Teman-teman

Saturday, February 28, 2009

Isteri Sihat ka

Entah mengapa dua tiga hari ini badanku terasa amat sakit sekali sehinggakan bahu kananku tidak dapat diangkat. Untuk mengetuk keyboard memang aku malas dengan keadaan badan yang kurang sempurna. Namun aku gagahi juga untuk kepasar membeli barangan keperluan dapur agar memudahkan anak gadisku meneroka masakannya. Memang tabiat aku kalau kepasar tak tahu nak beli apa. Aku pusing dan pusing akhirnya aku tak beli apa-apa pun.

Aku berjumpa dengan kawan lamaku yang kini sudah berpindah ketempat lain. Kami berbual-bual kosong sambil anak mata memerhati akan ikan-ikan segar. Tiba-tiba aku terkejut dengan soalan darinya. " Budiman, isteri sihat ka". Aku tergamam dengan soalan ini. Aku pun terkeluar kalam,
" Alhamdulillah sihat, ada di rumah sedang tidur".
" Patut la tak nampak sebab selalunya datang berdua ".

Akhirnya kami berpisah mengikut haluan masing-masing. Aku seperti biasa pulang kerumah tanpa membeli apa-apa barangan. Rezeki kami hari tu memang Allah tetapkan. Kami mendapat jemputan dari keluarga mertua untuk makan tengahari disana. Aku pun terus menyarung uniform sebab akau akan terus ketempat kerja.

Dalam perjalanan ketempat kerja aku mengalamun tentang insiden pagi itu. Aku terus dibuai imbauan kenangan sewaktu aku dan arwah isteri. Entah macam mana aku sendiri tidak sedar bahawa aku telah sampai kesimpang yang sepatutnya aku belok. Akhirnya aku terus memandu sambil mengimbas kenangan silam. La ila ha illallah aku tersilap jalan. Kini aku menuju terus highway ke KL Terpaksa juga aku mencari alternatif untuk aku pusing kembali ke tempat asal.

Itulah masalah yang sering aku alami ketika memandu diatas jalanraya. Suka berkhayal walaupun ditemani dengan lagu-lagu nasyid. Akhirnya lagu itu sendiri aku tidak dapat mendengar akibat terlalu kuatnya lamunanku.

Wednesday, February 25, 2009

Dah Jumpa Doktor

Aku mula daftar di kaunter hospital seawal jam 8 pagi lagi. Aku yang pertama. Setelah urusan di kaunter dah clear aku terus ke tingkat atas. Aku diberi sehelai form untuk pemeriksaan darah. Aku terus ke makmal darah. Aku juga yang pertama. Aku tak suka pergi lewat. Pernah pemeriksaan yang lepas, aku telah ditanya oeh seorang attendan yang mengambil darah. " En ni keturunan cina ka ". Memanglah kalau lihat ke muka aku tu sebiji macam cina cuma aku ni gelap sikit. Kalau di pasar pasti dah penjual ikan akan bercakap cina dengan aku. Aku pun angguk buat faham.

Aku beritahu yang aku ini tok tok melayu ( Macam dalam gambar P Ramlee ). Kata attendan, orang melayu tak suka datang awal. Aku suka datang awal sebab boleh pulang awal itu saja. Setelah darah diambil aku pergi ke pasar dulu. Nak cari bahan-bahan untuk nak masak. kebetulan anak gadis aku cuti sem selama sebulan. Aku nak suruh dia masak. Kira dia pun terror juga masak. Isteri aku memang perturun habis ilmu masakan dekat anak.

Aku pusing dua tiga kali, last sekali aku beli telur ikan. Nak buat sambal tumis. Aku beli buah mangga muda untuk nak buat kerabu. Selepas aku sarapan pagi dengan Char Koey Teow kegemaranku aku kembali ke hospital. Ramai juga orang dari Indonesia datang buat checkup di hospital ini. Kata mereka sini murah dan banyak kepakaran.

Akhirnya nama aku dipanggil. Risau hati ini apa pula bala keputusan kali. " Morning Ariff. Please have a sit. Well Ariff your result this time not to good". Nak pengsan aku dengar. " Dalam badan awak tak ada gula En Ariff. Selalunya orang Kencing manis. Ni saya tak tahu awak kencing apa". sambil tersenyum Dr beritahu aku. " But you dont worry. Mungkin awak masih tension lagi". Aku pun buat-buat sedih dengan muka poyo.

" Berat badan you ada turun sikit. Awak tak lalu makan ke".Tanya Dr. " Tak ada orang nak masak ". Gurau aku. " Yes yes dulu awak makan serupa orang kaya ". Aku tersenyum dan teringat kembali sewaktu Dr berkata kepada isteri aku, " Puan kena beri Ariff makan serupa orang miskin sebab berat badan dia tak turun". Ketawa isteri aku dengan gelagat Dr. " I kesian dekat you En Ariff, hari ini you datang sorang-sorang. Selalu you datang bersama wife you".

Kata Dr lagi, " Yang dah meninggal, kita lupakan saja. Awak kena meneruskan hidup. Well i suggest you cari isteri yang baru". " Tak cepat sangat Dok". Kataku. " I no you masih setia dengan wife you. it's up to you". Setelah aku mengambil ubat, aku terus pulang kerumah. Aku suruh anak aku buat sambal tumis telur ikan manakala aku buat kerabu magga. Setelah siap masak apalagi aku makan dengan sedapnya. lama tak dapat makanan semacam ini. Kalian semua boleh baca coretan anak aku dalam blog dia. Aku baca pun tergelak sorang sorang http://bisikan-nirani.blogspot.com/. Ada aku link sebelah blog aku.

Inilah hasil sambal tumis telur ikan dan kerabu mangga yang terkenal di Pulau Pinang

Tuesday, February 24, 2009

Tak Ada Mood Nak Update

Sorry hari ini aku memang betul-betul tak ada mood nak update sebab besok aku kena buat check up. Memang setiap 2 bulan aku suka buat check up. At least aku boleh bersedia kalau terima apa-apa keputusan.

Last check up ialah pada tarikh 18 Dec 2008 iaitu tarikh kematian isteri aku. Masa itu tatkala aku sedang buat check up, isteri aku ada dalam ICU. Memang time tu aku tak boleh fikir pun. Bila dapat keputusan Dr Terkejut sebab semuanya berubah. Setelah aku cerita segala-galanya tentang keadaan isteriku yang berada di dalam ICU Dr terus mengajak aku ke ICU sebab dia nak lihat sendiri keadaan isteri aku.

Jadi besok aku kena hadapi lagi sekali keputusan. Time ini makan pun tak lalu. Jumpa lepas clear semuanya. Salam

Sunday, February 22, 2009

Aku Insaf Dan Mendirikan Rumahtangga

Dunia muzik aku belum berakhir rupanya. Walaupun aku dah mengambil keputusan untuk meninggalkannya. Entah pada suatu hari ketika sedang aku berada di luar masjid, aku dihampiri oleh seorang abang. Pendek rambutnya lalu memperkenalkan dirinya dari Band Askar Melayu Diraja. Tujuan dia datang mencari aku ialah untuk melamar aku dan rakanku sebagai penyanyi bagi band mereka. Kalau setuju aku diminta hadir pada besok hari.

Gembira tak terkira hati ini bila mendapat tawaran. lepas solat Isyak aku bergegas pulang untuk memberitahu emak. Emak aku hanya diam saja. Aku tak sedap perut aku tanya ayah pula dan akhirnya ayah izinkan jikalau aku tahu menjaga diri. Aku berjanji. Keesokan harinya aku dan rakan berbasikal masuk kedalam kem askar untuk menjalani latihan. Kami mendapat tahu bahawa tujuan kami berdua diambil ialah untuk menyertai pertandingan Battle Of The Band.
Walaupun aku menerima tawaran ini, hati aku masih lagi memikirkan bagaimana masyarakat akan berbunyi kelak. Abang jadi ustaz, adik jadi penyanyi. Aku tak dapat bayangkan.

