Teman-teman

Monday, October 31, 2011

Begitu Sekali Marahnya Ning

Isteriku amat suka akan kucing walaupun kami tidak membelanya. Semasa berada di rumah sewa di kampong, anak kucing jiran yang kelaparan dijamunya nasi. Bila sudah kerap di beri makan maka kucing itu pun bertukar melepak pula di rumah sewa isteriku. Siap di beri mereka nama. Teh sebab kucing itu warna putih. Comot sebab kucing itu datang dengan badan yang comot lalu di ambilnya kucing tersebut lalu dibersihkannya. Ramai yang membela kucing tapi tidak memberi kucing makanan. Maka merayau-rayaulah kucing mengiau kelaparan. Bila kami nak pindah kerumah baru di beritahunya kepada Teh akan hasrat hati. Nampak sedih Teh mendengar dari isteriku yang kami hendak berpindah. Begitu lembutnya isteriku terhadap kucing.

Setelah kami berpindah kerumah baru. Perkara yang sama juga berlaku. Seekor kucing sering mengiau kelaparan di depan pintu rumah kami. Kurus badanya. Entah kucing siapa. Isteriku terus kedapur mengambil makanan lalu diberinya kucing makan. Begitu lahapnya dia makan. Mungkin sudah lama tidak merasai makanan. Lama kelamaam kucing ini yang di beri nama Ning sebab bulunya kuning lepak di rumah kami. Bila kami pulang saja terus dia berlari manja ke kaki. Ketika bermain-main dengan kucing , jiran kami beritahu yang kucing itu mereka yang punya. Mungkin mereka menyangka yang kami hendak memelihara akan kucing ini. Aku berkata yang kucing ini sangat lapar sebab itu kami memberinya makan. Terdiam mereka mendengar penjelasanku. Ya la kalau nak bela binatang jagalah dia elok-elok. Binatang pun ada hak-haknya.

Hari ini ketika aku pulang ke rumah. Ning menghampiriku. Disondol-sondolnya kaki aku.
" Aii..janganlah sondol. Sat lagi kena pijak nasib la ". Kataku kepada Ning yang buat dek saja.
" Ngiau..ngiau ". Manjanya suara Ning yang kelaparan
" Sat..sat nak buka pintu. Tepi sikit ". Kataku kepada Ning yang terus menyondol kakiku. Akhirnya berlakulah kemalangan yang tak disengajakan. Aku terpijak kaki Ning.
" Psst..psstt ". Bunyi Ning kesakitan. Apa tidaknya aku pakai kasut safety shoes. Memang keras.

Aku melihat Ning sudah lain macam marahnya akibat kesakitan yang terlampau kut. Aku terus membuka pintu rumah. Ning terus mengejar aku. Terkejut beruk aku dan terus aku berlari terhinjut-hinjut menahan kesakitan lututku.
" Ngiau..lor..lor ". Sambil mengejar aku. Marah betul dia. Aku melompat ke atas anak tangga menuju ke atas rumah. Ning tiba-tiba terhenti. Aku pun terdiam di atas anak tangga.
" Amboi...makcik dok bagi makan selalu pun nak marah ka. Kan aku dah kata tepi sikit. Hang dok menyondol sangat buat apa ". Aku boleh cakap dengan kucing dan Ning pula seperti mengerti apa yang aku cakap.

" Oh..nak tunjuk garang...Sat..sat ". Aku menuruni anak tangga. Ning terkejut melihat aku pula nak mengamuk. Apalagi langkah seribulah dia. Akibat lantai rumahku licin maka acapkali Ning terlepas sasaran kepintu.
" Bedeboom.. ". Dia melanggar pintu. Terus berlari menuju keluar rumah.
" Bukan nak terima kasih bila di beri makan. Silap sikit nak marah ka ". Aku berkata kepada Ning. Tiba-tiba aku perasan yang jiran sebelah membuka tingkap untuk melihat apa yang berlaku. Malunya aku. Mungkin jiran sebelah rumah menyangka yang aku ni wire sudah putus boleh bergaduh dengan kucing. Aku cerita kepada isteriku. Tertawa dia. Nasib baik di berada di gerai. Kalau di rumah sudah tentu dia berguling-guling sambil tertawa.
" Abang ni merapu la. Dengan kucing pun nak bergaduh ".
" He he., entah-entah abang nak menopos ". Kataku kepada isteri lalu di sambut ketawa. Janji dia terhibur dengan watak aku sudah.

Sunday, October 30, 2011

Program Meniti Usia Baligh 29 Oktober 2011

Sabtu - 29 Oktober 2011 merupakan bermulanya program Meniti usia Baligh untuk program remaja yang berusia dari 12 - 15 tahun. Target penyertaan ialah seramai 100 orang namun telah melepasi target. Ia di adakan di dewan Masjid Seberang Jaya Pulau Pinang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.

Anak remaja perempuan dari tamanku

Sehari sebelum program aku masih lagi menerima sumbangan wang ringgit dari rakan-rakan. kata mereka, mereka tidak mampu memberi sumbangan beratus-ratus ringgit. hanya puluhan saja dapat disumbangkan. Masyallah itu sudah memadai buatku. Allah tidak memandang berapa yang kita sumbang tapi keikhlasan kita membantu agama Allah. Walaupun sedikit dari pandangan kita tapi besar nilainya disisi Allah. Dalam hadis RasulullaH saw yang di riwayatkan oleh Imam ahmad, [ Mafhumnya ], " Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskannya dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi ( menyelesaikan ) kesulitan orang lain ".

Anak remaja lelaki. Rambut cacak-cacak pun sanggup hadir

Aku menerima panggilan talipon dari seorang wanita. Katanya dia hendak menyumbang kuih untuk anak remaja sebelum bertolak. Aku tidak menolak permintaannya malah ucapan terima kasih yang aku ucapkan. Semoga Allah mengurniakan kepadanya rezeki yang lebih untuknya. Jam 7 pagi anak-anak remaja lelaki dan perempuan sudah memenuhi kawasan surau menanti kedatangan aku. Seramai 31 orang yang akan menaiki bas kilang menuju ke Masjid Seberang Jaya. Seronok nampak mereka. Kesemua mereka telah menampakkan kedewasaan.

Warna Nostalgia sedang memberi tazkirah rengkas sebelum bertolak

Sebelum bertolak aku memberi peringatan agar memelihara akhlak sewaktu berada di tempat orang. kataku kepada mereka,
" Adik akan mendapat ramai kawan semasa program berlangsung. Jadi kalau dapat kawan baru jangan lupa kawan lama. Kalau dapat marka baru jangan lupa marka lama ". Tertawa adik remaja bersama ibu bapa.
" Siapa di sini yang sudah ada marka ". Sengaja aku menyakat mereka. Maka kembang kembislah hidung anak-anak remaja.
" Hah...kalau nak tau siapa dah ada marka tengok yang hidung kembang kempis tu confirm dah ada ". Ibu bapa turut tertawa bila anak-anak mereka di sakat. Setelah membaca doa maka kami menuju ke bas kilang yang sudah menunggu.

Anak-anak remaja menaiki bas kilang

Riuh bila ramai penduduk yang melihat akan begitu ramai anak remaja menuju ke bas.
" Depa buat program apa. Pasai apa kami tak tau ". Kata sesetengah ibu bapa.
" Bestlah program ni mak. Boleh naik bas lagi. Pasai apa depa tak bagi tau ". Kata pula anak remaja yang tak tahu menahu atau sengaja tidak ambil peduli. Aku bukan sengaja nak buat gimik ini. Bila mereka sudah melihat akan keriuhan program ini maka program yang akan datang mungkin akan menarik minat ibu bapa. Kesihan seorang anak remaja perempuan berumur 16 tahun. Beria-ia daftar untuk pergi tapi akhirnya datang memberitahu yang ayahnya tidak mengizinkannya pergi. Entahlah ayah jenis apa orang ini. Tak sampai melihat anak remaja ini hanya memerhati rakan-rakannya menaiki bas kilang. Semoga Allah bukakan pintu hati ayahnya.

Pasangan kembar pertama turut mengikuti program ini.

