Teman-teman

Wednesday, December 30, 2009

Percutian Ke Langkawi 1

Selamat Datang. Pemandangan Jetty Langkawi

25 Disember 2009 - Jam 7 pagi kami bertolak dari Penang ke Jetty Kuala Kedah. Alhamdulillah jam 8 lebih kami dah sampai. Sebentar saja terdengar pengumuman penumpang yang akan ke Langkawi dikehendaki menaiki bot. Bergegas kami menghabiskan makanan pagi yang dipesan. Perjalanan ke Langkawi mengambil masa selama sejam setengah. Setelah hampir 20 tahun aku tidak menjejak bumi Langkawi dan kini aku telah berada dibumi yang nyata.

Anakku Hermawan bersama anak saudara yang lain bergambar diatas jambatan diantara 2 bukit. Memang gayat juga

Setelah berada agak lama didalam feri akhirnya kami sampai di Jetty Langkawi. Travel agency dah siap menunggu. Disedianya 2 buah van untuk kami. Sebuah ada pemandu dan sebuah lagi aku jadi pemandunya. Bayangkan selalunya aku memutar stering kereta dengan lembut sebab dia ada power tapi van ini menggunakan arm power jadi aku bedal saja. Kami dibawa ke apartment Awana di pekan Kuah. Selesa juga apartment dia. Tourist guide beritahu 1230 tengahari kami akan kemasjid untuk solat Jumaat. Selepas solat kami akan dibawa menaiki cable car. Khutbah Jumaat yang disampaikan baik juga maklumlah negeri dibawah pakatan rakyat. Khutbahnya sungguh membina walaupun khatibnya sudah tua.

Aku dan isteri sempat berposing diatas bukit setelah menaiki cable car. Sebelum bergambar sempat juga aku mengusik menyanyi lagu P.Ramlee sambil meniru suara P Ramlee, " Saat yang bahagia datang sekajap saja ".

Selesai solat Jumaat aktiviti kami yang pertama pun bermula. Kami dibawa ketempat cable car. Sepanjang perjalanan menuju kesana sempatlah juga melihat pemandangan indah. Sampainya kami disana kelihatan begitu ramai orang yang beratur. Masing-masing dok fikir nak naik ke tidak. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk beratur juga ditengah panas. Kelihatan juga pengarah filem Anak Mami Prof Razak Mohidein membawa model menaiki cable car. Atas nama artis mereka tak perlu beratur panjang. Dapat tiket terus naik ketempat menunggu. Itu baru artis. Kalau VIP lain aku tak tahulah.

Kelihatan begitu ramai pengunjung sedang beratur

Sementara menunggu giliran untuk menaiki cable car, sempat juga kami memberi makan rusa. Makanan yang dibeli berharga RM1 sebungkus. Maka rusa pun menjilat tapak tangan. Takut pun ada juga. Maklum la sekali dinganga mulut tangan aku pun boleh masuk. Anakku bergegas mendapatkan kami sebab giliran kami sudah sampai.

Ini dia. Sempat juga kami beri makan rusa. Terjilat-jilat tapak tangan aku

Memang indah ketika berada diatas cable car. Siapa yang melihat dan tidak bersyukur akan alam ciptaan Allah memang mereka mudah lupa diri. Dari atas memang nampak cantik akan pemandangan dibawa. Agak lama juga kami berada diatas. Maklumlah masing-masing nak bergambar.
Suasana menunggu dari bawah hinggalah diatas banggunan menuju ke cable car

Jam di tangan menunjukkan pukul 6.30 petang. Kami bergegas menuruni kembali cable car. Esok dijadulkan ke pantai Tanjung Rhu menaiki bot. Kami mengambil peluang ini untuk melakukan solat Jamak Qasar. Sampai di apartment jam 8 malam. Perut terasa lapar. Selepas kami bersihkan diri, kami keluar lagi untuk mencari sesuap nasi untuk mengisi perut yang lapar. Terasa badan terlalu keletihan setelah menaiki cable car. Hati tidak sabar menanti hari esok.


Suasana di Jetty Langkawi. Sambil menunggu tourist guide datang sempat juga berposing


Masih lagi di Jetty Langkawi

Thursday, December 24, 2009

Cuti - Cuti Malaysia

Esok aku isteri dan anak-anak akan berangkat ke Langkawi makan angin sambil menenangkan fikiranku. Agak lama juga aku tak makan angin begini. Inilah masanya aku dan isteri mengambil kesempatan untuk bersama. Aku ingin lupakan sementara peristiwa lampau yang membelengguku dan anak-anak. Insyaallah kalau ada wifi di hotel, aku akan update disana. Kalau tak ada kena tunggu aku kembali ke Penang pada hari Isnin 28 Disember 2009. Kalian semua tolong doakan agar aku dan keluargaku selamat semasa dalam perjalanan kesana. Jumpa lagi no........

Wednesday, December 23, 2009

Semoga Allah Cucuri Rahmat Keatas Ruh Ibunya

Selesai mengerja solat subuh di tempat kerja, aku menerima panggilan talipon. Tertera nama sahabat yang pernah aku ceritakan dalam blog baru-baru ini. Sambil sebak dia berkata,
" Bang saya nak minta tolong carikan ustaz lain yang dapat membantu emak saya. Kesian saya lihat emak muntah darah yang banyak ".
Aku terkedu seketika. Bingung juga hendak mencari ustaz yang handal dalam bab sihir. Aku pernah merasai peristiwa seperti ini. Berjumpa saja dengan orang pasti aku minta pertolongan. Aku tidak malu lagi berbuat demikian asalkan isteri kesayanganku selamat. Bila ada sesiapa yang menalipon hendak membawa ustaz pasti aku menadah umpama orang yang kebuluran.

Kini sahabatku menerima ujian dari Allah. Dia merupakan orang belakang tabir dalam bab dakwah. Dia tidak pernah kedepan tetapi kepandaian yang Allah berikan kepadanya dalam bab teknologi maklumat membolehkan dia membantu dakwah melalui siber dengan mencipta web site untuk tujuan dakwah dan dia merupakan web master. Dia memang cekap mencari duit melalui teknologi. Pernah aku bersembang dengannya. Katanya banyak teknologi canggih dibuat oleh golongan yahudi dan dia menggunakan teknologi itu untuk urusan dakwah orang islam. Bila bersembang dengannya bab internet aku merasa terlalu kerdil sebab hanya tahu tentang blog itupun masih terkial-kial.

