Teman-teman

Tuesday, April 27, 2010

Jangan buat janji

Ketika aku bersama 2 orang lelaki membantu memulihkan keadaan, makhluk halus yang memasuki badan isteri salah seorang dari kami semakin aktif. Tok bomoh sudah hilang entah kemana. Kecewa sungguh lelaki itu. Ketika kami berada didepannya, sempat juga aku bertanya dengan wanita yang dirasuk. " Hang mai dari mana ". " Jangan tanya aku mai dari mana. Manusia semua datang dari Adam ". Kata wanita tersebut. Terdiam kami semua. Tak sangka dia pandai putar belit. Melihat kami terdiam dia mula tertawa gelihati.

" Hangpa mau dak tolong aku bunuh Idah ( bukan nama sebenar ). Hang pula bila Idah dah mati boleh kawin lain. Aku nanti tuan aku akan jamu macam-macam ". Kata wanita yang dirasuk.
" Tuan hang jamu apa ". Tanya aku.
" Dia jamu 10 ekor ayam. Kenyang aku makan sorang ".
" Hang mau dak kami jamu 20 ekor ayam tapi dengan syarat hang keluar dari badan ni ". Aku terus berkata.
" Boleh-boleh. Hangpa bagi dekat jiran-jiran tapi bagitau dekat depa jangan baca bismillah. Kalau depa tak baca dapat dekat akulah. Kalau depa baca aku tak dapat apa-apa ". Sambil tersenyum dia memandang kami.

" Ni hang mau aku bagitau dekat hang, ada sebiji rumah. Banyak pokok rambutan. Bawah tikar dia penuh dengan duit ". Wanita itu terus berkata.
" Rumah sapa ". Tanya aku. " Ha aku tak boleh bagitau. Kalau hangpa nak tau rumah sapa mai tolong aku bunuh Idah " Terus dia berkata.
" Macam mana hang nak bunuh Idah ". Aku bertanya
" He he he aku tau la cara dia ". Seram aku mendengar ketawa kecil itu dengan matanya yang tak mampu aku nak terang.

Akhirnya kami lepaskan pegangan tangan. Dia merangkak keluar dan terus memanjat tembuk untuk terjun dari tingkat 3. Itukah caranya nak bunuh Idah rupanya. Kami mengangkat kembali wanita itu. Menjerit dia memaki hamun kami. Riuh keadaan rumah pangsa walaupun jam dah pukul 12 tengah malam.
" Hangpa memang kurang ajar. Ni hang jaga sikit. Aku dah hantar gang aku p rumah hang. Siap bini hang ". Marah sungguh dia dekat aku. Akhirnya dia keletihan dan ketika itulah aku pulang kerumah.

Mengikut cerita dari anak saudaraku, Ketika Ustaz Anas datang dia terus tak berani melawan. Sekejap saja benda itu dapat dikeluarkan dari badan wanita itu. Keesokan harinya aku melihat wanita itu dah mula meniaga. Aku pun hairan dengan bangsa kita. Mengapa didengki kalau melihat seseorang dari kita berjaya. Perlukah disihirkan. Tidak takutkah mereka dengan siksaan Allah atas perbuatan syirik mereka. Kasihan anak-anak wanita itu yang masih kecil masih takut lagi dengan emak mereka.

Sunday, April 25, 2010

Aku Akan Makan Anak Dalam Perut !!!!!!!

Aku baru pulang membantu isteri di pasar malam. Ketika sedang menikmati mee goreng, handset berdering. " Pakcik..boleh tolong sat. Seorang wanita jatuh pengsan ketika nak ambil anak. Tak ada siapa ni ". Panggilan dari anak saudara sebelah arwah isteriku. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku beritahu isteriku akan panggilan tadi. Setelah sampai aku begitu terkejut melihat kenapa begitu banyak makhluk berkeliaran. Ada kepala saja melayang. Seram aku ketika itu sehingga terlupa dimana rumah anak saudaraku. Akhirnya aku berpandukan rumah yang bising sebab kalau kena rasuk pastilah bising dibuatnya dengan mengilai, ketawa, menangis dan berbagai ragam.

Aku kini berada didepan rumah yang bising tadi. Ketika tanganku nak mengetuk pintu terdengar pertengkaran. " Yang hang gatai nak kahwin lagi sorang buat apa. Tak cukup satu ". Astaghfirullah hal azim tersilap rumah la. Ini bukan kena rasuk tapi suami nak pasang lagi sorang. Nasib baik tak ketuk pintu. Setelah aku menalipon anak saudara aku berada didepan rumahnya. Aku melihat wanita tadi terbeliak matanya memerhati diluar. Ada seorang lelaki yang bergelar tok bomoh sedang membuat ubat. " Encik mai ni nak buat ubat ka ". Cepat-cepat aku berkata tidak. Memang aku tak pandai pun buat ubat. Hanya tolong sedikit saja sebelum dapat yang lebih baik.

Aku melihat tok bomoh mencekik wanita tadi. Menjerit dia membuatkan penduduk flat terpinga-pinga. Setelah itu wanita itu seolah-olah sedar dan menangis. Aku bisik dekat anak saudara yang makhluk halus nak main-main. Dia punya menangis mendayu-dayu seolah sedih sangat. Tok bomoh sangka yang wanita itu pulih. Katanya, " Sudahlah jangan dok ingat lagi. istighfar banyak-banyak ". Tiba-tiba wanita itu ketawa sambil matanya melihat diluar. Terkejut tok bomoh ingatkan dah pulih. " Dekat depa hang boleh perbodoh tapi dekat aku jangan dok main-main. Aku berkawan dengan Panglima Hitam, Panglima Merah. Nanti aku hantar depa hang nanti teruk. Hang tengok apa dekat luar ". Mentang-mentang la dia ada ilmu. Orang yang mai dia kata bodoh-bodoh belaka sedang kan dia tak nampak belakang dia tiga kepala berlumuran darah sedang melayang-layang.

