Teman-teman

Monday, February 28, 2011

Air Tangan Suami

Hari ini aku tugas petang. Isteriku bertanya apa yang hendak dimakan tengahari ini. katanya dia nak beli lauk saja. Aku kata, " Hari ini abang jadi Mr Mama dan nak masak. Nah tak payah beli ". Tertawa dia bila mendengar aku berkata yang aku menjadi mr mama. " Abang nak masak apa. Tentu special. Malulah Nah. Sepatutnya Nah yang masak untuk abang ". kata isteriku. " Apa salahnya sekali sekala abang tolong. Bukannya jatuh maruah seorang suami bila kedapur. Hari ini abang nak buat sambal tumis jawa, Peria goreng telor dan ikan belah belakang ". Bersemangat aku memberi resepi.


Aku terus kepasar mencari bahan yang aku nak masak. Hari ini dapur berselerak aku kerjakan. Bunyi periuk belanga bersentuh dengan senduk serta lesung tumbuk cabai menjadikan dapur agak ceria. 12.30 isteriku dah pulang. katanya perutnya terasa begitu lapar sebab tak makan pagi. Apalagi nasi pun dah masak. Hidangan dah disediakan diatas meja. Berselera isteriku makan. " Sedapla abang goreng peria ni. Ini first time Nah makan. Abang belajar dekat siapa ". Namun jawapan itu amat berat aku beri sebab resepi peria goreng telor itu adalah resepi dari arwah Siti Aishah. Sewaktu aku menolongnya didapur aku sempat bertanya resepi. Aku juga kerap berpesan kepada anak lelakiku bahawa betapa pentingnya seorang lelaki pandai memasak. Manalah tahu kalau isteri sakit jadi kita dah buat persediaan. Betul tak kaum wanita semua. jemputlah makan....semua

Friday, February 25, 2011

Sudah Hilangkah Rasa Cinta

Hampir sebulan aku tidak menziarahi pusara isteriku. Bukan disengajakan cuma aku begitu sibuk dengan urusan dunia. Kadang-kadang bila dah nak kesana ada saja penghalangnya. Hari ini aku mendapat peluang yang aku cari selama ini. Selepas selesai solat Jumaat aku bergegas ke pusara isteriku. Bila kakiku melangkah memasuki kawasan perkuburan dengan sendirinya tanpa dapat dikawal airmata turun bercucuran. Begitu sayu hatiku entah kenapa. Sebab itu ramai kawan-kawanku menasihatiku agar jangan terlalu kerap kesana sebab sudah pasti akan mengganggu emosiku. Memang tepat sangkaan mereka. Aku menangis sebaik saja sampai dipusara isteriku. Selesai sedekah ayat suci Al Quran aku pulang kerumah.

Sambil memandu aku terkenang saat-saat bahagia ketika kami bersama. Emosiku amat terganggu ketika itu. Sampai dirumah isteriku menegur, " Kenapa mata abang merah. Abang menangis ka. Ni pasti ziarah kubur Aishah ". Aku terdiam mendengar kata-kata isteri. " Memang benar abang ke kubur Aishah. Kenapa, Nah tak suka ka ". Tanya aku. Aku tak mahu membohongi isteriku. " Bukan Nah tak suka. Bila abang balik dari ziarah kubur sudah pasti abang termenung. Sudah sebulan Nah lihat abang tak termenung begini. Abang nampak ceria selalu ". Wajah isteriku sedikit sugul.

' Abang minta maaf banyak-banyak. Bukan sengaja abang nak termenung ". Terdiam isteriku sambil menghidang makanan. Ketika aku menjamah makanan, isteriku berkata, ' Abang sayang dekat Aishah. Dah 2 tahun abang masih tak dapat lupa Aishah ". Ayat power dari isteriku membuatkan aku tidak dapat menelan nasi. Kalau aku silap jawab sudah pasti isteriku merajuk ni. " Orang yang baik sudah pasti dikenang. Rasulullah sudah lama meninggalkan kita namun kita tetap merinduinya. Macam Nah seorang isteri yang baik. Terus terang abang nak beritahu yang bila abang berada diluar ketika bekerja, abang tak pernah lupakan Nah. Sebab itu abang kerap menalipon Nah ". Tersenyum dia mendengar kata-kataku sebab itu memang benar. Kalau aku bekerja 2 atau 3 kali aku akan menaliponnya bertanyakan khabar.

Kadang-kadang aku terfikir memang ada benarnya nasihat kawan-kawan. Buktinya ialah setiap kali aku kepusara isteriku sudah pastinya emosiku akan terganggu. Aku lebih banyak termenung terbayangkan saat-saat indah sewaktu aku bersama arwah Siti Aishah. Hampir sebulan aku tak kesana dan ini tidak bermakna sudah hilang rasa cintaku padanya. Biarlah doa dan ayat-ayat suci Al Quran menjadi penghubung kasih sayang kami. Aku tidak mahu melukai isteriku Rosnah. Dia mempunyai hak keatasku.

