlibat dan akan mendapat wang tunggakkan. Hati aku berbunga. Aku sudah memasang niat kalau aku mendapat tunggakkan yang banyak akan aku hadiahkan mesin jahit untuk isteriku. Syukur akhirnya aku mendapat tunggakkan sebanyak RM1000. Aku mengajak isteriku ke kedai Singer.
" Siti...hari ni abang nak hadiahkan Siti mesin jahit ". Siti Aishah tergamam
" Abang dapat mana duit untuk beli mesin jahit ". Tanya isteriku sebab dia sendiri sebagai bendahariku sudah tentu dia tahu akan kewangan aku
" Sengaja abang tak bagi tau Siti yang abang dapat tunggakkan gaji bila gred di rombak. Abang dah berjanji pada diri abang nak hadiahkan Siti mesin jahit ". Aku melihat Siti Aishah mengalir airmata.
" Terima kasih bang...Ya Allah...syukur ". Itulah ungkapannya

Setiap hari isteriku akan menjahit selepas memasak dan menolong kerja rumah. Kerja ibu semakin ringan. Isteriku pandai mengambil hati ibuku dan ibuku begitu menyayanginya. Berkat kepandaian isteriku menjahit, kesemua baju annakku dia yang siapkan. Begitu comel anakku memakai tudung yang dibuat ibunya. Ketika mengikuti kuliah atau ceramah kami akan membawa anak kami bersama. Biarlah dia membesar dengan cara ini. Pernah kami menghadiri ceramah di Balik Pulau. Dengan motosikal Suzuki GP100 kami bertiga meredah jalan yang di penuhi hutan. Ceramah selesai pada jam 11.30 malam. Kami meredah kembali untuk pulang kerumah. Sampai di rumah jam 12.30 pagi. Siti Zinnirah sudah mula menangis tidak henti-henti.
" Kenapa ni anak emak....". Kata emaknya sambil mengalir airmata. Kadang-kadang tangisan anakku berlarutan sehingga hilang suaranya. Isteriku semakin risau
" Bang....macam mana ni ". Tanya isteriku
" Mai kita baca Al Mathurat ". Kataku kepada isteriku. Akhirnya berkat ayat-ayat Allah Siti Zinnirah berhenti tangisnya.

Masa begitu cepat berlalu. Usia anakku sudah 2 tahun. Dengan takdir Allah isteriku didapati positif mengandung. Risau juga aku takut jahitan isteriku yang masih lagi lemah akan mempunyai masalah bila perut membesar. Aku membawanya check up di hospital
" Kalau mengikut pihak hospital isteri encik terlau awal untuk mengandung memandangkan jahitannya masih belum kuat tapi kita tak tahu kuasa Allah. Dia nak bagi dan kita terima saja ". Kata doktor muslim. Aku merasa lega mendengar kata-kata doktor. Lama kelamaan perut isteriku semakin membesar
" Ni anak lelaki...". Kata jiranku bila melihat perut isteriku. Kadang-kadang aku melihat Siti Zinnirah menekup telinganya ke perut ibunya sambil menyebut adik...adik....Lucu dengan keletah anak kami.

Akhirnya masa untuk bersalin telah tiba. Aku bergegas ke hospital bersalin. Sekali lagi aku terpaksa berhadapan dengan doktor...
" Isteri encik terpaksa di bedah sebab kali pertama dia di bedah ". Sekali lagi aku terpaksa menandatangani surat keizinan dan menunggu
" Siti Aishah....". Aku berlari bila nama isteriku di panggil
" Tahniah...anak lelaki ". Kata nurse. Subhanallah. Allah telah beri kami sepasang anak. Aku dibenarkan masuk berjumpa isteriku
" Terima kasih Siti ". Kataku sambil mencium tangannya. Aku mengambil anak kami lalu azan dan iqamah. Mengalir airmataku. Terlalu mahal pengorbanan isteriku.

Kali ini luka isteriku tidaklah sedalam seperti sebelumnya jadi isteriku dapat pulang kerumah dengan cepat. Seperti biasa kalau tiba waktu malam giliran aku yang menjaga kedua-dua anakku. Biar isteriku rehat. Biarlah aku pula yang bersusah payah menjaga mereka. Setelah seminggu berlalu anak lelakiku di cukur rambutnya. Tiba untuk memberi nama. Aku dan dan isteri telah bersepakat untuk meletakkan nama Asyraf kepada anak lelaki kami. Akhirnya aku memberi laluan kepada ayahku yang terlalu ingin memberi nama kepada anak kami. Akhirnya nama anak lelaki kami di beri nama Hermawan.....