Aku membaca ayat-ayat dari Al-mathurat lalu aku tiup keluar. Sekejap hilang. Kini wanita itu memandang aku pula. Ditenungnya aku dengan tajam. Orang ramai hairan kenapa dia tenung aku. Aku hanya diam saja. Akhirnya tok bomoh kata yang wanita itu hanyalah ada saka saja. nanti dia akan sembuh sendiri. hairan juga aku kenapa dia berkata demikian. Sebenarnya tok bomoh itu tak mampu tapi malu untuk mengaku. Setelah mereka pergi anak saudaraku menyuruh aku pergi tengok akan wanita itu yang semakin teruk mengamuk. Datang tok imam, " hah.. Budiman ada. Hang pandai sikit jom kita pergi tengok ". Tok imam kata aku pandai ishhh takut aku.

Bila aku masuk kedalam rumahnya wanita itu terus duduk sambil menunjuk tangan kearahku dan ajak aku bersilat. Sambil membaca sesuatu dia menghembus aku. Tatkala itu aku merasa amat kecut sekali untuk berhadapan dengannya. Sambil menggigil aku membaca dengan tenang ayat Al-mathurat. Alhamdulillah aku kembali tenang. Aku dekatinya terus aku baca ayat quran dan aku hembus ketelinganya. " Yang ni aku nak marah ni. Hang nak lawan dengan aku ". Sambil menendang orang yang memegangnya. Aku baca ayat 10 dari surah Yasin lalu aku hembus ketelinga namun dia menutup telinganya. Aku baca lagi lalu aku hembus kembali. Yang lawaknya dia buat pengsan. " Ala aku tau hang saja buat pengsan. Buka lah mata tu ". Terus dia ketawa mengilai bila alu berkata demikian.

Masuk seorang wanita yang baru mengandung 2 bulan iaitu kakaknya. " Uishh..dia mengandung. Jaga aku akan makan anak dalam perut tu. lama tak makan ". Terkejut suaminya lantas menarik keluar isterinya kerumah anak saudaraku. " Siapa ada nombor talipon Ustaz Anas. Tolong panggil dia ". Aku menyuruh anak saudaraku mencari. Aku terus membaca ayat al-quran. " Hang dok baca apa. Hang tau dak aku pun ada Allah. Baca pun tak betui ". Perli wanita itu. " Aku mai dari Indonesia hang tau ". Dia terus berkata. " Hang naik apa. kapal terbang ka ". Aku pula bersuara. Ketawa dia bila aku bertanya demikian. " Hang ni bodoh la. Hang balik rumah. Isteri hang dok tunggu sorang-sorang. Pi balik peluk dia. Hang mau aku hantar orang aku p kacau dia ". Aku terus membaca ayat quran. Dia memejam matanya lalu berkata, " Aku seru kawan aku p rumah dia dan kacau bini dia ".

Anak saudaraku dapat bercakap dengan ustaz Anas. Aku meminta diri dari anak saudaraku untuk pulang sebab aku tahu memang dia telah hantar gang dia pula nak kacau rumah tangga aku. Dalam perjalanan aku menerima panggilan dari isteriku. Jam menunujukkan pukul 1 pagi.
" Abang dekat mana. Awat Nah rasa seram saja malam ini ". Aku dah agak dah. Aku terus memecut motosikalku. Tibanya dirumah makhluk itu sudah berada di depan pintu rumah. Nasib baik isteriku bersedia awal. dipasangnya CD quran untuk menghindarkan jin dan makhluk tu tak berani masuk kedalam rumah. Akhirnya semalaman kami tak dapat lena bila terdengar bermacam-macam bunyi diluar. Pintu dicakar, orang mendengus. Jam 2 15 pagi anak saudaraku menalipon mengatakan yang ustaz anas berjaya memulihkan wanita itu.

Dulu kawasan flat itu adalah tempat orang membuang segala benda-benda kotor. Setelah dijadikan perumahan maka kacaulah tempat itu. Difahamkan sebelum wanita itu terkena sampuk berlaku benda yang sama di bawah. Akibat badan wanita itu lemah maka kenalah dia. Yang aku sedih tok bomoh kata buang masa dia dok merawat benda keturunan. Maknanya benda ini tak dapat dibuang la. Aku berkata dekat isteri yang aku nak belajar tentang perubatan islam. " Janganlah bang.Ni pun setiap kali abang keluar merawat orang, kita pula jadi sasarannya ". Aku terdiam tapi dalam hati insyaallah kalau ada kesempatan, aku akan berbuat demikian. Hanya Allah yang dapat membantunya.

Friday, April 23, 2010

Khutbah Jumaat dan Jeruk

Pagi ini aku masih berlegar-legar didalam pasar mencari sesuatu. Akhirnya aku temui juga apa yang dihajati. Telur ikan. Entah kenapa aku tidak pernah jemu dengannya. Aku memilih telur yang elok memandangkan masih awal lagi maka banyaklah pilihan. Kalau datang lewat terpaksa ambil apa yang ada. " Encik selalu beli telur ikan. Manyak sedap ka ". Tanya penjual wanita. " Tak ada isteri saya mengandung. Dia teringin nak makan telur ikan ". Entah kenapa aku berkata demikian. Nanti dulu..... Pembaca semua jangan ingat apa-apa. Aku cuma terkeluar cakap saja. Aku pulang kerumah dan mula operasi membuat sambal tumis telur ikan. Bukan susah sangat. Dalam masa 10 minit sambal dah siap. Aku bergegas pula untuk menunaikan solat Jumaat. Seperti biasa sebelum aku masuk kedalam masjid, akan aku ziarah dahulu pusara isteriku. Khutbah hari ini tentang hari kiamat tapi penyampaian khatib yang tersangkut-sangkut membuat jemaah tertidur.