Monday, February 21, 2011

Jangan Disimpan Barang Lama

Sudah lama aku hendak ceritakan kisah ini. Bukanlah tujuanku untuk mengaib atau mengagungkan seseorang. Aku imbaskan kembali kisah bagaimana aku dan keluarga telah diuji pada tahun 2008. Isteriku Siti Aishah masih lagi terlantar dalam keadaan tidak sedarkan diri di hospital ketika itu. Siapa saja yang menawarkan perubatan tradisional kepadaku, aku terima dengan hati yang terbuka. Aku tidak sanggup melihat penderitaan isteriku. Padaku biarlah aku saja yang menanggung semua ini dan bukan isteriku. Dia seorang insan yang tidak pandai bermasam muka atau berdendam. Ada juga rakan-rakanku menasihat aku jangan diterima bomoh yang syirik. Aku tidak dapat menepis segala pertolongan yang dihulurkan. Selepas berubat dan bila aku dapati bomoh tersebut tidak mengikut syariat aku tidak akan mengulanginya kembali. Aku akan mencari yang lain. Biarlah aku membawa isteriku ke segenap ceruk asalkan isteriku dapat dipulihkan.

Buku 5 dan kerambit kesayanganku

Isteriku ketika itu masih terlantar kritikal di hospital. Aku telah dibawa bertemu guru tahfiz sebelum dia berangkat ke Mekah. Dalam kaedah scannya ternyata anggota dalaman isteriku telah hancur akibat hentaman. Akhirnya aku mengambil keputusan yang paling bahaya iaitu segala penyakit yang berada didalam badan isteriku di transfer kebadanku lalu akan dibuang. Aku mengambil langkah drastik tanpa berfikir panjang akan akibatnya. Padaku biarlah insan tersayang dapat diselamatkan aku sanggup bekorban. Inilah masanya aku bekorban harta ataupun nyawa. Anak lelakiku memandang sayu padaku namun dia tidak dapat membaca apa yang ayahnya sedang fikir dan berperang ketika itu. Tatkala penyakit ditransfer kebadanku aku sempat berkata-kata didalam hati kecil, ' Siti inilah saja yang dapat abang lakukan. Andaikata abang yang pergi terlebih dahulu Siti peliharalah anak-anak kita dengan didikan islam. Inilah tanda kasih abang kepada Siti ".

Sambil mengesat airmata menahan pilu dan kesakitan akhirnya kaedah transfer telah dilakukan. Rupanya inilah kesakitan yang ditanggung oleh isteriku. Aku dapat merasakan ketika itu yang aku benar-benar telah nazak. Setelah berjaya dikeluarkan segala penyakit isteriku melalui badanku ternyata badanku masih lagi berbisa. Guru tahfiz dalam scannya mengatakan terdapat 2 ekor jin didalam rumahku. Dia bertanya barang purba apa yang aku simpan didalam rumahku. Aku berkata barang tersebut ialah keris lama pusaka ayahku. Aku dinasihatkan agar membuangnya. Barang ini adalah penarik jin katanya. Rumahku juga perlu dipulihkan dengan segera.

Akhirnya aku menalipon guru tahfiz mengatakan yang isteriku telah meninggal dunia. " Sabarlah bang. Kakak telah syahid ". Itulah kata-kata azimat guru tahfiz tersebut. Kini telah 2 tahun lebih isteriku pergi mengadap ilahi. Kehidupanku juga berubah dengan mengahwini isteriku kini Rosnah. Namun rumahku masih belum dipulihkan lagi. Kadang-kadang aku melihat lembaga didalam bilikku walaupun ia tidak menggangguku ketika solat. Bila aku membaca Al-Quran dia hilang. Bila tidak dibaca dia ada ujud kembali. Ditakdirkan Allah aku membantu seorang jiran memulih isterinya. Selepas selesai semuanya aku meminta dia scan rumahku. Setelah discan masih terdapat jin didalam rumahku. Dia bertanya apa yang aku simpan didalam bilkku. Kataku keris lama, buku 5 dan kerambit peninggalan arwah ayahku. Dia menasihat aku agar membuang benda lama itu. Katanya itulah punca rumahku dihuni oleh jin. Jin tersebut duduk di dalam barang lama.

Patutlah bila dibaca al Quran dia hilang. Bila selesai dia kembali kedalam. Rupanya inilah puncanya rumah seseorang dihuni oleh jin iaitu menyimpan barang pusaka. Aku juga dinasihat membuang bijih besi yang aku simpan. Ia juga menjadi penarik kepada golongn jin dan bukan melemahkan mereka seperti sangkaanku. Bukan senang membuang barang kesayanganku namun aku terpaksa lakukan demi keluargaku. Kini aku sudah tidak minat lagi dengan barang purba. Kalau orang lain nak menyimpannya itu hak mereka tapi nasihatku berhati-hatilah dengan semua ini. Andaikata terleka musibah lain menanti. Maaf kepada mereka yang terasa dengan coretanku. Bukan itu niatku. Aku sudah rasa dan biarlah orang lain mengambil iktibarnya. Biarlah Allah saja sebagai pendinding kita dan bukan benda ini.