Pasangan kembar ini telah mendapat penyumbang. Ayahnya mempunyai 3 orang anak dan hanya mampu menghantar seorang saja. Pasangan kembar ini begitu berminat untuk turut serta. Akhirnya aku telah mendapat penyumbang-penyumbang dari rakan-rakan yang baik hati ingin membantu. Meloncat-loncat bila di beritahu yang mereka berdua dapat hadir. Si ayah begitu sebak ketika memeluk aku sambil mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada mereka yang menyumbang anak-anaknya. Seronok rasanya bila kita dapat rasakan yang Allah banyak membantu meringankan kesulitan kita.

Pasangan kembar kedua

Si emak dan ayah begitu mengambil berat akan anak-anaknya. kata si emak kalau ada apa program untuk anak remaja tolong beritahu. Alhamdulillah setiap kali ada program remaja pasangan kembar ini pasti menyertainya.
" Terima kasih kepada Budiman dan rakan-rakan yang buat program ni. Semoga Allah memberkati keluarga semua ". Itulah doa emak mereka bila berjumpa aku. Terasa cukup indah bila kita di doakan demikian.

Pensyarah jemputan Abang Bai

Inilah dia pensyarah yang terkenal. Masih muda lagi namun program yang dibawa amat berkesan sekali. Panggilan manjanya ialah Abang Bai. Adik-adik remaja begitu terhibur sekali. Pandai nyer dia.

Kakak-kakak fasilitator

Kehadiran mereka banyak membantu terutama sekali adik-adik perempuan. Begitu mesra mereka dengan adik-adik remaja. Kadang kelihatan seperti mereka juga peserta.

Abang-abang fasillitator

Mereka juga banyak membantu untuk adik-adik lelaki. Sebelah Abang Bai ialah Abang Siraj katanya. Nama dan lidahnya macam orang perancislah. Bakal peguam la. Bukan calang-calang fasi

Peserta lelaki

4 orang adik lelaki dari tamanku berjumpa ingin pulang. Katanya emaknya talipon suruh pulang sebab nak pergi kenduri di kampung. Aku tersenyum sebab aku tahu bahawa mereka sedang merancang sesuatu. Seorang lagi kawan juga memberi sebab yang dia adalah sepupu. Jadi kena balik juga. Aku tanya yang ketiga pula. Kata adik tersebut dia adalah jiran pada yang pertama jadi dia juga di jemput. Aku semakin tertarik dengan cara pakatan mereka. Aku bertanya yang keempat pula. Katanya dia kawan mereka semua. Maknya pesan kalau ketiga-tiga balik dia kena ikut sama. aku tersenyum sambil meminta mereka berjumpa dengan urusetia terlebih dahulu. Terus aku berjumpa fasi dan meminta agar menasihat adik-adik yang cepat boring.

Alhamdulillah setelah di nasihat oleh fasi wanita akhirnya niat mereka berubah. Mereka datang berjumpa denganku
" Pakcik kami tak jadi balik. kami tunggu sampai habis ". Aku hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah kerana berjaya menahan perasaan ingin pulang. Tahniah kepada fasi wanita yang lembut menasihati anak remaja. kalau akulah tentu akan berkeras. Maklumlah tiada pengalaman nak handle anak remaja.

Anak remaja perempuan

Begitu mudah dengan mereka. ketika waktu rehat mereka datang berjumpa aku
" Pakcik bestlah program ni. Tak jemu. Kita buatlah di surau kita pakcik. Kami akan ajak kawan-kawan yang lain ". Kata anak remaja perempuan dengan penuh semangat sambil tertawa sebab aku telah di jadikan sebagai model semasa program berjalan.

Adik minta maaf dekat ayah

Di akhir program ialah bersama ibu bapa. Di sinilah kelihatan dan kedengaran esak tangis anak-anak memohon ampaun dan maaf kepada kedua ibu bapa. Melihat mereka, aku juga turut mengalir air mata
Ingat emak juga sayangkan along. Along jadilah budak yang baik ya

Di akhir program aku dapat merasakan kelazatan yang amat susah untuk di tafsirkan. Sudah 2 tahun selepas kematian Siti Aishah aku terus membisu dari menyertai program begini. Bukan aku marahkan tuhan tapi aku pasti terbayang wajahnya bila menyertai program begini. Kali ini pun aku masih terbayang-bayang bagaimana sibuknya isteriku kesana-kesini. Aku dapat rasakan kekosongan bila membuat program berbentuk begini. Terasa seronok bila melihat rakan-rakanku bersama suami isteri bergelak ketawa sambil membuat program. Semua itu hanya tinggal kenangan buat diriku.

Ya Allah engkau berikanlah kebahgiaan di dunia dan di akhirt kepada anakku ini

Apa pun hidup pasti ku teruskan. Dakwah kepada masyarakat tidak boleh aku pinggirkan. Sebelum melakukan solat asar, datang seorang bapa menghulurkan sumbangan kepadaku. Katanya buatlah program untuk anak-anak remaja. kata-kata yang membuat aku menangis sewaktu mengerjakan solat ialah,
" Budiman dalam keadaan kaki terhencut-hencut sanggup bekorban kesakitan demi anak-anak kami. Tak kan kami tak boleh membantu wang ringgit untuk membantu program Budiman dan rakan-rakan ". Terasa begitu sebak aku ketika itu menerima sumbangan sebanyak RM200 dari seorang bapa. Subhanallah memang Allah membantu akan program ini. Tahniah aku kepada urusetia yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Tahniah juga kepada ibubapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka. Jumpa lagi selepas Aidil Adha...

" Ya Allah andaikata ini merupakan kebaikan yang aku lakukan maka aku sedekah pahalanya kepada kedua ibu bapaku dan isteriku yang di kasehi Siti Aishah ".

Friday, October 28, 2011

Assalamualaikum Sayang

Aku sering melihat dan mendengar bila pasangan yang bercinta sering mengungkap akan kata-kata cinta.
" Hai sayang. apa khabar ".
" Rindulah ayang. lama tak jumpa. Ayang sihat ". Itulah perkataan yang pernah aku dengar bila pasangan yang bercinta berbual dengan pasangan masing-masing di talipon bimbit. Akhirnya bila di ijab kabulkan masih lagi terdengar perkataan sayang tapi sudah jarang dari selalu. Bila isteri sudah melahirkan cahaya mata mula perkataan itu berubah.
" Papa tolong belikan mama sayur ". Itulah si isteri bila meminta suaminya membeli sesuatu. lama kelamaan perkataan itu sudah menjadi sebati buat mereka. Hilang sudah perkataan sewaktu hangat bercinta dahulu. Bila anak meningkat dewasa dan berkahwin maka berubah pula ayat-ayat cinta.
" Tok wan hang tolong pi kedai beli sayur ".
" Aku nak pi kedai. Tok hang nak kirim apa ".

Pagi ini sengaja aku ungkapkan perkataan sayang kepada isteriku bila tiba di gerai. Bukan tak pernah aku ungkapkan perkataan ini tapi sengaja aku bergurau di depan anak.
" Assalamualaikum sayang ". Tersenyum isteriku sambil menjawab salamku. Anak gadisnya tersenyum simpul bila aku memanggil ibunya sayang.
" Rasa pelik la ayah panggil mak sayang ". kata anak gadis kepada ibunya.
" Tak apa. Mak suka ". Kata isteriku kepada anak gadisnya. Aku yang mendengarnya tersenyum.
" Orang muda tak apalah sebut sayang. Ni dah tua ". Gurau anak gadis isteriku.

" Itulah yang pasangan sekarang melakukan kesalahan. Sebelum kahwin sayang lah, darlinglah. i miss you la. Tapi bila sudah kahwin hilang perkataan tu semua ". Aku berkata kepada anak tiriku. Tersenyunm sumbing dia.
" Biarlah perkataan sayang berkekalan sehingga akhir hayat kita. Rasulullah pun sering memanggil isteri baginda Ya Humairah ( Yang kemerah-merahan ) ". Kata-kataku membuatkan anak tiriku terdiam terus tanpa suara. Malukah kita untuk memanggil dengan panggilan yang romantik. Apakah kita suka dengan panggilan emak hang, abah hang, tok hang dan tok wan hang. Apakah perkataan ini hanya layak di guna pakai bila sudah tua...