Aku lebih terkesan khutbah Jumaat yang lepas.Khatib menceritakan tentang kisah sahabat di perang Mut'ah iaitu Zaid bin Haritsah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah. Peperangan diantara tentera Rom seramai 200,000 orang dipimpin oleh Heraklius. Tentera islam pada masa itu seramai 3000 orang. Sebab Rasulullah memilih ketiga sahabat ini ialah kerana mereka merupakan rahib dimalam hari dan singa disiang hari berjuang melawan musuh.Melihat akan begitu ramainya tentera musuh ada sesetengah dari kalangan tentera islam sudah mula panik.

Bangun Abdullah Ibnu Rawahah lalu berkata, " Demi Allah, Ketahuilah, yang kalian cari adalah mati syahid. Kita memerangi musuh ini bukan berdasar bilangan tentara… kekuatan musuh ataupun banyaknya jumlah mereka… Kita memerangi mereka hanyalah karena mempertahankan agama ini yang dengannya Allah memuliakan kita… majulah… Pasti yang akan kita peroleh adalah salah satu dari dua kebaikan, kemenangan atau mati syahid …!!" Kaum muslimin menyahut, "Sungguh, demi Allah, benarlah yang diserukan Ibnu Rawahah."

Sebelum berangkat ke medan perang Rasulullah berdiri didepan tentera islam seraya berkata,
" Kamu harus tunduk kepada Zaid bin Haritsah sebagai pemimpin. Jika ia gugur maka pimpinan akan dipegang oleh Jaafar bin Abi Talib dan jika Jaafar gugur pimpinan akan dipegang oleh Abdullah bin Rawahah dan jika Abdullah juga gugur kamu bermusyawarahlah mencari pengganti ".

Zaid bin Haritsah gugur akibat terkena tombak musuh lalu bendera dipegang oleh Jaafar bin Abi Talib.Tangan kanan Jaafar putus lalu bendera ditukar ketangan kiri. Akhirnya tangan kiri Jaafar pula putus lalu dipegang dengan kedua lengannya dan akhirnya Jaafar gugur syahid.Bendera bertukar ketangan Abdullah Ibnu Rawahah dan akhirnya Andullah juga gugur syahid. Setelah bermesyuarat mereka memilih Khalid Ibnu Walid sebagai ketua

Atas kepintaran Khalid Ibnu walid akhirnya tentera musuh dapat dikalahkan. Tanpa aku sedari airmata jatuh bercucuran mengingatkan akan perjuangan sahabat Rasulullah mempertahankan islam. Terasa rindu ingin menziarahi perkuburan mereka.



Bermacam-macam jenis jeruk

Selesai aku solat aku singgah kekedai jeruk yang terletak di pekan Sungai Ara. Ia berdekatan dengan rumahku. Tauke kedai sudah mengenali aku ketika zaman aku remaja lagi. Dari dialah aku dan rakan-rakan menjual jeruk buah dengan menggunakan van kepunyaan rakanku. walaupun aku hanya seronok-seronok membantu rakanku, banyak ilmu perniagaan kecil yang aku dapat. Kami akan membungkus jeruk dalam plastik dan menjual memasuki kampung-kampung. Memang laku time tu. Namun ayahku tidak menggalakkan aku terjerumus dalam bidang perniagaan. Katanya pelajaranku lebih penting. Akhirnya bila aku dah tak ikut kawan, dengar khabar dia pun bertukar kerjaya dengan menjual bugger.


Tauke kedai terus tunjuk keratan akhbar yang dilekat didinding. katanya akhbar dari Berita Harian telah datang mengambil gambar. Kata mereka jeruk kedai ini bagus. Itu memang aku akui sebab dari dulu sehingga sekarang dia menggunakan gula pasir. Tidak seperti kebanyakkan kedai lain yang menggunakan ibu gula. Aku mengambil gambar dan berkata akan dimasukkan dalam blog aku. Dia bungkus jeruk lalu diberikan kepadaku tanda terima kasih kerana masuk blog. Kelihatan beberapa biji bas express ditepi jalan. Penumpang turun dan bertambah sibuklah lagi kedai jeruk sini.

Thursday, April 22, 2010

Dia Buat Lagi

Aku tersandar diatas kerusi akibat keletihan baru pulang dari kerja. Ketika azan Asar berkumandang, aku melihat seorang wanita cina tua sedang lalu dihadapan rumahku. Aku kenal akan wanita ini. Dialah yang kerap mengambil serai untuk dijual. Kali ini aku melihat dia membawa beg plastik besar dan guni. Aku memanggil isteriku untuk melihat akan perbuatan wanita tua ini. Dihamparnya guni dan bermula operasi mengambil serai. Aku melihat diikatnya serai menjadi 3 rangkai dan dimasukkan kedalam beg plastik. Seronok sungguh seperti serai ini tumbuh sendiri. Aku berjalan perlahan-lahan mendekati wanita ini lalu aku mengambil gambar. Terkejut dia bila aku minta duit sebanyak RM3. Lantas dia mengambil kesemuaserai lalu melarikan diri. Sengaja aku memangginya dan meminta duit. Terus dia cabut lari dan ada yang tertinggal ditempat asal. Keesokkan harinya isteriku melihat dia menjual serai yang diambil dari rumahku. Seronok wanita itu mendapat duit free. Kata isteriku dia pernah membeli serai disini dan isteriku hairan sebab serai yang dibelinya ketot-ketot macam serai dirumah. Aku tertawa bila isteriku menceritakan peristiwa itu. Hai itulah dunia. Nak marah dah tua. Redho saja lah. Nanti tanam lain.

Wednesday, April 21, 2010

Sila Berhenti Tepi Encik !!!