Setelah membuat latihan selama dua hari, kami mendapat berita yang nama kami telah digugurkan atas sebab desakan dari warga kem yang mengatakan bahawa kami tidak layak sebab bukan dari kalangan mereka sedangkan mereka pun ada penyanyi. Aku menerima berita ini dengan hati yang pedih dan putus asa. Masa itu aku tidak mempelajari hikmahnya. Mulai saat itu aku hanya bersendirian. langsung tak ada mood. Musnah semua harapan aku.

Aku mendekati kembali rakan baruku ditempat kuliah diadakan setiap hari Ahad. Ternyata selepas habis kuliah akan ada selingan nasyid dari Grup Aprisiasi Seni dari USM. Penyanyi solonya memang aku puji sebab mempunyai suara yang merdu dan lantang. Aku Berdoa kepada Allah satu hari ini aku akan menjadi sepertinya. Kini aku telah meminati bidang nasyid.

Entah mengapa dengan tidak semena-mena dan tanpa perancangan aku menyuara hasrat aku untuk menamatkan zaman bujang kepada emak dan ayah. Terkejut mereka lantas bertanya sudah ada ka calun. Aku jawab belum dan meminta agar emak yang tolong carikan. Emak kata tengoklah macam mana. Aku tahu kalau emak berkata begitu mesti dia akan bertanya adik beradik. Selepas 3 hari aku beritahu oleh emak saudara yang terdapat seorang gadis yang baik juga suka mengikuti kuliah setiap hari Ahad. Umurku ketika itu 26 tahun.

Akhirnya setelah kata sepakat dicapai, aku pun melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihan ibubapa yang bernama Siti Aishah yang berumur 20 tahun ketika itu. Alhamdulillah kami bahagia sebab mempunyai fikrah yang sama. Tiba-tiba aku terdengar yang group baru aku nak tubuhkan kumpulan nasyid. Apalagi aku pun terus mendaftarkar diri. Setelah dibuat brain storming, aku dilih sebagai pemain bonggo sebab masa tu aku saja boleh pukul. Kami kerap juga membuat latihan. Akhirnya kami semua sepakat untuk menamakan kumpulan nasyid kami sebagai Al-Muhajjir. Ketuanya ialah Saudara Abu Haniffah dari blogger Insan Marhein. Juga Saudara Rusli Hashim dari Blogger Jendela Hati.

Mereka berdua ini boleh dikatakan sebagai penghidup kumpulan ini. Rajin berusaha dan memberi komitmen sepenuhnya. Tanpa usaha bersungguh dari mereka berdua sudah pasti kumpulan kami tak kemana. Setelah isteriku melahirkan anak pertama, rezeki kami datang mencurah-curah. Banyak sungguh persembahan yang kami terima. Dari asal kami membawa lagu dari kumpulan artis nasyid yang sudah membuat recording kami mengambil keputusan untuk mencipta lagu sendiri. Maka terciptalah lagu kami yang pertama yang berjodol Ku pohon HidayahMu hasil ciptaan aku dan lirik dari blogger Insan Marhein.

Tempahan datang banyak dari luar Penang. Kami turut membawa isteri masing-masing kemana saja ada persembahan nasyid. Anak-anak kami membesar bersama-sama dengan nasyid. Seronok sungguh ketika itu. Kami menjadi terkenal berkat doa dari isteri-isteri kami yang tidak pernah kami lupakan. Mereka pun dapat merasai bagaimana menjadi isteri artis nasyid. Kami juga pernah membuat persembahan bersama M.Nasir.

Kami mengambil keputusan untuk mendaftar menjadi ahli dengan Badan Kebajikan yang bernama Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ( JIM ) dan secara tidak langsung kami merupakan duta JIM Pulau Pinang ketika itu. Yang paling manis kami telah dijemput untuk membuat persembahan didepan Gabenor Negeri Pulau Pinang sempena menyambut hari lahirnya. Kami membawa lagu yang menceritakan tentang kematian. Selesai persembahan kami dihampiri oleh Menteri Kesihatan iaitu Farid Arifin. Aku masih ingat lagi kata-katanya," Hangpa bawa lagu mati no". Tersengih kami semua.

JIM Pulau Pinang terus dikenali melalui nasyid yang merupakan salah satunya hiburan alternatif islam yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat.
Jemputan yang kami terima hinggalah ke negeri Perak

Saturday, February 21, 2009

Aku Semakin Hanyut Dengan Muzik

Berita aku naik kepentas malam itu telah menjadi riuh dipekan. Emak akulah yang menjadi mangsanya. Mereka mempersoalkan bagaimana anak seorang bilal boleh melakukan perkara semacam itu dan abangnya pula sedang mempelajari agama di Mesir. Akhirnya emak aku beli ala kadar sahaja kerana tidak tahan dengan terjahan manusia. Sampai dirumah emak menangis didepan aku dan ayah. Ayah menenangkan emak. Kata ayah," Budiman hanya berminat dengan muzik saja. Dia tak pernah tinggalkan sembahyang. Nanti perlahan-lahan dia berhentilah".

Aku hanya mendiamkan diri saja. Geram pun sama dengan mereka yang suka jaga tepi kain orang bak kata tulisan seorang blogger yang aku pinjam, " Ini sudah lebey". Malam itu aku keluar untuk mecari kepuasan. Ramai dikalangan yang sebaya dengan aku sedang menanti. Aku mendendangkan lagu sambil anak mata memerhati gelagat mereka. Ada yang sedang membalut ganja. Ada yang sedang minum air minuman setan dalam tin. Terdetik hati aku inikah kawan yang aku cari. Kini tempat aku telah mendapat namanya D Pabloo dan ia juga telah menjadi intipan pihak polis sebab disini merupakan tempat penjualan ganja. Maka bermula hari itu ramai anak dara menjadi bahan usikan apabila melintasi kawasan kami. Tempat aku kini menjadi tempat himpunan para gangster.

Rakan aku menegur sikap mereka yang kurang ajar itu yang membuatkan hampir berlaku pergaduhan. Aku mengambil keputusan untuk pulang kerumah saja. Keesokan harinya aku seperti biasa ketempat idamanku. Sedang asyik menyanyi berhenti sebuah lori dihadapan kami. Maka berlakulah pergaduhan besar yang melibatkan penggunaan senjata. Aku terpaksa mempertahankan diri. Aku belasah seorang budak sehingga patah tulang bahu. Terhincut-hincut dia melarikan diri. Pergaduhan disebabkan rasa tidak kepuasan hati apabila rakanku menegur sikap kurang ajar salah seorang dari mereka mengganggu seorang gadis.

Aku pulang kerumah dalam kesakitan akibat terkena kayu yang dihentam dibelakangku. Esok pagi polis datang kerumah mencari aku. Aku diarah kebalai polis untuk memberi statement mengenai pergaduhan. Aku melihat ayah dan emak tak terkata apa melihat aku dibawa ke balai polis. Mungkin mereka terkejut. Setelah selesai aku memberi statement aku pulang kerumah dengan bermacam-macam perasaan, bala yang akan aku hadapi nanti. Seperti yang aku duga memang kepulangan aku dinantikan. Ayah memarahi aku sebab terlalu mempercayai aku, kini aku terlibat dengan gangsterism. Ayah memberitahu bahawa lagi 2 hari abang aku akan pulang dari Mesir setelah berada disana selama 7 tahun.

Aku menerima berita ini dengan 2 perasaan. 1 gembira dan 2 was-was. Gembira sebab kemungkinan aku dan abang akan bergiat semula dalam muzik. Was-was sebab kemungkinan dia sudah berubah. Hari yang ditunggu telah tiba. Abangku akhirnya pulang kekampong halaman dengan membawa segulung ijazah yang bergelar Dr dan agama. Memang perwatakan abangku telah berubah sama sekali. Dia tidak lagi mesra dengan aku. Mungkin lama meninggalkan kampong halaman. Hanya perbualan ringan saja antara kami berdua. Akhirnya abang aku juga telah mendapat tauliah dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang membolehkannya mengajar. Tempat pertama yang dia mengajar ialah di Kariah sendiri. Kelas tafsir yang diadakan setiap hari Rabu. Ramai anak muda tertarik dengan cara pembawakan abangku.