Wednesday, October 26, 2011

Hantu Curi LaksaKu

Aku menerima sms dari adikku yang berada di Kelantan. Dalam mesejnya mengatakan yang dia akan pulang ke Penang untuk menziarahi ibu kami cuti Deepavali ini. Teringin benar dia untuk merasa laksa Kak Rosnah. Tersenyum aku membaca mesej dari adikku. Terus aku beritahu kepada isteriku.
" Nah boleh buat kuah laksa saja sebab berniaga ". Itupun sudah mencukupi bagiku sebab aku tahu betapa sibuknya dia bila berniaga. Bangun seawal 4.30 pagi untuk memasak. Jam 6.30 pagi sudah bertolak ke gerai. Pulang ke rumah jam 12 tengahari dan menibar roti canai untuk proses esok pula. Letih usah di cakap le. Sebab itulah aku tidak berkira sangat samada dia masak atau tidak. Kalau aku larat aku saja yang masak. kalau tidak beli saja lauk di luar.

Ketika aku pulang dari bertugas, hujan turun dengan lebatnya. Sepanjang melalui jambatan Pulau Pinang banyak kenderaan terpaksa memperlahan kenderaan sebab jalan di hadapan begitu kabur akibat hujan lebat beserta angin kuat. Sebagai penunggang motosikal kadang-kadang aku terpaksa memberhentikan motosikal di laluan sebelah kiri. kadang-kadang angin akan menolak motosikalku ke tengah. Memang bahaya. lewat aku tiba di rumah. Isteriku sudah menunggu. Badan terasa menggigil kesejukan. Isteriku menyediakan minuman panas agar menyegarkan badanku. Selepas solat asar aku terlalu letih sehingga terlelap.

" Abang..Nah nak kena buat kuah laksa malam ni. Abang kena ke kedai beli sardin ". kata isteriku selepas melihat aku terjaga dari tidur. Hujan masih lebat di luar. Kalau nak ikutkan hujan memang aku tak keluar rumah jawabnya.
" Nah nak minta abang beli apa ". Aku bertanya isteriku.
" Abang beli laksa 4 bungkus dan 1 tin besar sardin. Jangan beli Mackerel. Abang selalu suka beli mackerel dan bukannya sardin ". Tersenyun aku bila bersungguh-sungguh isteriku memesan. Aku ni memang terkenal dikalangan adik beradik.
" Budiman ni kalau tak ke kedai 2 kali bukan dia lah ". Perli kakakku. Merah betul hidungku bila mendengar di perli begitu.

" 2 bungkus untuk kita dan 2 bungkus lagi abang hantar kerumah emak. Suruh depa rendam malam ini ". Aku mengiakan saja akan nasihat chef. Dalam hujan lebat aku memacu motosikal ke kedai runcit dan membeli seperti yang di pesan. Terus aku kerumah emak untuk menghantar laksa. Aku mengeluarkan 2 bungkus laksa untuk emakku. Selepas berborak hampir 1 jam isteriku menalipon menanti sardin. Bergegas pula aku ke motosikalku. Menyirap darah bila melihat laksa hanya tinggal sebungkus saja. Mana lagi sebungkus. Aku memanggil adikku untuk memastikan samada aku mengeluarkan 2 bungkus laksa untuk mereka.
" Betul bang. Abang bagi kami 2 bungkus saja ". Kata adikku.
" Ni ada something wrong dengan rumah emak ni. Abang pasti ada 2 bungkus dalam raga motosikal tadi. Bila keluar tinggal sebungkus saja ". kataku membuatkan adikku pucat.
" Malam ni sebelum tidur hangpa bacalah ayat quran. Takut esok bangun pagi dia sorok emak pula ". Aku berkata kepada adikku.

Aku memecut motosikal sambil memikirkan tentang laksa. Aku terus memberhentikan motosikal bila tiba-tiba aku ingat bahawa sardin juga turut hilang. Aku menalipon adikku kembali.
" Mas...abang nak bagitau sardin pun benda tu curi juga ". Bertambah takut adikku bila mendengar cerita aku.
" Allah bang...Allah bang ". Itulah ayat yang mampu adikku luahkan. Aku ke kedai semula untuk membeli sebungkus lagi laksa dan sardin. Sebelum pulang kerumah sekali aku menalipon adikku.
" Jangan lupa malam ni. Sebelum tidur baca dulu Al-Mathurat ". Kataku kepada adik.

Sebelum sampai di rumah aku singgah semula di kedai yang sama untuk mencari bunga kantan. Bila melihat saja muka aku terus mamak memanggil
" Bang...abang ada tinggal laksa sama sardin. Saya panggil abang tapi abang terus naik motor ". Ha...rupanya aku yang tertinggal laksa dan hantu yang mendapat nama yang buruk. Tertawa aku seorang diri bila memikirkan bagaimana kalau kesemua adik beradik aku tahu akan cerita ini. Sudah pasti aku di kutuk habis-habisan. Tak sabar aku nak cerita kepada isteriku. Bila sampai aku memberi sardin kepada isteriku.
" La...abang beli mackerel juga. Sampai 2 tin pula tu. Kan Nah pesan beli sardin bukan mackerel ". Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Memang sah kalau tak ke kedai 2 kali bukan aku la. Terpaksa keluar sekali menukar dari mackerel ke sardin.
" Abang rasa abang ambil sardin ". kataku sewaktu menghulurkan sardi kepada isteriku.
" Kira yang salah tu tangan abang la ". Perli isteriku sambil tertawa. Nak buat macam mana terima aje la.

Aku menalipon adikku lalu menceritakan kisah benar yang terjadi.
" Abang ni mengarutlah. Habis kami semua takut nak tidur memikirkan hantu jenis apa yang menyorokkan barang. Rupanya hantu lain yang lupa ". Kata-kata adikku membuatkan aku tertawa kuat sehingga isteriku pula bertanya apa halnya. Terpaksa pula cerita kepada isteriku kisah yang terjadi. Tertawa dia bila mendengar cerita aku.
" Abang ni merapulah. Ada ka hantu boleh curi laksa dan sardin ". Sekali lagi aku kena perli. Hari ini aku membawa kuah laksa untuk jamuan tengahari. Aku tahu kali ini sudah pasti aku kena sakat oleh adik beradik.
" Assalamualaikum ". Aku memberi salam
" Waalaikumussalam. Cuba check tengok kuah laksa tu ada ka tak. Takut kena sorok ". Kata adikku yang membuatkan semua adik beradik tertawa. Nak buat macam mana. Memang nasib aku kali ini kena sakat habis habisan. Sorry hantu.....Wa punya pasal Lu yang kena

Monday, October 24, 2011

Bersangka Baiklah Dengan Allah

Aku masih ingat ketika aku di uji Allah dengan kematian isteri tersayang pada tahun 2008. Aku begitu sedih sehingga aku berdoa kepada Allah mengapa aku yang di uji dan bukannya orang lain. Sebelum ini akulah orang yang pandai memberi nasihat. " Sabarlah ini merupakan ujian Allah untuk kita ". Inilah ayat yang sering aku guna pakai ketika menziarahi rakan-rakan ketika mereka menerima ujian Allah. Terus aku menyepi dari bergaul dengan rakan-rakan dan segala aktiviti keagamaan aku pinggirkan. Aku hanya hadir sebagai tetamu dan kemudian pulang kerumah. Begitu juga di surau. Aku lebih suka berdiam diri dari mencampuri segala aktiviti surau. Sudah 2 tahun peristiwa hitam berlalu dan aku masih terkial-kial untuk bermula. Ramai dari kawan-kawan dari NGO dan surau menalipon meminta aku terlibat sama dengan program namun hati aku tidak seperti dulu. Aku seolahnya-olahnya masih memarahi tuhan. Suatu hari aku mendengar kuliah agama di surau. Kata ustaz andaikata kita di uji dengan ujian berat seperti kematian, bersangka baiklah terhadap Allah. Mungkin Allah sedang merancang sesuatu yang lebih untuk kita. Kini semuanya telah menjadi kenangan yang begitu indah buatku. Aku kerap berdoa kepada Allah agar di beri kekuatan untuk aku bangkit semula tapi kalau aku sendiri tidak berusaha maka Allah tidak akan membantuku.