Keretaku memecut laju dari pekan Junjong jam 12 tengah malam. Pekan yang mati pada waktu malam membuatkan keadaan terlalu sunyi bila menjelang maghrib. Aku ditugaskan disana dimana ia berdekatan dengan Air Putih iaitu tempat perkelahan. Tanpa aku sedari sambil menikmati lagu nasyid dari kumpulan Hijjaz aku memecut 130 km/j membelah highway. Bila tersedar kembali aku memperlahankan kembali kenderaan. Selesai aku membayar tol di tol Juru aku terserempak dengan sekatan jalanraya. Memang tak dapat elak lagi. Aku berhenti dihadapan polis dan terus membuka cermin tingkap. Datang seorang pegawai polis menyuluh muka aku dan barangan dibelakang. " Encik tolong bagi lesen dan IC. Sila berhenti tepi ". Dalam hati aku berkata, " Habis la kali ini pasti kena saman ". Aku keluar dan terus memberi salam. Terdiam pegawai polis bila terdengar salam aku. Memang memberi salam merupakan sesuatu yang mulia dalam islam dan ia tidak sama dengan salam satu Malaysia. Pernah rakanku berkata, " Satu hari khatib akan naik diatas mimbar dan terus berkata Assalamualaikum wbt dan salam satu Malaysia ". Kata-kata itu membuatkan aku dan rakan-rakan tergelak. Memang ia melucukan.

Kini aku berhadapan dengan pegawai polis. " Encik belakang itu beg apa ". Tanya pegawai polis. " Satu beg mengandungi file tempat kerja. Beg satu lagi laptop saya. Beg satu lagi mengandungi bekalan yang diberi oleh isteri saya ". Memang dibelakang dipenuhi dengan beg dan baju. Aku main lontar saja dalam kereta. Maklumlah nak pulang kerumah. Rasa malas nak mengemas. Nasib baik aku memakai unifom dan nama pada unifom sama pula dengan IC. " Maaf encik tadi saya curiga melihat encik lebih-lebih lagi beg penuh dibelakang. Maaf sekali lagi encik ". " It's ok. No problem dah tugas nak buat macam mana ". Ossey man. Aku cakap oghang putih pula dekat polis tu.

Dalam hati aku terus berkata, " Mentang-mentang la muka aku bukan macam muka melayu. Pasai tu depa curiga ". Itulah dah keturunan jawa nak buat macam mana. Mata pula sepek. Tapi cakap pure Penang. Alhamdulillah lega rasanya bila tak ada masalah yang melanda. Sampai dirumah aku cerita dekat isteri peristiwa aku ditahan polis. Tersenyum isteriku bila aku berkata, " Nasib abang la Nah, mata sepek orang suka curiga ". " Sepek yang Allah bagi tu ada hikmahnya ". Kata isteriku yang mebuatkan aku terdiam seketika.

Tuesday, April 20, 2010

Bola Apa Ini

Hari ini aku berkesempatan mengambil gambar bola roti canai yang dihasilkan sendiri oleh isteriku. Ramai dikalangan pengunjung yang terpaku bila mereka melalui jalan belakang gerai terlihat sendiri isteriku membuat sendiri bola roti canai. Mereka menyangkakan yang isteriku membeli dari mamak roti. Bila melihat sendiri bola roti canai maka riuhlah pelanggan yang memuji isteriku kerana membuat sendiri roti canai.

Hasilnya setiap hari pasti habis roti canai yang dimakan. Bukan senang untuk menebar roti canai. Aku cuba try tapi roti canai melayang didinding. Setelah digoreng roti canai yang dibuat sendiri sedap dimakan begitu saja tanpa kuah. Aku sendiri tak tahu bagaimana ia dihasilkan. Jadi yang berdekatan dengan gerai silalah datang rasa. Gerai dibuka dari jam 7 pagi. Jam 11 pagi dah habis. Namun ada juga yang baru nak cuba perniagaan roti canai dibelakang gerai isteriku. Namun masing-masing Allah menetapkan rezeki masing-masing. Masalah orang melayu kita ialah dengki. Walaupun berniaga bersebelahan masih ada yang naik turun majlis membuat repot membusukkan gerai sebelah. Akhirnya datanglah majlis mengeluarkan surat saman. Semua dapat termasuk isteriku. Melayu oh melayu bila mereka nak sedar yang merekalah memusnah bangsa mereka sendiri. Tidakkah meraka mengerti bahawa setiap manusia ada rezekinya masibg-masing. Sedarlah bangsaku.

Roti Nan di canai dahulu menanti ia naik

Roti canai dan Roti Nan sedang digoreng

Sunday, April 18, 2010

Jom Lawat Lorong Kulit

Seperti biasa hari Ahad aku dan isteri bermula dengan aktiviti mengikuti kelas untuk ke Umrah. Dari tak tahu apa-apa, dapatlah sedikit ilmu tentang bagaimana perjalanan mengerjakan umrah dan haji. Dalam sebulan lagi kami akan berangkat ke tanah suci insyaallah. Selesai kursus isteriku mengajak ke lorong Kulit. katanya nak beli pokok bunga. Orang perempuan ni memang naluri keindahan untuk rumah tidak boleh dipisahkan. kami berjalan saja kesana memandang masjid tempat kami berkursus hanya terletak dibelakang stadium bandaraya Pulau Pinang. Sampainya kami disana sudah kelihatan begitu ramai orang. kami mengambil keputusan untuk menjamu selera dulu. Char Koay Teow sini begitu famous. Kalau kita pesan terpaksa menunggu giliran untuk dimakan. Aku mengambil keputusan untuk mencari cucur udang. Rasanya boleh tahan. Tak seperti cucur udang di Chowrasta. selesai makan maka kami memasuki dalam kawasan jualan. gembira isteriku bila melihat deretan pokok bunga.

Pokok bongsai. Dulu di kampong ia tumbuh meliar dan tinggi. Kini ia dijadikan perhiasan

" Abang pokok ni cantik ka atau pokok yang itu ". Isteriku dah tak tahu nak pilih akibat banyaknya pokok yang cantik-cantik. Akhirnya dia memilih pokok bunganya bagiku yang tak minat pun nampak cantik. Aku seperti biasalah snap sana dan sini. Kamera digitalku rosak akibat terjatuh. Sementara menunggu siap, aku menggunakan camera handphone. Ok lah tu dengan kuasa sebanyak 5 mega pixel kira gambarnya boleh la tahan.