Aku mengambil keputusan memilih jalanku sendiri dengan bermain muzik dijalanan. Namun hati aku telah down sebanyak 50% dengan muzik. Entah kenapa aku sendiri pun tidak tahu. Aku bercampur pula dengan gang yang suka mengejar hantu. Setiap malam kami akan mengejar hantu yang kami panggil tengelong atau penanggal. Bercahaya sungguh hantu yang separuh manusia dan dibawah api. Bunyinya amat menyeramkan. Kadangkala benda itu pula yang mengejar kami. bertempiaran lari sambil ketawa seronok sangat. Kadangkala aku join juga group lama aku.

Pada satu malam tatkala begitu leka dengan muzik, kami telah dihampiri sekumpulan pendakwah. Aku kenal mereka sebab mereka dari kariah yang sama. Mereka semua berdakwah tanpa jemu. Seorang pemuda melihat aku dan berkata, " Budiman, abang kamu seorang yang baik dan pendakwah. Tentu adiknya juga seorang yang baik". Kata-kata pujian itu bagaikan halilintar yang memanah jantungku. Aku terus pulang selepas menerima pujian itu. Perasaan malu bermain difikiran. Patutkah aku dipuji. Aku telah menjadi hamba muzik. Aku sesat selama ini.

Aku menangis seorang diri didalam bilik. Insaf, menyesal dan bermacam-macam lagi yang menyelubungi fikiranku. Seminggu aku tidak keluar rumah. Hairan juga emak dan ayah dengan kelakuanku ini. Aku mendapat berita yang tempatku D Pabloo telah diserbu polis dan rakan-rakanku telah dibawa bersama. Bersyukur aku kerana tidak keluar selama seminggu. Kini aku mengambil keputusan untuk meninggalkan terus bidang yang aku minat sejak dari kecil lagi.

Aku mula berjinak dengan masjid dan mengikuti kelas agama di masjid walaupun aku sendiri tidak minat dengan agama. Aku mendengar agama pun atas sebab terpaksa. Aku tidak mahu lagi mendengar orang mencerca keluargaku hanya aku kerana tingkah laku aku seorang. Jiwa muzik aku masih lagi membara. Aku kini hanya membeli kaset-kaset muzik untuk didengar dirumah. Aku akan memasang radio sehabis volume sambil terlena menghayati muzik. Ayah dan emak marah sebab suka pasang muzik terlalu kuat. Aku buat tak endah saja.

Ketika aku tertidur entah kenapa tiba-tiba saja aku terkejut. Apabila aku menoleh kebelakang, Ya Allah abang aku terpacak memerhatikan tingkahku tanpa berkata apa-apa. Aku begitu malu dengan abangku lalu aku matikan terus radio. Aku tanya emak bila masa abang aku balik. Mak aku mengatakan yang aku merepek sebab abang aku sedang mengajar agama di masjid. Habis siapa yang terpacak memerhatikan aku.

Aku terus mencapai motor dan ke masjid. Memang benar abang aku sedang memberikan kelas tafsir. Sesekali dia menjeling kearah aku. Begitu ramai sekali anak muda yang datang mendengar. Tak cukup dengar di masjid mereka mengikut pula abang aku pulang kerumah. sehingga jam 1 pagi. Setelah beberapa bulan mengikuti kelas tafsir, dari perasaan terpaksa Allah telah meniupkan hidayahnya kepada aku. Aku tidak lagi minat dengan muzik. Aku bakar semua rekod dan keset muzik. Aku nak berubah. Emak dan ayah begitu gembira melihat perubahan aku. Setiap kali waktu solat aku akan berada di masjid. Kawan-kawan aku pun sudah merasai perubahan aku. Mereka telah menggelar aku sebagai ustaz. Ya ustaz rock kata mereka.

Kini aku alhamdulillah benar-benar telah berubah. Aku begitu tenang bila berada di masijid. Aku akan mendengar kuliah tafsir pada setiap hari Ahad yang dibawa oleh abangku di Tapian Gelanggang. Kini aku telah mendapat rakan baru. Rakan yang banyak memberi nasihat kepada aku. Aku bahagia dengan cara aku kini namun darah seni muzik tetap mengalir dalam tubuhku.

Thursday, February 19, 2009

Doa Yang Tidak Kesampaian

Kali ini ingin aku paparkan kisah bagaimana aku melalui liku-liku kehidupan. Aku dilahirkan di Singapura. Ayah merupakan seorang pelaut. Setelah aku boleh berjalan aku dibawa pulang ke Pulau Pinang. Aku dibesarkan dibawah jagaan kakak. Setiap hari ketika aku didalam buaian, aku didendang dengan lagu-lagu syahdu oleh kakaku sehingga terlelap. Begitulah setiap hari aku di dendangkan dengan bermacam-macam jenis lagu. Kalau tak mendengar lagu mata aku tak dapat dilelapkan.

Ketika aku di sekolah rendah timbullah impian dan cita-cita. Entah mengapa aku sangat suka dengan muzik. Ia begitu mengkhayalkan dan membuatkan aku begitu tenang. Ketika aku berada dalam darjah 6 bermulalah episod pihak guru mengcungkil apa cita-cita dan matlamat masa depan anak murid sebab selepas ini kami akan berada di sekolah menengah. Seorang demi seorang memberitahu cita-cita mereka. Wah hebat sungguh cita-cita mereka, bisik hati kecilku.

Aku terkejut dari lamunan bila namaku dipanggil guru. " Ariff Budiman, apa cita-cita kamu bila besar nanti ". Tanpa berlengah aku dengan bangga menjawab, " Saya nak jadi seorang penyanyi yang terkenal satu hari nanti ". Terkejut guru bila mendengar sambil diikuti gelak ketawa dari rakan-rakan kelas. " Kenapa kamu minat nak jadi penyanyi sedangkan yang lain ada yang nak menjadi professor". Kata guru. Aku hanya diam. Dalam hati aku memberontak, " nak buat macam mana, dah aku minat. Salah ka". Rupanya guru memandang berat akan cita-citaku lalu dibawanya aku berjumpa gurubesar dan menceritakan segala-galanya. Itulah kebaikannya sekolah inggeris. Pihak guru memang bertanggung jawab terhadap anak murid.

Aku masih ingat ketika musim cuti sekolah. Abang aku kerap membawa aku bersama ketika dia bermain gitar dengan band bersama kawan-kawan. Dari situ juga timbul lagi perasaan untuk mengikuti jejak langkahnya memetik gitar. Kira abang aku merupakan idola untuk aku terus berkecimpung dalam arena seni.

kini aku berada dihadapan gurubesar. Kecut perut aku bila melihat misainya macam pelakun tamil MGR. " Betulkah kamu nak menjadi penyanyi Ariff". Tanya gurubesar. Aku hanya menganggukkan kepala ". " Cuba nyanyi satu lagu saya nak dengar". Apalagi bila aku dapat peluang ini aku pun mula menyanyikan sebuah lagu hindi. Lagu memang tangkap syahdu' " Dos dos rena raha, pyar ri pyar rena raha.... ". Aku lihat gurubesar hanya mengelengkan kepala sambil tangan mengetuk meja.

" Cikgu, saya rasa Ariff Budiman memang berbakat besar dalam bidang nyanyian". Beritahu gurubesar kepada guru kelasku. Aku diarah balik kekelas sambil diperhati oleh rakan-rakan. Mereka mengesayaki mesti aku telah dirotan. Cikgu terus berkata," Cikgu harapkan kamu semua berjaya dengan cita-cita kamu tetapi kamu semua mesti ingat, cita-cita tanpa usaha dan doa tidak akan berjaya dan kepada Ariff Budiman marilah kita sama-sama berdoa agar satu hari nanti dia akan menjadi seorang penyanyi". Yahoo.. kembang hidung aku yang sudah pun kembang ini bila aku dipuji. Hairan rakan-rakan yang lain. Tadi guru marah kini dia suruh berdoa pula. Aku mendapat berita bahawa abang aku akan melanjutkan pelajarannya di Mesir. Kini aku tiada lagi bimbingan. Tidak ada lagi orang yang akan membawa aku bermain muzik.