To be continued episod akhir

Sunday, October 11, 2015

Aku Masih Ingat - 2

Saat yang dinantikan telah tiba. Aku dan Siti Aishah akan di ijab kabulkan. Akad nikah akan berlangsung pada hari perkahwinan di rumah bakal isteriku. Betapa gelabahnya perasaan aku. Apakah soalan yang bakal di tanya kadi. Banyak yang aku dengar pengantin lelaki tergagap-gagap menjawab soalan dari tok kadi. Adakah aku mampu menjawabnya. Jam 12 tengahari majlis akad nikah akan di jalankan. Aku di temani oleh rakanku. Merekalah yang meredakan tekanan aku
" Jawab elok-elok Budiman. Jangan Gelabah ". Pesan ayahku. Aku hanya diam. Jantung aku bergerak begitu pantas
" Baca Fatihah Budiman ". Kata rakanku bila melihat aku sudah mula gelabah. Aku baca secara perlahan dan terasa sedikit ketenangan. Bila sampai di perkarangan rumah sudah ramai yang hadir. Maklum la majlis kenduri pihak perempuan pada hari tersebut.

Aku menaiki anak tangga menuju atas. Rupanya sudah ramai yang akan menyaksikan majlis akad nikah. kami memakai baju warna putih. Aku merasa cukup tenang bila melihat tunang aku tersenyum padaku. Semangat pun ada. Tiba-tiba majlis akad nikah akan di langsung menggunakan mickrofon. Aku dah mula gelabah.
" Boleh ka Budiman kita guna mic. Permintaan tuan rumah ". Tanya tok kadi dan juga guru agamaku semasa di sekolah rendah. Kami masih saling kenal mengenali
" Boleh ustaz ". Kataku padahal aku dah gelabah. Rakanku mengurut perlahan belakangku supaya aku tenang
" Kita mulakan majlis ini ". Kata Tok kadi.
" Saya tak payah tanya Budiman sebab Budiman dah tahu jadi Budiman cuba mengucap dan istighfar ". Aku mengucap dan istighfar dengan perasaan lega sebab ustaz tidak menanya aku soalan. Bekas anak murid katakan.

" Kita akan mulakan majlis akad nikah ". Kata ustaz sambil menggenggam tanganku
" Arifff Budiman..."....Kata Tok kadi
" Saya ". Semangat aku menjawab
" Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Siti Aishah berwalikan ayahnya dengan mas kahwin sebanyak RM101 ". Bergetar tangan ustaz meminta aku menjawab
" Aku terima nikahnya Siti Aishah dengan mas kahwin sebanyak 101 ". Aku rasa aku dah lulus....Aku dah berjaya...tapi
" Laa....101 tu apa dia Budiman...Unta ka...kaldai ka...". Aku mendengar hadirin tertawa. Aku sempat mengerling tunangku. Dia tertawa kelucuan. Sampai hati....Jantung aku terus duupp....dup....

" Kita mula lagi sekali. Budiman ingat betul-betul ya. RM101 ". Pesan ustaz. Akhirnya lafazku lancar dan saksi semuanya mengangguk...sah...sah...Syukur akhirnya Siti Aishah sudah menjadi isteriku yang sah. Bermulalah saat aku sebagai suaminya yang yang diamanah oleh kedua-dua ibubapa untuk menjaga serta mendidik anak mereka. Tidak ada majlis mengambil menantu dari pihakku. Dengan motosikal Suzuki GP100 aku membawa pulang isteriku bersama sebuah beg kecil pakaiannya. Itulah kali pertama aku membonceng seorang wanita yang bergelar isteriku. Kami menumpang di rumah ibubapaku. Aku tidak mampu menyewa dan membeli sebuah rumah untuk isteriku. Syukur dia tidak membantah. Isteriku masih lagi bekerja selepas berkahwin. Aku tidak mahu memaksanya dengan menyuruh dia berhenti. Mungkin dia juga menyara kedua ibubapanya.