Penuh dengan bermacam jenis bunga yang cantik

Baru-baru ni aku terlihat kamera digital SLR yang menggunakan zoom yang asing. Harganya sekitar RM1800. Aku beritahu pada isteri yang suatu hari jika duit aku mencukupi akan aku beli kamera itu. Sengaja aku beritahu isteri agar dia juga mengetahui akan niatku. Aku tak suka kalau terus membelinya. " Ikut abang la kalau dah minat ". Memang dia pun dah tahu minat aku dengan kamera.

Pokok bunga yang dibeli oleh isteriku

Aku terus mengambil gambar disekitar Lorong Kulit. " Tauke you orang luar ka ". Tanya penjual bunga. " Tak ada saya orang Penang juga. Mau ambil gambar mau masuk blog. Saja mau promosi lu punya kedai bunga. Kasi murah la sikit tauke ". Saja aku minta kurang. " Boleh-boleh. Waa..lu blogger la ". Seronok tauke tu bila aku berkata nak promosi kedainya. Akhirnya dapatlah murah sikit.

Pokok dari jenis yang sama. Cuma warna berlainan

Pekerjanya yang merupakan warga Indon asyik meminta agar mengambil gambarnya. " Bang ambil la gambar saya sama bang ". Memang wajah pekerjanya cukup manis. Tapi isteriku memberi jelingan yang membuatkan aku mengerti akan maksud itu. Fuhh orang perempuan kalau dia jeling pasti menusuk kedalam jantung.

Lorong kulit bersebelahan stadium bandaraya Pulau Pinang

Memang ramah pekerjanya. asyik cerita dekat aku nama bunga itu dan bunga ini dan aku pula asyik snap gambar. Akhirnya tanganku ditarik isteri. Katanya dah selesai beli. Cepat sungguh. Aku kalau datang keseorangan pasti 2 jam aku akan berada di sini. Kata isteriku, apa yang seronok sangat Lorong Kulit. Kataku macam-macam ada. Kalau dulu aku pasti menyaksikan permainan ular dan akhirnya aku akan bawa pulang bermacam-macam jenis minyak percuma. Arwah isteri aku akan mula pening sebab nak buat apa dengan minyak. Akhirnya keesokannya minyak yang aku dapat free hilang. Memang lucu bila aku ingatkan kembali peristiwa itu.

Medan selera. Berbagai jenis makanan di jual disini


Baju yang dijual. Seronok pakcik ni bila aku snap gambar dia


Barangan logam jenis lama. Hati-hati juga kalau nak beli keris lama. Kita tak tahu asal usulnya. Pulang kerumah bermacam masalah timbul


Begitu ramai orang terutamanya hari Ahad. Maklumlah cuti. Disinilah tumpuannya


Ramai juga pelancung yang datang. Ada yang mengambil gambar. Kira macam akulah tu

Saturday, April 17, 2010

Tangan Yang memberi lebih Mulia

Aku sedang berehat diluar sambil menghitup udara segar dalam persekitaran kampong. Sempat juga aku membaca buku-buku tentang ibadah umrah. Dari aku melihat seorang pemuda memakai kopiah berjalan terhincut-hincut kearahku. " Assalamualaikum ". Sambil membuka begnya yang mengadungi salinan pendua mengenai selawat nabi. Aku bertanya dari mana pemuda itu datang. Katanya dari Myanmar. Aku memberi kembali salinan selawat lalu menghulurkan RM5. Pemuda itu terus berlalu menuju kerumah lain. Beliau menghampiri rumah jiranku. Aku melihat jiranku terus menutup pintu rumahnya. Berlalu pemuda itu dengan muka yang sedih.

Aku begitu sedih melihat peristiwa ini. Aku terus cerita kepada isteriku mengapa sikap orang kampong begitu. Ada juga yang memberi tapi membebel. Kadang-kadang kita tidak menyangka yang Allah telah menghantar seseorang untuk memuliakan kita. Aku terus berkata setelah kita memberi sedekah hati kita akan terasa begitu tenang. Itu yang aku alami ketika ini. walaupun tidaklah banyak mana aku memberi tapi kata Allah tangan yang memberi lebih mulia dari tangan yang meminta. Isteriku hanya terdiam tanpa berkata apa-apa.

Ketika aku masih berada diluar rumah tiba-tiba datang 2 orang remaja perempuan.
" Assalamualaikum ". Berlagu sungguh salam mereka. Sama seperti tadi mereka juga memberi salinan pendua selawat nabi. Aku terus memberi seorang RM1. Mereka terus pergi kerumah lain. Sebentar kemudian terdengar pula suara lain. Kali ini budak lelaki datang dengan niat serupa. Terus isteriku berkata, " Begitulah bang setiap bulan mereka akan datang dengan menaiki van yang dihantar oleh ketua mereka masuk kekampong meminta sedekah ". Kali ini aku pula menjadi rimas. terus aku masuk kedalam rumah.

Teringat bila aku dan isteri berada di Chowrasta. Ketika memilih kain kami didatangi oleh seorang anak kecil memakai jubah menghulurkan tin kosong. Aku terus memberi 50 sen. " Depa ada sindiket bang. Bukan boleh layan sangat ". Kata seorang penjual kain. Jikalau sesiapa yang belum pernah datang ke Penang, kalian boleh datang dan terus ke Chowrasta. Saksikanlah begitu ramainya kanak-kanak Myanmar berlegar-legar dikawasan ini. Kadang-kadang perbuatan ini merimaskan mereka yang baru pertama kali berkinjung kesini. Pernah semasa aku menolong isteri digerai, seorang tua bersanma anak gadisnya meminta dari satu meja ke satu meja. Umur anaknya lebih kurang sebaya anakku. Namun begitu hilang rasa malu pada dirinya. Menadah tangan seperti ayahnya mencari simpati orang ramai.