Jam 12 tengahari aku menerima panggilan talipon yang mengatakan bahawa emak kepada sahabatku baru saja meninggal dunia setelah mengalami muntah darah yang banyak. Aku menaliponnya untuk menenangkan fikirannya. Aku tahu kalau kematian secara biasa kaum keluarga tidak terlalu merasa sedih sangat. Tapi ini kematian akibat perbuatan sihir memang tidak dapat dimaafkan kalau difikirkan secara sepintas lalu. Tatkala aku berhadapan dengan situasi ini, aku menjadi seorang pendendam. Terfikir juga hendak membalas dendam diatas kematian isteriku. Namun bila terbaca saja beberapa potong ayat quran hati ini menjadi sejuk.

Kini sahabatku pasti merasa tertekan. Nada yang diucapkan olehnya membayangkan perasaan marahnya kepada mereka yang menyihir emaknya. Aku terus berkata kepadanya lupakan perasaan itu. Biarlah Allah sahaja yang membalas segala perbuatan jahat mereka. Kelebihan kita ialah kita sekeluarga akan menuntut keadilan di padang mahsyar kelak. Itulah sebaik-baik tempat pengadilan. Akhirnya aku hanya mampu berkata kepadanya sepotong ayat al-quran yang selalu disebut orang yang bermaksud, " Manusia merancang, Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang ". Semoga Allah cucuri rahmat keatas ruh ibunya yang melahirkan seorang anak yang begitu giat membantu dakwah walaupun tidak dikenali ramai.

Sunday, December 20, 2009

Tangan Ibu Juga Yang Melegakan

Kelmarin 19 Disember 2009 merupakan hari yang padat dengan aktiviti sehinggakan badan aku tidak dapat lagi menerimanya. Pagi lagi bermula gotong royong yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk. Kata mereka aku perlu berada disitu sebab aku merupakan Setiausaha surau. Jadi tak manis kalau AJK surau tiada. Aku tak kisah sebab aku sendiri merupakan penduduk disitu maka aku wajib melaksanakan tanggung jawabku sebagai penduduk. Masih ada lagi yang beranggapan bahawa tidak perlu bersama penduduk membuat gotong royong. Lebih baik terperap dirumah bersama anak isteri. Biarkan mereka dengan persatuan mereka. Itulah sifat mereka yang hanya mementingkan diri sendiri. Yang menghairankan ialah bila bercakap bab islam pasti mereka kedepan. Bab kemasyarakatan ahh...pedulikan.

Dalam jam 10 pagi aku minta diri dari persatuan penduduk untuk tugasku yang kedua iaitu kenduri anak saudara arwah Siti Aishah. Aku telah ditugaskan menjadi DJ. Kata mereka inilah harapan dari Siti Aishah sewaktu beliau masih hidup. Aku masih ingat bila Siti Aishah berkata kepadaku, " Siti nak abang jadi DJ nanti masa perkahwinan anak saudara. Siti nak komen nanti ". Walaupun suasana meriah namun masih kelihatan wajah-wajah sugul kaum keluarga bila mengenangkan sudah setahun pemergian insan tersayang mereka. Alhamdulillah aku dapat menjalankan kewajipanku sebagai DJ yang juga telah hampir setahun aku meninggalkan bidang ini. Isteriku Rosnah tersenyum melihat kali pertama aku menjadi DJ. Sekejap-sekejap aku mengusiknya. Merah padam mukanya akibat malu. Akhirnya majlis selesai jam 6 petang. Badan aku mula terasa letih.

Selepas solat maghrib aku terus tertidur. Aku dikejutkan dengan deringan talipon
" Assalamualaikum bang. Kami dah siap pasang PA sistem untuk ceramah malam ini. Pukul berapa abang nak datang ". Sempat juga isteriku mengurut belakangku. Terasa lega sedikit. Aku bergegas ke surau. Sepanjang perjalanan, berhenti saja di traffic light aku muntah-muntah. Penunggang lain hanya memerhati akan keadaanku. Masing-masing dengan tanggapan mereka. Aku terus menuju kerumah ibuku. Sampainya aku didepan perkarangan rumah ibuku sekali lagi aku muntah. Badan aku menjadi lembik tidak bermaya.

Aku memasuki rumah ibuku. Ibuku baru selesai memberi salam solat maghrib. Tiba-tiba talipon berdering lagi, " Assalamualaikum bang. Abang tahu nombor talipon bas sekolah. Kami nak buat rombongan. Saya dapat nombor abang dari seorang makcik. Kata makcik tu abang tahu nombor talipon bas ". Sambil keadaanku pening lalat aku memberi no talipon bas rombongan. Ibuku bangun lalu mengambil bam halia. Disuruhnya aku membuka baju lalu digosokkan perlahan-lahan bam itu sambil membaca Al-Fatihah. Entah kenapa aku terasa amat tenang sekali walaupun gosokan itu amatlah perlahan. Aku terasa seakan-akan tenagaku pulih seperti biasa.

Agak lama ibuku tidak menyentuh badanku. Selalunya Kalau Siti Aishah ada dialah yang mengurutku. Katanya jangan ganggu ibuku yang dah tidak bermaya. Biarlah dia sebagai isteri yang melakukannya. Kini aku amat perlu akan ibuku. Walaupun tangannya lemah. Gosokannya tidak kuat namun kasih sayang seorang ibu terhadap anak melebihi segalanya. Aku terasa bertenaga kembali untuk mengendali pula sebagai pengerusi majlis ceramah disurau kami. Akhirnya aku terlena jam 2 pagi akibat masih terasa kesegarannya walaupun seharian menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Sesungguhnya tangan seorang ibu dapat memulihkan kembali tenaga seorang anak yang keletihan seperti aku. Syukur aku masih mempunyai ibu mithali yang telah melahirkan seramai 6 orang anak dan kesemuanya alhamdulilah telah berjaya mengaharungi dunia yang sementara.

Friday, December 18, 2009

Ada Sekeping Nota

Entah semalam aku tidak dapat melelapkan mataku. Ingatanku melayang tentang Siti Aishah. Sudah genap setahun pemergiannya. Hari ini 18 Dis merupakan hari tahun baru bagi umat islam dan ia juga merupakan tarikh pemergian isteriku. Aku menerima banyak mesej dari rakan-rakan mengucapkan salam Maal Hijrah dan doa agar ruh Siti Aishah di berkati Allah. Mereka juga mengucapkan semoga aku berbahagia bersama isteriku Rosnah.Terima kasih kepada kalian yang menghantar sms. Sebenarnya aku sendiri begitu terusik dengan sms ini. Entah kenapa aku merasakan bahawa Siti Aishah baru saja meninggalkan kami semua. Aku masih dapat mendengar ketawanya. Aku masih terbayang senyuman manisnya. Yang paling aku terasa bila terbayang bagaimana sakitnya dia tatkala menerima ujian Allah.

