Teman-teman

Sunday, December 30, 2012

Mat Kapet

Aku mengajak isteriku ke Pesta Pulau Pinang. Sebelum ke Melaka aku dan isteri ke Pesta dengan menaiki motosikal untuk buat survey harga. Kami tahu dipenghujung tahun pasti banyak gerai akan buat offer. Aku pula ketika itu mencari kasut untuk joging. Ketika buat sirvey kasut jenama Adidas dijual dengan harga RM75. Peniaga kata ini adalah kasut terakhir. Habis kasut ini maka habislah ia. Bukan boleh percaya sangat. Kami terus berjalan dan kali ini isteriku menuju ke gerai karpet. Banyak juga kapet yang elok-elok.
" Hari Isnin kita mai pula. Mungkin offer ". Kataku kepada isteri.


Tiba hari Isnin aku mengajak kedua-dua anakku sekali. Aku berkata bila masuk maghrib jangan berlengah lagi. Terus solat sebab malam mimggu memang ramai yang akan ke Pesta. Bila kami keluar jalan sudah mula sesak. Rupanya ada yang lebih awal dari kami. Terpaksa letak kereta jauh dari tempat pesta disebabkan parkir sudah penuh. Bila masuk saja kedalam, aku terus ketempat jualan kasut.
" Offer offer. Hanya RM50 saja ". Kata penjual. Sebelum ini dijual dengan harga RM75. Terus aku beli kasut jenama Adidas. Aku tahu kasut itupun bukanlah ori sangat. Tapi buatannya cantik dan nampak tahan maka sebab itulah aku beli untuk joging.


Akhirnya setelah berlegar kami singgah di gerai karpet. Isteriku memang suka sangat dengan karpet. Aku pula suka dengan gambar pemandangan. Hajat dihati nak gantung didinding. Isteriku memegang karpet.
" Hari ini ada offer. Satu keping RM 190. Lain hari RM 300 libih ". Kata benggali karpet. Cantik juga karpet ni. Anak aku juga berkenan. Nak letak dirumah. Kesian juga aku mendengarnya.
" Beli 2 kasi kurang la. RM180 ". Aku bergurau.
" Tak boleh..tak boleh. Ini sudah kurang ". Kata benggali karpet. Akhirnya dia bisik juga dengan kami.
" Tak apa saya kasi RM180 sekeping ". Kata benggali. Akhirnya beli juga kami 2 keping karpet dengan harga RM360
" Ala...RM350 la ". kata anak gadisku kepada benggali karpet. Akhirnya dia setuju. Bila pulang aku memegang satu keping. Akibat berat maka aku letakkan diatas kepala sambiul berkata
" Mau beli minta kurang. Sudah kasi kurang mau kena hantar itu kereta. Kereta pula banyak jauh. Rugilah ini macam ". Kata-kata dalam loghat bangla membuatkan isteriku tertawa.

" Abang ni malu la dok cakap macam tu. Nanti oghang kata abang ni Bangla pula ". Kata isteriku. Aku sudah  mula perasan yang orang ramai ada yang tersenyum simpul melihat aku menjunjung karpet sambil bercakap bahasa bangla. Isteriku asyik pula tertawa dengan gelagat bersahaja aku. Tibalah aku depan satu rombongan sambil merungut dalam bahasa bangla. Tertawa mereka bila mendengar.
" Baguslah bangla ni. Boleh tolong bawa ke kereta lagi ". Isteriku terus mendapatkan aku.
" Abang depa kata abang bangla. Abang dok cakap macam tu ". Kata-kata isteriku membuatkan aku tertawa. Akhirnya memang melenguhkan badan membawa karpet.
" Tak apalah. Nanti Nah urut badan abang ".
" Banyak terima kasih pada sayang kerana mau urut saya ". Aku bergurau dalam loghat bangla. Tertawa kami berdua. Aku tahu dia terhibur dengan aku dan aku juga demikian. Semoga kami terus bahagia.

Bila di pasang karpet nampak cantik pula di ruang tamu


Wednesday, December 26, 2012

Melaka Sedang Menggamit

Ketika aku menulis, aku sedang berada didalam kereta. Alhamdulillah anakku boleh memandu jadi aku relax sedikit. Bila dia pula keletihan maka aku pula memandu. Senangkan. Sebenarnya idea kami sepatutnya ke Hatyaii. Memandang ramai yang memberi nasihat agar tidak kesana disebabkan keselamatan tidak dijamin maka kami membatalkan hasrat kesana.

Tiba- tiba anak gadisku bersuara hendak ke Melaka. Katanya sudah lama dia tak kesana. Akhirnya aku membuat keputusan ke Melaka. Isteriku pun turut gembira sebab anak gadisnya berada di Melaka mengikut suaminya. Keadaan lalulintas alhamdulillah agak terkawal. Aku juga turut gembira dapat berjalan-jalan dengan kedua- dua anakku. Selama 4 tahun kami berdikari membawa diri masing- masing setelah kehilangan orang tercinta.

Aku tahu walaupun perjalanan ini meletihkan tapi aku cukup bersyukur kerana kami dapat bersama. Semoga Allah kurniakan kegembiraan kepada kami ketika berada di Melaka. Semoga Allah memelihara perjalanan kami ke sana. Alhamdulillah kami berhenti di R & R Gunung Semanggul untuk menunaikan solat jamak. Hati terasa begitu tenang bila dapat menyelesaikan tanggungjawab terhadap Allah. Kalau kita ingat akan Allah maka Allah akan ingat pada kita. Kami meneruskan perjalanan...

Kami singgah di R & R Sg Perak untuk menjamu selera. Isteriku telah membuat pizza untuk bekalan kami. Satu kotak pizza seafood dan satu lagi pizza daging telah habis kami bedal. Memang sedap ketika perut begitu lapar. Setelah perut diisi kami meneruskan perjalanan. Memasuki terowong Changkat Jering jantung aku sudah pastinya bergerak kencang. Disinilah kerap aku melihat kelibat lembaga seperti hendak melintas jalan. Malam ini alhamdulillah tiada kelibat itu walaupun sepanjang perjalanan kiri dan kanan jalan dipenuhi dengan lembaga. Ah....biasalah pemandangan sebegitu.

Akhirnya setelah menempuh 6 jam perjalanan kami tiba di Melaka dengan selamatnya. Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan kami. Keadaan jalanraya yang begitu lancar dan cuaca yang baik. Jam 1.30 pagi kami sudah berada di pintu pagar rumah anak tiriku. Badan walaupun letih aku masih boleh lagi layan EPL. Esok kami akan jelajah tempat- tempat yang menarik.....

Tuesday, December 25, 2012

Apo Kono Eh Jang

Pagi-pagi lagi sebelum aku ketempat kerja, aku menerima panggilan talipon dari seorang rakan sekampong.
" Assalamualaikum Budiman. Aku nak bagitau yang kawan kita ....... baru meninggal dunia ".
" Inna lillahiwainna Ilai Hirojiun. Sakit apa ". Balas aku kembali.
" Serangan jantung. Hang tolong bagitau kawan-kawan yang lain ". Katanya. Aku terdiam memikirkan kawan sekampongku yang sewaktu remaja kami dipenuhi dengan aktiviti mengejar hantu penanggal diatas bukit. Kini Allah telah menjemputnya. Ini bermakna aku pun bila-bila masa saja akan di jemput oleh Allah. Aku memberitahu kawan-kawanku seorang demi seorang. Terkejut juga mereka mendengar berita ini. Mereka juga seperti aku berjanji akan forward maklumat ini kepada yang lain. Kadang-kadang kematian ini akan merapatkan kembali hubungan yang sekian lama terpisah. Dengar kata mayat akan disimpan selepas solat asar jadi sempatlah aku pulang dari kerja dan terus solat terakhir buat seorang teman seperjuangan.

Dalam perjalanan ketempat kerja sekali lagi talipon berbunyi. Aku melihat rakan yang sama menalipon. Aku tidak mahu menjawab ketika drive. Nanti tak pasal-pasal timbul macam-macam masalah nanti. Sampai ditempat kerja terus aku call rakan tadi.
" Salam. Ada apa cerita. Confirm ka mayat simpan selepas asar ". Cepat-cepat aku bertanya.
" Ni aku nak bagitau yang kawan kita tu tak mati lagi tapi masih ada di hospital. Hang tolong bagitau balik dekat kawan-kawan yang lain ". Kata rakanku. Aku sudah mula pening. Aku menyemak kembali panggilan di log repot lalu aku hantar sms. Berikut mesej yang aku hantar kepada kawan-kawan.
" Salam. Aku baru dapat maklumat dari ..... mengatakan yang ..... belum meninggal lagi. Maaf banyak-banyak ". Ringkas saja sms aku.

Talipon masuk bertubi-tubi dari kawan-kawan yang menerima sms dari aku. Masing-masing meluahkan rasa pening sebab telah memberitahu rakan-rakan yang lain. Ada yang tinggal di KL, Johor dan Seremban. Semuanya kata hendak pulang untuk ziarah terakhir. Akrabnya persahabatan ini. Dari kecil sehingga dewasa kami bersama. Bila ada kawan-kawan yang berkahwin, kami akan konvoi beramai-ramai dengan motosikal. Indah sungguh ketika itu. Yang paling seronok ialah ketika konvoi beramai-ramai bila kawan kami berkahwin dengan anak saudara penyanyi L. Ramlee. Kebetulan pula aku merupakan peminat L Ramlee. Maka aku dapat berjumpa dengannya di Kuala Muda. Dengan motosikal GP100 dan Yamaha RX-S ketika itu kami berkonvoi mengikut kereta pengantin. Aku membonceng kawan yang dikatakan telah meninggal dunia.