Friday, February 18, 2011

Pertama Kali Merasainya

Khamis - Agak menghairankan kali ini isteriku pulang agak awal. Aku pula hari ini off jadi selepas tawaf merata tempat aku pulang kerumah. Internet tempat aku meluangkan masa. Aku terdengar bunyi kereta diluar. Isteriku puang awal rupanya. Tersenyum dia masuk kedalam. " Bang hari ini Nah nak masak special untuk abang. Abang tak pernah makan lagi. Hari tu abang sambut hari jadi di Kelantan bersama keluarga abang. Hari ini Nah nak sambut hari jadi untuk abang pula ". Tak sabar aku menanti masakan yang special. Akhirnya aku bertanya apa yang perlu aku tolong. " Abang goreng ayam saja ". Apa lagi aku pun bergegas buat. Kalau cepat goreng maka cepat makan lah aku.


Nasi Black Pepper. Pertama kali aku rasa dalam hidup aku. Memang sedap kak oiii..

Setelah semua ayam digoreng isteriku pun mula masak. Dalam sekejap saja makanan telah dihidangkan diatas meja. Isteriku menjemput aku makan. Terasa macam seorang putera raja dijemput oleh permaisurinya. Aku menjamah nasi yang begitu asing padaku. Inilah pertama kali dalam hidup aku merasai nasi black pepper. " Macam mana bang. Sedap tak ". Tanya isteriku dan nampak dia tak sabar menanti jawapan dari aku. Sengaja aku buat lambat sedikit jawapan sambil mengambil itu dan ini. " Macam mana bang ". Desak isteriku. " Inilah pertama kali abang rasa nasi yang sedap. Pandai Nah masak. Tak rugi abang bayar duit hantaran masa kita kahwin ". Senyum meleret dia mendapat pujian dari aku.

Bukan sengaja aku nak puji tapi masakan itu memang sedap dan aku pula kali pertama merasainya. Hari ini lepas Jumaat aku minta dia buat lagi. Tumpang lalu makan. Betul tak. Mungkin pembaca semua sudah makan nasi ini. Bagi aku ia memang sedap maklumlah baru rasa.

Tuesday, February 15, 2011

Terlintas Di Hati Allah Sudah Mengerti

Sudah lama aku tidak merasai gulai ketam semenjak pemergian isteriku. Selepas aku berkahwin dengan Rosnah aku pendamkan saja keinginanku. Kesian bila melihat ketika dia pulang dari berniaga dalam keadaan keletihan walaupun tidak ditunjuk. Namun aku faham benar sebab aku pun bekerja. Apa yang bawa pulang untuk dimakan itulah makanan aku. Aku tidak pernah menambah nasi atau kadang-kadang nasi yang dijamah pun tak habis. Selalunya isteriku yang habis awal sedangkan aku terkial-kial untuk menghabiskannya. Sejak beberapa hari entah kenapa keinginanku untuk merasai gulai ketam amatlah tinggi umpama orang yang sedang berbadan 2. Akhirnya aku meminta pertolongan ibu mertuaku agar dapat memasak gulai ketam. Ibu mertuaku setuju dan meminta aku membawa ketam.

Gulai ketam isteriku. Sehingga bertambah makan

Aku pulang dari tugas malam dan seperti biasa aku singgah di gerai isteriku. Setelah pulang dan menukar uniform aku berehat sebentar di sofa sebelum kepasar. Entah kenapa aku terus terlelap dan bila sedar jam sudah 123o tengahari. Mana ada lagi ikan di pasar. Aku kerumah mertuaku. Dia hanya menunggu ketam dan rempah telah pun ditumis. Terdiam dia bila aku mengatakan yang aku tertidur. Frust juga bila memikirkan segala perancangan yang dibuat tidak menjadi. Aku menalipon isteriku bertanya samada dia membeli lauk atau tidak. " Abang tak payah beli. Nah dah beli ikan nak masak ". Laratkah isteriku bila pulang dari berniaga nak masak pula.

Tak apalah dia sendiri yang volunteer nak masak dan aku menurut saja. Bila dia pulang terus ditunjuknya bungkusan plastik kepadaku. " Masa Nah balik terjumpa seorang budak sedang menjual ketam dan tinggal hanya sebungkus saja lagi. Dia jual RM1o. Nah nak buat gulai ketam hari ini ". Aku terdiam memikirkan betapa hebatnya perancangan Allah. Rupanya keinginanku Allah telah gerakkan hati isteriku untuk membeli ketam yang hanya tinggal sebungkus saja. Hebatkan perancangan Allah. Setelah siap lalu dihidangkan. Apalagi dengan lafaz bismillah aku terus makan. Sunggih menyelerakan. Sedar-sedar nasi dah habis sedangkan isteriku baru hendak makan. Terkejut dia melihat aku begitu.