Aku membelek beg yang aku guna semasa pergi berubat di Kelantan. Beg itu masih tidak terusik yang mengandungi baju-baju Siti Aishah. Disebabkan aku akan menggunakannya untuk pergi melancung ke Langkawi, terpaksa aku mengemasnya kembali. Aku mengeluarkan segala apa yang diletakkan didalam beg. Sayu hati ini bila mengeluarkan tudungnya, telekungnya dan alatan lain. Dalam beg itu terselit anvelop. Aku masih ingat aku meminta Siti Aishah memasukkan anvelop itu bersama kedalam beg sebab akan aku gunakannya semasa di Kelantan. Anvelop itu digunakan untuk menulis nama dan alamat yang telah ditugaskan kepadaku mencari dana untuk surau.

Aku membuka kembali anvelop satu persatu. Terkejut aku bila ditengah-tengahnya ada sekeping nota yang membuat aku bercucuran airmata bila membacanya
" Salam abang tersayang. Siti minta maaf banyak-banyak kepada abang kalau abang ada tersinggung perasaan. Halalkan makan minum Siti bang. Terima kasih banyak-banyak kepada abang. Siti cinta abang. Salam sayang dari isterimu Siti Aishah ". Surat yang bertarikh 15 Disember 2008

Ya Allah aku membaca nota ini betul-betul genap setahun pemergiannya. Aku tidak mampu menahan airmata yang berguguran. Aku mengambil wuduk lalu aku solat dua rakaat. Di pagi yang sunyi sepi aku berdoa kepada Allah. Doa yang setiap waktu aku tidak pernah melupakannya
" Ya Allah engkau ampunkan kedua-dua dosa ibubapaku Ya Allah. Ya Allah kau berkatilah isteriku Siti Aishah. Kau tempatkannya bersama para solihin. Dia merupakan isteri yang baik. Sepanjang aku bersamanya selama 23 tahun, tidak pernah aku terguris hati Ya Allah. Kalau ada dosanya walaupun padaku tiada telah aku ampunkan segala dosanya. Ya Allah terlalu rindunya aku terhadap Siti Aishah. Ketemukanlah kami di akhirat Ya Allah. Ya Allah kau berkatilah juga isteriku kini Rosnah. Dia merupakan isteri yang baik yang telah engkau anugerahkan kepadaku selepas ketiadaan Siti Aishah. Kau eratkanlah hati-hati kami Ya Allah. Kau pancarkanlah kasih sayang kepada kami berdua Ya Allah ". Tersedu-sedu aku berdoa kepada Allah. Sayu sesayunya.

Hanya ayat-ayat quran yang mampu aku sedekahkan kepadanya. Kepada kedua-dua anakku. Ingatlah kejayaan anak-anak ayah adalah doa dari seorang emak yang tidak putus-putus berdoa. Janganlah lupa berdoa untuk emak. Hanya doa dari anak yang solehlah akan menjamin ayah dan emak di akhirat kelak. Salam Maal Hijrah kepada pembaca semua. Semoga ujian yang Allah berikan kepada kita semua dapat ditempuhi dengan hati yang tenang dan redho.

Wednesday, December 16, 2009

Abang Tak Segan Ka

Pagi ini saja aku buat lawak senario sikit. Tatkala membantu isteriku aku sempat juga posing memakai apron isteriku. Coraknya yang berbunga membuat isteriku ketawa tidak henti-henti. Bukan apa biarlah setiap pagi ia dimulakan dengan senyuman barulah kehidupan lebih sempurna. Tugas aku hanyalah membasuh pinggan dan mangkuk. Itupun dan sakit pinggang aku dibuatnya. Terasa juga dihati bukan senang orang yang berniaga mencari sesuap nasi untuk menyara keluarga. Isteriku jam 4.30 pagi dah bangun untuk membuat kuah roti canai. Aku seperti biasa masih lagi menarik selimut. Kadang-kadang aku bangun nak tolong tapi dia tak bagi. Katanya, " Tak pa la abang pergi tidur balik. Bukan susah kerja ni ". Akhirnya aku bancuh secawan kopi dan bersembang menemaninya. Pagi ini disebabnya anaknya ambil ujian memandu, jadi aku tolong menggantikan tugasan ini. Seronok dia sebab bukan senang nak cari pekerja yang dedikasi. Aku pula kerja petang hari jadi bolehlah tolong apa yang patut.

Akhirnya aku sendiri terlupa yang aku memakai apron. Tatkala menghantar pesanan customer, aku disapa " Bang cantik apron bunga-bunga ". Isteriku yang berada didalam sudah kelihatan tersenyum melihat gelagat aku dengan memakai apron melayan customer.
" Aishh abang ni tak segan ka pakai apron pergi layan customer ".
" Apa yang dimalukan. Ni dah kira orait la ".
Akhirnya disuruhnya aku menukar apron yang lain.
" Nak buat macam mana. Dah tauke suruh tukar, abang tukar la ".
Tersenyum dia mendengar akan kata-kata aku.

Tuesday, December 15, 2009

SEMENTARA KU MASIH BERNAFAS (4)


Salam. Pada 11 Disember 2009, aku ke KLIA untuk menyampaikan ceramah 'Sains dan Kesihatan Ke Arah Pembangunan Generasi Pewaris' bersempena dengan Simposium Perdana Wanita di Hotel Pan Pacific KLIA. Ia di rasmikan oleh YB Senator Mejar Dato Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mengikut jadual asalnya ia sepatutnya dirasmikan oleh DYMM Raja Permaisuri Agong tetapi terpaksa dibatalkan disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Program ini dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama BAKTI dan PUSPANITA.


Setibanya aku di Hotel, aku terus dibawa ke dewan makan dan di sana aku bertemu dengasn Y.Bhg. Profesor Dr Sidek Baba yang merupakan salah seorang ahli panel pada malam itu. Tidak berapa lama selepas itu datang pula panelis kedua iaitu Y.Bhg. Dato Faiza bin Thamby Chik, Ahli Lembaga IKIM, diikuti dengan Y.Bhg. Dato Hj Wan Mohamad bin Dato Sheikh Abd Aziz, Ketua Pengarah (KP) Jakim.