Selepas asar aku menerima panggilan talipon. Juga dari rakanku.
" Salam Budiman. kali ini confirm kawan kita ...... telah meninggal dunia. Aku ada disana tadi. Hang bagitau kembali pada kawan-kawan yang lain ". Aku menerima berita ini dalam keadaan ragu-ragu. Takut berlaku macam awal tadi. Namun bila mengingatkan kembali kata-kata kawanku yang berada disana aku gagahi juga menaip berita kematian lalu kuhantar kepada rakan-rakan yang lain. Jam 11 malam mayat tiba dirumah. Setelah pihak keluarga berbincang dengan pihak kariah, mayat akan disimpan pada 10 pagi. Aku membuka penutup muka rakanku lalu aku sedekahkan Al Fatihah kepadanya. Mengalir airmataku memandang dia merupakan kawan baikku ketika kecil sehingga remaja dan seterusnya berkahwin. Barulah kami membawa haluan masing.

Aku masih ingat semasa aku berada di alam remaja. Ayah banyak menasihati aku agar solat jemaah di masjid
" Budiman...Nanti ikut ayah solat jenazah di masjid. Esok bila dah kawin solat jenazah pun tak tau ". Kata ayah padaku. Aku hanya mengikut saja. Kadang-kadang aku di gelar ustaz oleh rakan-rakan bila kerap ke masjid. Kadang-kadang ayah suruh aku azan. Seronok sungguh aku azan. Ramai juga yang memuji akan kesedapan suara alunan azan aku. Ini membuatkan aku sedikit perasan ketika itu. Ayah pula tersenyum bila anaknya dipuji. Ya la ayah mana yang tidak gembira bila anaknya dipuji oleh masyarakat. Suatu hari aku mengajak rakan aku yang meninggal itu makan mee rebus special. Ketika itu mee rebus baru RM2. Kalau campur dengan telor baru RM2.30. Kalau dengan minuman sekali RM3 pun sudah memadai.
" Aku tak ada duit la Budiman. Hang belanja boleh la ". Kata rakanku.
" Aku pun cukup-cukup ada RM3. Macam ni. Petang ni ada solat jenazah. Jom ikut aku. Nanti dapat RM3. Duit tu kita makan mee la ". Aku memberi cadangan dan cadangan aku diterima pakai.

" Aku tak tau solat jenazah la ". Kata rakanku dengan ikhlas.
" Ala..hang jangan risau. Hang ikut sudah. Senang 2 saja ". Kata aku confident sebab aku sudah tahu. Selepas solat asar aku melihat rakanku dengan baju telok belanganya melangkah masuk kedalam masjid. Selepas selesai solat asar maka jemaah pun beramai-ramai berdiri untuk solat jenazah pula. Aku mengajak rakanku duduk sebelah aku.
" Tak apa...aku tau dah solat jenazah ". Kata rakanku. Aku hanya menganggukkan kepala saja. Tok imam mengangkat takbiratul ihram. Maka makmum yang lain pun mengikut. Masing-masing membaca ayat-ayat al-quran. Selepas itu imam pun berkata " Allahu akbar ".

Tiba-tiba rakanku terus rokok. Apalagi aku terus tidak dapat menahan ketawa dan terus ketawa dengan kuat. Aku cuba menahan ketawa sambil terus melakukan solat. Rakan aku sudah mula tak keruan dengan solat jenazahnya. Nak rokok dan sujud yang membuatkan aku tak dapat menahan ketawa. Selepas selesai berdoa tok imam terus memarahi aku sebab ketawa dengan kuat. Ayah mula meradang dengan aku. Dipanggilnya aku ke satu sudut. Kali ini mungkin aku kena penampar sulong dari ayahku.
" Ayah geram sungguh dengan Budiman. Ayah malu. Pasai apa yang Budiman gelak ". Ayah bertanya
" Diman tak tahan bila kawan Diman rokok ketika tok imam kata Allahu Akbar ". Ketawa juga ayahku mendengar ceritaku.
" Kalau kita ada ilmu, jangan ketawa pada mereka yang baru nak belajar. Janji dia mahu juga datang ke masjid ". Nasihat ayahku. Aku terus memanggil rakanku. Tersengih dia bila melihat aku.
" Kami nak makan mee ayah. Dia tak ada duit. Diman ajakla dia mai masjid. Dapat duit kami boleh makan mee ". Kataku. Ayah tertawa.
" Pandai juga no otak hangpa ". Puji ayah.

Akulah yang paling seronok sebab ayah cuma marah saja dan memang ayah tidak pernah memukul kami. Ayah gertak sahaja nak penampar tapi ayah tidak tergamak melakukannya. Bila tiba dipintu pagar, Tok Siah menyerahkan envelop kepada kami.
" Hang ka yang gelak kuat tadi ". Tanya Tok Siak sambil menghulurkan envelop kepadaku.
" Awat tak gelak pak haji. Kawan saya rokok tadi masa sembahyang jenazah ". Kataku selamba.
" Tak apa. Esok dia pandai la. Hang yang pandai ni kena ajaq dia la. Tok sah dok gelak saja dekat orang lain ". Kena sebiji dari Tok Siak. Kami keluar lalu membuka envelop. Fulamak...RM5. Maka terbayanglah mee rebus special yang berharga RM3.50. Udang besar keliling.

Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Memori silam masih kekal dalam ingatan walaupun orangnya sudah tiada. Esok lusa entah aku pula akan mengadap tuhan. Rakan-rakan yang lain pula akan mengingati memori silam kami. Aku doakan semoga ruh rakanku ditempatkan bersama para solihin. Semoga Allah terima amal-amalnya. Kenangan silam waktu bersamanya tidak akan aku lupakan. Pusaramu akan tetap aku ziarah dan sudah pasti akan di iringi oleh doa.



Sunday, December 23, 2012

Bersama Afdlin Shauki

22 December 2012 - Sabtu. Aku telah diamanahkan menjadi DJ untuk program Gaza dan Syria di Padang Kota yang dianjurkan oleh Aqsa Syarif Pulau Pinang. Jam 12 tengahari aku dan isteri terus menuju ke destinasi. Jalan agak sesak juga. Akhirnya kami tiba agak awal juga dan keadaan majlis belum lagi bermula. Jam 3 petang dijangka Afdlin Syauki serta peserta konvoi akn tiba.


Tugas aku hanya bercakap memberi maklumat terkini dan memasang lagu-lagu tentang perjuangan rakyat Palestin dan Syria. Jam 2 petang majlis bermula. Persembahan, puisi dan persembahan seni silat diadakan. Hujan renyai-renyai membasahi petugas serta padang namun tidak melenturkan semangat mereka.


Jam 3 petang Afdlin Shauki beserta rombongannya tiba. Dalam ceritanya beliau merasa begitu terharu melihat apa yang berlaku  di Gaza. Dengan secara rasminya beliau mengumumkan bahawa beliau sudah memboikot produk-produk yang membantu ekonomi Israel. Beliau juga mengajak rakyat Malaysia agar sama-sama membantu memboikot produk - produk itu. Agak ketat juga tugasan beliau. Sebelum tiba di padang Kota beliau telah dibawa ke Lorong Kulit iaitu tempat tumpuan masyarakat. Disana bekliau memberi taklimat serba sedikit tentang Gaza, jam 6 petang beliau terpaksa bergegas pula ke Shah Alam untuk ceramah. Semoga Allah berikan kesihatan yang baik kepadanya dan Allah rahmati kehidupannya serta keluarganya.


Isteriku pula bersama rakan-rakan yang lain membantu menjual pakaian terpakai. Banyak juga terjual dan hasil jualan disumbang terus ke Aqsa Syarif. Pakaian masih lagi elok dan dijual dengan RM1 - RM3


Jam 6 petang aku dan isteri berangkat pulang. Program masih lagi berjalan sehingga malam. tugasku setakat jam 6 petang saja. pada waktu malam rakanku pula akan menggalas tugasan sebagai DJ. Aku merasa cukup seronok dan terasa begitu manisnya bila dapat bersama rakan-rakan yang pernah bersama denganku suatu ketika dahulu. Ramai juga rakan-rakan berjumpa isteriku sambil berkata sudah agak lama mereka tidak mendengar suaraku. Isteriku hanya tersenyum saja. Insyaallah andaikata masa terluang aku dan isteri pasti menyertai mereka.



Tuesday, December 18, 2012

4 Tahun Sudah Berlalu

18 December merupakan tarikh keramat buat kami sekeluarga. Tarikh ini merupakan tarikh isteriku yang tercinta Siti Aishah bt Zakaria telah pergi buat selama-lamanya. Kini 18 December 2012 ia menjelma kembali. Rupanya sudah 4 tahun dia pergi namun aku merasai seakan baru saja peristiwa ini berlaku. Al Fatihah buat isterikiu. Bertemu kita kerana Allah. Berpisah kita juga kerana Allah. Insyaallah kita akan bertemu dan meminta keadilan dari Allah. Insyaallah bila pulang dari kerja abang pasti menziarahi pusaramu.