Akhirnya aku menambah sedikit lagi nasi. Tersenyum Isteriku memandangku. Betapa gembiranya hatinya bila melihat aku begitu bersemangat menjamah nasi bersama gulai ketam. ' Nah terima kasih kerana masak gulai ketam. Sudah lama abang tak merasai gulai ketam. Niat dihati tadi nak minta mak mertua buat gulai tapi abang tertidur. Rupanya Allah dengar keinginan abang ". Kelihatan manik-manik bersinar dikelopak mata isteriku. " Nah minta maaf dekat abang sebab tidak selalu masak untuk abang. Sayu Nah tengok abang makan tadi ". Kata-kata isteriku membuatkan akhirnya mataku pula yang mengeluarkan airmata jernih. " Tak apalah Nah Abang tak pernah menyesal berkahwin dengan Nah. Inilah yang dikatakan nikmat yang Allah beri dan kita patut bersyukur ". Aku akhiri kata-kataku sambil menambah nasi lagi. Ya Allah 3 pinggan itupun nasi sikit saja. Nasib baik tidak kerap kalau tidak berat badan aku bertambah pula. Baru-baru ni masuk hospital turun 3 kilo. Entah-entah aku makan nasi gulai ketam naik pula 3 kilo.

Monday, February 14, 2011

Kelantan Mencari Damai Di Hati - Akhir

Malamnya kami semua keletihan disebab bermain bedminton. Dengan senang mata terlelap dan hanya terdengar seruling sumbang bergema dibilik tetamu. Selepas solat subuh aku dan isteri sudah kedapur. Kalau dulu aku dan Siti Aishah yang berada di dapur tetapi kini Allah telah gantikan Rosnah bersamaku didapur. Aku mula dulu dengan membuat nasi goreng. Kemudian masuk anak lelakiku katanya dia bukan along tetapi nak tolong. Riuh bunyi dapur hasil dari beriuk belanga bertemu. Selepas nasi goreng siap dibawa keluar untuk dihidangkan..

Perlawanan persahabatan antara team Penang dan Kelantan. Penang kalah teruk

Tiba giliran isteriku pula menggoreng roti canai dan membuat kari ikan. Wangi sungguh bau kari ikan. Perut yang lapar sudah bergelora. Siap roti terus dibawa keluar dan dihidangkan. Sudah ramai yang menunggu sarapan pagi. Bila pihak penyelaras sarapan pagi berkata boleh mula maka apa lagi terus diserbu. Berebut-rebut anak saudara dan terasa keseronokkan berkumpul kaum keluarga. Hilang segala perasaan yang menyelubungiku selama ini. Selepas makan pagi kami akan ke Pasar Pasir Putih. Nak cari keropok. Tangan aku semakin bengkak namun aku tetap nak shopping. Biar sakit asalkan dapat pergi. Aku tidak mahu menjadi penghuni rumah.

Akibat keletihan bermain sehingga tak sedar gambar telah dirakam namun aksi bunyinya tidak dapat dirakam. Berbagai-bagai bunyi seruling

Memasuki pasar Pasir Putih hati dah sejuk bila melihat orang melayu kita berniaga. Kami berpecah agar peniaga lain pun dapat merasai rezeki. Keropok tetap sama. Isteriku sudah mengira ini untuk siapa. Itu untuk siapa. Anak-anak pula sudah berkira nak beri hadiah kepada rakan setugas. " Abang nak beli apa dekat kawan-kawan abang ". Tanya isteriku. Akibat kesakitan membuatkan aku tidak ada mood. " Belilah apa saja yang Nah nak beli ". Kataku sambil berjalan bila terpandang bantal yang dijual. Setelah tawar menawar dapatlah harga RM10. OK la tu. Boleh juga aku merehatkan tanganku yang semakin berdenyut.

Sarapan pagi diluar rumah memang best. Angin pula tiup sepoi-sepoi. Nasi goreng pun licin

Selepas shopping di pasar pasir Putih adik aku membawa kami kekilang keropok yang disira cabai. Bila sampai kelihatan ada pekerja yang sedang menggoreng dan ada yang membungkus. Kami beli 4 bungkus besar. Tauke kilang menghadiahkan kami keropok yang baru disira. Terasa panas dan wangi. Memang puas hati kalau dapat terus beli di kilang. Murah pula tu. Selepas puas shopping kami pulang kerumah untuk solat sebab selepas zohor kami menerima jemputan makan tengahri dirumah anak saudara. Untungnya. Bila sampai sudah terhidang lauk pauk. Yang bestnya ada masakan ikan patin serta ayam bakar. Mengancam giler. Lupa seketika aku tentang tanganku.

Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan kamu. Allah selamatkan ismit ulam raja. Allah selamatkan kamu. Selamat hari lahir

Selepas selesai makan aku dikejutkan dengan sambutan hari lahirku yang dibuat oleh anak saudara. Ketika isteriku menyuap kek kemulutku terasa macam Siti Aishah yang menyuap. Entahlah sebab bila setiap kali ulangtahun kelahiranku dia yang menyuap kek kedalam mulutku seperti dalam video yang aku upload bertajuk Terasing. Tapi itu cerita lama. Kini aku berpijak di dunia realiti yang bersamaku kini ialah Rosnah. Riuh rendah gelak ketawa dengan gelagat masing-masing. Terima kasih kepada anak saudaraku Zuraihan serta suaminya Shaharom. Tahun depan kita sambut lagi ya.