"Doktor sudah dimaklumkan tentang siapa peserta-peserta kita dalam simposium ini?" Dato KP bertanya. Rupa-rupanya program ini julung-julung kali diadakan oleh JAKIM. Ia dihadiri oleh isteri menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, YB-YB serta VIP-VIP di peringkat kebangsaan dan negeri. Aku terus diperkenalkan KP kepada Dato Faiza. "Inilah pakar undang-undang kita, doktor." Beliau ialah Ahli Lembaga IKIM. Rupa-rupanya beliau antara orang dalam agensi kerajaan yang sedang berusaha untuk memertabatkan syariat dari dalam. Dalam forum pada malam itu beliau menegur golongan yang membuat bising tentang hukum sebat (Kartika) sedangkan ia sudah sekian lama termaktub dalam undang-undang. Mereka tidak bising tentang sebatan undang-undang sivil yang mengoyakkan kulit lagi memudaratkan, ujar beliau dalam forum pada malam itu. Sebatan dalam Islam langsung tidak memudaratkan sebab ia bertujuan untuk mendidik... Ya beliau antara individu dalam institusi/agensi Kerajaan yang gigih berjuang untuk memertabatkan syariat dari dalam.


Kuliah subuh pada 12 Disember disampaikan oleh YB SS Tan Sri Dato Seri Harussani bin Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak. Ia bertajuk 'Siapa, Kenapa, Ke Mana Kita?'. Di dewan makan aku sempat bersembang-sembang dengan Sahibus Samahah... Tepat jam 9.30 pagi bermulalah majlis perasmian penutup yang disempurnakan oleh YB Menteri. Aku diminta duduk di barisan hadapan sebaris dengan Datuk Nik Safiah, pakar Bahasa Melayu, yang hadir sebagai seorang peserta. YB Menteri datang bersama isteri, Datin Fatmawati. Tiba-tiba dari atas pentas YB Menteri bergegas turun dari pentas dan terus bersalaman dan memeluk aku. Aku tergamam dan para peserta nampak terkejut... Dalam ucapan beliau, YB Menteri menyentuh tentang cabaran yang menimpa ke atas umat Islam seperti Pluralisme, Islam Liberal dan seumpamanya. Justeru isu-isu fikah ranting jangan dijadikan sebagai alasan untuk berpecah belah. Selesai perasmian beliau bersalaman denganku sekali lagi dan berkata, "Kita bersembang di luar sana, syeikh." Kemudian SS Tan Sri Dato Seri Harussani meminta maaf sebab tidak dapat mendengar ceramahku selepas perasmian itu. Beliau terus memelukku dan menciut mencium pipiku..


Ceramahku dipengerusikan oleh isteri Menteri Pengajian Tinggi, Datin Seri Rosni. Aku menyentuh tentang kepentingan kita kembali kepada al-Quran dan Sunah. Justeru kita perlu mengaji dan mengkaji al-Quran. Kemudian aku menyentuh tentang konsep kesihatan yang terdapat dalam al-Quran bermula dengan surah at-Tin yang menekankan tentang buah tin dan zaitun dan rahsia di sebalik itu. Kemuncaknya aku bercakap tentang pembedahan kecantikan. Bila topik itu aku sebut Mak-mak Datin berkata "ya, ya". Mereka amat berminat dengan topik itu... Akhirnya sebagai rumusan Datin Seri Rosni mewakili yang hadir berjanji untuk mendekati al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup.


Ketika bersendirian dengan Dato KP, beliau menceritakan beberapa agenda yang beliau hendak laksanakan. Kemudian beliau berkata, "Ada sesuatu yang perlu diberitahu kepada doktor. Cukup susah hendak mendapatkan khidmat doktor sebenarnya." "Maaf Dato tetapi insya-Allah untuk program seumpama ini akan saya berikan keutamaan," aku mencelah. Beliau merenung mukaku dan berkata, "Bukan itu yang saya maksudkan." Aku terdiam.... "Oh maksudnya ada yang cuma menghalang saya memberi ceramah ini." Beliau mengangguk. "Ramai tukang cucuk... namun saya pertahankan doktor."


Dalam hatiku, aku berkata, "ALHAMDULILLAH." Ya sudah sampai masanya untuk kita menerokai sempadan-sempadan baru. Untuk itu kita perlu membina dan terus membina kekuatan dalam bentuk ilmu, kemahiran serta kepakaran agar sempadan-sempadan baru itu dapat diterokai dengan baik. Pada ketika yang sama kekuatan-kekuatan asas seperti ikhlas, amanah, sabar, tawakal, benar dan tawaduk wajib dipertahankan dan dipermantapkan.


Sesampai di Pulau Pinang pada hari Ahad 13 Disember, aku seperti biasa meneruskan dengan Kuliah Tafsir di Kompleks Belia Batu Uban. Inilah kuliah terakhir untuk tahun 2009 ini. Ayat terakhir dibincangkan pada hari itu ialah ayat 18 surah al-Hasyr. Terasa sebak di hati membaca ayat itu. Terasa benar ia muhasabah Allah ke atas diriku yang lemah dan kerdil ini. Aku yang masih alpa dan lalai ini. Aku yang masih cuai. Aku yang asyik melihat ke luar dan lupa meneropong ke dalam. Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan."


Dari meja

Dr Danial bin Zainal Abidin

Monday, December 14, 2009

Kalam IbuBapa merupakan Doa

Sabtu lepas aku telah berjumpa rakanku di rumah kenduri perkahwinan. Kami berbual rancak maklumlah agak lama tak berjumpa selepas tamat alam persekolahan. Masing-masing dah menjadi remaja bangka. Dari satu topik ke satu topik kami berbual. Dalam hati aku sempat juga berkata, " Hai bila nak makan kalau dok bersembang ". Akhirnya tuan rumah menjemput tetamu menjamu selera. Aku terus mengajak rakanku makan bersama.

Sambil makan kami masih lagi bersembang. Kami pun bertanya sesama sendiri berapa orang anak. Selalunya orang lelaki ni kalau berjumpa pasti bertanya, " Hang berapa orang anak ". Tak pernah lagi aku dengar orang bertanya, " Hang berapa orang bini ". Rakan aku ni dari zaman sekolah sehingga hari ini perangainya tetap tidak berubah. Bila bercakap pasti perkataan ' celaka' akan terkeluar. Dulu memang aku tak kisah bila mendengar tetapi bila dah duduk dalam majlis ilmu banyak ilmu juga yang aku dapat dan makna yang selalunya kita ungkap merupakan doa.