Selepas sebulan kami nikah aku di naikkan gaji menjadikan gajiku sebanyak RM350. Syukur kepada Allah. Rezeki selepas aku berkahwin. Ia datang melalui isteriku Siti Aishah
" Abang bagi dekat emak berapa sebulan ". Tanya isteriku dan aku menjawab sebanyak RM50
" Abang bagi la dekat emak RM100. Insyaallah Siti masih bekerja. Boleh la kita simpan sikit-sikit ". Kata isteriku dan aku akur. Isteriku membuat ais krim Malaysia. Katanya dia berhajat untuk membeli mesin jahit. Itulah kelebihan isteriku. Dia pandai menjahit. Bila berkahwin dia menggunakan mesin jahit lama ibuku yang kerap kerosakkan. Laku juga ais krim Malaysia yang berbagai perisa. Setiap malam aku akan membantu isteriku memasukkan ais krim kedalam plastik. Dapat duit keuntungan dimasukkannya kedalam tabung buluh yang aku sendiri buat.

Selang beberapa bulan isteriku muntah-muntah. Aku membawanya ke klinik abangku
" Tahniah Budiman dah nak jadi ayah. Jaga Aishah elok-elok ". Pesan kakak iparku yang juga seorang doktor di klinik tersebut. Aku terlalu gembira mendapat berita ini. Dapat gaji aku serahkan kepada isteriku. Dia merupakan bendahariku. Dia mengagihkan duit gajiku. Di asingkan ini untuk emak. Ini untuk belanja aku dan yang baki untuk anak yang bakal di lahirkan. Untuk dia dibiarkan dulu
" Bang...duit Siti yang didalam tabung tu kita guna untuk beli perkakas anak. Nanti ada rezeki kita beli la mesin jahit ". Aku akur memandangkan itulah saja jalan pintas mendapat wang untuk kedatangan anak kami yang semakin dekat. Akhirnya isteriku mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Perutnya sudah memboyot. Kadang-kadang aku bergurau dengan anak aku di dalam perut ibunya bila anak menendang-nendang perut ibunya
" Janganla tendang perut mak. Kesian mak sakit perut ". Isteriku tersenyum melihat aku berbual dengan anak kami.

" Kata orang anak ni anak perempuan ". Aku berkata kepada isteriku. Masa itu manalah ada scan yang boleh kita tahu anak kita lelaki atau perempuan. Aku redho saja anugerah dari Allah. Akhirnya masa telah tiba. Isteriku kesakitan beserta turunnya tanda-tanda. Aku membawa isteriku ke hospital bersalin. Lama juga aku menanti tapi tak ada berita tentang isteriku. Akhirnya nurse datang berkata doktor ingin berjumpa aku. Aku berdebar-debar menanti berita dari doktor
" En Ariff...Your wife tak dapat bersalin secara normal. Kita kena buat operation sebab bayi dah lemas ". Aku menandatangani surat untuk meneruskan pembedahan. Lama juga aku menanti akhirnya terdengar nurse memanggil....
" Siti Aishah....". Aku berlari kearah nurse
" Tahniah Encik Ariff. Baby girl ". Sebentar kemudian nurse mengeluarkan anak kami lalu aku memangku dan terus aku azan dan iqamah di telinga anakku.
" Isteri saya macam mana nurse ". Aku bertanya
" Dont worry. Isteri encik keletihan. Sebentar lagi encik boleh jumpa isteri encik ". Kata nurse

Aku di benarkan berjumpa isteriku yang masih berada didalam bilik pembedahan. Aku memegang tangannya. Sempat juga dia memberi senyuman kepadaku. Aku tahu dia kesakitan
" Terima kasih Siti ". Itulah ucapan pertama aku kepada isteriku selepas pembedahan
" Sama-sama bang ". Lembut kata-kata isteriku. Doktor datang berjumpa aku
" Encik Ariff. Luka isteri encik sangat dalam. Mungkin kami terpaksa menahannya dia di hospital agak lama. Lagi satu saya nak pesan. Kalau boleh tolong jarakkan anak yang kedua dalam masa 5 tahun. Ini untuk keselamatan isteri you juga. Saya hanya sampaikan saja ". Kata doktor

Bermula saat itulah bila aku berada di hospital, akulah yang memandikan isteriku, membasuh air kecil dan air besarnya. Isteriku masih lemah untuk memcuci diri sendiri. Kadang-kadang pesakit yang berada di sebelah katil isteriku bergurau
" Bertuahnya Siti...Cik abang dia rajin ". Tersenyum isteriku mendengar pujian dari mereka. Aku cukup seronok bila dapat melihat anak kami. Aku berjumpa doktor bertanya berapa lama harus isteriku berada di hospital. Kata doktor mungkin mengambil masa sebulan atau lebih untuk lubang yang dalam bercantum kembali.