Bermula dengan tragedi itulah aku tidak henti-henti berdoa agar aku menjadi seorang penyanyi satu hari kelak. Di sekolah menengah aku menjadi bahan rujukan untuk menyanyikan lagu-lagu. Bawalah lagu apa pun pasti aku dapat sampaikannya dengan baik. Sehinggalah aku tamat pengajian disekolah menengah. Setelah kematian adiku yang bernama Hermantika akibat terjatuh didalam perigi menjadikan aku hilang minat untuk belajar. Aku lebih pentingkan lagu.

Selepas tamat sekolah menengah aku bekerja disektor perkilangan. Disitu juga aku mengasah bakat aku dengan memasuki pertandingan juara lagu. Dimana saja aku dengar ada pertandingan menyanyi aku akan masuk. Hairan tak pernah jadi juara. Paling bagus pun tempat ketiga. Frust tak terkata time tu. Kawan-kawan pun hairan juga sebab yang menang tu suaranya entah kemana. Aku tidak belajar akan maksud yang tersirat itu. Bagi aku muzik..muzik dan muzik.

Aku mula berkawan dengan kutu jalanan. Mereka boleh bermain gitar. Itu yang aku minat. Jadi aku join mereka. Riuhlah tepi jalan dengan gelagat kami bermain muzik tapi kami tidak mengganggu orang berjalan. Ternyata rakan-rakan amat tertarik dengan suaraku. Satu hari mereka minta aku menyanyikan satu lagu. Aku meminta rakanku supaya memetikkan gitarnya. Tapi dia down sebab tak dapat ganja. Katanya, " Hang tolong balut dekat aku ganja dan lepas kena aku boleh petik gitar". Aku pun apa lagi, aku balut ganja terus aku beri dekat dia. Dia hisap dan beri kepadaku sedikit. Aku menolak. Kataku," Hang nak lingkup sorang hang lingkup. Aku tak mau hampakan mak bapak aku".

Selepas dia kena sebalut ganja memang petikan gitar terutama lagu Hotel California memang real. Aku pula menjadi penyanyi lagu itu. Dari hanya group kami kini telah menjadi ramai dengan budak-budak remaja datang untuk melihat. Time tu aku begitu asyik sekali dengan lagu namun solat waktu tidak aku lupakan. Kadang-kadang aku akan ganti ayah azan di masjid. Ayah merupakan Tok bilal di Masjid. Jadi dia nak aku juga begitu cuma aku tak dapat berpisah dengan lagu. Selesai solat isyak di masjid aku akan singgah main lagu barulah aku rasa puas dan pulang kerumah. Kadang-kadang ada rakan dah tunggu nak mendengar. Tanya mereka mana dia singer. Jawab seorang rakanku, singer ada di masjid. Lepas isyak baru dia balik.

Aku mendapat berita yang Sekolah Kebangsaan Sungai Ara akan mengadakan malam anekaragam sempena menyambut 100 tahun sekolah itu. Malam itu ada pula band dari Askar Melayu Diraja. Aku tak mahu melepaskan peluang ini. kawan-kawan mendesak agar aku menyanyikan sebuah lagu dan mereka memberitahu anggota band. Aku dipanggil dan ditanya lagu apa aku nak menyanyi. Terus aku bagi lagu Kamelia dari kumpulan sweet Charity. Terkejut mereka bila lagu tu aku nak nyanyi. Kata salah seorang dari mereka," awak tahu bawa lagu kamelia ni sebab susah". Aku berkata, " Abang main macam dalam kaset tu saya boleh dan chord dia jangan lari".

Bila saja aku mendendangkan lagu itu maka riuh rendahlah tepukan sorak dari hadirin yang hadir. Ada yang memuji dan ada yang bertemankan adik meminta autograf. Aku seronok sangat malam itu dan terasa seolah-olahnya aku telah menjadi seorang penyanyi. Aku berjaya berada diatas pentas. Apakah doa aku dimakbulkan ????

Wednesday, February 18, 2009

Ayam UPSR

Hari ini genab 2 bulan Siti Aishah meninggalkan kami. Entah mengapa bila menjelang 18 hb setiap bulan hati aku begitu resah. Makan lalu la. Namun tidurku sering terganggu. Pagi tadi aku terjaga. Terasa aku tidur begitu lama sekali. Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Mengapa tak mengantuk rasanya. Ini mungkin peringatan dari Allah. Kalau tak boleh tidur tu bangunlah buat sembahyang.

Aku bangun terus melakukan solat dan membaca Al-Quran sementara menanti subuh. Aku berdoa semoga Allah memberi kebaikan kepada arwah isteri dan sudah tentu kebaikan untuk kami sekeluarga. Pagi ini aku akan ke kubur menziarahi isteri. Jam 7 pagi talipon berdering dari keluarga mertua meminta tolong aku sembelih ayam kampong.

Pagi-pagi lagi aku berada di kubur. Setelah selesai segalanya aku bergegas untuk ke rumah ibu mertuaku untuk melaksanakan permintaan mereka. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan, " Assalamualaikum bang. Abang tak kenal saya ka". Aku menggelengkan kepala. memang tak kenal pun. Melihatkan cara macam penagih. Dalam hati aku berkata ni taktik lama nak pekena orang. " Abang memang sombonglah tak kenal saya".

Aku pusing belakang terus berkata, " Hang mau apa sebenarnya ". " Abang kena tolong saya. Seminggu saya tak makan. Saya nak minta RM10". Aku ajak dia pergi makan sekali. Ni pun taktik juga sebab confirm dia tak akan ikut. " Ala bang tak ada RM10, RM5 pun jadi la". Aku terus pergi meninggalkannya terkapa-kapa sebab tak berjaya mengenakan aku. Daripada bagi dekat dia dok pekena benda haram biar aku letak dalam tabung masjid, sekurang-kurangnya pihak masjid dapat menjalan aktiviti masjid. Marah dia dekat aku sebab tak layan dia.

Aku start motor menuju kerumah ibu mertua. " Mak, mana ayam yang nak sembelih". Ibu mertua terus mengambil 2 ekor ayam. " La mak, ayam ni baru lepas UPSR saja. kecik lagi". Ibu mertua tergelak bila aku sebut UPSR. Ni menantu tak sayang mulut. Aku tak mau cakap banyak. Takut murka pula. Terus aku ambil pisau dan sembelih. " Nanti mai makan nasi disini ". Pelawa ibu mertua. Itu yang aku tunggu tu. Aku berkata," Hari ini saya kerja petang. Nak minta sikit untuk buat bekalan. Tak pa bagi kaki pun tak pa". Mengusik aku.

" Budiman jangan kata macam tu. Sedih kami dengar ". Aku saja mengusik. Tak kanlah depa nak bagi kaki dekat aku. Menantu kesayangan katakan. Ini aku tunjukkan wajah ayam UPSR yang sedang dipanggang. Selamat melihat. Makan sorry sebab tak cukup.

Tuesday, February 17, 2009

Aku Dan Masakan

Bangun pagi terasa badan amat lemah. Nak demam ka aku ni. Tak boleh jadi. Aku ambil keputusan untuk pergi kepasar. Tak mahu layan sangat badan ni. Aku pusing dan pusing, aishh tak tau nak beli apa. Akhirnya terpandang sotong besar. Beli sekor. Harga RM3. Beli udang besar 3 ekor RM5. Cadang petang ini nak bawa bekal ke tempat kerja. Aku balik dan tanya hero aku nak masak apa dengan sotong ni. Katanya ayah masak apa pun dia makan. Tapi kalau buat macam emak masak sedap juga. Ya yang itu pun aku pun suka.

Macam mana nak masak. Aku tak tau langsung. Aku pun tanya jiran sebelah. Dia kata resipi ni pun Aishah yang bagi dekat dia. Kira pulang balik la. Setelah faham macam mana nak buat, aku start la ke dapur. Rasa malas pun ada juga. Aku kuatkan semangat. Akhirnya inilah resipi idaman kami semua. Aku rasa dan alamak kenapa masam sangat. Tak apalah janji ni pun Allah bagi rezeki. Ini di namakan masakan sotong berempah kunyit. Hentam saja la.