Tapi bagi akulah walaupun ramai yang penipu, janganlah kita menjadikannya alasan untuk tidak mahu memberi sedekah jariah. banyak lagi mereka yang boleh dipercayai. Kata ustaz hulurlah di tabung-tabung masjid atau surau untuk membantu mereka menjalankan aktiviti yang baik. Tanpa amal jariah hati kita akan berkarat dan kita tidak ada perasaan syukur kepada Allah betapa Allah telah memberi kita kehiudpan yang lebih baik berbanding mereka. Jadi perbanyakkanlah saham akhirat yang akan berkekalan selama-lamanya diakhirat.

Monday, April 12, 2010

Program ziarah kubor

Baru hari ini dapat update blog. Ahad lepas selesai aku dan isteri menjalani kursus ibadah umrah jam 11 pagi, aku menalipon anak gadisku untuk membersih pusara ibunya. Jam 12 tengahari kami berdua sudah berada di persekitaran kubur. Aku memberitahu anakku tentang adap-adap ketika ziarah pusara. Pernah aku beritahu arwah isteriku tentang adap-adap ketika menziarah kubur. ketika itu kami berdua kerap ziarah pusara anak kami yang meninggal ketika berusia 18 hari. Kini aku dan anak-anak pula menziarahi anak dan isteriku pula. Siapa sangka boleh terjadi begini. Ini bermakna ajal maut tidak ada siapa yang mengetahuinya. Keadaan kubor isteriku dipenuhi dengan tumbuhan rumput hijau. Dengan cuaca yang panas teri kami mula membersih kubor dan mengakibatkan peluh membasahi badan. Selesai tugas kami barulah dapat menyedekahkan Al-Fatihah kepada kekasihku yang telah pergi mendahului kami.

Pusara ayahku Zainal Abidin bin Hassan

Bila berada didalam kawasan perkuburan hati ini terasa begitu sayu sekali. Mungkin dimasa akan datang anak-anak kami pula yang akan menziarahi kubor kami seperti mana aku menziarahi kubor ayahku. Tiba-tiba aku merasakan bahawa masih banyak dosa-dosa lampau yang aku lakukan. Cukupkah untuk dibawa bertemu Allah kelak.

Anakku Siti Zinnirah sedang mencabut rumput di pusara adiknya Ashraf bin Ariff Budiman

Masih aku ingat akan ucapan Pengerusi Kariah yang pertama bilamana kariah kami mendapat tempat untuk dijadikan perkuburan. Katanya dia teringin menjadi orang yang pertama dikebumikan di perkuburan ini. Akhirnya Allah makbulkan doanya dan beliau menjadi orang pertama yang telah menghuni perkuburan ini. Kini begitu ramai anak ahli kariah yang mengikut pengerusi kariah yang pertama.

Sedang membersih pusara ibunya Siti Aishah binti Zakaria

Aku tidak kisah bilamana aku menziarahi kubor isteriku ada saja mata-mata rumah berdekatan mengintai akan aku. Mungkin mereka hairan aku kerap ziarah jam 12 tengahari. Bagiku aku tak kisah jam berapa asalkan aku dapat berada disana. Pernah suatu ketika anak lelakiku mengajak aku menemaninya menziarahi kubor emaknya selepas solat maghrib. Akhirnya dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Entah kenapa bila aku berada di perkuburan ini, hati aku terasa begitu damai. Mungkin ianya dijaga dengan begitu kemas oleh Jawatankuasa kariah. Keadaan perkuburan yang begitu bersih sekali. Ketika jam menunjukkan pukul 1 petang kami beredar pulang meninggalkan penghuni kubur. Kataku perlahan insyaallah aku akan datang lagi.

Wednesday, April 07, 2010

Saya halalkan saja

Awal jam 7 pagi lagi aku keluar bersama isteri mengikutnya ketempat dia berniaga. Setelah aku menyusun kerusi meja dan orang pun dah mula datang membeli roti canai dan roti nan, aku pun memulakan pengembaraanku. Tempat yang pertama aku tuju ialah gerai bersebelahan masjid Bayan baru. Disitulah tempat aku dan arwah isteri selalu singgah selepas selesai kepasar. Pasti Chow koay Teow atau Mee kari yang pasti kami makan. Pagi ini aku memesan mee kari saja. Aku keseorangan saja. Tauke gerai sempat menceritakan kepadaku yang ramai pelanggan yang makan tidak membayar. " Kami halal saja bang ". Katanya.

" Sama juga dengan isteri abang yang menjual roti canai dan roti nan, ramai yang tak bayar. Ada yang terlupa keesokan hari datang membayar. Tapi itulah isteri abang pun halalkan kalau ada yang tak bayar". Terlopong dia mendengar cerita aku. " Abang dah kahwin ka. Amboi saya tak tau pun ". Aku hanya tersenyum saja. " Abang pernah kata dekat isteri, mungkin semua yang berlaku ini Allah nak memberi peringatan kepada kita. Bagaimana dengan sedekah jariah kita sebab dalam rezeki kita ada hak-hak orang lain. Sebab itu abang suruh isteri halalkan saja ". Sengaja aku berkata tentang isteriku takut dia terasa pula. " Betoi apa yang abang cakap tadi. Tak apa hari ini saya belanja abang makan ". Pulak dah. Dah orang belanja ucap terima kasih saja lah.

Mee kari Ipoh memang sedap di kawasan ini

Tiba-tiba isteriku talipon menyuruh aku kepasar membeli ayam dan sayur-sayuran. Katanya ada orang menempa nasi tomato hari ini. Aku terus bergegas ke pasar membeli apa yang diminta. Kacang buncis yang dipesan sebanyak 6 kilo. Banyak tu. Inilah kali pertama aku membeli kacang sebanyak itu. Bila pulang aku kesian pula dekat isteri sebab bila pulang dari berniaga dia akan membuat bola roti canai untuk esok. jadi aku katanya padanya kacang buncis biar aku yang potong. Tersenyum isteriku bila aku nak tolong dia. Diberinya kacang buncis sebanyak 6 kilo kepadaku. Telan air liur aku melihat banyaknya.