Baru-baru ini ketika aku membuka email, aku terlihat akan poster ini yang telah di kirim oleh rakan NGOku. Terus aku print poster ini dan kemudian pergi kepekan lalu aku fotostat. Setelah itu aku terus melekatkan poster ini di setiap penjuru tangga. Harapanku agar masyarakat setempat dapat menerima program yang baik untuk anak-anak mereka. Aku mensasarkan sebanyak 5 orang akan menyahut program ini dan sudah pasti harapan yang amat tinggi agar anak-anak didik nasyid yang pernah aku latih dapat bersama. Selepas solat aku berdoa agar Allah membuka pintu hati ibu bapa dan anak-anak agar mendaftar untuk program ini.

Aku menerima panggilan talipon dari Jawatankuasa wanita surau mengatakan yang ramai anak-anak remaja begitu berminat dan ibu bapa pula memberi keizinan. Aku mensasarkan seramai 5 orang tetapi ia mula mencecah 10 orang. Masalah ibu bapa ialah tiada pengangkutan untuk mereka ke masjid sebab ia perlu melintasi jambatan Pulau Pinang. Aku berjanji andaikata terdapat ramai penyertaan aku akan menyewa van atau bas sekolah. Aku mendapat berita pula yang seorang ayah mempunyai 3 orang anak. Ketiga-tiga anaknya begitu berminat untuk menyertai program ini. Namun si ayah hanya mampu menghantar seorang saja atas faktor kewangan. Aku meminta si ayah mendaftar 2 lagi anaknya. Tentang wang biarlah aku fikirkan. Sebak si ayah memeluk aku. Aku dapat merasai kelazatan bila kita membantu agama Allah.

Aku terus menghantar email dan sms kepada rakan-rakan andaikata mereka mahu membantu untuk program anak-anak remaja. Ketika itu aku memerlukan sokongan dalam bentuk kewangan. Menyewa sebanyak 2 buah van sudah RM600. Ada yang kurang mampu tetapi ingin turut serta. Itu perlu di utamakan. Aku berdoa agar Allah membantuku. Terharu aku bila tidak putus-putus rakan-rakan pledge untuk menyumbang wang ringgit kepadaku. Aku berjumpa dengan seorang lelaki dimana anak-anaknya memang layak untuk program ini. kata si ayah anak-anaknya sedang mengambil peperiksaan dan tidak mahu mengganggu mereka. Terus aku berkata jangan risau dan bersangka baiklah kita dengan Allah. Seseorang itu tidak akan gagal hanya kerana mengikuti program keagamaan melainkan dia belajar disaaat akhir. Itu terpulang kepadanya. Aku sudah maklumkan tentang progran yang baik untuk anak-anaknya.

Alhamdulillah aku menerima berita dari Jawatankuasa wanita mengatakan yang jumlah yang mendaftar adalah sebanyak 24 orang dan masih lagi yang bertanya untuk mendaftar. Aku dapat merasakan yang Allah telah membantu aku dan rakan-rakan. Yang paling melucukan aku ialah bila anak-anak pulang kerumah lalu berkata kepada ibu bapa mereka,
" Mak...cek nak masuk program yang pakcik Budiman buat ". Alhamdulillah ibu bapa bila mendengar aku yang membuat program terus memberi keizinan. Aku begitu tersentuh bila ibu bapa begitu mempercayai aku. Terasa begitu lazat yang tidak dapat aku gambarkan dengan penulisan betapa Allah membantu seseorang jika seseorang itu membantu agama Allah.

Tuesday, October 18, 2011

Beringatlah

Apakah akan terlintas di fikiran pembaca semua bila situasi ini berlaku kepada kita. Tentu kita memikirkan bahawa saat kematian kita pasti tiba. Mangsa begitu khusyuk menanti waktu. Kita pula berpeluh menanti saatnya.

Sabda Rasulullah saw, " Rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. 1. Masa sihat sebelum sakit. 2. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit ( miskin ). 3. Masa lapang sebelum tibanya masa sibuk 4. Masa muda sebelum datangnya masa tua 5. Masa hidup sebelum tibanya masa mati. ". Hadis riwayat Al-Hakim dan Al-Baihaqi.

Hadis ini dituju khas kepada penulis blog ini sendiri dengan ingatan jangan lupa diri.

Monday, October 17, 2011

Subhanallah. Tenang Dan Mendamaikan

Jam7 pagi tadi aku keluar untuk bertugas pagi. Bila memasukki Jambatan Pulau Pinang matahari sudah setia menjalankan perintah Allah. memang cantik lalu aku snap gambar ni. Blogger mesti bawa kamera kemana saja. manalah tahu ada gambar yang baik untuk dirakamkan. Jangan silap rakam gambar wanita sudah la no.

Ini dinamakan Kuala Juru. Tempat nelayan memunggah hasil tangkapan. Aku kerap juga kesini manalah tahu dapat ketam, ikan sembilang yang fresh. Baru2 ni dapat ikan duri. Buat asam pedas. Masyallah manis sungguh ikan baru.

Semua orang tahu dan dapat bayangkan bagaimana rupa pokok bakau. Ini dia bunga bakau. Bukan senang nak dapat tengok bunga ni. Kira WN bagi tengok free saja.

Inilah parit yang baru di korek. Kebetulan pagi ini air surut tidak kelihatan penjala-penjala. petang baru air pasang.

Parit yang lama di korek. Amat cantik dan bersih. Boleh mencari ilham untuk buat sajak. Kalau air pasang ia akan naik sampai paras atas. Seronok menebar jala.

Bersebelahan tempat aku bertugas juga terdapat penduduk yang menanam pokok tebu dan nenas. Kadang-kadang dapat juga merasa buah nenas. Moral gambar ini ialah kenapa aku suka sangat bertugas di tempat yang terpencil begini walaupun jarak rumah aku ketempat ini ialah 64 km pergi dan balik. Sebab utama ialah keadaan tempatnya yang tenang. Sunyi diwaktu malam walaupun disulami dengan pendatang tanpa izin. Aku merasa tenang disini.

Di sepanjang jalan menuju ke tempat kerja banyak bunga ini boleh dilihat. Di kampung ia di panggil bunga tahi ayam. Entah kenapa bunga ini mendapat nama sebegini.

Saturday, October 15, 2011

Punggong Abang Berbau

Begitu berguna sekali kad Touch n Go sehinggakan begitu ramai yang menggunakannya sekarang. Bagi pengguna Jambatan Pulau Pinang pengguna akan mendapat diskaun sebanyak 20% tol dengan syarat mesti daftar di pejabatnya berdekatan tol jambatan. Kalau motosikal tanpa diskaun akan di caj sebanyak Rm1.40. Dengan diskaun pengguna akan di caj sebanyak RM1.12 manakala kereta pula tanpa diskaun di caj sebanyak RM7 dan selepas diskaun di caj sebanyak RM5.60. OK kan. Maka ramai yang sudah menggunakan kad touch n go bila memasuki jambatan. Aku juga merupakan pengguna kad touch n go

Berbagai ragam manusia menggunakan kad untuk menaikkan palang. Ada yang melekat kad di mesin maka akan naiklah palang. Ada yang menekap beg duit dan masih boleh lagi menaikkan palang. Yang paling unik ialah meletakkan kad di belakang pokek iaitu di punggung. Bila sampai dimesin terus mereka menonggeng punggung dan palang pun akan naik. Inilah yang akan aku kongsi cerita.



Aku bertugas shif malam. Jam 8 pagi aku sudah menyerah tugas kepada rakanku. Dalam 8.30 pagi aku bertolak untuk pulang kerumah. Aku tidak risau dengan jambatan samada jamn atau tidak sebab aku menggunakan motosikal. Aku tidak suka menggunakan kereta sebab melambatkan perjalananku terutama ketika memasuki jambatan. Kalau berlaku kemalangan atas jambatan alamat bekalan yang dibeli boleh dihabiskan didalam kereta.