Monday, December 17, 2012

Adus !!! Karipapku

Petang ini aku bertugas dan esok pagi baru selesai standbyku.Aku sudah plan apa yang hendak dibeli. Takut pula waktu petang kerap hujan hingga ke malam. Bila malam aku sudah malas nak keluar. Sebelum ketempat kerja aku beli karipap besar yang berharga RM1 satu. Aku bawa pulang lalu aku potong dibawahnya. Aku masukkan sos cili kedalamnya. Itulah tabiatku jikalau makan karipap. Tabiat yang aku amal semenjak dari bangku sekolah lagi.
" Ish ish abang ni pelik la. Tak pernah lagi nah tengok orang buat macam tu ". Kata isteriku tertawa.
" Nah akan melihat lebih banyak kepelikan abang ". Tertawa isteriku mendengar gurauanku. Aku masukkan kedalam plastik.
" Cukup ka abang makan karipap saja malam ni. Abang tugas sampai esok pagi ". Kata isteriku
" Insyaallah. Kalau kita baca Bismillah benda lain tak akan tumpang ". Kataku. Betapa lahapnya benda itu menjilat makanan yang dimakan tidak dibaca Bismillah.


Terus aku keluar rumah menuju ketempat kerja. Sudah 4 hari aku bertugas 16 jam. Badan memang keletihan tapi nak buat macam mana dah namanya tugas. Terpaksa juga ditempuhi. Aku teringat akan kata-kata bos
" Memang kita semua keletihan namun kita harus ingat bahawa kerja itu merupakan ibadah dan kita akan diberi ganjarannya ". Kata bos ketika membuat ucapan sebelum melakukan tugas.
" Rip...baca doa sikit Rip... ". Kata bos kepadaku. Itulah panggilan yang selalu diguna pakai bos ketika menegurku. Alhamdulillah sekejap saja aku sudah tiba ditempat kerja.

Aku meletakkan beg dibawah dan benda-benda yang aku bawa. Entah macam mana aku sendiri meletakkan karipap diatas kerusi dan terus keluar memeriksa alat-alat tertentu sebelum memulakan tugas. Semua ok dan aku masuk semula kedalam dan terus duduk. Aku terasa seperti terduduk diatas sesuatu.
" Ya Allah.... ". Aku menjerit bila perasan yang aku terduduk diatas keripap yang merupakan makanan malamku. Ia penyek dek dihempap buldozer. Adus....Aku membelek karipap. Terus aku call wife.
" Tak apa sendiri duduk boleh makan ". Kata isteriku
" Nahi nahi nahi ". Aku berkata. Tak sanggup aku.......

Sunday, December 16, 2012

Kacang Kuda

Setiap kali aku ke pasar malam pasti kacang kuda pedas aku beli. Pantang kalau kerap dibeli. Isteriku mulalah merasa dan tahu ramuannya. Hari ini isteriku buatkan surprise lagi. Dihulurnya sepinggan kacang kuda untuk aku rasa. Sekali rasa memang sedap. Rasanya pula pedas. Tak sama seperti beli di pasar malam. " Masyaallah. Sedap sungguh kacang ni. Abang tak payah beli lagi di pasar malam ". Tersenyum isteriku menerima pujian dariku. Siap dibekalkan lagi untuk aku makan di tempat kerja. Aku masukkan kedalam FB. Ramai pula yang minta resepi dan disuruhnya aku masuk kedalam blog. Aku terus talipon isteri bertanyakan resepi sebab ramai yang sudah minta. Tertawa dia. Katanya dia bukannya pandai. " Abang rasa sedap ok la tu ". Kata yang akhirnya resepi diberinya. Ok ambil kertas semua ya.


Ini resepi berdasarkan kacang kuda sebungkus 250 gram.

1. Kacang kuda direndam semalaman untuk melembutkannya
2. Kemudian rebus kacang tersebut sehingga lembut
3. Hiris atau cincang 3 ulas bawang merah dan bawang putih
4. Tumiskan bawang tersebut dan daun kari sehingga wangi. 
5. Masukkan cabai yang telah di kisar bersama gula dan garam secukup rasa. Kalau nak pedas makna cabainya tentu banyak. Pandai-pandaila
6. Akhir sekali masukkan kacang kuda dan gaul macam dalam gambar. Senang bah....

Selamat mencuba ya....Good Luck

Friday, December 14, 2012

Lain Yang Cari. Lain Yang Jumpa

Ketika aku hampir menamatkan tugas malamku, aku mendapat panggilan talipon dari rumah ibu mertuaku. Adik ipar meminta agar aku menyembelih ayam kampong. Kebetulan anak cucu pulang ke kampung jadi masa berkumpullah nak makan nasi beramai. Itulah keluarga sebelah arwah Siti Aishah lakukan setiap kali keluarga berkumpul. Memang seronok. Sebelum pulang kerumah aku singgah di rumah ibu mertuaku. Sebanyak 5 ekor ayam kamong akan dibuat kari. Dapatlah aku merasa kari ayam kampong.


Aku menyuruh anak saudara mengambil ayam lalu di bawa ke tempat terpencil. Aku beritahu anak saudara tentang adab-adab dalam menyembelih ayam. Dari apa yang aku belajar di kuliah-kuliah magrib
1. Pisau hendaklah tajam supaya ayam tidak terasa sakit
2. Jangan sembelih di hadapan haiwan
3. Pegang jangan terlalu kasar.
Itulah sedikit sebanyak adab-adab yang aku ceritakan kepada anak saudaraku. Mungkin suatu hari dia juga akan ditugaskan menyebelih ayam. Seekor-demi seekor aku sembelih. Masuk ayam yang ketiga, entah kenapa ayam itu masih kuat walaupun kesemua urat telah putus. Berlari dia kedalam hutan.
" Berat dia ". Kataku


Selesai aku sembelih kelima ekor ayam, aku masuk kedalam hutan mencari ayam yang melarikan diri. Ketika mengambil ayam tersebut aku terpandang pokok pisang yang aneh. Buahnya keluar dari batang pokok. Cepat-cepat aku keluar lalu mengambil kamera untuk merakan gambar.
" Kalau panggil Metro mesti depa sampai ". Kata anak saudaraku. Subhanallah. Kalau Allah berkehendakkan sesuatu pasti ianya terjadi.


Selalunya pisang akan berbuah diatas. Tapi pokok ini pisangnya berbuah ditengah-tengah. Ada sesetengah orang, ia menganggapkan ia sesuatu yang aneh dan mungkin ada yang sanggup membeli dengan harga yang mahal untuk tujuan keduniaan. Kalau difikirkan kembali apa nak diherankan. Allah yang menjadikan segala-galanya dan ia berhak mengarah dimana buah itu akan keluar. Kalau ini tidak diambil sebagai tanda-tanda kekuasaan Allah maka jadilah kita sebagai makhluk yang kufur terhadap Allah.

Monday, December 10, 2012

Terasa Segar

Sudah begitu lama aku mendapat batuk-batuk, selsema serta demam. Entah kenapa batuk kali ini agak teruk sehingga mengeluarkan darah. Akhirnya terpaksa juga ke klinik dan doktor mengatakan bahawa tekak aku mengalami luka dalaman. Sebab itu aku tidak dapat menelan makanan. Setelah seminggu batuk-batuk kini barulah terasa sedikit berkurangan setelah aku betul-betul berpantang dengan makanan. Hari Sabtu isteriku beritahu yang anaknya mengajak aku serta kedua anak-anakku menjamu selera di Restoran makanan laut Seoul Garden iaitu sebuah restoran Korea di Gurney Drive.


Ramai yang berkata makan disini ala buffet dengan bayaran sebanyak RM35 kita boleh makan apa saja. Restoran ini juga telah mendapat status halal dari Jakim membuatkan ramai orang islam mengunjunginya. Jam 1030 pagi kami keluar menuju ke restoran tersebut. Ia memulakan perniagaannya pada jam 11.30 pagi. Hari Ahad tentu ramai yang akan datang sebab itu kami membuat keputusan datang awal. Pukul 12 tengahari kami tiba di restoran. masih ada tempat kosong. Setelah mengambil tempat kami berlegar-legar didepan berbagai jenis makanan laut. Aku dan isteri agak kekok bila melihat semua makanan tidak dimasak.
" Kita nak makan macam ni ". Aku bertanya anak gadisku
" Ala ayah..atas meja ada tempat pembakar. Bakar disitu dan boleh makan ". Aku terdiam. Begitu ka caranya. Aku membisik kepada isteriku. Isteriku juga demikian rupanya. Masih kekok memilih makanan.


Aku memilih sotong yang dipotong kecil sambil membisik kepada isteriku
" Macam sotong yang abang dok potong untuk memancing ". Kataku kepada isteri
" Ish..abang ni. Ada ka nak sama dengan sotong memancing ". Aku tertawa kecil sambil memilih ikan berempah kari. Tiba di meja aku mula memanggang ikan dan makan. Sedap juga ikannya. Pengunjung sudah ramai datang. Aku masih mengawal pemakananku kerana takut tersedak dan batuk akan menyerang kembali. Lagipun aku kurang berminat dengan stail steam boat. Sedikit saja aku jamah sudah kenyang. Anak lelakiku mengambil ais krim. Best juga rasanya.