La kak Nah suap dengan camca sekali ka

Selesai makan tengahri kami kerumah kakakku pula sebab esok akan berlansungnya perkahwinan anak terunanya. Bila sampai kelihatan banyak kuda yang dibela abang ipar. Tak sempat nak masuk dalam rumah. Kuda menjadi tempat mengambil gambar. Ada yang menunggang kuda. Kalaulah tangan aku tak sakit sudah tentu aku berada diatas kuda maka ramailah anak saudara yang akan mengambil gambar dan diletakkan dalam facebook mereka. Setelah lama dengan aksi menunggang kuda barulah nak masuk kedalam rumah berjumpa tuan rumah. Lama tak jumpa kakak sulong maka riuhlah juga dengan usikan sebab inilah pertama kalinya isteriku kesini. Dalam usik mengusik itu sehingga ada yang tidak sedar menampar tangan aku yang sakit. Aduh sakitnya bertambah lagi. Isteriku tersenyum bila meihat aku kesakitan akibat gurauan tersebut.

Bila ayah dan anak kedapur maka riuhlah bunyi senduk dan kuali bersentuhan. Kelentang kelentung

Selepas solat Maghrib kami ke Wakaf Che Yeh. Tempat yang ,menjadi kegilaan pengunjung. Memandangkan ia berdekatan dengan rumah kakakku maka senanglah kami kesana. Begitu ramai orang dan bas express. Namun aku sudah tidak dapat melawan takdir. Seluruh badan aku kesakitan dan panas. Akhirnya aku mengambil keputusan rehat disebelah peniaga yang meminjamkan bangkunya. Frust sebab memang niat aku ke Kelantan pasti akan mengunjungi Wakaf Che Yeh tapi siapa dapat melawan perancangan Allah. Terpaksalah aku menunggu selama 2 jam barulah semuanya kembali ke kereta masing-masing. Tangan aku sudah semakin bengkak.

Roti canai cicah dengan kari ikan yangjuga menjadi rebutan mereka yang lapar. Tak ada complain

Pulang kerumah sekali lagi isteriku memasak air panas untuk direndamkan tanganku. Selepas selesai rendaman disapunya bab halia dan ia begitu melegakan. Keesokkan harinya terasa tanganku terasa kurang sakit. Setelah bersiap kain baju sebab setelah selesai makan kenduri kami akan memecut pulang ke Penang sebab anak saudara sudah selesai cuti hari raya cina. hari Ahad mereka perlu pulang ke KL untuk menruskan pelajaran mereka.

Nasi goreng kegilaan ramai. Tapi cili kuranglah mak andak

Dirumah kenduri seperti janji kakakku, dia buat ayam percik special untuk orang Penang. Aku ambil sebanyak 3 ketul sebab percik adalah kegilaanku. Hadirin yang datang bila melihat ada ayam percik apa lagi sorang dua ketul. Cepat-cepat aku suruh isteriku ambil. Kalau lewat pasti menggigit jari. Selepas solat zohor kami semua berangkat pulang ke Penang. Sempat juga buat planning yang bulan November nak ke Terengganu pula konvoi ramai-ramai. Sampai di Penang jam 1230 tengah malam. Aku bersyukur yang aku mampu mengharungi dugaan ini kali ini walaupun memori silam sudah pasti tidak dapat dilupakan. Biarlah lembaran baru ini menjadikan aku bertambah yakin dan tabah.

kilang keropok sira cabai. Memang dapat yang fresh


Patutlah tayar kereta nampak kempes. Tudia depa borong sakan


Dalam tangan sakit pun sempat pilih keropok. Tapi dah tak ada mood. Sakit sungguh


Beli bantal RM10 untuk merehatkan tanganku. Bila masa depa ambil gambar


Anak saudara naik kuda di rumah kakakku. Macam aktor Korea


Tak sempat naik kuda dapat bergambar tepi kuda pun jadilah. Kuda pun renung semacam aja

Friday, February 11, 2011

Kelantan Mencari Damai Di Hati

Jam 3 pagi kami sudah bangun walaupun baru melelapkan mata. Aku mengambil kesempatan untuk menunaikan solat tahajjud dan bermohon kepada Allah agar perjalanan kami kelak dilindunginya. Sampai dirumah emak hampir pukul 4 pagi. Adik beradik semua dah tunggu pak saudara belum datang lagi. Sebelum bertolak kami sempat mengaminkan doa yang dibaca oleh anak saudaraku Miqdad. Sebanyak 4 buah kenderaan konvoi beramai-ramai ke Kelantan. Hati aku merasa cukup gembira kali ini. Entahlah sebab aku sendiri tidak mengerti. Target kami agar dapat menunaikan solat subuh di Gerik.