Tiba-tiba rakanku bersuara, " Anak aku yang darjah enam ni celaka sikit perangainya. Dia suka mengajuk aku ". Walaupun aku tahu dia bercakap bukan bermaksud marah akan sianak tetapi bila seharian ungkapan celaka dikeluarkan menjadikan dia tidak kisah. Ketawa dia tatkala menceritakan perihal anaknya. Aku boleh kira juga berapa banyak perkataan celaka dikeluarkan ketika menceritakan perihal anak. Setengah jam selepas kami makan dia menerima panggilan talipon mengenai anaknya yang baru mengalami kemalangan. Anaknya terjatuh dalam longkang dan mengalami patah tangan setengah jam yang lepas. Ini bermakna setengah jam yang lepas dia menceritakan perihal anaknya dan perkataan celaka terus bermain. Akhirnya perkara itu betul-betul terjadi.

" Ariff anak aku patah tangan jatuh kedalam longkang ". Nada sedih nampak diwajahnya.
" Inna lilla hi wainna ilai hiro ji un ". Aku terus mengucapkan kalimah ini.
" Celaka hang Ariff. Anak aku bukan mati ". Marah dia bila aku ungkap begitu.
" Aku minta maaf bukan aku bermaksud macam tu. Dalam kuliah yang aku dengar kalau kita mendengar orang ditimpa musibah kita ucap ayat ini ". Terdiam dia seketika dan kemudian dia meminta diri untuk pulang kerumah.

Selepas peristiwa ini aku termenung seorang diri memikir ketika aku mendengar kuliah tafsir surah Al - Baqarah ayat 155 - 156. Ayat yang bermaksud, " "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun ( Bahawa sesungguhnya kita kepunyaan Allah dan kita akan kembali kepadanya ". Bagiku ayat ini amat begitu bermakna untuk aku meneruskan kehidupan ini.

Kadang - kadang kita sebagai ibubapa tidak perihatin akan perkara ini. Kata ustaz lagi dalam kuliahnya," Perkataan yang keluar dari mulut ibubapa merupakan doa. Jadi berhati - hatilah bila hendak bercakap. Bila nak menegur anak gunalah perkataan masyaallah, subhanallah". Bagiku orang Penang ni kasar sikit pertuturannya. Dia memaki hamun ketika bercakap bukan bermakna dia benci tetapi itulah ucapan kebanyakkan orang Penang. Perkataan ini sudah tidak menjadi hal lagi kepada masyarakat. Bila berbual pasti kaki akan melayang sambil menendang. Itulah yang dinamakan kemesraan.

Thursday, December 10, 2009

Sanggupkah Anda Menerima Ujian

Aku terpanggil untuk menulis tentang kisah ini. Entah kenapa sudah 2 -3 malam ini aku sering diganggu oleh mimpi-mimpi yang menakutkan sehingga ada yang menggugut aku. Pernah aku ceritakan tentang apa yang terjadi kepada kawan yang aku tolong tempuh hari. Perkara ini masih lagi berlarutan sehinggakan keluarganya menerima tekanan emosi yang hebat. Ustaz yang mengubati mereka turut sama diganggu.

Akhirnya pagi tadi aku mnerima sms dari kawanku yang terlalu kecewa perkara ini masih belum dapat diatasinya. Aku kasihan juga pada ibu bapanya yang turut terkena tempias. Akhirnya aku menalipon kawanku. Nada sedih, kesal telah mewarnai jiwanya. Lantas aku pun terkeluar cakap. " Sebenarnya Allah ni nak uji adik sampai tahap mana adik boleh bersabar. Selalunya bila adik hadir mendengar kuliah adik akan dengar Ust menceritakan akan bab sabar. Itu hanya teori saja. Kini adik sudah menghadapi praktikalnya ". Akhirnya kawanku tersedar yang selama ini dia kehilangan konsentrasi. Dia lupa akan Allah seketika.

Aku ceritakan apa yang telah terjadi pada diriku selama ini. Bagaimana Allah juga memberi ujian secara praktikal dan aku juga seperti kawanku ini. Hampir tewas. Namun Allah tidak pernah lupa akan mereka yang tidak lupa akan Allah. Disaat aku tewas Allah telah mengirim seseorang untuk membantuku. Semasa aku hadiri kuliah kelas tafsir, ustaz telah mentafsir sepotong ayat quran yang cantik untuk dibuat iktibar dimana kisah para sahabat telah mengaku beriman kepada Rasulullah. Maka turunlah ayat yang bermaksud, " Kamu mengatakan bahawa kamu telah beriman sedangkan kamu belum lagi di uji ".

Ayat ini betul-betul mengetuk pintu hatiku. Sebelum ini aku hanya berfikir mengapa perkara ini terjadi kepada diriku. Kenapa tidak pada orang lain saja. Aku masih ingat akan kata-kata ustaz sewaktu program kuliah yang aku sendiri terlibat mengaturnya. Kata ustaz, " Apabila seseorang itu menerima musibah ujian, sebenarnya Allah amat sayang kepadanya dan Allah akhirnya tidak membiarkan dirinya kandas dalam ujian itu ".

Semasa aku menerima ujian, aku merasakan begitu hampirnya aku dengan Allah. Setiap malam aku mengadu kepadanya. Mohon agar Allah memberi kekuatan untuk aku terus berjuang bersama anak-anakku. Tersedarnya aku dari tidur pasti aku tidak lepaskan peluang untuk bermunajat kepada Allah. Akhirnya alhamdulillah aku berjaya juga mengharungi dugaan yang padaku amat berat walaupun tidaklah seberat ujian yang Rasulullah dan para sahabat hadapi. Dalam pada itu Allah juga nak melihat selepas berjaya dalam ujian ini adakah kita akan terus mengingatinya atau bila terkena kembali ujian itu baru kita mencari tikar sejadah dan mengalir airmata mengadu kepada Allah. Ya Allah kau berikan berita gembira selepas ujian yang engkau berikan..Amin

Wednesday, December 09, 2009

Kenangan Silam Perlawanan Tinju

Aku baru selesai menyaksikan rakaman perlawanan tinju diantara Muhammad Ali vs Joe Frazier yang ditayangkan di Star Sport. Perlawanan itu berlansung pada 30 September 1975. Semasa itu aku berada dalam darjah 5 di Sekolah Inggeris Bayan Lepas. Apa yang menarik tentang tinju sekitar tahun 70an ialah guru-guru turut terlibat menyaksikan siaran langsung. Aku masih ingat lagi ketika berada didalam kelas. Ofis boy akan datang ke setiap kelas memberitahu akan kebenaran gurubesar mengizinkan anak murid serta cikgu menyaksikan perlawanan secara langsung. Lagi setengah jam siaran langsaung bermula, loceng dibunyikan. Cikgu pun menyuruh kami beratur diluar untuk menyaksikan siaran langsung. Kami ketika itu amat gembira sekali kerana setiap kali ada siaran langsung perlawanan tinju pasti kami dapat sama-sama menyaksikannya.