Sunday, February 15, 2009

Berat hati Nak Menulis

Aku amat keberatan untuk menulis bab ini. Tetapi aku tidak mampu menangkis personnal email yang ingin mengetahui kebaikan isteriku sehinggakan aku terlalu mencintainya. Juga mereka ingin juga aku menulis tentang kebaikan aku pula yang menyebabkan isteriku amat mencintaiku. Ini amat berat. Ada yang bertanya dalam perancangan untuk berkahwin dan ada yang sudah berkahwin.

Terus terang aku katakan yang aku ini bukanlah pakar motivasi dalam hal ehwal rumahtangga. Ramai yang boleh dan mampu menjawabnya. Kami berkahwin hampir 23 tahun dan selama inilah juga belum pernah kami bergaduh besar. Berkecil hati memang adat rumah tangga. Aku selalunya bila isteriku kecil hati terhadap aku, aku akan panggil Ya Humaira janganlah marah. Dia akan tersenyum dan akhirnya aku memohon maaf darinya. Selesai masalah.

Yang membuat aku begitu mencintainya ialah dia banyak melebihi keluarga aku terutama ketika emak dan ayah terlantar sakit tanpa mengabaikan keluarganya. Ketika ayah tenat dia dan kakak ipar yang lain bertungkus lumus menjaga ayah. Ketika emak aku sakit, dia yang menjaga emak sehingga emak aku amat sayang sekali dengannya. Dia memang pandai serba serbi dan itu merupakan anugerah dari Allah. Masalah dalam rumahtangga aku kira amat beres. Semuanya dia yang uruskan bermula dari langsir, kain baju, masakan dan lain-lain dia yang buat. Kini keadaan rumah aku macam tongkang pecah.

Walaupun aku dah izinkan kalau dia nak kemana namun dia masih juga talipon aku meminta keizinan. Bila setiap hari Jumaat aku selalu akan mengingatinya sebab pukul 9 pagi dia akan mengikuti tajwid Al-Quran di radio. Dia akan pesan, " Bang pukul 9 abang jangan talipon sebab Siti nak belajar mengaji". Kalau aku bekerja, setiap kali aku akan talipon dia bertanya khabar.

Aku suka memuji dia didepan jiran dan keluarga sebab memang dia patut dipuji. Bukan itu yang dia minta tetapi sebagai suami aku amat bersyukur dianugerahkan seorang isteri yang terlalu baik kepada keluarga kami. Kami berkahwin bukanlah atas dasar cinta tetapi dipilih oleh emak saudara. Setiap kali aku sembahyang aku mengucapkan syukur kerana aku amat tenang sekali bila bersama dengan isteri.

Pernah satu ketika aku melihat dia menangis. Terdetik dihati aku telah buat salah apa dengan dia. Terus aku meminta maaf dengannya. Tapi bukan itu yang ditangisinya. katanya, " Kalaulah Siti mati macam mana hidup abang nanti". Aku terus terdiam tanpa jawapan namun didalam hati, " Ya Allah andaikata isteriku pergi aku tak dapat hidup tanpanya".

Aku selalu membawanya kalau ada kelas agama sebab menuntut agama bukan hanya untuk suami sahaja. Banyak aku lihat di surau aku, bila ada kelas agama hanya suami saja yang datang manakala isteri sibuk di dapur. Bagi aku dapur bukanlah tempat isteri sahaja. Suami patut sama kedapur. Pernah aku tanya dia atas sebab apa yang dia sayang dekat aku. Katanya sebab aku tolong dia banyak di dapur terutama bulan Ramadhan. Isteri aku kalau bulan Ramadhan tempahan baju cukup banyak namun duit tu semua tak pernah ada ditangannya sebab dibelanjanya untuk keluarga kami.

Kalau bulan Ramadhan kalau shif aku kerja petang, sahur kira aku yang bangun sebab kesian dekat dia. Seronok sungguh dia bila aku kerja petang atau off. Pernah satu ketika aku bangun sahur dalam keadaan terhoyong hayang akibat pening. Gelak dia bila aku cerita. Katanya," Bukan senang nak jadi macam orang perempuan". Aku hanya mampu senyum saja. Perkara yang paling aku tak dapat lupa ialah bila aku janji sahur aku yang nak masak. Aku bangun dan tak tahu nak buat apa. Last sekali aku pecut motor beli nasi goreng dan aku letak dalam pinggan elok-elok. kemudian aku kejut dia. kata dia sedap abang masak. Namun rahsia ni aku tak boleh simpan lama.

Akhirnya pecah juga. Apa lagi perli sakan dia dekat aku. Last sekali dia kata dekat aku, " Terima kasih bang kerana sudi bangun. Beli pun tak apa. Siti bangga dapat suami macam abang". Apalagi aku bila dapat pujian dari isteri lalu aku cium pipinya tanda syukur. Aku rasa sudahlah setakat ni. nanti korang boring pula.

Saturday, February 14, 2009

Saya Berkecil Hati Dengan Budiman

Selesai menunaikan solat Jumaat, aku singgah diwarung nasi kandar. Aku beli dua bungkus nasi, aku dan anak lelakiku. Aku bertemu dengan sepasang suami isteri yang tinggal satu taman dengan aku. Aku menegur mereka tapi yang pastinya aku tidak banyak bercakap. Aku sekadar bertanya khabar dan meminta izin untuk pulang kerumah.

Isteri rakanku terus mendapatkan aku. Katanya ada benda yang hendak dibicarakan denganku. kami memilih satu sudut yang tidak sibuk dengan lalu lalang. Terus dia berkata, " Budiman, _ _ _ ( NamaNya ) kecewa sekali dengan Budiman sebab semasa Aishah masuk hospital saya tak diberitahu sedangkan saya dan arwah adalah sahabat baik". Memang tak dinafikan satu ketika dahulu kami begitu baik, tetapi bila melihat sikapnya yang suka membenci orang lain dan kemudian menyuruh pula kami membenci orang yang dia benci, kami mengambil keputusan untuk menjauhkan diri darinya.

Aku hanya mampu memohon maaf. Ramai juga rakan-rakanku tidak tahu tentang perkembangan isteriku. Aku tidak mahu terlalu menjaja yang isteriku masuk hospital. Yang pasti aku akan lakukan apa yang terbaik demi kesihatan isteri kesayanganku. Bab masyarakat aku ketepikan dulu. Dia mengadu tentang ramai penduduk yang mengesyaki dia yang melakukan sihir terhadap isteriku. Hairan juga, aku tak pernah memberitahu sesiapa pun tentang orang yang melakukan sihir terhadap isteriku. Biar saja aku seorang yang tahu. Aku tak mahu lagi berlakunya fitnah memfitnah hanya sekadar syak wasangka saja.

Dia terus berkata, " Baguslah Budiman pun nampak gembira sekarang dan tabah". Aku pun berkata. "Memang orang nampak diluar saya boleh tertawa, gembira tetapi didalam ni saya begitu kecewa dengan sikap masyarakat. Apa salah kami. Adakah sebab kami terlalu aktif dengan masyarakat Aishah dibunuh. Suami mana yang tak pilu bila kekasih dia hilang sekelip mata. Anak mana yang tidak sedih bila ibu mereka hilang dari pandangan selama-lamanya".

Mengalir air mata aku bila inilah pertama kalinya aku dapat meluahkan perasaan. Aku terus berkata. " _ _ _ tahu dak yang saya telah kehilangan sebelah tangan saya. Saya hidup ini atas nasihat rakan-rakan sebab masih ada dua jiwa lagi yang memerlukan kasih sayang iaitu anak-anak saya. Kalau tidak mahu saja saya berdoa kepada Allah agar Allah ambil juga nyawa saya supaya dapat bertemu dengan Aishah. Saya dah tak sanggup lagi menanggung kerinduan ini". Menangis dia bila mendengar luahan hati aku.