Pekan Rantau Panjang

Kali ini aku relax sedikit sebab anakku Hermawan yang memandu. " Ayah tidur la. Tok sah risau adik bawa elok-elok ". Katanya. Namun aku yang banyak menekan brek. Susah juga kalau orang yang selalu memandu duduk disebelah. Pasti dia yang dahulu menekan brek dan itulah yang berlaku kepadaku. Alhamdulillah sampainya kami di Gerik subuh baru masuk dan kami terus menunaikan solat subuh berjemaah. Dapat juga pahala jemaahnya. Imamnya juga anak saudaraku. Selesai solat kami semua menjamu selera di Restoran Salim Kari Kepala Ikan . Alhamdulillah abangku telah sponsur sebanyak RM200 untuk makan pagi. Semoga Allah gandakan rezeki kepada kelurga beliau.. Aku order roti telur manakala isteriku hanya makan roti planta saja. Nak makan roti canai mungkin tidak sebab katanya dia sudah jemu. Betul juga katanya. Tauke roti canai. Setelah kenyang kami meneruskan perjalanan.

Rumah adikku di Selising Pasir Puteh

Kami singgah di Bukit Tingi iaitu ditengah-tengah lebuhraya timur barat. Cuaca begitu dingin sekali dengan angin yang bertiup. Sempat juga kami berposing sebab itu merupakan perkara wajib bagi kami semua. Agak lama juga kami berehat disana. Macam-macam aksi gambar yang dirakam. Kami meneruskan perjalanan dan akhirnya pada jam 10 pagi kami sampai di Kelantan. Kami mengambil keputusan untuk shopping di Rantau Panjang dulu. Aku buka beg duit. Ala..aku bawa duit sikit saja. Nak cari bank bukannya senang. Melihat barang-barang yang dijual membuatkan isteriku amat gembira sekali. Aku turut gembira bila melihat dia gembira. Aku gembira sebab kali ini aku datang bersama isteriku. Kalau selepas kematian arwah Siti Aishah aku datang keseorangan ditemani oleh anak-anak. Saat itulah aku merasakan yang hanya jasad aku saja berada di bumi Kelantan namun hatiku amat sayu dan merindui setiap saat bersama Siti Aishah bila kami berada di Kelantan.

Bukit Tinggi. Ditengah-tengah lebuhraya Timur Barat. Cuaca amat sejuk sekali

Kali ini aku ke Kelantan dengan semangat baru. Kata pakar kaunseling kalau kita hendak melupakan kisah lalu kita kena berani menghadapinya. Kali ini aku mampu mengharunginya. Setelah berada 2 jam di Rantau Panjang kami bertolak ke rumah adikku di Pasir Putih. Seronok isteriku bila dapat membeli baju kelawar idamannya. " Abang beli apa ". Tanya isteriku. " Tali pinggang dan kacang goreng ". kataku sambil isteriku tersenyum. " Aish...abang ni tak habis-habis dengan kacang goreng. Kan doktor dah pesan jangan makan kacang goreng. Lihat tangan abang dah bengkak tu ". Lembut saja dia menegurku. Aku hanya diam. Tak berani nak menjawab sebab betul kata isteriku. Aku mengurut perlahan-lahan lenganku yang semakin terasa kesakitannya.

Anak-anak saudara yang sungguh riang dapat konvoi beramai-ramai

Adik aku dah siap ready nasi dengan kari ayamnya. Perut pun dah lapar. Makan pula diluar dengan angin-angin sepoi memang menyelerakan. Masing-masing sudah buat planning selepas berehat kami akan bermain badminton. Gelanggang yang baru dibuat adik iparku cukup cantik. " Abang nak main juga ka badminton. Jangan bang nanti bentan lengan abang ". Aku hanya diamkan diri. Kali ini aku dapat merasai perubahan pada diriku. Aku dapat mengatasi perasaan sayuku apabila berada dirumah adikku. Inilah tempat terakhir aku tertawa dengan gurauan arwah isteriku Siti Aishah. Selepas kami pulang ke Penang isteriku terus tidak sedarkan diri. Kini aku datang bersama isteriku Rosnah dan alhamdulillah aku dapat mengatasi perasaan ini walaupun sekali sekala bayangan isteriku menjelma bila aku terpandang tempat-tempat yang kami pernah duduk.

Sarapan pagi di restoran Salim Kari Kepala Ikan di Gerik

Akibat keletihan aku tertidur diatas sofa. Sedar-sedar sudah riuh anak saudara bermain badminton. Apalagi seperti dipukau aku terus mengambil reket. Isteriku terpaku melihat aku sudah berada digelanggang. Sangkanya aku masih lagi tertidur dan lega hatinya. Aku melompat dan smash seperti orang yang sihat. Sudahlah menang aku cabar pula anak saudara yang lain. Kali ini aku tewas dan terpaksa keluar. Tertawa mereka bila melihat aku terhincut-hincut. " Nah dah pesan tadi jangan main. Kan dah terasa sakit ". Aku membelek-belek lenganku yang semakin bengkak. Isteriku terus bangun kedapur. Dalam setengah jam dia membawa air suam panas untuk aku rendamkan lenganku.