Dikantin sekolah sebuah tv berukuran 16 inci diletakkan diatas meja pingpong. Begitu ramai anak murid lelaki dan perempuan memenuhi kantin sekolah untuk menyaksikan Muhammad Ali. Ketika perlawanan berlangsung anak murid begitu semangat bersorak. Budak melayu menyokong Muhammad Ali manakala budak Cina dan India menyokong Joe Frazier. Gurubesar tersenyum sambil menggentel misainya. Setiap kali Muhammad Ali menumbuk Joe Frazier budak-budak melayu bersorak dan begitulah sebaliknya.

Akhirnya budak-budak melayu bersorak gembira bila Muhammad Ali menang dengan TKO. Pada kami budak melayu, Muhammad Ali merupakan hero orang islam. Suasana begini tidak dapat dirasai zaman sekarang. Itulah dunia dah maju dan masa pun berubah. Sikap gurubesar walaupun garang tetapi ramai anak murid begitu sayang kepadanya. Ketika gurubesar diakhir kerjayanya, kami mengarak keretanya sehingga sampai kepintu utama sambil menangis. Kami kehilangan seorang gurubesar yang penyayang dan tegas.

Tuesday, December 08, 2009

Boleh Bagi ' A '

Sudah agak lama aku terlalu inginkan kerabu mangga. Semasa arwah Siti Aishah masih ada, kerabu mangga pastinya kerap aku dapat merasainya. Ketika dia buat pasti aku akan memerhati ramuan yang perlu dimasuk. Bila dia kesibukan aku akan buat sendiri. Akhirnya aku pandai buat sendiri. Semalam aku kerja petang dan isteri berniaga. Selepas aku ke pasar aku akan singgah sebentar digerai isteriku. Aku berkata bahawa hari ini aku akan buat sesuatu yang special sebab aku pernah dengar bila dia merungut ketika membeli kerabu mangga di gerai bersebelahan. Katanya tak sedap. Hari ini aku nak lihat sendiri apa komennya tentang kerabu yang aku buat. Buatnya bukanlah susah sangat. Setelah siap aku simpan didalam peti sejuk.

Ketika dia sampai dirumah, terus dia tercari-cari apa yang special sangat aku buat. Aku terus beritahu benda itu ada didalam peti sejuk. Setelah merasainya terus mukanya berubah. Huihh..boleh bagi A la dekat abang. Pandainya buat. Begitu sedap aku melihat dia meratah kerabu yang aku buat tanpa nasi.
" Ini baru nama kerabu ". Sambil menunjuk bagus kepadaku.
Aku tersenyum melihat telatahnya. Kini banyak makanan kesukaanku seperti cincaluk, sambil tumis jawa telah menbjadi kesukaannya juga. Sedikit-sedikit aku popularkan makanan kesukaanku kepadanya.

Aku hanya kasihan melihat bila dia pulang dari berniaga dalam keadaan letih dan perlu masak pula untuk aku. Sekali sekala apa salahnya aku pula membantunya seperti apa yang pernah aku lakukan untuk membantu arwah Siti Aishah.

Monday, December 07, 2009

Abang Mimpi Apa Semalam

Petang semalam abangku menaliponku agar menolong seorang anak muridnya yang mengalami masalah gangguan dirumahnya. Pernah suatu ketika pemuda ini yang isterinya sedang mengandung ketika itu menaliponku. Isterinya mengadu beliau telah melihat lembaga sedang berdiri berhampiran dengannya. Sudah beberapa kali gangguan ini berterusan tanpa dikisahkan oleh suaminya. Suaminya menganggapkan bahawa ini hanyalah mainan perasaan isterinya. Pada suatu hari sedang dia duduk didapur lembaga tiba-tiba muncul didepannya. Memang terkejut dia dan terus menalipon abang. Abangku pula refer dekat aku. Aku menyuruhnya membuat apa yang perlu. Alhamdulillah tiada lagi gangguan.

Tiba-tiba semalam abangku menalipon meminta aku menolong anak buahnya apa yang patut. Kata abangku kalau perlu pergi kerumah lakukan. Aku terdiam seketika. Jantungku berdebar yang amat kuat sekali bila aku membayangkan wajah pemuda ini. Ishh.. apa yang tak kena dengan pemuda ini. Perasaanku menjadi resah. Tidak pernah aku mengalami keadaan seperti ini. Aku ceritakan peristiwa ini kepada isteriku. Isteriku keberatan membenarkan aku pergi kerumah pemuda itu kerana takut syaitan akan mengikuriku pulang. Aku pun memang terfikir begitu. Bukan kerana aku takut tapi andaikata jika aku bertugas malam, kalau terjadi sesuatu amat susah aku hendak pulang.

Akhirnya aku mengambil wuduk lalu sembahyang 2 rakaat. Selepas itu aku mulakan membaca Al-Mathurat lalu membayangkan wajah pemuda dan aku menghembusnya secara maya. Dalam jam 10.30 malam pemuda itu menaliponku menceritakan apa yang berlaku terhadap isterinya yang baru bersalin kembar 3. Menurut kata pemuda itu ada yang mengatakan saka mahukan salah seorang dari anaknya. Beliau tidak mempercayainya. Aku berkata kepadanya percayalah perkara itu sebab masih terdapat makhluk didalam rumahnya dan lemah dan sedang mencari kekuatan. Al-Quran yang diamalkan pemuda itu sedikit sebanyak melemahkan makhluk.

Aku berkata kepadanya aku tidak pandai mengubat dengan lebih lanjut sebab aku tiada ilmu. Sementara mendapat seseorang yang lebih baik aku bantu secara yang terdaya. Aku berikan nombor seorang ustaz yang pernah menolong arwah isteriku. Insyaallah kelebihan yang Allah berikan kepada ust itu mampu menyelesaikan masalah. Setelah selesai aku tertidur. Dalam tidur itulah aku bermimpi didatangi lembaga perempuan memarahi aku kenapa mencampuri urusannya. Katanya isteri sendiri pun tak boleh tolong nak tolong orang lain. Aku berkata bahawa orang telah meminta bantuan aku makna makhluk itu adalah pengacau.