Akhirnya aku membuat keputusan untuk membawa pulang isteriku dan aku sendiri yang akan merawat isteriku sehingga lubang yang dalam bercantum kembali. Doktor akhirnya bersetuju dengan meminta aku menandatangani surat pelepasan tanggungjawab dari mereka. Aku membawa isteriku pulang kerumah. Rambut anak kami di cukur dan di beri nama Siti Zinnirah.......

To be continued.....

Saturday, October 10, 2015

Aku Masih Ingat

Aku masih ingat ketika mendapat pekerjaaan di Lembaga Letrik Negara ( LLN ) sebagai Buruh Am dengan gaji pokok sebanyak RM250. Walaupun kecil tapi aku merasa terjamin bekerja dengan kerajaan. Gaji pertamaku aku hulurkan kepada ibuku sebanyak RM50. Aku tidak pernah lupa akan pesanan ustaz ketika mengikuti kuliah. Kata uztaz berilah duit kepada ibubapa selepas mendapat gaji walaupun sedikit kerana yang sedikit itulah keberkatan sebab kita tidak melupakan jasa mereka. Itu yang aku pegang. Lagi pun itulah yang patut di lakukan oleh seorang anak. Lebih-lebih lagi anak lelaki.
" Budiman ada duit ka ". Tanya ibuku
" Ada mak. Mak ambik la. Tu duit gaji pertama Diman ". Ibuku tersenyum menerima wang dariku.  Begitulah setiap bulan berlalu aku tidak pernah miss memberi wang kepada ibuku walaupun tidak di minta. Kalau ada ot maka gajiku lebih sedikit. Aku mengumpul wang gajiku sedikit demi sedikit. Aku ingin memiliki motosikal sendiri. Akhirnya dapat juga aku beli motosikal Suzuki GP100 second hand dengan harga RM350. Motosikal itulah aku guna pergi kerja dan ke masjid.

Aku menjadi risau bila seorang demi seorang rakanku telah menamatkan zaman bujang mereka. Terfikir juga aku ingin berkahwin tapi gajiku amat kecil. Mampukah aku memiliki sebuah keluarga. Akhirnya aku hanya mendiamkan saja keinginanku dan aku kumpul sedikit demi sedikit dalam koperasi melalui potongan bulanan. Ini bermakna suka atau tidak setiap bulan gajiku harus di potong. Begitu cepat masa berlalu. Rupanya sudah 2 tahun lebih aku mengumpul wang. Bila aku cek di koperasi aku dapati wang aku ada sebanyak RM2500. Mulalah datang perasaan ingin berkeluarga seperti rakan-rakan yang lain. Aku masih lagi was-was. Walaupun duit aku sudah ada, mampukah aku menyara anak isteriku kelak. Calun pun tidak ada. Aku tak seperti rakan-rakan yang lain. Bercinta dan mereka kata begitu indahnya bila berada di alam percintaan. Aku tidak dapat merasai apa itu percintaan....bagaimana indahnya percintaan

Akhirnya aku nekad untuk beritahu ayah dan ibu tentang hasratku. Selepas isyak ayahku sudah berada di depan meja untuk makan malam. Aku turut sama makan bersama ayahku
" Mak...ayah....Diman nak kahwin ". Tersembur makanan dalam mulut ayahku
" Biaq betoi hang ni Budiman ". Tanya ayahku. Aku hanya diamkan saja menanti akan ayat seterusnya
" Budiman dah ada calun ka ". Tanya ibu yang membuat aku terdiam
" Tak ada lagi mak. Baru nak cari ". Kataku sambil tersenyum
" Budiman dah ada duit ka. Bukan senan nak bela anak dara orang ". Kata ayah. Terus aku terdiam. Betul juga kata ayahku. Bukan senang nak jaga anak dara orang tambahan gaji aku pula terlalu kecil.