Cuaca berkabus di lebuhraya timur barat

Besok pagi kami akan ke pasar Pasir Putih. Apalagi nak borong beli keropok la. Besok pagi juga aku akan masuk kedapur seperti selalu. Selalu kalau aku ke Kelantan bersama Siti Aishah kamilah yang berada didapur membuat sarapan pagi. Kesian juga dekat adikku. Sudahlah menyediakan tempat tidur jadi bab dapur kami yang control. Kini aku akan kedapur bersama isteriku Rosnah. Dia sudah bawa roti canai segera dan akan dicicah bersama kari ikan. Kata adikku, " Syukur bang kepada Allah abang dapat pengganti yang sama perwatakannya seperti Kak Aishah. Kata-kata adikku tidak dapat aku nafikan. Siti Aishah dan Rosnah tidak jauh berbeza. Kedua-duanya adalah isteri yang solehah dan aku tidak sanggup berpisah dengan mereka berdua diakhirat kelak. Badan sudah letih dan akhirnya terdengarlah bunyi groooh groooh disetiap sudut. Bermacam irama yang didengari. Esok apa lagi aktiviti kami......

Kalau banyak duit seronok juga shopping di Rantau Panjang

Thursday, February 10, 2011

Discharged Dari Hospital

Aku tiba dari Kelantan pada jam 1230 tengahmalam 6 februari 2011. Akibat keletihan aku terus tertidur walaupun badan amat panas dan sakit. Paginya aku ke klinik panel untuk mengambil ubat. " Encik Ariff...demam awak tinggi ni. Tangan pun bengkak. Saya refer awak ke hospital ". Kata doktor panel. Aku keberatan untuk kehospital dan akhirnya aku di beri suntikan. Lega sedikit rasanya dan aku mula tawaf. Selepas solat maghrib aku demam kembali dan akhirnya aku akur dengan nasihat isteri dan anakku. Aku dihantar ke Hospital pantai Mutiara Bayan Baru.

Blogger Insan Marhein dan Jendela hatiku merupakan sahabat karib yang sudi ziarah

Dr mengesahkan yang aku demam dan mengalami sendi yang bengkak. Aku diberi ubat demam dan sendi. Bila aku sedar hari dah siang. Memang mengantuk sungguh ubat tidur yang diberikan. Lama kelamaan demam aku reda dan sakit sendi berkurangan. Setelah berada didalam wad selama 2 hari akhirnya aku dibenarkan keluar pada 9 Februari jam 1200 tengahari. Setelah sampai dirumah aku terlelap sebentar. Jam 3 petang aku tersedar. Terasa badan amat segar dan aku memulakan langkahku yang pertama menjelajah pekan. " Abang ni baru keluar hospital dah nak tawaf lagi. Rehat lah dulu ". Rungut isteriku. Akhirnya aku memberi alasan untuk membeli roti.


Ada yang kata aku hanya makan angin di hospital. Tengoklah cara aku bergambar

Insyaallah selepas ini aku akan cerita tentang makan anginku di kelantan. Memang penuh pengertian. Aku bersyukur aku mampu menghadapinya.

Tuesday, February 08, 2011

Terlantar Di Hospital

Salam kepada pembaca semua. Maaf agak lama tak update blogku. Kini aku terlantar di hospital akibat demam dan sakit badan. Insyaallah bila keluar nanti akan aku cerita tentang percutian di Kelantan. Mungkin ada yang berminat untuk membacanya. Doakan agar aku cepat sembuh dan back to normal

Wednesday, February 02, 2011

Bila Pocong Bersuit- Suit

Kalau aku kerja pagi selepas solat maghrib aku pasti ke gerai tempat anak aku dan sepupunya berniaga mee udang. Apa yang aku lihat dan dengar tidak pernah aku cerita kepada sesiapa pun. Tempat perniagaan mereka berdekatan dengan hutan dan dipenuhi dengan pokok pisang. Entah suatu malam mereka mendengar seperti benda jatuh didalam hutan pisang. Selepas itu terdengar bunyi suitan yang kuat seperti bunyi seorang lelaki sedang mengorat seorang wanita. Makin lama makin kerap bunyinya. Kebetulan pada hari itu aku tugas petang. Anak aku talipon menceritakan apa yang berlaku. Akhirnya aku berterus terang dengannya yang bersuit itu ialah pocong yang berada didalam hutan pisang. Semasa aku berada di gerai tersebut kelihatan 3 ekor pocong sedang tercangak-cangak memerhati mereka yang berniaga.