Dalam aku tidak sedar itu isteriku disebelah terjaga seperti mendengar suara seorang perempuan sedang bercakap sebelahku. Seram dia mendengar suara itu. Suara itu diselang seli dengan suaraku. Ketika itu aku sedang berdebat dengan makhluk itu. Suara azanlah yang memutuskan segala perdebatan aku dengan makhluk itu. Aku sendiri tidak pasti samada itu hanya mainan mimpi atau kemungkinan ia berlaku. Akhirnya aku beritahu kalau berlaku lagi sekali malam ini bacalah ayat Al-Quran dan hembuskan diubun-ubunku. Aku menjadi hairan dalam seminggu ini berlaku banyak peristiwa yang perlu aku rongkai apa makna yang tersembunyi. Aku terlalu takut berhadapan dengan perkara ini. Adakah aku perlu mempelajari ilmu-ilmu pengubatan. Hanya Allah yang mampu gerakkan hatiku....

Sunday, December 06, 2009

Sudah Hampir Setahun Bang

Aku melihat isteriku memerhati akan kalendar. Agak lama juga direnungnya.
" Bang..hampir setahun dah Aishah meninggal. Cepatnya masa berlalu ".
Aku hanya mendiamkan diri sambil juga memerhati kalendar. Dalam hati aku begitu bergelora dengan perasaan rindu yang tak kesampaian. Aku dapat mengawal perasaanku agar tidak terlalu mengikut perasaan dihadapan isteriku.
" Bulan inilah Aishah bergelut dengan kesakitan. Bulan inilah juga abang terpaksa menghabiskan cuti abang untuk mengubati Aishah ". Aku memulakan bicara.

Walaupun dia bergelut dengan kesakitan namun hatinya begitu gembira akan bersamaku berubat di Kelantan. Terbatuk-batuk dia sambil mengemas pakaian kami. Sewaktu kami didalam kaplterbang firefly aku dapat melihat kegembiraannya. Senyumannya aku rakam didalam hatiku. Itulah senyuman terakhir yang dilemparkan kepadaku didalam pesawat. Setiap detik dan saat pasti senyuman ini menjelma.

Aku sendiri tidak menyedari akhirnya isteriku Rosnah menghulurkan saputangan kepadaku.
" Lap la airmata abang. Insyaallah Aishah bahagia disana ".
Kata-kata ini begitu menyenangkan hatiku. Aku pernah berkata kepada anak-anakku yang satu hari nanti ayah akan mengerjakan umrah. Ingin sekali ayah bertemu dengan emak ditanah suci. Aku memohon kepada Allah agar Allah makbulkan doaku ini.

Aku juga tidak mahu menguris perasaan hati isteriku Rosnah. Disebabkannya aku dapat terus menongkah arus dugaan ini. Kami berdua telah diuji dan ujian itu telah menjadikan agar menerima ketentuan ilahi. Allah tidak berikan ujian melainkan Allah memberi kebaikan kepada mereka yang dapat bertahan. Alhamdulillah. Pada 25 Disember ini aku akan membawa isteriku ke Langkawi. Kami akan habiskan masa kami disana. Aku terlalu letih dngan segala-galanya. Aku perlu merihatkan mindaku. Maka Langkawi menjadi pilihan kami. Pembaca sekelian doakan kami agar beroleh kebahgiaan dunia dan akhirat sebab itulah yang diimpikan oleh semua orang.

Friday, December 04, 2009

SEMENTARA KU MASIH BERNAFAS (3)

Salam. Hari Raya Aidiladha tahun ini jatuh pada hari Jumaat, 27 Nov 2009. Aku menyampaikan khutbah Aidiladha di Masjid Jelutong. Selepas itu anak-anak buahku bertanya sama ada aku akan melaksanakan solat Jumaat ataupun tidak. Aku berkata kepada mereka bahawa, pertama sekali, pendirian kita dalam apa-apa perkara pun perlu merujuk kepada dalil dan syariat. Dalil tentang solat Jumaat adalah berdasarkan al-Quran dalam surah Jumuah ayat 9, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah jual beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Justeru, mazhab Maliki dan Hanafi sepakat mengatakan bahawa kewajipan melaksanakan solat Jumaat tidak terangkat dengan perlaksanaan solat hari raya. Hal ini disebabkan perintah tentangnya adalah berdasarkan al-Quran dan perintah daripada al-Quran mengatasi segala-galanya. Namun mazhab Syafi'i dan Hambali mempunyai pandangan yang berbeza mengambil kira beberapa riwayat hadis berkaitan dengannya. Antaranya, nabi bersabda, “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya. Sesiapa (bersolat hari raya) dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”. (Riwayat Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tauhid) 10/272 dll) Hadisnya sahih.

Dalam riwayat yang lain, dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: "Aku pernah menyaksikan Muawiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari Eid dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?" Dia menjawab: "Ya." Muawiyah bertanya: "Lalu apa yang baginda kerjakan?" Dia menjawab: "Baginda mengerjakan solat Eid, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: "Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat." (Riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab as-Solah, hadis no: 904).

Justeru, mazhab Hambali menetapkan mereka yang telah melaksanakan solat Eid tidak wajib melaksanakan solat Jumaat. Bagi mazhab Syafi'i, pengecualian bersolat Jumaat hanya diberikan kepada mereka yang telah melaksanakan solat Eid dan datang dari daerah pedalaman. Antara hadis yang diutarakan ialah yang bermaksud, "Pada hari ini kita menyambut dua sambutan hari raya (Eid dan Jumaat). Maka sesiapa yang tidak mahu melaksanakan solat Jumaat maka silakanlah tetapi kami tetap akan melaksanakannya." Hadis ini pada dasarnya bertaraf Mursal (sanad terputus) tetapi selepas dikaji riwayatnya dari pelbagai sanad Imam Ibn Hajar mengatakan hadis ini boleh diterima sebagai hujah. Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan Saidina Uthman bin Affan yang mengizinkan umat Islam dari perkampungan 'Aliyah (sebuah kampung berdekatan Madinah) untuk tidak melaksanakan solat Jumaat.

"Jadi Dr Danial sendiri bersolat Jumaat ataupun tidak?" anak-anak buahku bertanya.
"Saya akan bersolat Jumaat disebabkan, pertama, isu ini adalah isu khilafiah atau ranting dan bukan perkara pokok. Kedua, dalam kes-kes ranting seperti ini saya memilih pendapat yang lebih menguntungkan Islam serta dakwah, dapat bersama-sama dengan masyarakat, dan pada ketika yang sama mampu mengurangkan kekeliruan." Begitulah jawapanku kepada mereka.