" Nanti mak tanya Mak Anjang kalau ada anak dara yang baik ". Kata-kata ibuku membuatkan hati aku begitu gembira. Aku masih ingat akan kata-kata uztaz...Kalau datang hasrat untuk berkahwin maka teruskan niat itu dan insyaallah Allah akan bantu. Ketika berada di tempat kerja aku tidak senang duduk. Sudahkah ibu menalipon Mak Anjang
" Mak...Mak dah talipon Mak Anjang ka ". Tanya aku melalui talipon
" Hang dok merepek. Baru pukul 9 pagi. Mak Jang hang sibuk ". Kata ibu. Akhirnya bila aku pulang rumah aku mendapat perkhabaran dari ibuku tentang seorang gadis yang memakai tudung labuh. Sering ke kuliah. Aku begitu gembira sebab itulah doaku iaitu mendapat seorang isteri yang akan menjadi penyejukku. Kata Mak Anjang kalau nak melihat gadis tersebut aku boleh kesana jam 8 pagi sebab waktu itulah dia menunggu bas untuk ke tempat dia bertugas.

Akhirnya setelah 3 kali mencuba dengan sabar, aku bertemu juga dengan gadis tersebut. Dia tersenyum melihat aku. Subhanallah jantung aku begitu berdebar melihat senyuman manisnya. Aku seolah-olahnya sudah jatuh cinta padanya
" Mak...Diman dah tengok dia. Jadi mak minang dia. Dia nama apa mak ". Lupa pulak aku namanya. Akhirnya aku mendapat berita dari emak saudaraku namanya ialah Siti Aishah. Mendengar namanya saja hati aku sudah begitu sejuk. Proses merisik di jalankan dan aku mendapat lampu hijau dari Siti Aishah untuk menerima aku sebagai suaminya. Terus aku sujud syukur. Aku terlalu gembira. Setiap hari kalau aku tugas pagi aku akan melalui jalan itu. Tujuanku hanya untuk melihat wajah senyuman Siti Aishah dan aku tidak di hampakan. Siti Aishah tetap memberi senyuman kepadaku walaupun kami tiada ikatan.

Kata sepakat telah tercapai. Proses perminangan akan dibuat secepat mungkin
" Ayah...Diman nak ikut masa meminang nanti ". Kataku kepada ayah
" Ish...budak ni dok buat merepek. Tak pernah anak teruna ikut ". Kata ayahku namun aku bertegas hendak juga mengikut rombongan perminangan. Proses berjalan dengan lancar. Tiba-tiba ayahku menyampuk
" Minta maaf la. Anak teruna tak sabar. Dia nak ikut ". Aku melihat Siti Aishah tertawa bila ayahku berkata demikian. Manisnya senyuman tunangku. Bisik hati kecilku. Aku telah benar-benar jatuh cinta. Pihak perempuan meletakkan wang hantaran sebanyak RM2000 dan mas kahwin sebanyak RM101. Kami menerimanya dengan senang hati. Proses untuk mengadakan kenduri kahwin ialah selama 6 bulan.

Bermula saat itulah kami kerap berhubungan dengan surat. Masa tu mana ada lagi talipon canggih seperti sekarang. Jadi abam-abam posmen menjadi penyambung kami. Dalam surat aku beritahu tunangku yang gaji aku terlalu kecil untuk memilik sebuah rumah. Jadi bila berkahwin kami terpaksa menumpang bersama ibu bapaku. Siti Aishah memberi jawapan yang positif. Katanya bila kahwin nanti Allah akan buka pintu rezeki kami. Ayat yang membuat aku merasa begitu tenang. Ini bermakna dia sudah bersedia menghadapi apa saja dugaan yang datang. Aku pula sudah kerap tidur awal dari sebelumnya.
" Hai...tidur awal nampak ". Perli kakak aku. 
" Kena berubah ". Ringkas jawapanku
" Ya la....orang dah nak kahwin ". Aku tertawa mendengar gurauan kakakku......

To be continued.....

Monday, June 29, 2015

Wisata Padang / Bukit Tinggi ( 2 ) 22 - 25 Mei 2015 - Shoping dan Istana Pagaruyung

23 Mei 2015 - Jam 8.00 pagi kami semua turun untuk menikmati sarapan pagi di Hotel Kharisma. Pemandu pelancung iaitu Bapak Hendri sudah berada disitu. Sambil makan kami diberitahu akan membeli belah. Kaum wanita pasti tersenyum. Aku berikan kepada isteriku sebanyak 2 juta rupiah bersamaan RM576 untuk dia berbelanja.