Bila aku sampai di tol jambatan kelihatan motosikal berderet. Tak pernah-pernah motosikal berderet semacam ini. Laluan kad touch n go juga sesak. Aku melihat seorang lelaki terkial-kial samada nak memasuki laluan berbayar atau touch n go. Akhirnya dia masuk ke laluan touch n go. Seorang lelaki dihadapannya bila sampai di tol terus menonggeng punggung melekat di mesin. Begitu mudah sekali.
" Tit tit tit ". Bunyi mesin pengimbas dan palang pun terbuka.
Aku berada di nombor 4 belakang lelaki yang terkial-kial tadi. Tiba gilirannya terus dia menonggeng punggungnya melekat di mesin. Sonyap jer mesin. Di tonggengnya sekali lagi. Diam mesin tu tak berbunyi. Tonggengnya lagi dan akhirnya mendapat teguran special dari seorang lelaki.
" Bang..pungkok abang berbau. Tu yang palang tak mau buka ". Guraunya di ikuti ketawa dari penunggang yang lain. Aku tersengih namun dalam hatiku hanya tuhan saja yang tahu.

Lelaki tersebut begitu panik sambil meraba pokek seluarnya untuk mencari duit.
" Bang ini touch n go. Nak bayar sebelah sana ". Kata lelaki di depannya. Akhirnya lelaki tersebut terpaksa meminta penunggang yang lain mengundur untuk dia keluar kelaluan berbayar. Bukan senang penunggang lain nak untur motosikal. Akhirnya terpaksa juga pekerja tol datang lalu membenarkan palang dibuka dan lelaki tersebut membayarnya dihadapan. Begitu jamn motosikal tanpa mereka tahu yang menyebabkan jamn ialah masalah tonggeng yang tak laku. Bila sampai di rumah aku ceritakan kepada isteriku. Ketawa dia bila melihat aku menggayakan keadaan lelaki tu menonggeng punggungnya. Itulah masalahnya kalau kita hanya pandai meniru tanpa berfikir rasionalnya. Penunggang motosikal yang menggunakan kaedah ini pastikan kredit penuh ya......Kalau tidak sia-sialah tonggengan anda....

Friday, October 14, 2011

Awat Bangang Sangat Ni

Pada February 2009 pernah aku menulis tentang kisah Boy dan Leman iaitu 2 ekor kerbau yang di pelihara oleh seorang makcik. Kisahnya disini. Hampir setiap hari andai kata aku melalui jalan ini sudah pasti terserempak dengan makcik ini. Tak berkesempatan aku nak merakam wajahnya yang banyak menceritakan tentang kegigihannya. Kalau aku keluarkan kamera dan dihalakan kepadanya sudah pasti dia mengelak dari di rakam. Kadang-kadang aku mendnegar dia memarahi lembu-lembunya.

Baru-baru ini aku telah diarahkan untuk menyelia kontrak. Dari jauh aku melihat makcik tersebut bersama lembu yang di pelihara melalui jalan berhampiran tempat aku bertugas. Beberapa anak muda begitu ramai sedang menjala berdekatan taliaiar. Kini sepanjang parit telah bersih setelah di korek baru-baru ini. Aku meminta agar rakanku bersedia dengan kamera yang dibawa olehnya. Bukan mudah nak dapat pic macam ini. Makcik tersebut tidak perasan dengan kami jadi amat senang rakanku mengambil gambar.

" Hoi...awat bangang sangat ni. Jalanlah elok-elok ". Marah makcik tersebut pada lembu-lembu. Dipukulnya lembu-lembu yang tidak mendengar cakap dengan kayu.
" Awat tak dengar cakap ni. Bodoh ka ". Tempik makcik tersebut kepada lembu yang buat dek saja. Anak muda yang sedang menjala ikan turut sama ketawa dengan gelagat makcik tersebut.
" Aiya itu pelempuan gila ka. Ciakap sama lembu. Dia yang boloh. Bukan lembu ". kata apek kontrak yang sedang membuat kerja. Terhenti kerja mereka mereka melihat makcik tersebut yang bercakap dengan lembu.
" Hoi...aku tak bagi hang makan nanti ". Tempik makcik kepada lembu-lembunya sambil tidak menghiraukan dirinya diperhati.
" Itu pelempuan sudah short dia punya wire ". Kata cina kontraktor kepadaku sambil tertawa.
" Tapi tauke walaupun kepala dia ada wire putus, dia talak minta duit sama orang. Dia tarak kacau sama orang. Ini orang tuhan manyak sayang ooo ". Kataku kepada cina kontrak yang hanya terdiam. Adakah dia faham akan maksudku.

Mungkin kita akan tertawa dan terhibur melihat gelagat makcik ini. Mungkin dimalam harinya makcik ini melaksanakan tanggung jawabnya kepada Allah. Siangnya dengan lembu yang dijaga dan malamnya beribadat kepada Allah. Nescaya doanya akan didengari Allah. Jangan kita rendahkan manusia pada zahirnya saja. Entah-entah dia lebih hebat dari kita disisi Allah.

Thursday, October 13, 2011

Abang Jangan Tinggalkan Nah ya

Aku pulang dari kerja sudah lewat petang. Sudah 16 jam aku bekerja. Ingin benar aku mengajak isteriku ke pasar malam. Kasihan juga aku dengannya. Aku jarang berada di rumah kerana tuntutan ibadah kerjaku.
" Abang nampak letih. Abang tidurlah dulu. Nanti maghrib Nah kejutkan ". Aku akur dengan isteriku sebab aku sendiri amat keletihan. Malamnya aku akan bertugas kembali. Sedar-sedar isteriku berada disisku. Sudah maghrib rupanya. Setelah bersihkan diri dan solat maghrib aku kehadapan TV menonton siaran berita. Isteriku sibuk didapur untuk makan malam kami. Dibawanya sepinggan nasi bersama gulai ikan kering. Aku menjamah sedikit sahaja sebab dengan badan keletihan, hilang selera makanku.

Akhirnya aku mencari buah sengkuang untuk aku cicah bersama kuah rojak. Berselera pula aku dengan buah ini. Aku menukar channel ke astro Prima. Drama Titian Siratulmustaqim lakunan Nasir Bilal Khan dan Fauziah Nawi menarik minatku lalu aku mengajak isteriku menonton bersama. Kisah bagaimana sifat cemburu seorang isteri iaitu Fauziah Nawi terhadap suaminya. Melihat drama ini begitu cepat memori kisah aku dan arwah Siti Aishah bermain kembali. Aku terkenangkan tatkala arwah isteriku begitu cemburu bila melihat gambar aku bersama seorang wanita yang cantik dengan sejambak bunga yang di hulur kepadaku.

Berkali-kali aku beritahu yang wanita itu bukan kekasihku. Ia terjadi ketika aku menghadiri kursus kualiti anjuran departmentku. Setelah berada di penghujung kursus, setiap kumpulan telah diarahkan membuat persembahan manakala aku telah dilantik menjadi pengerusi majlis yang akan dihadiri oleh para VIP. Alhamdulillah aku dan rakan-rakan yang lain telah dapat melaksanakan tugasan kami. Akhirnya aku telah di cabar oleh rakan-rakan yang lain untuk menyampaikan sebuah lagu. Tujuan mereka ialah untuk mengenakan aku. Aku terima cabaran mereka dan memilih lagu Lamunan Terhenti nyanyian Aris Ariwatan.

Bila saja aku mengalunkan lagu itu maka riuh rendah dibawah stage memberi tepukan termasuk boss aku. Aku dapat rasakan flash menyinari tubuhku. Entah kenapa naik seorang wanita yang menjadi siulan dan usikan dari rakan-rakanku terus menghulurkan sejambak bunga. Bercahaya flash menyinari stage. Akhirnya kami diberitahu bahawa semua gambar akan di pos kerumah. Bagiku aku tidak kisah dan aku mengizinkan isteriku membuka setiap sampul suratku. Aku tidak pernah melakukan perkara yang diluar pengetahuannya.

Selang seminggu ketika aku pulang dari kerja aku melihat kelakuan isteriku berubah. Dia tidak seceria selalu. Aku tanya sepatah dijawabnya sepatah. Aku tanya lima patah perkataan tetap dijawabnya sepatah. Bahasa badannya menunjukkan yang ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Setelah aku mendesak akhirnya dia menghulurkan gambar tersebut. Terbeliak biji mata aku bila melihat gambar dimana kelihatan aku dan wanita tersebut seolah-olahnya terlalu intim dengan gaya kami bergambar.
" Abang minta maaf Siti. Memang betul gambar tu gambar abang tetapi abang sendiri tidak sedar bilamasa orang mengambil gambar ni sewaktu abang menyanyi ". Terdiam isteriku mendengar penjelasanku.