" Sebenarnya kakak pocong ni adalah pocong gatal. Semasa hidup mereka suka dengan mengorat wanita dan bila mati pun masih terbawa-bawa ". Sengaja aku melawak agar mereka tidak takut. Sebenarnya aku tidak kisah sangat dengan pocong ni sebab dia tidak mengganggu manusia. Kadangkala saja dia menzahirkan dirinya untuk membuatkan manusia ketakutan. yang paling aku takut ialah jin yang boleh menyelinap masuk dan duduk disendi-sendi badan kita. Suatu malam aku kegerai mereka sekali lagi. " Pakcik ada lagi ke pocong ". Tanya anak saudaraku. " Ada 3 ekor sedang memerhati kita ". Kataku sambil melukis gambaran dimana pocong itu berada. Apalagi terkejut mereka salah seekor dari pocong berada dekat dengan gerai. " Tak payah takutlah kakak. Bacalah ayat kursi dan 3 Qul. Memadai untuk memagar gerai ". Kataku kepada anakku. Alhamdulillah anakku memang cekal dan tidak takut. Kadang kala dia keseorangan membuat mee manakala menanti sepupunya selesai mengerjakan solat. Semoga semangatnya berterusan. Aku juga memesan kepadanya sebelum tidur bacalah dulu Al-Matsurat untuk pendinding kita.

Tuesday, February 01, 2011

Senyumlah Kuala Lumpur

Pada Sabtu lepas aku dan isteri ditemani anakku Hermawan seawal jam 4 pagi telah bertolak ke Kuala Lumpur. Anak tiriku telah selesai menjalani pelajaran di KL. Jadi terpaksa mengambil segala barangan di asrama. Kali ini aku begitu relax sebab anakku Hermawan yang memandu kereta. " Tak pa ayah tidur la ". kata anakku bila melihat aku masih lagi terbuka mata. Sambil nak lelap aku sempat mengerling kearah meter. Mak oii dia bawa 150 km/j. Aku sempat nasihat dia agar mengurangkan kelajuan. Setakat 120 KM/J pun dah kira laju. Sedar - sedar kami dah sampai di RNR Sungai Perak untuk solat subuh. Nak makan tak ada yang menarik di situ jadi kami bercadang makan di Tapah sahaja. Banyak pilihan disitu.

Begitu ramai memilih baju dan handbeg di Sogo

Selesai menjamu selera pagi di Tapah kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Berkumandang lagu Senyumlah Kuala Lumpur dari kumpulan alleycats dari radio Era seolah - olahnya menggamit kedatangan kami. Jam 10 pagi kami sudah berada di KLCC. Setelah selasai mengambil barangan di asrama kami dibawa oleh anak saudara isteriku ke pasaraya Sogo. Katanya ada sale. Bila sampai kelihatan begitu ramai spesis wanita sedang mengerumuni handbeg. Kelihatan tertulis potongan sehingg 80%. Dari harga RM 350 turun ke paras RM 70. Isteriku sempat mengambil satu untuk dihadiah kepada anakku Siti Zinnirah sempena hari jadinya. Sempat juga aku melihat gelagat pembeli bila melihat harga potongan. " Oh my god murahnya. Oh my god ". Sambil memilih. Padaku kalau seronok sangat sebutlah Ya Allah Ya Tuhanku kan lebih elok. Tak payah kita ikut barat oh my god oh my god. Sebagai kaum lelaki aku hanya duduk diluar sahaja. " Pening kepala Nah abang. Ramai sangat. Jom kita cari tempat makan ".

Sempat anak snap gambar selepas melihat handbag

Akhirnya kami keatas Sogo. Kata anak saudara isteriku banyak makanan dijual. Memang betul banyak sungguh. Ada nasi kandar Pulau Pinang tapi kami sudah jemu. Akhirnya masakan Thai yang menjadi pilihan kami. Ambil itu dan ini. kerling pula yang lain aishh teringin pula. Ambil lagi. Last sekali sepinggan nasi berharga RM8. OK la reasonable dengan lauk pauk yang diambil. Sedap juga masakan Thai. Selepas makan kami dibawa ke Time Square pula. Offer lagi. " Adoi sakit pinggang. Depa beli apa lagi ". Rungut anakku Hermawan. Akhirnya kami berdua melepak diatas lantai tanpa mempedulikan orang ramai. " Dua-dua beranak sama stail '. kata isteriku sambil tersenyum bila melihat kami lepak diatas lantai sedangkan tiada orang lain yang buat begitu. Hanya orang Penang saja.

Makan nasi masakan Thai diatas Sogo

Teringin sekali aku nak bergambar di KLCC. Akibat keletihan aku batalkan niatku dan kami berangkat pulang ke Penang. " Kita tak payah beli banyak-banyak. kita simpan duit untuk shopping di Wakaf Che Yeh Kelantan ". Kuala Lumpur tidaklah sesak sangat sebab ramai warganya sudah pulang ke kampung untuk cuti Tahun Baru Cina. Jalan pun tak lah jamn sangat. Jam 10 malam kami sudah berada diatas jambatan Pulau Pinang. Walaupun bukan aku yang memandu tetapi perjalanan sehari membuatkan badan amat letih. Hari Khamis ini kami akan ke Kelantan pula....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...