" Rugilah abang makan sedikit saja ". kata isteriku. Aku hanya tersenyum. Isteriku pula begitu enjoy dengan makanan laut. Aku tak kisah janji aku dapat bersama keluargaku keluar bersama. Bagiku aku kurang berminat dengan restoran begini. Bila masuk sudah terasa loya melihat makanan mentah. Setelah 2 jam berada didalam kami pulang kerumah. Kepala terasa pening bila aku terkenang makanan mentah. Namun untuk menghurmati anak tiriku aku berkata best tapi isteriku sudah dapat mengagak yang aku kurang selesa dengan restoran ini sebab aku bertanya selain restoran Seoul Garden mana lagi restoran yang best.
" Restoran nasi kandar ". Kata isteriku

Yang paling best ialah sambil makan kami berbincang anak beranak destinasi untuk melancung. Anak gadisku begitu teringin nak ke Melaka dan akhirnya kami setuju akan ke Melaka pada 26 Disember ini. Aku dan isteri pula amat suka nak ke Langkawi. Akhirnya bila pulang kerumah terus aku masuk ke Agoda mencari hotel murah. Memang Agoda menawarkan diskaun kalau booking melalui mereka. kami telah mendapat resort untuk keluarga. Insyaallah bulan Februari tahun hadapan kami akan kesana. Tak sabar rasanya. Teringin nak bermain jetski dan parasailing. Moga perancangan ini diberkati dan dimudahkan oleh Allah.....

Saturday, December 08, 2012

Bersama Pemain MU

Sebelum isyak aku dan isteri sudah berada di surau. Malam ini akan diadakan ceramah tentang Gaza Palestin dan solat hajat perdana. Banyak maklumat yang kami perolehi tentang apa sebenarnya yang berlaku di sana. Kata rakyat Palestin kepada saudara mereka, jangan risau akan mereka. Kejutan demi kejutan akan dapat didengar. Sesungguhnya Allah bersama mereka. Banyak sumbangan juga dapat diterima dari wakil Aqsa Syarif Pulau Pinang. Aku amat bersyukur kerana dapat membawa ceramah yang baik ke surau kami.

Ceramah selesai dalam lingkungan jam 11 malam. Aku dan isteri terus pulang. Masih terasa badan yang kurang sihat akibat batuk yang teruk. Aku menelan ubat selsema dan ubat batuk. Kata doktor kedua-duanya akan membuatkan mengantuk. Memang betul sekejap saja aku sudah berada di tempat yang lain. Bila aku membuka mata, aku berada di atas padang bola. Terkejut aku bila melihat muka seperti Ian Rush, Kenny Daglish, Paul Gascoigne. Itulah wajah yang familiar bagiku. Mereka berjabat salam denganku. Ucapan tahniah dari mereka sebab aku merupakan sebahagian dari player MU sebagai penjaga gol. Biar betul ni. Stadium dipenuhi dengan peminat. Aku dengan penuh bangga menyarung jersi MU.

Perlawanan akan dimulakan. Entah dengan siapa nak lawan pun aku tak tahu. Ahh...tak kisah lah. Aku sudah bersedia menggalas tugas sebagai penjaga gol utama. Aku merupakan rakyat Malaysia pertama mewakili The Red Devils. Pengadil sudah berada ditengah. Aku menanti wisel ditiup menandakan bermulanya game yang hebat. Aku melompat-melompat dari satu tiang ke satu tiang. Tentu rakyat Malaysia sedang melihat akan aku. Isteriku tentu berbangga suaminya merupakan gol MU. Kembang kempis hidung aku bila mengenangkan disetiap kedai kopi akan menayangkan live game yang dijangka best.

Tiba-tiba pengadil berlari-berlari membawa talipon bimbit sambil melaung-laung sesuatu
" Who is Ariff the Tok Bomoh ". Kata pengadil. Terus aku mendapatkan pengadil. Pengadil perlawanan terus memberikan talipon bimbit kepadaku. Aku mendengar suara seorang wanita sedang menangis meminta tolong. Aku juga dapat mendengar satu suara yang melarang aku menolong
wanita tersebut. Terus aku membaca Al - Fatihah. Tiba- tiba tangan berbulu keluar dari talipon
bimbit.
" Allahu...Allah...Allah..". Aku terus cuba menarik tangan tersebut namun gagal. Tangan tersebut terus keluar seperti mahu mencekik aku. Aku mengelak lagi.
" Allah.....Allah...". Namun masih gagal menarik keluar lembaga tersebut. Aku terus membaca ayat 3 Qul lalu menjerit dengan kuat
" Allahuakbar......". Terus aku dapat memegang tangan lembaga tersebut dan merentap keluar. Akibat rentapan yang kuat dariku akhirnya lembaga tersebut keluar dan jatuh keatas aku
" Adoila.....Sakitnya badan ni ". Aku bercakap sendirian.

Bila aku membuka mata rupanya isteriku berada diatas badan aku. Rupanya aku menarik tangan isteriku. Kih kih. Apa punya mimpi.
" Abang ni mimpi apa. Dok sebut Allah...Allah. Nah dok gerak bangun subuh yang abang rentap tangan Nah pasai apa ". Barulah aku tahu rupanya aku merentap tangan isteriku. Aku cerita padanya tentang mimpiku. Apalagi ketawa sakan isteriku bila aku berkata aku merupakan penjaga gol pasukan MU.
" Malang la pasukan mana yang dapat abang ni ". Aku turut tertawa mendengar kata- kata isteriku.
Lama aku tidak mimpi begini. Jadilah dapat mimpi menjadi pemain MU. Bukan senang ooooo.
" Abang ni suka mimpi yang merapu ". Kata isteriku.
" Insyaallah kali ini abang akan bermimpi bertemu para wali ". Tertawa isteriku mendengarnya. Perli la tu........

Tuesday, December 04, 2012

Macam-Macam Hal

Aku dan isteri telah melalui kawasan jirat cina menuju kepekan. Bila tiba di sini isteriku menunjukkan kepada papan kenyataan ini. Kami tertawa bila membacanya. Bahasa Malaysia amat indah serta lembut bahasanya. Kalau silap kenyataan sudah pasti mengundang sindiran atau tertawa. Apa yang pembaca faham akan kenyataan ini. Ia ditujukan khas kepada siapa.


Kelihatan sudah beberapa ekor tidak mengendahkan kenyataan ini. Ia pasti mengundang kemarahan tuan punya tanah ini. Selamba saja mereka meragut rumput. Mereka tidak pernah di hantar ke sekolah. Kalau sekolah pun pelajaran moral tidak di ajar. Akhirnya benilah jadinya.


Yang ini pula. Begitu hebat sekali sesiapa yang bernama poster. Mendapat arahan agar jangan menampar poster. Teringin nak berkenalan dengannya. Jeles ni.




Monday, December 03, 2012

Siapalah Kita Nak Menghukum

Aku menerima gambar tentang wanita ini yang tidak sempurna auratnya. Aku dapati sungguh banyak celaan dan kutukan manusia yang berada didalam FB. Tujuan yang upload gambar ini mungkin untuk menyedarkan tentang salahnya wanita ini yang tidak sempurna auratnya. Yang bahayanya ialah ramai yang tidak memahami konsep dakwah sebenar. Kita bukan menolong wanita ini tetapi kita menyulitkan lagi keadaannya dengan mendedahkan auratnya tanpa keizinannya juga.

Bagaimana kalau dia sendiri melihat gambarnya menjadi bahan ejekan dan kutukan. Kenapa yang mengambil gambar ini yang sudah tentu tahu akan batas-batas aurat menegur saja wanita ini secara berhemah bahawa tujuannya amat baik sekali cuma caranya harus diperelokkan lagi. Tak perlu di hebuhkan di FB yang kebanyakkannya hanya tahu mengutuk. Kita harus sedar kita datang dalam keadaan zero. Alhamdulillah kita semua telah diberi hidayah oleh Allah. Kita semua yang faham akan agama tidak langsung berpegang akan hadis Rasulullah yang bermaksud, " Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat ". Hadis riwayat Bukhari.

Janganlah kita jadikan FB medan untuk mengata, mengutuk dan mengaibkan orang lain yang sudah pastinya mengundang kemarahan Allah. Semoga aku bukan dari kalangan mereka yang suka mencari kesalahan dan mengaibkan mereka. Moga Allah tiupkan hidayah dan memberi kekuatan kepada mereka yang baru handak menjinakkan diri mereka dengan islam. Pandangan kita bila melihat sudah tentu mengjengkelkan tapi kalau wanita ini tahu caranya tidak kena sudah tentu dia tidak melakukan begini. Siapalah kita untuk menghukum orang lain. Adakah iman kita cukup sempurna. Tepuk dada tanyalah iman kita.

Pantang Lihat

Aku merupakan penggemar buah-buahan. Kalau musim buah atau ada yang menjual di tepi jalan sudah pasti aku singgah dan beli. Kali ini di Pulau Pinang jatuh musim buah. Maka banyaklah longgokan buah durian, manggis, rambutan dan langsat. Dalam semua-semua aku paling suka buah rambutan dan diikuti oleh buah durian


Kata isteriku aku bagaikan memajak buah durian dan rambuta. Habis saja sudah pasti aku mencarinya. Bukan aku makan sangat tapi akusuka melihat isteriku menghabiskannya. Aku tak boleh tahan atau pantang melihat buah rambutan. Tambah-tambah lagi rambutan gading atau rambutan kuning. Sekejap saja sudah kehabisan. Esok aku cari lagi. Isteriku sudah mula diserang batuk-batuk tapi masih tak boleh melihat rambutan dan durian. Sebelum aku pergi kerja isteriku sudah berpesan " Bang...esok jangan singgah kebun ya ".Aku tertawa dengan gurauan isteriku. Kadang- kadang bila kakaknya talipon diceritanya yang kami mempunyai kebun buah. Kakaknya menjangkan itu betul tapi mula tertawa bila isteriku berkata ia simbolik sebab aku kerap membawa pulang buah-buahan. " Sebab sayang la Budiman bawa balik buah rambutan". Kata kakak iparku. Kini aku pula sudah merasai sakit tekak. Aku kupas kulit rambutan dan isinya aku simpan didalam peti sejuk. Hilang batuk aku akan cari dalam peti sejuk. Sampai macam tu sekali ya. Siapa yang sayang isteri, belilah buah rambutan banyak-banyak ya.