Inilah pendirianku selama ini. Inilah juga kaedah yang aku gunakan ketika menjadi Timbalan Pengerusi Qaryah Sungai Ara selama 6 tahun (1990-1996) dan Pengerusi Qaryah selama 4 tahun (1996-2000). Aku tidak menghalang pembacaan Yasin malam Jumaat, tidak menghalang Tahlil selepas kematian, bersolat Tarawih-Witir 20-3, dan yang seumpamanya. Malah seringkali aku menghadiri majlis-majlis ini. Pada ketika yang sama aku wujudkan program ilmu untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam berlapikkan nas dan dalil...

Usul 20 tulisan Imam Hasan al-Banna (berlatarbelakangkan al-Quran dan Sunah), banyak mempengaruhiku dalam hal ini. Dalam Usul Ke-6 beliau berkata, "Kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilafiah.." Dalam Usul ke-8 beliau berkata, “Perselisihan fikah dalam perkara cabang tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan dan permusuhan. Setiap orang yang berijtihad akan mendapat pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada salahnya berbincang secara ilmiah berhubung perkara yang diperselisihkan asalkan ia dilakukan dalam suasana kasih sayang demi mencari kebenaran tanpa pertengkaran dan taasub.”

Kemudian dalam Usul Ke-12, ketika membicarakan tentang bidaah, beliau berkata, "Bidaah yang dilakukan dengan menambah atau mengurangkan, atau terikat dengan cara-cara tertentu dalam melakukan ibadat yang mutlak adalah termasuk dalam MASALAH KHILAFIAH. Setiap orang mempunyai pendapat yang tertentu. Tidak menjadi kesalahan mencari hakikat melalui bukti dan dalil."
Memang ada perbezaan antara pendakwah yang memahami usul-usul ini dengan yang tidak memahaminya..

Dari
Dr Danial bin Zainal Abidin ( DD )

__._,_.___

Thursday, December 03, 2009

Mulut Jangan Celupar

Baru-baru ini isteriku mengajakku ke pasaraya Giant. Katanya nak beli gamat healing. Aku menurut saja ajakkannya. Selepas solat Maghrib kami ke giant. Sebelum membeli, kami berdua menikmati chicken chop dahulu. Sambil berbual-bual kosong kami makan chicken chop yang dikongsi berdua. Memang romantik sungguh time tu. Aku potong chicken chop lalu aku suapkan kedalam mulutnya. Malu sungguh isteriku time tu. maklumlah lama tak buat macam ni. Bagi aku, aku dah tak kisah sebab semasa arwah Siti Aishah masih hidup kaedah ini juga yang aku guna pakai. Memang terasa kemesraan begitu mendalam sekali. Tak percaya buat. Jangan malu. Kalau orang barat dapat buat mengapa kita sebagai orang islam tak boleh buat. Pedulikan apa orang nak kata. Kita ada tauliah he he he. Buat lawak sikit.

Malam itu jantung aku terasa begitu kelainan. Bergerak bukan seperti biasa membuatkan hatiku tidak tenang. Apa perkara pula yang akan terjadi. Aku mengelamun memikirkan tentang perkara ini. Sedar-sedar chicken chop dah habis. Itupun aku juga yang bedal sampai tak sedar. Selesai membeli gamat healing kami berdua mengambil keputusan untuk pulang saja. Tak ada apa benda yang hendak dishopping. Tatkala melalui selekoh keluar, sebuah kereta honda city yang dipandu oleh seorang lelaki cina meluru masuk jalan yang salah. Akibatnya aku tak dapat keluar. Berderet-deret kereta dibelakang membunyikan hon. Mungkin marahkan lelaki cina itu.

Isteriku yang pendiam mula rasa marah dengan perangai lelaki cina itu yang begitu angkuh menyuruh aku saja yang lalu tanpa mahu mengundur keretanya. Aku memberi isyarat kepadanya agar reverse keretanya sebab memang kereta aku tak boleh keluar. Dia buat tak tahu saja sambil menalipon. Hati aku dah mendidih. Kesabaranku telah sampai ditahap yang kritikal. Badan aku menggeletar. Aku menyuruh isteriku membaca ayat Al-Quran yang aku berikan. Aku minta dia hembuskan diubun-ubunku agar meredakan kemarahanku. Aku tidak mahu dikuasai oleh syaitan ketika berurusan dengan seseorang.

Aku memandu perlahan-lahan kearahnya lalu membuka cermin tingkap
" Encik ada masalah ka dengan kereta sehingga tak boleh reverse balik ". Aku bercakap dengan tenang agar perasaan marahku dapat dikawal. Namun jauh didalam hatiku hanya tuhan saja yang tahu.
" Lu bodoh punya melayu. Lu jalan terus la ". Sergah lelaki cina itu
" Lu apa hal. Lu yang masuk jalan salah lagi mau tunjuk samseng ka. ". Seperti ada seseorang yang menyuruh aku membaca ayat quran yang sebelum ini tidak pernah aku hafal. Aku hanya ingat kembali bila ayat itu diberi oleh lelaki berpakaian hitam tempuh hari. Aku hembuskan ayat itu kemuka lelaki cina itu.
" Sekarang lu mau undur atau melayu bodoh ini akan pecahkan lu punya muka". Sambil menunjuk penumbuk tepat kemukanya. Kata isteri aku time tu mata aku dah betul-betul merah macam biji saga. Eh ya ka sampai tahap macam tu.

Akhirnya dengan perasaan marah dia begitu senang reverse kembali keretanya. Aku terus bergerak. Ketika aku sampai aku berhenti disebelah cerminnya. Dia tak pandang langsung muka aku dan terus dia memecut keretanya. Aneh juga. Kalaulah dari awal lagi dia buat begini tak lah sampai kecuh sehingga security giant pun datang mententeramkan keadaan. Kata isteriku semenjak berkahwin inilah petama kali dia melihat aku begitu marah sekali sehingga dia sendiri begitu takut dengan aku. Aku berkata dekat isteriku,
" Ala Nah jangan takut. Tak kan abang nak marah dengan isteri yang banyak membantu abang ". Tersenyum meleret dia dan senyuman itulah yang mententeramkan jiwaku yang sedang panas itu. Pulang kerumah dia terus sediakan air asam jawa ais untuk meredakah panasku didalam katanya. Aku menerima air itu dengan ketawa yang berpanjangan. Syukur Ya Allah.......
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...