" Saya mengalir air mata darah sekali pun Aishah tidak akan kembali. Saya terpaksa menenangkan hati saya dengan ketawa. Biarlah anak-anak nampak yang ayah mereka dalam keadaan baik. Tapi hati saya begitu pedih. Hati saya hancur dengan sikap masyarakat. Selalu bila ada program selagi tak habis kerja kami tak balik. Kadang-kadang jam 1 pagi baru kami berdua pulang kerumah. Anak-anak pun dah tidur. Mereka pun dah lali dengan tugas ibu dan ayah mereka. Tapi hasilnya inilah yang saya dapat".

Menangis dia teresak-esak mendengar segala isi hati aku. Bukan niat aku nak luahkan perasaan ini. Tapi bila aku didesak dengan kata-kata jauh hati. terguris hati dengan sikapku. Apakah aku ini tidak merasainya. Dia meminta izin untuk kemeja makan bersama suami dan anaknya. Tercengang suaminya bila melihat esak tangis isterinya. Aku... ya aku seperti biasa terus ke kubur. Disitulah aku menangis sepuas hatiku. Disitulah aku bercakap sepuas hatiku. Disitulah aku duduk sambil memegang batu nisan isteriku. Tiba-tiba talipon berbunyi." Assalamualaikum ayah., ayah dimana. Perut lapar ni". Subhanallah jam dah pukul 3.30 petang. Mahu perut tak lapar. Bergegas aku pulang kerumah dengan perasaan berkecamuk. Esok, lusa entah apa pula yang akan berlaku.... dan aku pasrah padamu Ya Allah.

Friday, February 13, 2009

Syukur Anak Saya dah Sedar

Pagi tadi aku talipon sahabatku. Isteri dia menjawab. Aku bertanya tentang keadaan anaknya sekarang. Sambil teresak-esak kegembiraan isterinya memberitahu bahawa anaknya dah sedar dan boleh bercakap-cakap walaupun wayar masih lagi dibadan.

Syukur aku kepada Allah doa kalian semua telah dimakbulkan oleh Allah. Isterinya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang tolong berdoa untuk anaknya. Akulah insan yang paling gembira diatas berita baik ini.

Syukur Ya Allah diatas segala apa nikmat yang engkau berikan selama ini walaupun sementara.

Boring... Bosan....Sunyi

2 hari yang lepas aku off duty. Boringlah duduk dekat rumah. Aku ajak anak pergi memancing. Anak aku pun ikut. Katanya boring juga. " Ayah, ada ka pergi memancing pakai baju macam nak ke shopping komplek". Aku hanya tersengeh saja. Malas nak tukar baju. Aku singgah di kedai mamak nak beli nasi kandar. Tauke kedai yang aku panggil mamu menghampiri aku. " Budiman, pasai apa masa isteri meninggal tak bagitau dekat mamu ". Aku hanya mampu meminta maaf sebab masa kematian tak terfikir pun untuk menalipon sesiapa.

Last sekali dapat nasi kandar free. Mamu ni memang baik hati. Setiap tahun aku dan isteri dapat duit raya RM50. Kata dia Budiman dan Aishah orang kuat surau. Kena jaga. Nasi habis kami makan namun ikan seekor pun tak dapat. lihat jam pukul 1 petang kami balik ke rumah dengan perut kenyang.

Semalam aku ajak anak menjala ikan talapia di sungai belakang rumah. Alhamdulillah ada rezeki. Dapat 30 ekor. Ikan tu aku sedekah dekat jiran sebab anak-anak depa memang suka. Aku dan anak seronok-seronok saja lepas gian. Aku suruh anak aku snap gambar ikan. Subhanallah macam mana kamera aku boleh rosak. Ni dia guna kamera handset

Lepas tu kami berdua pergi menjala di pantai Seagate. Kawasan ni selalunya banyak udang. Tapi aku dah tak seronok sebab kamera rosak. Sempat tebar jala 2 kali aku ajak anak pulang. Kata aku lepas asar kita cari kamera baru. Balik rumah letak kepala tak sedar apa pun. Susah juga kalau tak ada kamera ni. Kena cari yang baru.

Wednesday, February 11, 2009

Tolong Doakan Anak Saya

Sesudah selesai menunaikan solat maghrib aku mengambil Al-Quran untk membacanya. Talipon berbunyi," Budiman tolong doakan anak saya. Dia berada didalam ICU setelah selesai pembedahan rahang gusi". Sebak nadanya. Aku terdiam seketika dengan berita ini. Seorang sahabat yang merupakan AJk Surau di tempat aku.

Beliau rasa terkejut bila dibenarkan masuk dan pabila melihat anaknya dengan keadaan wayar penuh dibadan terus sebak. Aku dapat merasainya. Betapa sayang dia dengan anaknya. Begitu juga keadaan aku ketika melihat isteri yang bertemankan wayar dibadan. Siapa yang tidak merasa betapa gusarnya hati. Betapa sayu perasaan.

Aku menenangkannya setakat yang mampu. Aku berjanji akan berdoa agar Allah memberi kegembiraan kepada keluarga sahabatku ini. Inilah orang tatkala yang lain sedang berdengkur diulit mimpi indah. Bertemankan bantal dan tilam yang ampuk. sahabatku ini akan membuka pintu surau, membuka lampu lalu diazan. Allah Maha Besar. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Apabila dilaungkan Marilah sembahyang. Marilah menuju kejayaan. Sesungguhnya sembahyang itu lebik baik dari tidur berapa ramai yang menyahutnya. Namun sahabatku ini masih setia menjalankan tugasnya yang tiada bergaji. Hanyalah keredhoan Allah yang diharapkan. Itupun masih ada yang mengatakan tidak mendengar dengan jelas bila azan berkumandang.

Aku hairan dimana dia oarng yang bercakap tentang politik islam sehingga jam 1 pagi. Hebat sungguh mereka. Aku tak nafikan politik islam adalah sesuatu yang penting tetapi janganlah diabaikan solat berjemaah. Bagaimana kita nak lawan yahudi andaikata kita sebagai umat islam sendiri begitu leka dengan solat berjemaah. Alasan sibuk dengan politik adalah sesuatu yang malang bagi mereka yang mengaku sebagai umat islam.

Inilah sahabat apabila aku ada masalah dia yang banyak menolong. Apabila aku dihentam dia yang akan membela. sebelum aku ketempat kerja , aku menaliponnya. Katanya anaknya dalam keadaan stabil sekarang walaupun wayar penuh dibadan. Alhamdulillah syukur. Semoga anaknya cepat sembuh dan kembali kepangkuan ibu dan ayah tercinta. Aku terus meredah jambatan sekali lagi untuk mencari rezeki.

Tuesday, February 10, 2009

Sahabat Nostalgia

Pada 8 Februari 2009 aku menjadi DJ di kenduri kahwin rumah abangku. Pada hari tersebut merupakan hari perhimpunan bloggers bilis seperti Jendela hati, warna Nostalgia, Insan Marhein, Cerita Alam, Pulasan dan Usus Panjang dan ada banyak lagi. Sayang tak teringat nak bergambar bloggers Penang. Dalam gambar yang duduk dari kanan becermin mata berbaju hitam ialah blogger Jendela Hati. sebelah dia tu aku la. Sebelah aku ialah blogger Insan Marhein.

Kalaulah Dapat menghimpunkan blogger Penang ni rasa seronok juga. Aku masih lagi mendapat ucapan takziah dari rakan-rakan yang tak sempat hadir semasa kematian isteri. Ada yang beri nasihat dan ada juga yang bertanya bila lagi ni. Yang seronoknya ada seorang rakan berjabat salam dengan aku sambil berkata dengan sayu, " Budiman saya doakan Agar dipertemukan jodoh dengan seorang wanita yang solehah, mirip seperti Aishah dan mempunyai perwatakan yang sama ". Inilah yang dikatakan sahabat. Mereka tahu bahawa aku amat sayangkan isteriku.