Akibat terlalu menanggung perasaan akhirnya isteriku demam panas. Aku mengambil cuti 2 hari untuk menjaganya. Sambil menyuap nasi kemulutnnya aku bersuara,
" Siti. Tahu tak yang abang terlalu sayang dan cintakan Siti. Abang tak sanggup melukakan hati Siti. Terlalu banyak jasa Siti pada abang dan keluarga abang. Demi Allah Siti. Wanita tersebut bukan kekasih abang ". Aku terus menyuap nasi kemulutnya sambil bergenang airmata. Terlalu sebak aku ketika itu. Akhirnya Siti Aishah bersuara.
" Abang..Siti minta maaf sebab tidak percaya abang. Sebenarnya Siti takut abang tinggalkan Siti. Siti terlalu sayangkan abang. Abang jangan tinggalkan Siti ya ". Kata-kata itu membuatkan kami berdua menangis.

Mengalir airmataku melihat drama ini. Isteriku Rosnah juga begitu. Berkali-kali dia menyapu airmatanya sambil memandang wajahku.
" Abang jangan tinggalkan Nah ya ". Katanya padaku. Aku ingatkan itu hanya gurauan darinya. tapi ternyata dia begitu serius dengan permintaannya.
" Insyaallah Nah. Abang tak akan tinggalkan Nah ". Terus dia menyuapkan sengkuang kedalam mulutku. Tindakkannya membuatkan wajahnya dan Siti Aishah bermain-main dimataku. Sesungguhnya mereka berdua merupakan insan yang istimewa padaku.

Tuesday, October 11, 2011

Senyuman Terukir Di Wajah Ibu Mertuaku


Dalam kisah Kasihan Ibu mertuaku aku tidak memaparkan gambar duit yang sebanyak RM1000 yang rosak di makan oleh anai-anai. Atas nasihat rakan-rakan melalui email, blog dan sms akhirnya hari ini aku kerumah ibu mertuaku untuk mengambil wang tersebut. Wajahnya masih sugul sewaktu menyerahkan wang tersebut. Maklumlah duit itulah yang akan di gunakan untuk belanja seharian.

Aku terus ke Bank Negara Malaysia untuk membuat pertukaran. Aku hanya membayangkan kemungkinan mendapat kembali sebanyak RM400 memandangkan yang lain seperti roti jala jadinya.
" Assalamualaikum Encik. Bolehkah saya menukar wang yang rosak ". Tanya ku kepada kerani kaunter.
" Boleh. Kita lihat dulu wang tersebut ". Aku terus menghulurkan wang tersebut.
" Encik tolong cek. Berapa yang saya dapat itulah rezeki saya ". Tersenyum kerani tersebut dengan kata-kataku. Aku diberi borang untuk di isi maklumat peribadi dan selepas selesai aku di minta menunggu.

Dalam masa 20 minit nama aku di panggil.
" Duit encik sebanyak RM1000 kan ". Tanya kerani untuk kepastian. Aku mengiakan.
" OK. Encik dapat kembali wang sebanyak RM1000 ". Menghulurkan borang untuk ditanda tangani. Syukur kepada Allah. Aku terus pulang kerumah dan ibu mertuaku yang setia menanti kepulanganku.
" Mak alhamdulillah. Duit mak dapat balik sebanyak RM1000 ". Sambil menghulurkan kepada ibu mertuaku. Betapa gembira hatinya. Tak putus-putus dia mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku turut bersyukur. Sekurang-kurang aku tidak hanya mendengar kesedihannya. Berusaha dan itulah perkara utama yang perlu ada.

Sunday, October 09, 2011

Masakan Anak Gadisku

" Bang boleh tolong beli daun salad dan rempah sup tak. Nah nak buat nasi ayam ". Isteriku meminta pertolongan sebelum kami bertolak ke Kulim untuk mencari peralatan perniagaan isteriku. Setelah dibuat nasi ayam, jam 10 pagi kami bertolak ke Kulim. Sewaktu bersama arwah Siti Aishah dia sudah maklum yang aku tidak minat dengan nasi ayam. Jadi dia akan buat sambal tumis jawa sebagai ganti. Namun aku tidak beritahu isteriku Rosnah tentang perkara ini. Aku hanya diamkan saja dan membeli seperti apa yang diminta olehnya.

Sedang asyik berlegar di bandar Kulim anak lelakiku menalipon.
" Ayah kakak ajak makan di rumah. Kakak masak sambal tumis udang dan siput kepah masak cili padi ". Mendengar masakan dari anak gadisku membuatkan aku berselera. Sudah lama aku tidak merasai siput kepah masak cili padi. Inilah resepi arwah Siti Aishah kepada anak gadisku. Sayu juga hatiku bila mendengar kedua-dua anakku pagi-pagi lagi sudah kepasar. Memang mereka sudah pandai berdikari. Kalau dulu bila ayah dan emak pulang dari pasar mereka masih lagi berselimut. Kini semua nikmat itu sudah tiada.

Kami sampai dirumah jam 3 petang. isteriku terus kedapur untuk mengambil nasi.
" Abang nak balik rumah abang ke ". Tanya isteriku. Aku mengiakan saja
" Abang tak mau makan ke dulu ". Tak sampai hati aku nak menolak permintaan isteriku. Nanti kecil hati pula. Aku jamah sedikit dan minta izin darinya untuk pulang kerumah pertamaku. Kebetulan anak lelaki akan bertolak pulang ke Tanjung Malim. Setelah anak lelaki bersalaman dan beramgkat pulang ke Tanjung Malim maka aku pun apalagi. Rezeki sudah berada didepan mata. Alhamduillah pandai anak gadisku masak. Macam ibunya. Hari-hari lain dia begitu sibuk dengan kerjanya. Begitu juga denganku. Hari ini dia off manakala aku mengambil cuti maka dapatlah aku merasa masakan anak gadisku. Syukur Ya Allah. Sekurang-kurang memori ini tidak luput dari ingatan.

Saturday, October 08, 2011

Kasihan Ibu Mertuaku

Aku menerima panggilan talipon dari keluarga arwah Siti Aishah. Bergegas aku kesana secepat mungkin. Aku melihat ibu mertuaku dalam keadaan murung. Aku diminta naik keatas rumah lalu ditunjukkan sesuatu. Lebah telah membuat sarang didalam almari. Semenjak pemergian arwah isteriku semenjak tahun 2008 ruang atas tidak lagi di duduki. Selalunya isteriku amat rajin mengemas. Setiap minggu kami akan tidur dirumah mertuaku dan isteriku akan mengemas bermula dari halaman dan di atas rumah.
" Pasai apa mak nampak sedih saja ". Aku bertanya kakak ipar.
" Anai-anai makan duit mak sebanyak RM1000 ". Terkejut aku mendengar. Patutlah aku melihat ibu mertuaku mengalir airmata sewaktu bersalaman denganku.

Duit yang disimpan untuk belanja seharian telah dimakan anai-anai. Apa yang mampu aku lakukan selain bersimpati terhadap ibu mertuaku. Mungkin ada hikmahnya.
" Sabarlah mak ". Itulah ayat yang mampu aku katakan.

Kononnya Nak Diet

" Bang..Nah tengok badan abang semakin berisi la ". Tegur isteriku.
" Pasai apa ramai yang jumpa abang depa kata abang semakin kurus ". Kataku kepada isteri.
" Depa jarang jumpa abang. Nah hari-hari dok tengok abang ". Benar juga kata-kata isteriku. Dia yang berada denganku sepanjang masa.
" Esok abang nak start diet la. Abang tak mau makan nasi. Abang nak makan buah saja ". Tersenyum isteriku namun senyumnya berlainan dari selalu. Macam senyum perli saja.