Sunday, December 02, 2012

Makan Malamku Terbaik

Awal-awal lagi aku beritahu isteriku yang esoknya aku nak ke pasar membeli udang. Sedap juga buat sambal tumis udang. Cadangang aku nak membawanya untuk bekalan kerja petang keesokan hari. Malamnya aku terlalu letih dan terpaksa tidur awal. Sedang enak di ulit mimpi talipon bimbit berbunyi tepat pukul 1 pagi. Aku diarahkan standby. Kata jurutera ada kerosakan. Apa nak buat terpaksa juga melupakan tidurku. Sehingga 8 pagi aku berjaga dan aku pulang dalam keletihan.


Aku menalipon isteriku beritahu yang aku kepenatan untuk kepasar. Kata isteriku dia sudah tahu. Katanya tengahari ini dia nak buat sup ekor. Sebelum ini aku begitu kerap membeli sup ekor dengan harga RM8 sebungkus andaikata tidak lalu makan. Bila terlalu kerap membeli isteriku pun mula merasa apa bahan-bahan yang terdapat didalamnya. Kali pertama cuba tidak berapa tepat tetapi masih sedap dimakan makan. Kali kedua cuba subhanallah memang sama rasanya seperti yang aku beli. Jadi bermula saat itu aku tidak lagi membeli sup ekor. Samalah juga stail arwah Siti Aishah. Kalau beli sudah pasti dirasa berkali-kali untuk mengetahui bahan-bahannya. Akhirnya tak payah beli sebab dan pandai buat. Allah maha besar. Di ambilnya isteriku dan diberinya aku seorang yang mempunyai perwatakan yang hampir serupa.


Ketika menghirup sup isteriku bertanya apa bekalan yang hendak aku bawa ketempat kerja. Aku sendiri pun tak tahu nak makan apa. Sebut saja nasi memang menjemukan. Akhirnya terfikir dua hari yang lepas dia buat burger. Lantas aku minta dia buat burger untuk bekalanku. Terus dia kedapur untuk menguli tepung dulu. Bau wangi ketika isteriku menggoreng burger.


Akhirnya inilah makanan malamku. Burger yang dihiasi timun didalam dan sambal ikan bilis. Bila aku tiba di tempat kerja isteriku call aku
" Abang...sorry Nah lupa letak ikan bilis. Hanya sambal saja dengan timun didalam ". Katanya.
" Tak apa. Ini pun alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak abang ucapkan ". Ketika aku makan isteriku menalipon bertanya bagaimana rasanya burger tanpa ikan bilis di dalam.
" Alhamdulillah. Sedap. Dah 3 biji abang makan ". Tertawa kecil isteriku. Mungkin terasa lega bila aku tidak memarahinya kerana tidak lengkap. Siapa aku untuk menyatakan ini dan itu tidak sedap.

Saturday, December 01, 2012

Tak Dapat Pun Tak Apa

Hari ini off jadi aku mengajak isteriku memancing. Pukul 9 aku keluar kekedai buah. Begitu banyak longgokan buah rambutan.
" Bos..3 kilo RM5 ". Kata rakanku.
 Apalagi terus aku pilih yang baik untuk dimakan ketika memancing. Geleng kepala isteriku bila melihat setiap hari aku membawa pulang buah rambutan.


Bila kami sampai air baru pasang. Ombak memukul batu. Terus aku letakkan umpan sotong sambil makan buah rambutan. Sudah 15 minit masa berlalu. Tiada tanda-tanda ikan memakan umpan.
" Sabar ajer ler ". Kata isteriku
" Orang kaki pancing ni memang sabar orangnya ". Aku berkata kepada isteriku.
" Ya lah tu ". Pendek saja ayatnya. Memang tersirat. Aku bukan penyabar orangnya ka.


" Sudah 2 jam kita memancing bang. Sekor pun belum dapat lagi ". Rungut isteriku
" Insyaallah...dapatlah nanti. Kena sabar banyak-banyak ". Aku pujuk isteriku padahal aku sudah jemu memancing begini. Buah rambutan dari 3 kilo sudah boleh dihitung jumlahnya. Akhirnya..
" Jim Nah kita balik. Dah pukul 12 tengahari ". Aku mengajak isteriku pulang.


Belum sempat aku bangun aku dapat merasai ikan sedang merentap rod aku. Apalagi bingkas aku menarik rod sambil menggulung tali kail.
" Allah...Umpan sudah habis. Ikan main kita ". Jerit aku. Terus aku buka talinya untuk pulang.


Sebelum pulang seperti biasa kami snap gambar dulu sebagai kenangan. Nak sigh autograph tak ada orang nak bagi. Jadi kami ambil gambar saja. Insyaallah kami akan datang lagi. Jangan mudah mengalah.

Friday, November 30, 2012

Kenapa Teringin Sangat

Aku bertugas selama 16 jam. Awal-awal lagi isteriku beritahu yang dia akan buat laksa. Aku buat tak kisah saja. Bukan aku tak suka tetapi terpaksa memendam perasaan suka itu. Semasa aku hidup bersama dengan arwah Siti Aishah, laksa merupakan favourite aku. Masalahnya bila aku makan saja laksa keesokkan harinya aku tak dapat berjalan. Kaki terasa sakit sangat. Terpaksa isteriku menggantikan laksa dengan bihun. Setelah isteriku meninggal aku tidak dapat lagi merasai makanan kegemaranku. Tidakku sangka setelah berkahwin dengan isteriku Rosnah, dia juga merupakan penggemar laksa dan laksa yang dibuat lebihkurang sama dengan yang dibuat Siti Aishah. Pertama kalinya aku jamah laksa isteriku Rosnah, seperti dijangka esoknya aku tak boleh berjalan. Sejak hari itu isteriku Rosnah tidak mengizinkan aku makan laksa lagi. Kalau teringin sangat dia akan rebus bihun menggantikan laksa. Subhanallah cara mereka sama.


Kini tahap kesihatan aku alhamdulillah. Aku dapat menjamah laksa namun aku masih mengawalnya. Cukuplah dengan sepinggan laksa. Entah kenapa kali ini setelah perut terasa begitu lapar sebab tidak menjamah sebarang makanan pada tengahari dek kerana sibuk dengan tugasan. Mulalah teringat isteriku buat laksa. Teringin sungguh bila terbayang laksa isteriku. Memang sedap giler.Aku ke tempat kerjaku dan singgah di warung laksa ditepi jalan. Tersenyum wanita yang menjual laksa.
" Lama tak nampak abang ". Katanya. Aku tersenyum. Pernah aku cerita kepada isteri akan layanan baik wanita tersebut.
" Tu yang abang seronok sangat beli laksa ". Kata isteriku. Aku melihat dia masukkan laksa terlebih.
" Saya nak yang biasa saja ". Tersenyum wanita tersebut.
" Tak apa. Saja nak bagi lebih. Laksa dah nak habis ". Aku diamkan saja sambil mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut. Sampai saja terus aku buka. Masyaallah sedap dan banyak. Puas aku makan. Aku hantar mesej kepada isteriku. Sekejap saja.....
" Laa... esok pun abang boleh makan laksa. Beli buat apa. Tentu layanan baguih la tu ". Perli isteriku. Ish ish cemburunya dia. Pakaila balik rumah nanti kena pujuk....

Beginikah Sikapnya

Telah seminggu kisah ini berlalu. Kini baru aku mempunyai waktu untuk mencoretkannya. Seperti biasa aku off dari tugas jadi masa terluang aku meronda di pekan. Aku singgah di gerai buah-buahan kepunyaan rakanku. Datang seorang rakan yang dikenali sebagai ustaz mengajar kelas fardhu ain di sebuah kampung.
" Assalamualaikum syeikh ". Ucap sambil kami bersalaman
" Waalaikumussalam. Anta dari mana ni ". Aku terus bertanya rakanku.
" Anta kerja tak hari ini dalam pukul 10 pagi ". Tanya rakanku.
" Tak. Ada apa ". Aku pula bertanya
" Ana mencari seseorang untuk membantu ana khatan kanak-kanak. Nurse dia baru dan masih malu ". Kata rakanku. Aku pula jenis yang payah berkata tak boleh.
" Insyaallah. Setakat tolong pegang-pegang tak apalah. Kalau suruh sunat takut hilang semuanya ". Tertawa rakanku mendengar aku bergurau begitu.
" Anta ni dari dulu cukup suka bergurau tapi ana suka la ". Puji rakanku
" Pukul 10 pagi nanti anta tunggu di klinik.... ". Kata rakanku.

Jam 10 pagi aku sudah berada di depan klinik. Terus aku masuk kedalam klinik mencari rakanku. Kanak-kanak bersama ibubapa sudah ramai. Aku di panggil masuk kedalam klinik. Satu pengalaman baru padaku dapat membantu mengkhatan kanak-kanak.
" Tugas anta ialah memujuk kanak-kanak yang nampak nak menangis atau takut. Ana tau anta pakar dengan kanak-kanak ". Tersenyum aku mendengar pujian rakanku. Aku ingat kembali ketika surau kami mengadakan majlis khatan beramai-ramai. Seorang doktor yang merupakan orang kampungku membuka kliniknya sendiri dilih oleh pihak surau untuk khatankan kanak-kanak. Aku diminta duduk membantunya.