Jam 8.30 pagi kami menaiki bas Pariwisata. Cukup selesa bila berada di dalam bas. Pak Hendri banyak bercerita dan bergurau semasa dalam perjalanan. Seronok melihat pemandangan dan budaya negara orang. Ia berlainan dengan budaya rakyat Malaysia. Budaya disini lebih banyak bertolak ansur. Tidak kepentingan dalam memandu.



Destinasi kami yang pertama telah sampai. Kami di sambut dengan mesra oleh pekerja butik. Memang syurga untuk kaum wanita. Aku melihat isteriku begitu teruja bila berada didalam butik. Sekejap dia datang dan meminta pandanganku. Akhirnya di membeli jubah untuk di pakai pada hari raya Aidil Fitri nanti. Cantik jubahnya dan aku suka. Aku beri kebebasan citarasanya untuk pakaian. Kalau dia rasa sesuai maka aku juga begitu.




Setelah berada di dalam selama 1 1/2 jam kami berangkat menuju ke destinasi lain. Kata Pak Hendri kami akan di bawa menikmati kuih neraka tapi isinya syurga. Kami tertawa dengan ayat dari Pak Hendri. Apa itu kuih neraka. Akhirnya kami sampai di kedai Bika Talago. Menurut kata Pak Hendri batang kayu yang di gunakan untuk membakar kuih ialah dari pokok kayu manis. Kulitnya sudah di ambil jadi batangnya digunakan untuk membakar kuih. Sungguh unik.





Akhirnya baru kami faham apa yang dikata oleh Pak Hendri. Kuih neraka. Sebabnya kuihnya perlu dibakar. Ia seperti kuih dangai di malaysia dan rasanya cukup enak seperti kata Pak Hendri. Rasanya syurga. Pandai pemandu pelancung kami bergurau. Aku membeli sebanyak 10 keping untuk kami makan semasa berada di dalam bas. Dalam perjalanan Pak Hendri berkata kami akan menuju ke Pusat Kebudayaan Minangkabau Padang panjang.



Kata Pak Hendri di situ tak ramai pengunjung seperti di Istana Pagaruyung. Jadi kalau kami nak mencuba memakai pakaian tradisi masyarakat Minangkabau maka di sinilah tempatnya. Bayaran dikenakan sebanyak RM10 untuk sepasang.



Aku dan isteri tidak melepaskan peluang bergambar dengan memakai pakaian tradisi masyarakat Minangkabau. Kaum keluarga yang lain tertawa melihat gelagat kami. Kata mereka persis seorang raja dan permaisuri. Setelah masing-masing enjoy dengan pakaian tradisi kami berangkat menuju ke Istana Pagaruyung.








Setibanya kami disana memang kelihatan begitu ramai pengunjung dengan pakaian baju tradisi. Mujur kami menerima sarana  Pak Hendri untuk bergambar dengan pakaian tradisi di pusat kebudayaan. Istana yang mempunyai 3 tingkat baru saja dibaiki menurut kata Pak hendri. Ia terbakar setelah di panah kilat. Struktur asalnya masih tidak berubah. Setelah berpuas hati dengan Istana pagaruyung kami menuju ke tempat membuat pisang salai mengikut kata Pak Hendri.








Kami di tunjukkan bagaimana cara membuat pisang salai dan kerepek pisang. Cukup enak dapat merasa pisang salai yang fresh. Kami juga diberi minum kopi percuma. Ada kopi khas untuk mereka yang berkeluarga. Kata Pak Hendri ia di beri gelaran minum seorang enjoy 2 orang. Kami tertawa mendengarnya dan hasilnya ia menjadi bualan kami sepanjang berada di dalam bas. Cantik juga pemandangan di luar kawasan. Aku memang pantang melihat keindahan. ada saja aku nak snap. Bukan mudah nak dapat macam ini



Sebelum pulang ke hotel kami singgah menjamu selera di sebuah restoran yang dikelilingi oleh sawah padi dan kolam ikan. Ia cukup mendamai dan menyelerakan. Semasa berada di dalam bas menuju hotel, kami di beritahu tentang perancangan esok. Kami akan dibawa ke tempat kelahiran Buya Hamka dan melalui kelok 44. pastinya ia begitu mengujakan


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...