Aku bertugas malam. Seperti selalu bila jam 7 pagi aku akan keluar kepekan untuk mencari kuih. Bila aku parkir motosikal, nama aku telah di seru
" Bang. Ni mak saya simpan kepala ikan semilang untuk abang ". Lemah lutut aku bila mendengar kepala semilang. Terus seperti di pukau aku membeli nasi bersama kari kepala semilang lagi. Balik aku cerita kepada isteriku mengenai wanita penjual ikan semilang menyimpan kepala ikan semilang untukku.
" Hai kata nak diet. Pantang wanita tersebut panggil. Bahaya bang oii kerap sangat dok beli ". Perli isteriku dalam senyumannya yang manis.
" Tak apa Nah. Tengahari ni abang tak mau makan nasi. Abang nak makan rojak ". Kataku kepada isteri yang hanya menjuihkan mulut antara percaya dan tidak.

Sebelum aku pulang kerumah aku singgah membeli buah nenas, timun, sengkuang, jambu untuk rojak tengahariku selepas solat jumaat. Pulang kerumah aku buat kuah rojak sendiri. Inilah kepakaranku. Hasil berguru dengan arwah Siti Aishah aku tak perlu membeli kuah rojak sebab kuah yang aku buat amat pekat dan sedap. Itu kata akulah. Tapi anak-anak saudara ramai yang puji akan kuah rojak aku. Jam sudah pukul 11 pagi. Begitu cepat masa berlalu. Sempat juga aku lelapkan mata sebelum jumaat. Bila selesai solat jumaat aku pulang kerumah dengan penuh semangat. Isteriku telah memotong semua buah yang aku beli. Begitu berseleranya kami berdua makan rojak buah. Ha ha baru dia percaya yang aku benar-benar serius nak diet.
" Kan abang dah kata yang abang nak diet. Nampak berjaya tak ". Tanyaku kepada isteriku yang hanya tersenyum.

Selepas berehat seketika aku menyambung kembali tidurku yang masih belum mencukupi setelah bertugas malam. Isteriku bersungut mengatakan yang perutnya terasa lapar. Nasi telah dimasak namun lauknya tak ada. Jadi aku keluar membeli kuah gulai di restoran nasi kandar. Wangi juga bau gulai tersebut.
" Nah abang pun teringin juga nak makan sambil mengambil pinggan di dapur ". Tertawa isteriku melihat aku mengambil pinggan.
" Tadi tengahari begitu semangat dengan buah. Ni dah tewas balik ". Aku hanya tersenyum sambil menikmati nasi bersama gulai ikan. Makan aku terjejas bila melihat siaran langsung perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Australia dimana Malaysia telah di belasah Australia dengan 5 - 0.

Sebelum maghrib anak gadisku menalipon mengajak aku menemaninya ke giant membeli perkakas rumah. Kebetulan anak lelakiku balik dari Politeknik jadi kami bertiga berpakat untuk makan di giant. Tiba masanya kami terus ke medan selera. Aku order mee claypot manakala kedua-dua anakku makan chicken chop. Setelah selesai membeli anak-anakku menghantar aku kerumahku.
" Nah abang makan mee claypot ". Aku Beritahu isteriku dan aku tahu sudah tentu dia perli aku.
" Haa...abang makan pula. Macam mana ni. Kata nak diet ". Perli isteriku.
" Abang ingat esoklah nak mula diet ". Kataku kepada isteriku dengan penuh keyakinan.
" Yaa lah tu. Boleh percaya ka dengan abang ni ". Sambil berlalu masuk kedapur.

Pagi ini aku bermula dengan makan kuih muih saja. Aku mengajak anak lelaki ku Lorong Kulit untuk mencari barang.
" Ayah kita makan char koay teow nanti ". Kata anak lelakiku. Ya Allah teguhkan imanku ini. He he. Semoga berjaya wahai Budiman.....Itulah kata-kata arwah Siti Aishah bila aku berhasrat untuk diet

Friday, October 07, 2011

Tak Jemu Ker

Sedang aku bersama kontraktor,aku didatangi oleh pengawal keselamatan
" Encik Ariff. Kakak yang jual ikan sembilang kata esok ada gulai sembilang ". Aku tersenyum sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya. Aku akan bekerja malam dan bila jam 7 pagi aku selalu ke pekan mencari kuih muih dan kadang-kadang aku beli gulai sembilang untukku cicah dengan roti. Aku pulang kerumah lalu aku cerita kepada isteriku.
" Perempuan tu suka dekat abang kut ". kata isteriku sambil tersenyum.
" Siapalah nakkan abang yang tak handsome ni ". Gurau aku.
" Handsome tu tiada tapi baiknya terlebih ". Kata isteriku yang membuat aku tertawa.

Jam 7 pagi aku terus keluar untuk mencari gulai ikan sembilang. Bila sampai dan belum turun dari motosikal lagi aku telah diberitahu yang kepala sembilang sudah disimpan untukku. Kali ini aku teruja melihat begitu besar sekali kepala ikan sembilang. Aku membayar harga sebanyak RM4.50. " Esok ada lagi ikan sembilang ". Kata wanita yang menjual dan ditemani oleh anaknya.

Sebelum aku pulang kerumah aku memetik dulu ulam beluntas dikawasan berhampiran tempat aku bertugas. Embun masih melekat dipucuk beluntas yang kehijauan. Memang mengasyikkan ketika memetik ulam ini. Aku pulang dan singgah di gerai isteriku. Aku tunjukkan kepadanya kepala ikan sembilang.
" Abang ni teringin ikan sembilang atau nak tengok tuan yang buat ". Perli isteriku.
" Tak jemu-jemu abang dengan ikan sembilang ". kata lagi isteriku.
" Bila hati dah suka nak buat macam mana ". Aku pula menambah. Sewaktu aku bersama arwah Siti Aishah dia juga risau bila aku kerap membawa pulang kepala ikan sembilang.
" Kerap sangat abang ni bawa balik ikan sembilang. Abang tak jemu ka ". Gurau Siti Aishah.

Bila dah petik pucuk beluntas tiba-tiba teringat akan sambal nyiur yang dibuat oleh arwah Siti Aishah. Semenjak dia tiada lagi, tidak pernah aku merasa sambal nyiurnya yang sedap dicicah bersama ulam-ulaman. Tiba-tiba teringat ibu mertuaku yang juga pandai buat sambal nyiur. Selepas pulang dari gerai, aku singgah dirumah ibu mertuaku
" Mak. Budiman nak tanya macam mana nak buat sambal nyiur ". Tersenyum ibu mertuaku. Tidak banyak cakap sama seperti anaknya.
" Senang saja. Mai mak nak buat ". Apalagi terus aku berikan nyiur yang dibeli.
" Nanti Budiman mai ambil sambal ni ". Terus dibawa masuk kedalam rumah.

Setelah aku bangun dari tidurku, terus aku siap dan kerumah ibu mertuaku. Diberinya sambal nyiur. Aku rasa sedikit. Memang sedap sambal ni. Bila pulang isteriku terkejut sebab menyangkakan aku yang buat sambal nyiur. Dihulurnya sebungkus nasi. Katanya nasi dalca. Isteriku tahu yang aku berminat dengan nasi dalca.

" Kan abang kerap cerita yang abang suka makan nasi minyak dengan gulai ikan sembilang. Ni Nah beli dekat abang ". Tak sangka ya. Ingat juga dia dekat aku . Apalagi jam sudah 2 petang dan perut sudah lapar. Memang menyelerakan makan nasi dalca bersama gulai kepala ikan sembilang. Cicah pula dengan pucuk beluntas. Subhanallah. Isteriku yang tidak pernah makan ulam bersama sambal nyiur pun turut memuji. Aku sudah tahu cara nak buat sambal nyiur. Bila teringin boleh la aku cuba. Isteriku buatkan aku air halia madu. Katanya tak bagus minum air ais. Nanti perut buncit. Alhamdulillah rezeki Allah beri. Kenyang perut...dan mata mulai mengantuk.

Thursday, October 06, 2011

Allah Bayar Cash

Bersambung dari entry semalam, setelah selesai aku membayar wang untuk ikan bawal goreng aku bergegas pula ketempat kerja sebab aku mendapat maklumat yang Jabatan Saliran akan mengorek dan membersih parit di belakang tempat aku bertugas. Aku harus kesana segera sebab jika berlaku kelalaian sewaktu kerja-kerja pembersihan alamat menanggung gelap ler Pulau Pinang.