Ketika kanak-kanak hampir memangis ketakutan aku mainkan perananku membuat lawak agar mereka tidak merasa takut. Ada juga yang tak lut dengan maharaja lawak yang aku buat. Meraung satu dewan. Gelabah ibubapa bila melihat anak mereka menangis. Kini aku sekali lagi aku berdiri membantu rakanku. Seorang demi seorang masuk. Ada yang tersenyum. Ada yang nak menangis cepat-cepat aku pujuk.
" Pakcik dulu masa kecik-kecik tak takut. Doktor potong depan pakcik. Pakcik tengok tak rasa apa pun ". Tersipu-sipu malu malu nurse yang turut membantu rakanku. Ya Allah aku lupa la. He he malu juga aku.

Akhirnya tiba giliran seorang kanak-kanak. Kata ibunya anaknya tak takut. Aku mencari dimana ayahnya seperti ayah yang lain.
" Mana ayahnya ". Aku bertanya pada wanita tersebut.
" Ayah dia pergi kerja. Kata suami anaknya tak takut dengan sunat. Ayah dia dah bagi warning kalau menangis siap kena rotan ". Tu dia. Boleh main ugut si ayah. Sepaptutnya ibubapa ketika itu patut merasa gembira melihat anak mereka semakin membesar. Aku pun mempunyai anak dan aku dapat merasakan betapa gembiranya melihat anakku semakin membesar. Tak sepaptutnya si ayah membiarkan saja si ibu melakukan tugas itu. Sepatutnya si ayah berada disisi anaknya.

Bila anaknya melihat saja muka rakanku mulalah dia sebak. Si ibu sudah panik melihat anaknya.
" Diam..diam. Nanti mama repot dekat ayah ". Ugut ibunya.
" Tak apalah. Puan tunggu di luar. Biar ustaz yang buat ". Kataku pada si ibu dan dia aku sambil mengendong anak kecilnya. Masih geram aku dengan sikap suaminya yang tidak mengambil berat terhadap anaknya. Tiba-tiba anaknya meraung ketakutan. Dia mengeraskan badannya. Susah juga ustaz nak buat kerja. Aku terpaksa memujuk dengan menyuruh kanak-kanak tersebut mengikut aku membaca Al-Fatihah sementara rakanku menjalankan kerjanya. Terasa sakit dia meraung kembali. Riuh juga di luar mendengar kanak-kanak ini meraung. Ibunya tak senang duduk. Baru dia tau macam mana keadaan anaknya. Masa berada di rumah dan tak melihat tempat dan keadaan, anaknya memang tak terasa takut. Bila melihat suasana sebenar barulah menggigil. Inilah masanya peranan ibubapa.

Masa yang agak lama juga kami ambil untuk khatankan kanak-kanak ini. Teresak-esak dia menangis sewaktu kelaur dari bilik. Ibunya hanya diam sambil melihat aku. Baru dia tahu akan situasi yang sebenar. Jangan diambil ringan bab anak-anak. Tugas itu ialah tugas ibubapa. Bukan tugas ibu yang perlu membawa bersama anak kecilnya yang suka merenget. Semoga mendapat pengajaran dari ibubapa yang lain yang membaca coretan ini. Jangan memeandang mudah akan pembesaran anak-anak.

Wednesday, November 28, 2012

Jangan Mudah Mengalah

Aku dan pekerja lain telah mendapat surat kursus dan seterusnya pertandingan untuk projek kami. Setiap unit diwajibkan mencari satu projek yang dapat mengurangkan kos syarikat. Aku telah membayangkan satu projek yang akan kami brainstorm bersama. Masing-masing ada projek tetapi berdasarkan keperluan yang lebih untuk syarikat maka projek itu akan diketengahkan. Pasukan yang terlibat memanglah tidak dapat disangkal lagi kehebatan mereka. Projek mereka hebat berbanding kami. Setiap kali mereka membuat persembahan sudah pasti bos akan memberi tumpuan. Kumpulan kami sering dijadikan bahan gurauan dengan perkataan Sleep sleep only. Memang pedih mendengar tapi apakan daya bukan rezeki kami untuk menang. At least top 5 pun susah untuk kami mencapainya. Akhirnya ada sebahagian dari rakan-rakanku yang telah berputus asa. Aku juga terikut dengan gaya mereka.

Kini sekali kami diarah bertanding. Aku telah dilantik sebagai setiausaha. Dua orang rakan indiaku telah membayangkan kekalahan.
" Team yang masuk bagus-bagus. Kita buat sudah. Kalah pun tak apa ". Kata salah seorang rakan indiaku.
" Macha...Kita jangan menyerah awal sebelum berjuang. Kita jangan nampak kehebatan projek orang. Kita juga mempunyai projek baik ". Aku menyakin mereka. Akhirnya setelah melakukan brainstorming kesemua telah menerima projek aku untuk di pertandingkan. Bermulalah persiapan kami pada 26 dan 27 Nov. Masing-masing sibuk dengan menayang prototype mereka. Aku tengok rasa gerun dengan keupayaan mereka.


Pada 27 Nov ketika aku dalam perjalanan ke tempat kursus entah macam mana aku boleh tertidur. Apalagi motosikal aku terus melanggar perhentian bas. Melambung aku. Nasib baik jatuh atas rumput. Terasa sakit badan. Aku mula muntah-muntah. Akhirnya aku berjumpa doktor. Kata doktor tiada apa yang serius. Hanya kejutan otot saja. Lega aku boleh meneruskan persembahan kami

28 Nov. Kami di undi menentukan giliran. Kumpulan kami mendapat no 3 untuk membuat persembahan dari 6 pasukan. Kumpulan pertama membuat persembahan yang hebat. Presenter mereka begitu hebat sekali. Kagum aku dengan kumpulan mereka. Tamat persembahan mereka maka pihak juri pun bertanya soalan. Bermacam-macam soalan yang di lontarkan. Kami bertambah risau dengan soalan-soalan maut para juri. Kumpulan kedua pula membuat persembahan. Melihat prototype mereka membuatkan rakan aku bersuara,
" Habis kita. Presentation depa hebat-hebat ".
" Tak apa. Kita sudah berusaha dan kita akan buat yang terbaik ". Aku menyakin rakan-rakan padahal aku pun sudah mula kecut dengan kefasihan grup pertama dan kedua. Mereka juga ditanya oleh pihak juri bertubi-tubi.

Kumpulan kami dipanggil untuk membuat persembahan. Terdengar suara-suara kecil ketawa. Kami terus kehadapan. Rakanku sebagai ketua memberi ucapan pendahuluan. Ada keyakinan padanya membuatkan aku begitu bersemangat sebab beliau akan menyerahkan mic kepadaku untuk meneruskan presentation. Aku mengambil mic dari ketua dan meneruskan presentation. Sebenarnya aku nak memujuk hatiku yang terasa sedikit goyah.
" Terima kasih ketua. Saya akan meneruskan perjuangan ketua ". Hadirin termasuk juri tertawa dengan gelagat aku. Apa yang lucu dengan kata-kataku itu. Bisik hati kecilku namun sedikit sebanyak membuatkan aku rasa confident. Aku meneruskan persembahan dengan semangat dan diikuti dengan sedikit gurauan. Yang seronoknya para hadirin telah memberi perhatian dengan persembahan kami yang dianggap tidak hebat pada mulanya.

Bila selesai kami diberi tepukan gemuruh oleh hadirin. Tiba untuk para juri bertanya soalan tapi mereka terdiam sambil memandang sesama mereka.
" Apa yang hendak di tanya. Persembahan yang perfect kata seorang juri ". Para hadirin terus bersorak. Rakan-rakanku mula memberi ucapan penghargaan kepadaku kerana berjaya membuat persembahan. Lega akhirnya aku setelah selesai persembahan. Akhirnya kesemua 6 pasukan telah berjaya membuat persembahan. Keputusan akan di ketahui selepas makan tengahari. Pandai sungguh juri nak buat macam Masterchef padahal keputusan telah di ketahui.

Selepas makan tengahari kami masuk semula untuk mengetahui keputusan. Bermula dengan 6, 5, 4, 3. Nama kumpulan kami belum di sebut. Dada aku sudah bergerak kencang. Akhirnya juri berkata hanya tinggal 2 kumpulan dan dia akan mengumumkan johan dahulu. Akhirnya kumpulanku telah di nobatkan sebagai Johan persembahan. Allahu Akbar aku menjerit gembira. Aku tidak menyangka kali ini kami berjaya. Kalau sebelumnya kami di tertawakan kini kami bergelar juara. Hampir aku menitiskan airmata kegembiraan. Aku dan kumpulan telah membuktikan bahawa tiada sesuatu yang mustahil andaikata kita merancang, berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya bertawakkal kepada Allah. Hasilnya ialah kami telah mencipta sejarah walaupun tidak hebat tapi kami telah membuktikan pasukan yang di anggap kerdil mampu melakukan sesuatu kejutan......