Aku terdiam seketika. Kalaulah doa itu Allah makbulkan hanya Allah saja yang tahu. Aku hanya mengaminkannya. Ada yang masih bertanya, " Betulkah Aishah meninggal sebab kena hantu raya". Subhanallah mana mereka dapat cerita ini. Aku pun tak cerita dah. Yang lepas tu biarlah aku simpan sahaja.

Kadang-kadang aku terlupa dan mencari dimana isteriku. Nak bertanya juga siapa yang datang. Akhirnya baru tersedar dari lamunan. Selalunya kalau kenduri perkahwinan adik beradik, isteriku memang sibuk sekali. Sekala sekala bila aku melihat hadirin ternampak macam kelibat Aishah sedang sibuk mengemas meja. Aku hanya mampu melihat bayangan ini. Betulkah dia atau orang lain. Ahh... mungkin khayalanku. Masa berlalu begitu pantas sekali.

Persembahan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia

Monday, February 09, 2009

Berani Ka Selam Dalam Laut



Aku dapat gambar ni dari seorang kawan. Rasa-rasanya aku tak berani dah nak selam lama-lama dalam laut. aku pun tak tau ikan ni dari negara mana. kalaulah kena terkam rasanya habis semua.



Saturday, February 07, 2009

Boy!! Leman....Janganlah Lompat

Ketika aku sedang bertugas, terdengar suara semacam berlaku pertengkaran. Aku mencari dari mana arah bunyi itu. Rupanya seorang makcik tua sedang mengembala lembu dan kerbaunya. Aku kira semuanya dalam lingkungan 25 ekor. Banyak tu. Aku menghampiri makcik tu. " Hang buat apa". Tegur makcik tu. " Jaga-jaga sikit kayu tu makcik, jangan sampai dekat dengan talian hidup". Makcik tu nampak tak faham. Aku risau juga dengan orang kampung yang tak faham bahaya mereka bekerja dibawah talian hidup. Silap haribulan kayu tersentuh talian , alamat hitam legam la anggota badan.

Asyik sungguh lembu dan kerbau dok makan rumput. Ada yang berlari-lari. Tiba-tiba makcik tu tempik, " Boy, Leman janganlah dok lompat. Makan elok-elok". Aku tertawa sendirian bila mendengar makcik tu berkata jangan lompat. Sekarang ni perkataan lompat amat popular sekali. Yang anehnya kerbau yang bernama Boy dan Leman tak lompat dah. Tunduk tersipu malu bila tuannya menegur. Berbeza dengan manusia. Rasa bangga bolih melompat-lompat.

Aku pun apa lagi pegang kamera dan pergi kearah kerbau itu untuk nak ambil gambar mereka. Aku panggil Boy, Leman tengok sini. Apa lagi kerling semacam dekat aku. Nampak macam marah. Aku lihat kaki mereka sedang menendang tanah. Ni tak bolih jadi. Kalau aku tunggu silap haribulan aku tak sampai Jumaat depan.

Aku terus mendapatkan makcik tu. Umurnya sekitar 60an. Masih kuat lagi Allah beri dekat dia. " Hang nak tangkap gambar burung ka". Kata makcik tu. " Tak saya nak tangkap gambar makcik. Bolih ka ". " Aku tak buloq". Maknanya tak mau la. Terus makcik tu lari masuk dalam hutan.

Pak guard nampak aku dok tangkap gambar makcik tu. " Hai en Ariff, berkenan ka dekat makcik tu". Tersengih pak guard tu. Ni mulut tak ada insuran. Mentang-mentanglah aku kosong sekarang. Dalam hati aku berkata," Kurang asam pak guard, nanti aku minta suruh buat surat tunjuk sebab baru tau". Aku beliak mata dekat dia. " Minta maaf en. Ariff saya bergurau saja tadi". Aku pun bergurau juga. Kata aku," Tua tak apa janji kaya". Dunia blogger ni macam wartawan la. Kalau ada cerita atau gambar menarik pasti nak dirakamnya. Orang lain mungkin tak faham. Dari seronok-seronok kini menjadi hobi. Kemana saja aku pergi, kamera pasti akan dibawa bersama.

Makcik tu lari masuk dalam hutan. Takut gambar dirakam

Friday, February 06, 2009

Aku Buntu Aku Rindu

Entah mengapa bila melihat gambar anak saudara aku hantar kenangan aku dan isteri melalui blog Cerita Alam. Hati aku menjadi begitu resah. Kenangan yang tak dapat aku lupakan bila kami adik beradik pergi ke Kelantan dan Terengganu. Aku dan isteri ketika itu amat gembira sekali. Belum pernah aku merasai kegembiraan seperti ini.

Andaikata aku dapat memutarkan kembali masa... ahhh itu mustahil berlaku. Terima kasih G kerana merakamkan gambar ini. Kini aku merasa teramat rindu akan isteriku. Hanya gambar dan memori silam yang tak dapat dipadam. Ya Allah kau tabah dan kuatkan semangat kami semua untuk menghadapi dugaan ini.

Suzy. Pkjang rasa macam nak pergi jumpa orang yang melakukan perkara ini kepada Mkjang. Tak tertahan rasanya menanggung beban ini.

Thursday, February 05, 2009

Tip-Tip Kebahgiaan Rumahtangga

Pada 4 Feb 2009 merupakan hari lahirku. Yang uniknya tahun ini aku menyambut hari lahir, aku kerja malam. Tahun lepas pun begitu juga. Tahun lepas tepat jam 12 malam isteri aku akan call aku, katanya," Siti ucapkan selamat hari lahir, Semoga istiqamah dengan JIM dan surau. Kalau berjaya janganlah lupa pada Allah dan keluarga. Nanti bila abang balik kerja, abang belilah apa yang abang suka insyaallah Siti akan masak".

Inilah kata-kata yang tidak dapat aku lupakan sampai hayatku. Tahun ini tiada lagi kata-kata perangsang. Aku begitu terusik sekali. Tahun ini tidak ada sambutan untuk kami seisi keluarga seperti mana tahun-tahun yang lain. Selalunya sebelah malam akan aku kosongkan program lain dan kami akan makan ikan bakar sebagai tanda ucapan terima kasih aku kepada isteri dan anak-anak. Tak kiralah hari lahir isteri atau anak-anak. Kami akan menyambutnya dirumah. hanya dengan itu sajalah dapat menjamin keharmonian rumahtangga kami.

Bagi aku keluargalah yang memainkan peranan untuk kita berjaya. Amalan membaca Al-Quran dan wirid Al-Mathurat merupakan salah satu sebab untuk kita berjaya. Aku bila pulang dari surau akan melihat isteri aku membaca Al-Quran dan wirid-wirid Al-Mathurat. Kini setelah ia tiada aku terbayang seolah dia sedang membaca Al-Quran didalam bilik. Selesai membaca barulah dia akan kedapur.

Pernah satu ketika aku demam teramat panas sekali. Dia akan ambil tuala basah dan diletakkan diatas dahiku sambil membaca wirid Al-Mathurat sehingga tertidur diatas kaki aku. Sedar-sedar badan dia pula yang panas. Pernah juga perasaan malas untuk kesurau. Dia akan menyediakan baju dan kopiah lalu diberikan kepadaku. Katanya mungkin ada orang nak jumpa disurau.

Disurau makcik-makcik amat sayang sekali dengan dia, Kata mereka," Budiman, Aishah rajin sungguh". Aku berkata," Sebab tulah saya sayang dekat dia ". Makcik-makcik hanya tersenyum. Kini isteriku menjadi idola sesetengah makcik agar anak menantu mereka menjadi seperti Siti Aishah. Kata seorang makcik," Kalau anak makcik macam Aishah kan baguih".

Dalam hati aku berkata bukan semua orang boleh jadi macam Aishah. Ini semua anugerah dari Allah. Aku dari seorang yang suka melenting telah menjadi seorang yang cool dan boleh sabar hasil teguran dari isteri. Aku hairan apabila ada lelaki yang suka memukul dan menyepak terajang isteri pada hal bila mereka sakit mereka perlukan isteri untuk menjaga. Itulah lelaki dayus, ego dan tak mengenang jasa isteri.