Bila sampai kelihatan jengkaut telah mula menjalankan tugasnya. Lumpur diangkat lalu diletakkan diatas. Yang menyedihkan ialah pokok ulam beluntas yang begitu hijau turut tertimbus dek lumpur.
" Sayang pokok beluntas tu ". Aku beritahu kepada driver jengkaut.
" Tak apa bang. Nanti dia tumbuh lagi elok ". Aku membenarkan kata-katanya. Lagi pun aku tidak mahu mengganggu tugasnya. Akhirnya tertanam juga pokok ulam beluntas. Hilang kehijauan pokok ulam.

Ketika aku bersama mereka sudah beberapa ekor belut dapat ditangkap dari dalam lumpur. Cina kontraktor yang bersama aku tak senang duduk bila melihat belut ditangkap.
" Aiyaa. Itu belut manyak bagus oo untuk kesihatan. Satu kilo RM70 ". Katanya kepadaku.
" Apa yang bagus untuk kesihatan tauke ". Sengaja aku bertanya padahal aku sudah mengetahui akan kebaikan belut.
" Itu belut aar baik untuk penyakit penat dan untuk olang jantan ooo ". Aku tertawa bila dia berkata demikian. Walaupun umurnya mencecah 72 tahun, kesihatan tetap dipeliharanya.

Pemuda yang menangkap belut terus menghulur seekor untukku. Cepat-cepat aku mengelak sebab belum pernah aku menjamah belut. Kalaulah aku bawa pulang belut sudah tentu isteriku lari lintang pukang seperti melihat hantu bonceng. Aku sendiri pun geli memegangnya. Terasa seperti memegang ular senduk pula. Pemuda tersebut terus membawa belut ke restoran berhampiran. Katanya nak minta tolong buatkan sup belut.

Datang sebuah motosikal lalu berhenti dihadapanku lalu mengambil sesuatu dari dalam raga motorsikalnya.
" Encik ni saya bagi kerang. Baru saja dinaikkan. Terima kasih kerana parit nampak bersih ". Katanya lelaki tersebut. Ketika air laut pasang besar, airnya memenuhi parit tersebut. Maka ramailah yang datang menjala ikan. Kadang-kadang seperti pesta. Aku sendiri tidak senang duduk bila melihat mereka menjala dan hasil dari menjala begitu banyak ikan didapati. Aku melihat kerang yang diberi kepadaku. Agak-agak dalam 3 kilo.

Teringat kembali bagaimana Allah membayar cash kalau kita amanah. Aku membayar wang ikan bawal goreng yang berharga RM5 lalu aku dihadiahkan kerang pula dalam lingkungan harga itu. Mahasuci Allah kalau kita tidak mengambil hikmah disebalik semua kejadian maka kita tidak akan menjadi orang yang bersyukur. Aku membawa pulang lalu kuberikan kepada isteriku. Gembira sungguh isteriku sebab terlalu teringin nak makan kerang katanya. Tiba-tiba kerang berada didepannya. Terus di rebusnya lalu dicicah dengan kicap yang diperah limau dicampur dengan cili padi dan bawang. Sedap sungguh serta manis sekali.....

Wednesday, October 05, 2011

Makan Tengahariku

Aku diajak kontraktor untuk makan tengahariku di sebuah tempat yang bernama Tok Kangar. Tempat ini memang famous dikalangan pekerja sebab ia menjual bermacam-macam jenis makanan. Sedap atau tidak itu bukan penghalang untuk orang ramai berkunjung. Kata orang di situ ikan bawal gorengnya bukan di beli di pasar tetapi dibeli dari nelayan sendiri. Sebab itu ramai yang datang untuk merasa ikan fresh.


Disebabkan terkenal, pernah aku membawa arwah Siti Aishah kesini untuk mencuba sendiri ikan bawal goreng.
" Esok kita pergi pasar bang. Siti nak buat lagi special ikan bawal goreng ". kata Siti Aishah setelah merasa sendiri ikan bawal goreng. Padaku ikan bawal gorengnya biasa saja. Mungkin bagi sesetengah orang ia begitu special dan itu merupakan hak masing-masing.

Aku seperti biasa mengambil kepala sembilang dan ikan bawal goreng. Ramai juga pengunjung yang datang. terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan makanan. Makan pula dibawah pokok kelapa sawit. Itu yang best. Setelah membayar kami pulang semula. Kontraktor terbabit mengira kembali harga yang telah dimakan. Rupanya bawal goreng yang aku makan tidak dikira.
" Ni kira rezeki kita. Depa tak kira bawal goreng ". katanya sambil tertawa kecil. Aku yang mendengar terus memusing kembali kenderaan dan terus ketempat makan. Begitu mudah ayat dituturkan. adakah ini rezeki Allah kalau kita sudah tahu. Setelah bertanya penjaga kaunter harga bagi seekor bawal goreng ialah sebanyak RM5. Aku terus membayarnya.

Merasa malu dengan tindakan aku, kontraktor tersebut menghulurkan kepadaku RM5. Tapi aku menolaknya.
" Tak apalah. rezeki saya hanya kepala sembilang saja ". Aku berkata sambil tersenyum. Sepanjang perjalanan pulang ketempat kerja, keadaan menjadi sunyi. Masing-masing melayani perasaan sendiri. Aku pula melayang tentang makanan tadi. kalaulah aku tak tahu tentang perkara itu apa akan terjadi dengan makanan yang telah dimasukkan kedalam perut dan menjadi darah daging. Duit gaji yang aku dapat pula digunakan untuk kegunaan keluarga. Aishh tak berkat. Aku tidak mahu menjadi orang yang tiada intergriti.

Akan bersambung cerita seterusnya bagaimana Allah membayar cash intergriti seseorang.

Monday, October 03, 2011

Taman Ulam

Setelah aku bekerja disni hampir 2 tahun inilah kali pertama aku keluar kebelakang tempat aku iaitu dikawasan kuala sebab ada kontraktor sedang bekerja. Aku begitu terpukau bila melihat rupanya tempat ini merupakan taman ulam iaitu ulam beluntas. Aku cuba google mencari ayat yang sama dan ternayata ada. Mungkin banyak negeri yang memanggilnya beluntas.


Aku ni merupakan peminat tegar ulam. Beluntas merupakan salah satu ulam yang menjadi favourite. Kalau ke pasar tak sah kalau tak beli ulam beluntas dan pucuk putat. Untuk awet muda katakan. Aku hairan juga dengan penduduk dikawasan ini. Mereka tak endah langsung dengan ulam ini. Kalau di tempat aku rasa-rasanya nak nampak pucuk pun susah sebab sering dipetik untuk dijual. Disni merupakan syurga ulam beluntas.

Bulan depan aku dan anak-anak dah berpakat nak buat kenduri arwah untuk isteriku selepas raya haji. Antara menu utama ialah ulam beluntas di makan bersama sambal belacan. Rupanya pokok ini begitu senang didapati dikawasan paya berdekatan pokok bakau. Ia tumbuh meliar.

Kalau time makan. Aku akan beli sambal belacan di kedai dan ulamnya aku petik dari pokok ini. Pernah aku cerita kepada seorang lelaki yang ulam ini untuk awet muda. Terus di kunyahnya ulam tersebut. Tertawa aku sambil berkata kepada lelaki tersebut
" Kita tak boleh melarikan diri dari menjadi tua. Itu merupakan fitrah dari Allah. Kita bermula dari dalam perut, dilahir kemudian meniarap, merangkak, berlari seterusnya menjadi dewasa sehinggalah kita menjadi tua dan kahirnya dijemput Allah ". Terdiam lelaki tersebut.

" Ulam itu hanyalah sebagai alat untuk menyihatkan tubuh badan dengan izin Allah ". Terangguk kepala rakan-rakanya yang lain bila mendengar. Ulam ini bagi kita ia sebagai sayur hijau. jangan asyik ayam saja. Tengok nasi kerabu dan nasi ulam. Ia penuh dengan ulam-ulaman. Jangan di pinggirkan memakan ulam-ulaman. Ia baik untuk kesihatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...