Tuesday, November 27, 2012

Merajuk Dia

Aku mendapat panggilan dari rumah ibu mertuaku. Kata mereka ada yang sedang mencari meminta pertolonganku. Aku sendiri tidak pasti dalam bentuk apa mereka memerlukan pertolonganku. Bila aku sampai, aku melihat cucu saudaraku sedang mengamuk menendang kaum keluarga yang lain. Bila melihat saja kelibat aku dibulatkan matanya. Aku pergi kearahnya untuk memegang kepalanya. Terus dia menendang aku. Aku tahu bukan dia yang melakukan begitu. bagiku ia terlalu kecil. Tak perlu aku tergopoh gapah. Entah dimana mereka bermain. Hutan mana yang diredah sehinggakan ada yang mengikut pulang. Aku berjanji akan membuat air jampi selepas maghrib. kemudia seorang lelaki pula dikatakan tidak dapat melelapkan matanya. Kalau nak terlelap dia merasakan yang dia akan meninggal pada esoknya. Terdiam aku jenis gangguan begini. Aku juga berjanji akan membuat air jampi untuknya selepas solat maghrib. Selepas solat maghrib terus aku mengambil 2 botol berisi air untuk aku baca ayat quran.

Aku mula dengan membaca surah Yasin dan diikuti dengan Al Matsurat. Aku terus berdoa agar dikeluarkan segala benda yang tidak elok yang berada di dalam badan mereka kemudian aku hantar kepada mereka. Lega rasanya dapat membantu mereka. Aku terus bersiap-siap untuk bertugas malam. isteriku datang menghampiriku.
" Abang dah pagar ke rumah kita sebelum ke tempat kerja ". Tanya isteriku
" Dah..Abang pagar dengan current ". Spontan aku bergurau. Apalagi merajuk isteriku bila aku bergurau begitu. Jenuh juga aku memujuk. segala ilmu dunia aku keluarkan. He he
" Ala...sorry la. Abang bergurau saja. Dengan siapa lagi abang nak bergurau kalau dengan isteri. Abang pagar dengan Al quran ler ". Pujuk aku. Akhirnya sebelum aku keluar dari rewda sedikit gunung berapi.
' Senyum la sikit sebelum abang pergi ". Pujuk aku. Tapi itulah senyumnya, sumbingggg........


Sunday, November 25, 2012

Sudah Tukar Ka...

Aku beritahu isteri durian yang berada di dalam peti sejuk setengahnya di buat kuah. Teringin pula nak cicah dengan roti benggali. Aku juga beritahu isteri bahawa aku terlihat ada orang menjual serabai di pekan. Terasa teringin nak makan serabai. Kataku pada isteri. Isteriku tersenyum sambil mengacau kuah durian. Harum semerbak wanginya bau kuah durian. Aku beritahu isteriku bahawa aku nak ke pekan mencari roti benggali. Nak juga singgah di kedai buah. Mungkin buah rambutan kuning ada. Suka sangat aku dengan buah jenis ini. Akhirnya aku beli juga buah rambutan biasa dengan harga RM 5 untuk 3 kilo.



Aku membawa pulang kerumah. Bila aku buka pintu, isteriku datang dengan senyuman yang penuh makna sambil menghulur sesuatu kepadaku. " Nah nak buat surprise dekat abang. Nah buka buku resepi lama Nah tengok resepi serabai barat.Dah abang suka serabai jadi sebelum abang balik Nah nak buat surprise la tapi bila dah masak rupanya serabai barat tu ialah pancake ". Katanya sambil tertawa. Aku terus mencubit sedikit dan merasanya. Memang betullah pancake. " Abang kena makan juga sebab Nah buat ni untuk abang ". Aduh pulak dah. Aku memang tak suka kuih yang manis. Isteriku menghulurkan pancake sekeping padaku. Nak habiskannya memang susah. Sambil makan aku tertawa bila mengingatkan kembali gelagat isteriku nak buat surprise padaku. Terus aku google di internet mencari resepi serabai. Akhirnya dapat juga resepi. Serta merta dia meminta aku menyalin resepi serabai. Katanya dia nak try suatu hari nanti.Akhirnya pancake yang dibuat isteriku dihabiskan juga oleh aku memandangkan susah payah dia buat untuk aku. " Terima kasih abang ucapkan kerana bersusah payah buat serabai barat untuk abang ". Tertawa isteriku bila aku perlinya. Nasib baik aku makan habis. Kalau aku tak sentuh pancake tersebut dan terus perli alamat bermasam mukalah kami. Kena pandai ambil isteri......Terbaik....

Thursday, November 22, 2012

Pokok Apakah Ini

Aku masih ingat ketika anak-anakku masih kecil. Asyik tak lalu makan. Kemudian asyik muntah-muntah. Kata ibu mertua mereka ni dah kena cacing kerawit. dia meminta agar aku mengambil daun ini. Bagi aku ketika itu masih muda susah untuk aku percaya. namun sebab menghurmati orang yang lebih berpengalaman aku mengambil daun ini. arwah Siti Aishah merendam daun ini kedalam baldi yang berisi air lalu di mandikan anak-anakku. Alhamdulillah ada kesannya.


Aku juga masih ingat tatkala demamku terlalu tinggi sehingga aku maracau ditengah malam. Arwah isteriku keluar lalu mengambil daun ini. Direndamnya daun ini kedalam baldi yang berisi air. Dibiarnya seketika dan kemudian dia meratakan air di seluruh anggotaku. Alhamdulillah keesokkan harinya demam aku pulih walaupun masih keadaan letih tetapi panasnya berkurangan. Aku bertanya arwah isteri apa nama pokok ini. Katanya mereka memanggil pokok kacang keridik.


Hari ini bila aku pergi kebelakang rumah ibu mertuaku untuk mengambil jantung pisang aku melihat pokok ini tumbuh begitu segar sekali. Aku beritahu pada isteriku akan kebaikan pokok ini. Susah untuk di percayai tapi itulah kuasa Allah. Dia menjadikan sesuatu tanpa sia-sia.

Wednesday, November 21, 2012

Perancangan Last Minute

Selepas solat subuh isteriku bertanya samada aku nak ke pasar atau tak. Mungkin aku keletihan setelah bertugas selama 16 jam jadi selepas subuh agaknya aku nak menyambung kembali tidurku. Aku memang selepas subuh agak payah untuk melelapkan mata. Aku suka menonton berita Awani dahulu sebelum melakukan apa-apa aktiviti.


" Abang nak makan apa hari ni ". Tanya isteriku. Aku terdiam sambil memikirkan segala jenis makanan.
" Entah la. Abang jemu dah dengan nasi ". Ringkas saja aku menjawabnya. Diam isteriku.
" Ha...Nah dah dapat idea apa dia...Cuba abang teka ". Aku bergurau membaca ayat lalu aku hembuskan di telapak tanganku dan kemudian aku ketawa.
" Ha ha..Abang dah tau apa yang tersirat di fikiran Nah. Nah nak buat gulai jantung pisang kan kan ". Terlopong isteriku bila tekaan aku tepat sekali. Kih kih. Tok bomoh katakan.
" Best jugak no. Lama tak buat. Jom kita ambil jantung di rumah mak mertua abang dan beli daging ". Terus aku mengajak isteriku.


Kami ke pasar dulu membeli daging dan barangan lain. kemudian kami terus kerumah emak mertuaku. Aku nak tunjuk pada orang bandar bagaimana nak ambil jantung seperti dalam gambar ni. Terkial-kial isteriku menarik jantung pisang. Akhirnya berjaya juga kami mendapat 3 biji jantung.


Aku kupas siap-siap kulit jantung pisang dan aku tinggalkan sedikit untuk di kupas di rumah. Takut jadi hitam pula dia.
" Abang...kulit dia kena buang banyak ka ". Tanya isteriku
" Ya...sampai tak nampak yang merah baru la rasanya lembut ". kataku pada isteri yang belum pernah makan sebelum ini. Sejak dia berkahwin dengan aku barulah dia tahu makan gulai jantung pisang. Arwah Siti Aishah memang pakar membuat gulai ini. Kadang-kadang dimasuknya kerang. Memang sedap. Sedap juga masakan isteriku Rosnah. Sekurang-kurang aku masih merupakan insan bernasib baik sebab masih boleh merasai gulai jantung pisang.


Sekejap saja sudah masak. Di hidangnya di atas meja dalam keadaan panas lagi. Ini yang tak tahan. kalau nak lebih power aku goreng cabai kering dan di ramas hancur di dalam nasi. Masyaallah makan bertambah....

Monday, November 19, 2012

Larian Jambatan Pulau Pinang Yang Membosankan

Aku begitu seronok apabila bangun dari tidur. Kini giliran aku pula OFF. Aku mengajak isteriku kepasar dan kemudian lepak di kedai makan seperti selalunya. Memang enjoy begini. Isteriku pun tumpang gembira bila aku off. Tak lah dia keseorangan di rumah. Merungut dia mengatakan berat badannya sudah naik setelah lama tidak berniaga. Kini dia sedang menanti tapak pasar malamnya di upgrade untuk menyambung perniagaannya berdekatan rumahku. Ketika sedang makan aku menerima panggilan talipon dari jurutera yang mengarahkan aku standby pada jam 4 petang. Terus hilang mood aku. Tapi bila di fikirkan kembali inilah rezeki yang Allah berikan kepada aku sekeluarga aku diamkan saja. Lagi pun dalam setiap doa aku memohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki. Inilah rezekinya.