Baru beberapa kerat aku potong mulut dah menguap. Memang dasar lelaki kan. Kalau buat kerja dapur ni pasti tak menjadi. Jadi aku pun pasanglah CD nasyid. Sambil potong sambil mendengar nasyid. Akhirnya mata aku dah tak tahan. layu layu dan terus tertidur. celik-celik nasi dah terhidang disebelahku dan isteriku pula mengambil alih tugas memotong kacang buncis.

Tak sangka pula. Cantik sungguh aku potong. Isteri aku yang puji ni

Cepat-cepat nak cover line aku mengambil pisau lalu memotong kembali kacang buncis, " Tak payah potong la bang. Abang makan la nasi tu. Sekejap lagi dah nak pergi kerja ". Bila suruh berhenti saj aku pun stop la. Hasilnya ada la dalam sekilo aku potong. Isteri puji aku. Katanya aku potong kacang cantik. Tapi aku lihat kacang yang dia potong lagi cantik. Saja tu nak ambil hati aku. Dia berhenti memotong sambil melihat resit pembayaran tiket umrah. Tergelak dia di resit tu tertera nama Tuan Hj Ariff Budiman. Aku turut merasakan kelucuan itu. terinngat aku bila selesai membayaran petugas TH mengucapkan terima kasih kepada aku dan rakan dengan memanggil kami Tuan Hj.


Bayar duit dah dapat title haji.

Tuesday, April 06, 2010

Fasa Kedua turut Selesai

Alhamdulillah hari ini aku dan rakanku ke TH Butterworth untuk menyerahkan paspot kami dan baki wang. Aku difahamkan yang group kami sudah pun penuh iaitu seramai 42 orang yang akan berangkat ke Jeddah pada 20 Mei 2010. Aku begitu teruja bila melihat program kami sepanjang berada di bumi mekah dan Madinah. Tak sabar rasanya. Aku sering berdoa agar Allah terima kami dan ampunkan dosa-dosa kami. Telah 4 kali aku menjalani sesi pengajian untuk ketanah suci. Kata ustaz jemaah haji Malaysia yang paling ramai bershopping disana. Padaku betul apa yang diperkatankan oleh ustaz. Beberapa yang aku jumpa menyuruh aku membeli teh arab. Kata mereka sedap.

Setelah urusan selesai aku berjabat salam dengan petugas TH Travel, " Terima kasih Tuan Haji kerana memilah TH untuk mengerjakan umrah ". Tersenyum aku mendengar panggilan itu. Bila pulang kerumah aku tunjukkan resit yang telah dibayar. Tertera nama Puan Hajjah Rosnah dan Tuan Hj Ariff Budiman. Tergelak isteriku melihat namanya. " Tak sangka ya bang, belum pergi haji dan dapat title Hj dan Hjh ". Memang la umrah dikatakan haji kecil. Kira kami mengerjakan haji Tamattuk iaitu umrah dahulu. Cerita tentang hj kecil ni, baru-baru ni kawan aku seorang pemuda cina bercerita, katanya dia nak membalas dendam kembali dekat rakan setugasnya yang asyik malas kerja. Aku berkata, " Orang yang buat jahat dekat kita jangan dibalas dengan kita kembali membuat jahat dekat dia. Kita sesama rakan tak boleh berdengki. Kita kena saling tolong menolong ". Dia ucap terima kasih kepadaku dan berkata yang aku telah mendapat haji kecil.

Kini aku dan isteri menghitung hari. Sebulan lebih lagi kami semua akan berhimpun disana. Ingin sekali aku berdoa apabila berada dikawasan yang mustajab doanya. Aku akan berdoa untuk sahabat baikku dari blogger Insan Marhein. Semoga Allah menyembuhkan Ibu Suri dan mengembalikan kegembiraan kepada keluarga mereka. Semasa aku ditimpa musibah mereka juga yang berdoa agar Allah memberi kekuatan kepada aku dan anak-anak untuk meneruskan hidup ini. kini aku terus berjuang dengan kehidupan. Aku juga amat terhutang budi kepada sahabat baikku juga dari blogger Jendela Hati. Sesungguhnya inilah saja yang dapat aku lakukan untuk mereka semasa berada di kawasan yang mustajab doanya. Doa, doa dan terus berdoa. Semoga Allah memberi kekutan kepada mereka untuki meneruskan misi dakwah.

Pasti aku tidak melupai rakan bloggerku yang menerima ujian dari Allah. Maiyah dari blogger Perjalananku Masih panjang dan saudara Kassim Selamat dari blogger Nostalgiaku Hitam Putih Warna Kehidupan. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk mereka.

Saturday, April 03, 2010

Laksa Saja Hari Ini

Sudah hampir 20 jam aku bekerja. Badan tak rasa letih pula. Tau kenapa tak letih sebab hari ini aku ditugaskan hanya duduk dalam air con saja. jadi tak banyak kerja diluar. Kalau macam ini 48 jam pun aku sanggup. Tapi itulah kesian pula dekat isteri aku yang kerap talipon. Katanya macam2 hari aku tak pulang kerumah. Sampai macam tu sekali. Sekarang ni aku sudah jemu dengan nasi. kalau isteri masak nasi, aku akan jamah sedikit untuk ambil syarat. Takut nanti kecil hatinya pula. last sekali teringin nak makan laksa. Di Juru ni ada warung laksa yang sedap. Entah itu bagi akulah. Ia dijual ditepi jalan. Jam 12 tengahari dah ada. Ramai juga pelanggannya. Apalagi aku pun pesan la sebungkus siap suruh masuk otak udang sekali. Akhirnya dapat la juga merasai laksa yang suatu ketika aku tak boleh memakannya.