Aku selama 23 tahun aku bersama isteri tidak pernah aku meninggikan suara, memukul atau mengherdik dia atau keluarga dia. Kalau kita baik akhlak kita dengan isteri insyaallah isteri kita akan lebih baik akhlaknya dengan kita. Isteri adalah amanah dari Allah. Kita berkahwin bukan sekadar untuk berseronok tetapi masing-masing perlukan bimbingan. Semua itu adalah untuk mendapat keredhoan dari Allah.

Wednesday, February 04, 2009

Hari Kiamat ?????

Baru - baru aku ada terbaca surat khabar mengenai sebuah planet bernama Nibiru atau planet x (oleh NASA) sedang melengkapkan putaran orbitnya yang berlaku setiap 3600 tahun. Planet ini 100 kali ganda besar bumi dan sama besar dengan planet jupiter( musytari). Dijangkakan pada 21/12/2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada bumi dengan memutarkan kutub2 ke kedudukan terbalik ( polar shifting) yang dijangkakan olih NASA. Bulan mei 2009 nanti planet ini akan jelas kelihatan oleh semua penduduk bumi.

Mereka mengaitkan peristiwa ini seperti yang pernah berlaku banjir besar zaman Nabi Nuh AS dahulu..planet ini tak menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan mengganggu bumi. Ia hanya akan lalu diantara bumi dan matahari dimana kecerahannya berwarna kemerah-merahan seakan-akan anak matahari.(tanda besar kiamat? objek merah di langit kelihatan AS dan negara2 barat lain sedang sibuk membuat persiapan menghadapi keadaan ini dengan membina beberapa penempatan sementara di banjaran2 gunung lengkap dengan makanan yang mampu bertahan 3 tahun kerana dianggarkan 2/3 penduduk bumi akan lenyap. di Norway misalnya mereka membina sebuah gudang menyimpan segala biji benih di sebuah bukit lengkap dengan ciri2 keselamatan dan dari ancaman bencana.


Fenomina ini dikatakan bahawa akan terjadinya hari kiamat. Bagi aku sebagai umat islam kita wajib mempercayai berlakunya hari kiamat cuma kita tidak tahu bila. Kita cuma diberitahu ada tanda kecil dan besar sebelum terjadinya hari kiamat. Tak payah la kita nak buat pengiraan bila tarikh berlakunya hari kiamat. Banyak yang aku dengar dari kuliah-kuliah agama mengatakan bahawa kita begitu hampir dengan hari kiamat. Jadi buat la amalan banyak-banyak. Jangan tak mahu pergi kerja sudah.

Tuesday, February 03, 2009

Umpp .... Sedapnya

Aku kerja malam. Balik kerja aku dah plan tengahari ni bila aku bangun tidur nak buat nasi goreng. Aku pun masak nasi. Nasib baik masak nasi ni isteri aku dah ajar. Katanya," Bang kalau periuk besar ni airnya macam ni dan berasnya banyak ni. Kalau periuk kecil macam ni". Sebab tu aku bab masak nasi dan buat nasi goreng alhamdulillah beres.

Aku dikejutkan dengan azan zohor. Aku bangun untuk menunaikan solat dulu. Selepas tu maka terdengarlah kelentung kelentang bunyi belanga. Buat nasi goreng la. Isteri aku memang puji kalau aku buat nasi goreng. Katanya dekat anak-anak, " Ayah memang pandai buat nasi goreng sebab sedap". Aku tahu dia memang puji aku dan aku pasti nasi goreng dia lebih sedap. Yang aku buat pun dia yang ajar.

Maka inilah hasil kerja tanganku. Rasanya macam dok makan dikedai-kedai. Pergi la rasa dikedai. Kalau sedap, rasa dia sebiji macam aku buat. Jemput makan semua..........

Monday, February 02, 2009

Cakap Tak Serupa Bikin

Aku kagum sungguh dengan seorang imam ini. Cara penampilan dan mengimami sewaktu solat fardhu dan Jumaat membuat aku begitu menghormatinya. Tambahan ilmunya juga begitu tinggi. Pernah suatu ketika sebelum masuk waktu solat jumaat, imam ini bangun dan berkata," Tuan-tuan selepas solat jumaat marilah kita buat solat hajat dan kita berdoa kepada Allah agar Allah hancurkan zionis laknat".

Aku pun tidak mahu lepaskan peluang ini. Inilah masanya aku juga berdoa agar Allah memberi kemenangan kepada pejuang Palestin. Selepas selesai solat hajat, imam mengumumkan ceramah tentang penderitaan umat islam Palestin akan diadakan pada sebelah malam. Aku hadir untuk mendengar ceramah. Agak ramai juga yang hadir. Alhamdulillah tahap kesedaran terhadap penderitaan umat islam amat tinggi.

Jumaat lepas sewaktu aku menunaikan fardhu Jumaat aku bertemu dengan imam ini, terkejut aku melihat perwatakan imam ini. Dia berjubah, beserban sambil berjalan menghisap rokok. Beliau berhenti didepan pintu masjid untuk menghabiskan hembusan terakhir. Ramai yang memerhatikan gelagatnya, kemudian berkumur lalu masuk kedalam masjid.

Aku hairan juga adakah imam ini tidak mendengar ceramah yang mengatakan bahawa umat islam telah membelanjakan sebanyak 70 juta ringgit sehari untuk menghisap rokok. Setiap sebatang rokok telah menyumbang kepada pembunuhan saudara kita di Palestin. Lagi pun fatwa mengatakan bahawa rokok itu adalah haram sebab ia memudaratkan kesihatan. Pengeluar rokok pula adalah orang yahudi.

Aku juga hairan bila melihat ramai orang yang mengatakan berjuang untuk islam tetapi tidak boleh berjuang untuk diri sendiri dengan meninggalkan yang haram. Janganlah kita cakap tapi tak serupa bikin, Kita ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dia sendiri berjalan melelong. Lu pikirlah sendiri

Sunday, February 01, 2009

Gembiranya Dapat Memancing

Kelmarin aku plan dengan anak nak pergi memancing. Lama juga tak turun semenjak isteri sakit dan sehingga dia meninggal. Rasa tak ada mood lagi. Ni kira baru nak berjinak kembali sebab nak lepas tension.Mulanya kami pergi sebelah siang. Tetapi ramainya dah booking tempat. Jadi kami balik plan pula waktu malam. Lepas solat isyak kami dua beranak sampai diatas jeti Telok Kumbar. Tempat ni tak berapa favourite. Yang paling best diatas batu bertentangan bunggalow. Tapi tempat tu kira ada kekacauan berlaku. Pernah dulu aku memancing tiba-tiba terlihat sebujur tubuh dalam air dengan mata merah sedang memerhatikan aku.



Sebelum memancing kami sempat melihat nelayan sedang menurunkan ikan hasil tangkapan mereka. Dan aku sempat snap gambar. Seronok melihat banyak ikan yang dapat. Peraih pun ramai dah yang tunggu. Rasa-rasa macam nak beli ikan dan bawa balik. Tak payah memancing. Tapi semangat juang kami tinggi. kami meneruskan perjalanan untuk menuju jeti bukan puncak.


Kami tunggu punya tunggu. Hai ikan tak makan pun umpan. Air baru nak pasanglah. Patut ikan tak berapa nak ada. Anak aku boring dah. Orang muda lagu tu la. Tak tahan sabar. Pancing ni kena sabar. Ni dia dok suluh dalam air. Kata dia silap tak bawa jala. Memang pun kalau kami bawa jala tentu udang pun dapat. Tak ada rezeki. Lain kali saja.


Akhirnya inilah saja rezeki yang kami dapat malam semalam. Yang pastinya umpan lebih mahal dari hasil pancing kami. Nak buat macam mana. Itulah kehidupan para nelayan. Jam menunujukkan 2 pagi. Patutla mengantuk sangat. kami pun angkat kaki. Minggu depan kami nak keatas batu insyaallah. Berhantu pun berhantulah. Ikan ni bawa balik rumah tak ada orang nak bersihkan. Aku bagi dekat Mak Mertua sajalah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...