Jam 3 petang aku keluar dari rumah menuju ketempat aku bertugas. Aku melihat di papan kenyataan memasuki jambatan Pulau Pinang mengatakan yang Jambatan akan di tutup pada jam 1 pagi hingga 10 pagi kerana larian jambatan pada hari Ahad. Alhamdulillah aku pula pulang jam 11 malam jadi tak perlulah aku menggunakan feri. Entah kenapa selepas isyak jurutera menalipon aku melanjutkan standby aku sehingga pagi esok. Nak buat macam mana. Sudah arahan namanya. Jam 7.30 pagi aku menalipon pihak PLUS bertanya status jambatan. Kata pegawai yang menjawab jambatan akan di buka kepada kenderaan pada jam 10 pagi. Terpaksa juga aku menggunakan feri.


Jam 8 pagi tamat standbyku dan aku terus keluar menuju ke feri. Bila tiba sudah kelihatan banyak kereta di terminal feri. Nasib baik la aku guna motor. Senang saja mencelah. Motosikal juga sudah memenuhi. Dari jauh aku nampak feri sedang menurunkan penumpang. Semua menghidupkan enjin motosikal. Lama juga menanti pintu pagar laluan motosikal belum dibuka. hon sudah berbunyi di setiap penjuru. Bingit terasa telinga aku. Aku melihat pekerja feri berlari masuk kedalam feri. Apa hal pula. Ada kemalangan ka. Masing-masing sudah tercangak-cangak menanti jawapan. Akhirnya sebiji kereta unser meluru keluar. Rupanya pemandu tertidur didalam feri. Mungkin tak pernah naik feri.

Motosikal terus meluru masuk bila pintu dibuka. Alhamdulillah terlepas juga aku kedalam. Keadaan motosikal yang sesak dan aku berada di tengah membataskan aku untuk mengambil gambar. ketika hampir sampai feri berhenti sebab menunggu feri sebelah sana keluar. Agak lama juga feri berhenti. Mulalah hon dibunyikan. Pening la aku dengan gelagat manusia yang tidak sabar. Even apek tua sebelah aku pun membunyikan hon motor memberi amaran kepada pilot feri agar bergerak. Banyak besar lu punya kapla.

Akhirnya dapat juga kami keluar dari feri. Keluar saja kelihatan polis di hadapan memberi arahan menuju kearah jalan yang dibenarkan. Aduhh...jalan tutup pula. Kena guna jalan jauh. Kereta dan motosikal sudah bersesak-sesak. Time inilah ramai yang menyumpah dengan larian yang menyusahkan pergerakan rakyat. Jenuh juga aku pusing. Akhirnya aku tiba di rumah pada jam 9.30 pagi. Inilah larian Jambatan yang membosankan aku. Nextime aku kena ambil cuti kalau ada larian jambatan...

Saturday, November 17, 2012

Makan Tengahariku

Aku akan berselang seli dengan cerita makan angin aku ke Kelantan dan Terengganu. Sambil itu aku nak cerita sikit tentang makan tengahariku hari ini. Selepas subuh aku mengajak isteriku ke pasar. Sudah lama kami tak kepasar. Aku suka pergi pasar awal manakala isteriku suka pergi lewat. Katanya dia tak suka orang ramai. Akhirnya aku juga yang menang. Kami berlegar-legar keliling pasar dan aku menmgambil ketam hijau. Ketam ni isinya padat berbanding ketam merah. Padan juga dengan harganya. 3 ekor RM18


Di pasar lagi aku dah beritahu isteri yang ketam ini aku suka dia buat masak sambal. Ini memang kegemaranku selain kari ketam. Kami mencari sayur pula. Isteriku memilih sayur satu demi satu. Dia bertanya masak apa yang best dengan sayur ini. Aku beritahu agar di goreng saja cuma aku tak specific goreng macam mana.


Bila dia hidang sayur aku berkata aku suka sayur ini di masukkan kunyit serta telur.Memang best. Tapi dah isteriku masak aku makan saja tanpa banyak kerenah. Inipun dah bersyukur berbanding rakyat Palestin yang terus di bom oleh Israel laknatullah.

Friday, November 16, 2012

Seronoknya

Aku dan isteri begitu seronok akan ke Kelantan. Memang aku cukup suka travelling lebih-lebih lagi konvoi dengan orang yang minat photography. Kakak aku merupakan orang yang mempunyai persamaan denganku.  Dia juga begitu minat bergambar. Siap beritahu akan berhenti di Tasik Banding untuk bergambar. Selepas sarapan pagi kami bertolak dari Penang. Alhamdulillah keadaan jalan agak tenang dan cuaca yang begitu baik.


Relax saja kami memandu. Tak gaduh berebut-rebut mengejar masa. Lewat atau cepat kami tetap sampai di Kelantan. Alhamdulillah seperti perancangan awal kami singgah di Tasik Banding. Seronok juga dapat bergambar kenangan di sini. Ramai juga yang singgah di sini. kalaulah masa masih ada lagi, ingin aku menyewa bot pusing Tasik Banding. Masa begitu mencemburui kami. kami mengambil keputusan untuk singgah di atas Bukit Tinggi iaitu merupakan puncak Banjaran Titiwangsa.


Setelah memasuki jalan gerik menuju ke Jeli Kelantan, akhirnya kami tiba di puncak Banjaran Titiwangsa. Keadaan masih lagi sejuk. Maklumlah baru waktu pagi. Sudah ramai yang tiba di sini. Terus kami ambil gambar dulu. Ini penting sekali. Terasa begitu sejuk bila angin memukul kearah kami. nyaman sekali.


Cantik sekali melihat bunga-bunga yang di tanam disni. Mungkin keadaan cuaca yang sejuk dan penjagaan yang rapi membuatkan bunga ini begitu segar sekali. Kakak dan isteriku terus masuk ke nursery bunga. Memang cantik pokok-pokok yang di jual. Mereka dah buat plan bila pulang akan singgah sekali lagi disini untuk membeli bunga.


Sementara mereka berada di dalam aku berlegar-legar di luar mengambil gambar. Sepanjang tebing bukit mengadap pemandangan indah di tanam pokok bunga dan bunga-bunganya begitu cantik sekali. Ini merupakan diantara bunga-bunga yang aku ambil gambarnya.


Setelah berada lama di atas Banjaran Titiwangsa kami bergerak menuju Jeli. Rupanya Kelantan sedang berada di musim buah. Kelihatan banyak buah durian, dokong dan rambutan dijual di tepi jalan. Aku dah tak senang duduk melihat begitu banyak buah yang di jual. Buah tembikai pula berderetan. Ini yang membuatkan aku tak tahan melihat. Mahu saja aku berhenti. Nasib baik la isteriku memujuk agar meneruskan perjalanan. Kalau tidak tak tahu la pukul berapa kami akan sampai. 


Akhirnya kami tiba di perkarangan rumah adikku. Alhamdulillah nasi sudah pun terhidang. Perut pun sudah lapar. Kemudian adik ipar  membelah pula buah durian. Subhanallah isinya begitu baik sekali. Sambil makan kami membuat planning untuk esok. Ya kami akan ke Terengganu. Kali terakhir aku kesana ialah bersama arwah Siti Aishah pada tahun 2005. Kini aku bersama isteriku rosnah pula akan kesana. Tak sabar rasanya aku nak membawa isteriku ke Taman Tamaddun Islam.

Saturday, November 10, 2012

So Sorry Ariff

Selepas mengerjakan solat asar berjemaah di masjid, aku terus masuk kedalam kawasan perkuburan. Disitulah bersemadinya ibuku, ayahku, anakku, isteri kesayanganku dan kaum kelaurgaku yang lain. Setelah mendoakan untuk mereka aku ke kedai untuk membeli lampu kalimantan. Aku terus ke kedai classmateku seorang wanita cina. Aku memanggilnya dengan panggilan Sim. Tersenyum dia bila melihat aku.
" Hai Ariff. Apa kabar. Lama tak nampak ". Tegurnya
" I,m fine Sim ". Ringkas saja jawapanku. Aku terus meminta lampu kalimantan padanya.

" Ariff..i lama tak nampak isteri you ". Aku tersenyum bila dia berkata demikian.
" She still sewing ka ". Aku masih tersenyum bila ditanya demikian.
" Nanti you kirim salam pada wife ya Ariff ". Kata rakanku. Walaupun dia seorang cina namun kerana suka bergaul dengan anak- anak orang melayu jadi budaya kirim salamnya juga terikut.
" Sorry Sim. My wife sudah meninggal sejak 2008 ". Aku berkata dengan nada perlahan. Apalagi mengalir airmatanya. Memang isteriku merupakan customernya. Isteriku kerap membeli peralatan menjahit dari rakanku. Aku memang puji akhlak rakanku ini. Pandai dia melayan serta mengambil hati customernya.

" Sorry Ariff. I tak tahu pun your wife sudah meninggal. Takziah dari i ". Katanya. Aku hanya tersenyum saja.
" So sekarang you macam mana. Tak kawin lagi ke ". Tanya rakanku.
" I sudah pun kawin seems 2009 ". Kataku.
" Wa,,,tahniah Ariff. Congratulation ". Sambil menghulur tangannya. Aku hanya tunduk sebagai tanda hurmat. Faham dia bila aku buat demikian.
" Ooppps sorry Ariff . I forgot ". Aku tertawa kecil melihat reaksi spontannya.

" Berapa harga lampu flourescent ". Aku bertanya.
" Tak payah bayar. I belanja sebagai hadiah perkahwinan ".
" Kih kih....". Aku tertawa bila dia menghadiahkan aku lampu kalimantan yang berharga RM 7. Jadilah dari seorang kawan 1 Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...