Pernah satu ketika isteriku bertanya setelah seminggu kami berkahwin, " Abang suka tak makan laksa. Rosnah nak buat hari ini ". Mee dan laksa merupakan makanan kesukaanku. Semasa aku bersama arwah Siti Aishah memang kerap dia buat makanan kegemaranku, tapi masalahnya selepas saja aku makan, pasti esoknya aku terhincut-hincut. kaki menjadi bengkak. Kata orang mee dan laksa tak elok bagi mereka yang ada masalah urat saraf. Akhirnya terpaksa aku pendamkan keinginanku. Kalau nak makan pun dua bulan sekali itupun makan sedikit saja. Takut tak boleh berjalan.

Selepas isteriku disemadikan ketika selesai solat aku berdoa kepada Allah, " Ya Allah Ya Tuhanku, Aku redho engkau megambil sebahagian dari nikmatku iaitu isteriku. Sebagai hambaMu yang lemah aku berdoa kepadaMu Ya Allah dimalam yang sunyi ini kau berikanlah sedikit nikmat untuk aku meneruskan kehidupan bersama anak-anakku ". Itulah malam pertama aku tidur keseorangan tanpa kelibat isteriku. Kini setelah hampir setahun lebih pemergian isteriku, aku menyedari sesuatu yang Allah berikan kepadaku. Isteriku Rosnah menghidangkan laksa kepadaku. Sebelum aku menjamahnya, aku berkata kepada isteriku Rosnah, " Nah tahu tak yang sebelum ini abang tak boleh makan laksa atau mee. Kalau dulu bila abang makan kaki akan sakit. Abang berdoa kepada Allah agar Allah berikan nikmat setelah nikmat yang lain diambilnya. Kini baru abang sedar bila abang hidup bersama Nah nikmat inilah yang abang rasai. Bila abang makan kedua-duanya, kaki abang tidak sakit lagi ".

Isteri aku ini memang sentimental orangnya. Mendengar akan cerita ini saja dia dah menangis. Lepas tu sempat pula dia berkata, " Tapi bang janganlah pula abang lupa yang setiap nikmat itu ada hadnya. Jadi janganlah abang asyik nak makan yang itu saja. Kesihatan kita juga perlu dijaga ". Dalam kelembutannya ada juga ketegasannya. Ya aku mengerti teguran ini. Manusia semakin meningkat umurnya. Pemakanan perlu juga dijaga lebih-lebih lagi aku dan dia akan mengerja umrah jadi pemakanan perlu dijaga dari sekarang. Setiap ujian itu ada hikmahnya. Kita mungkin tidak menyedarinya atau kita sengaja tidak mahu sedar.

Thursday, April 01, 2010

Aku Juga Akan Begitu

Aku menuruni anak tangga dari rumahku untuk pulang kerumah isteriku. Itulah rutinku setiap hari kalau aku bertugas petang. Tatkala isteriku berniaga dan setelah aku menolong serba sedikit, aku pulang kerumahku. Keadaan rumahku menjadi sepi. Suatu ketika rumah ini begitu kemas dan teratur. Jam sudah lama berhenti. Blender yang selalu digunakan bila aku blend pula akan berasap. Baru-baru ini flask yang meyimpan air panas pula meletup. Aku seperti tidak memperdulikan akan rumahku sendiri. Nasib baik anak gadisku tolong mengemas. Itupun kalau dia tidak letih dengan praktikalnya. Tatkala menuruni anak tangga itulah aku terlihat seorang pakcik yang dahulunya pernah dibacakan surah yasin oleh jemaah surau dan dikatakan kepadaku bahawa harapan untuk hidup amat tipis. Aku dan isteri bergegas kerumah pakcik. Isteri pula mempunyai pertalian saudara dengan mereka. Keadaan pakcik masa itu amat tenat. Tidak dapat bangun dan bercakap. Kekadang dirinya gelisah memusing badan tidak tentu arah. Aku pula memberitahu kakak-kakak ipar agar datang ziarah akan pakcik.

Hari ini Allah maha kaya. Aku melihat pakcik berjalan sambil bertongkat menuju kerumahnya. Tanpa membuang masa aku terus kerumahnya. Terkejut dia melihat kehadiranku. Kami berpelukan dan masing-masing terasak sebak. Sebaknya aku adalah disebabkan terasa bahawa Allah itu maha kaya dengan menghidup dan mematikan seseorang. Isterinya turut menangis bila aku memeluknya suaminya. " Lama tak nampak Budiman. Macam mana kehidupan sekarang. pakcik terasa sedih dengan apa yang menimpa Budiman ". Aku hanya mendiamkan diri.
" Tak apa lah pakcik. Semua tu ada hikmahnya. Allah tahu apa yang dia buat ". Sebenarnya kata-kata yang keluar dari mulutku adalah untuk mententeramkan hati ini.

Akhirnya aku cepat-cepat menukar topik perbualan. Aku datang bukan untuk menceritakan akan perihal benda yang berlaku. Padaku biarlah ia menjadi memori yang akan aku kenang sepanjang hayatku. " Pakcik..saya dan Rosnah akan mengerjakan umrah pada 20 - 30 Mei ini. Pakcik doakan agar Allah permudahkan segala urusan kami ". Aku melihat airmata pakcik dan makcik mengalir. Mungkin terharu dengan kami. Padaku mereka terlalu baik walaupun tidak ada pertalian saudara sebelum ini. Tetapi semenjak aku berkahwin dengan Rosnah mereka terlalu baik denganku. " Itulah yang terbaik buat Budiman dan Rosnah. Semoga mendapat umrah yang mabrur ". Kata-kata pakcik mematikan perbualan kami dan kami berpelukan kembali sebelum aku mengundur diri. Sambil aku berjalan keluar aku berperasaan yang suatu hari kelak aku pula yang akan menjadi seperti pakcik. Sebenarnya kita tidak menjangkakan bila kita akan kembali kepada sang pencipta. Adakah amalan kita sudah cukup. Adakah sedekah jariah kita sudah dapat menolong kita diakhirat kelak. Bagaimana dengan anak-anak kita. Adakah mereka akan terus mendoakan kita apabila kita sudah tiada kelak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...